malaysiakini logo
story-image
ADS

Azwanddin Hamzah, presiden NGO Jaringan Melayu Malaysia atau JMM dipetik media sebagai berkata “umat Melayu Islam perlu juga menjadi kurang ajar”.

Di mana dan ketikanya beliau berkata demikian tidak perlu dihuraikan kerana ramai rasanya sudah maklum.

Azwanddin bukan orang “high profile” pertama yang mengutarakan pendapat seperti ini.

Azwanddin Hamzah

Sekitar tahun 1980-an, timbalan presiden Umno ketika itu Musa Hitam menyarankan supaya orang Melayu “kurang ajar”.

Mengapa beliau berkata demikian ?

Menurut Musa, orang Melayu dulu bersifat tradisional, konservatif dan feudal. Mereka patuh kepada adat dan tradisi lama serta takut kepada raja dan menghormati pemimpin.

Dan orang Melayu juga tidak mahu berterus terang kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang. Lantas untuk menjaga hati orang mereka cakap berlapik.

Ciri-ciri itu memang ada eloknya. Tapi bagi Musa masanya telah tiba untuk orang Melayu berubah. “Masa” yang dimaksudkan ialah tahun 1980-an.

Dan walaupun Musa bercakap mengenai orang Melayu secara keseluruhannya tetapi saran beliau dilihat juga ditujukan kepada ahli Umno dalam konteks pergolakan parti ketika itu.

Berlatar belakangkan itu, Musa berkata orang Melayu perlu bersikap “kurang ajar”. Yang beliau maksudkan ialah supaya orang Melayu bercakap terus terang, tidak perlu berlapik-lapik – call a spade a spade, bak kata orang Inggeris.

Dan lebih penting menurut pandangan Musa, jika dilihat dari aspek neutral, kurang ajar merupakan satu konsep berani bertanya dan berani menyoal.

Potret Mahathir di bangunan Umno di ibu negara.

Dalam perspektif Umno ketika Musa menjadi timbalan presiden yang sudah tidak sehaluan dengan Mahathir Mohamad selaku presiden Umno, ahli parti tidak harus lagi takut dan menyokong pemimpin membabi buta.

Jelas “kurang ajar” anjuran Musa bertujuan “memperbaiki jati diri “ orang Melayu dan jika dilihat pada susut politik Musa tentunya orang Umno”.

Walau apa pun matlamatnya, “kurang ajar” mengikut istilah Musa bukan bererti biadab, sombong, bongkak atau untuk menyakiti perasaan orang lain.

Namun kata-kata Musa itu disalah erti atau lebih tepat diputar belit musuh politiknya dalam Umno sendiri.

Musa digambarkan sebagai seorang pemimpin Melayu yang mengetepikan budaya Melayu itu sendiri dan mahu bangsanya kurang ajar dalam erti sebenar kurang ajar.

Berbalik kepada Azwanddin, apa maksud “kurang ajar” anjuran beliau?

Berpandukan laporan media, apa yang beliau maksudkan sebagai “kurang ajar” tidak diperjelaskan.

Yang beliau kata menurut media ialah “ umat Melayu Islam perlu kurang ajar untuk mengajar bangsa DAP yang selama ini telah keterlaluan”.

Apa erti akta kata itu ?

Lalu bolehlah ditanya apakah “kurang ajar” yang dimaksudkannya itu membabitkan “menyerang balai polis”? Seperti yang diugut Azwanddin tempoh hari “jika pihak yang menyebabkan rusuhan berhampiran kuil Seafield tidak ditangkap”.

Demo anti-Waythamoorthy di Klang semalam.

Atau “kurang ajarnya” membawa erti menggunakan huruf “P” untuk memberi gelaran kepada menteri perpaduan P Waythamoorthy ?

Adakah itu untuk meningkat jati diri bangsa Melayu? Atau ada unsur rasis? Oleh kerana Azwanddin tidak memberi penjelasan terperinci akan “kurang ajar” yang beliau maksudkan maka kita masing masing bebas membuat tafsiran sendiri .

Bagi saya jika “kurang ajar” bererti serang balai polis dan menghina orang saya tidak setuju.

Bagi Azwanddin jika orang tidak setuju dengan “kelantangnanya” itu tidak jadi masalah kerana yakin ramai orang Melayu akan menyokongnya.

Wallauhu 'alam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen