malaysiakini logo
story-image
ADS

Kebodohan terulung yang ada pada semua bangsa ialah kepercayaan kepada bomoh. Ia bukan terhad kepada yakin pada kesaktian para bomoh yang melilit kain kuning kepada tubuh badan sahaja.

Mereka yang mempergunakan ayat-ayat Tuhan ialah manusia jahat yang datang kepada kesusahan orang - konon dengan rasa simpati - sambil menjual harapan dan akhirnya mahukan keuntungan wang ringgit.

Mereka yang melilit akar kayu pada pangkal lengan serta cincin batu akik menghias sepuluh jari tangan itu kita boleh faham kerana pertamanya, mungkin mereka sendiri amat yakin dengan ilmu sakti yang mereka miliki boleh mengubah nasib buruk seseorang.

Justeru mereka bertekad untuk ikhlas berbakti - dengan sedikit bayaran.

Kedua, mereka ialah golongan manusia yang ditipu syaitan dan tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang dipergunakan oleh iblis durhaka itu.

Mereka dibisik-bisik perihal hebatnya kuasa kain kuning dan batu akik bagi menyembuhkan segala macam penyakit. Daripada membuang ketuat hingga kepada sulitnya hal dalam kain.

Dari kocek masuk ke kantung

Bahkan mereka ini juga adalah pembuka jendela alam ghaib dan bisa menerima pesan dari langit bagi menghilangkan hiba siapa saja yang sanggup datang mengadu hal kepada mereka.

Mari kami khabarkan kepada kamu suatu rahsia: Segala jarum yang tiba-tiba muncul dari limau kasturi sebutir adalah silap mata. Rambut yang tanpa disangka ada dalam sebutir telur juga adalah silap mata.

Kecepatan tangan mereka adalah lawan kepada kebebelan otak kamu.

Semua hal menakjubkan yang kamu lihat keluar dari tangan bomoh bodoh berganda ini adalah tipu daya yang bermatlamat untuk menghalalkan wang dari kocek kamu supaya masuk ke kantung mereka.

Kamu tidak akan dirasuk saka atau apa saja selama kamu tidak pergi bertemu mereka itu dan mengadu segala macam sakit ‘buatan orang’.

Kemudian kita pergi pula kepada para ‘ustaz’ yang kononnya menggunakan ayat-ayat tuhan sebagai jalan menghalang kejahatan jin menyakitkan manusia pula.

Di sini ingin kami nyatakan sekiranya kamu menyuruh kami mengangkat tangan dan mengaku sebagai liberal totok, kami dengan senang hati berdiri megah dan mengaku begitu.

Mengapa? Kerana mereka yang menggunakan ayat tuhan untuk kononya menghalau segala macam hantu adalah si durjana yang tidak tahu malu.

Tidak takutkah mereka nanti apabila luruh muka masing-masing di depan tuhan apabila ditempelak kerana menggunakan nama Yang Maha Esa hanya untuk untung sedikit wang?

Tidak ada maruahkah mereka dengan berani menjampi air, kurma, kismis dan segala macam ‘makanan sunnah’ untuk dijual kemudian mengaku sebagai orang agama?

Kamu boleh mengatakan bahawa agama sendiri mengakui kewujudan makhluk selain manusia, tetapi kamu lupa bahawa ada ayat tuhan yang melarang kamu daripada peduli kepada mereka kerana mereka tidak adanya kuasa ke atas kamu.

Seperti yang kami nyatakan awal tadi, kamu tidak akan menderita dipeluk jin - atau apa saja nama yang kamu berikan - selagi kamu tidak melanggani para bomoh itu.

Batu lesung jadi penyembuh

Sebaliknya pada saat pertama kamu melangkah untuk bertemu dengan para bomoh itu, ia adalah permulaan detik jahanam dalam hidup kamu.

Kamu akan ditakut-takutkan dengan segala macam ancaman. Percayalah, segala kecerdikan yang kamu miliki akan gugur sebaik sahaja kamu meminta nasihat daripada kumpulan manusia sebegitu.

Kamu akan menjadi si tolol yang percaya segala cakap manusia yang menjadikan keris, dulang dan batu lesung sebagai pengantara untuk membaik pulih kesulitan hidup kamu itu.

Tidak pernah ada dalam seseorang yang pergi bertemu bomoh akhhirnya dapat memyelesaikan masalah mereka. Apa yang mereka dapat adalah keluh-kesah, syak wasangka dan sakit hati yang bertambah-tambah.

Selain bomoh patah dan salah urat, semuanya adalah jahat yang sesat. Yang akan mengheret kamu sedikit demi sedikit ke jalan syirik. Dan kamu tentu lebih faham daripada kami bahawa syirik itu dosa yang tidak terampun.

Tidak takutkah kamu dibakar selamanya hanya kerana percaya kepada mamat kaki temberang yang kerjanya memuja taring mawas dan kemudian mengolek-olekkan telur ayam ke seluruh tubuh kamu sambil berghairah dan memberitahu yang kamu ini kononnya dirasuk saka peninggalan moyang kamu yang datang membuka tanah?

Demi kepercayaan itu kamu jual pula tanah itu kepada tauke Cina buat membayar upah bomoh yang kamu yakin sedang menyelamatkan kamu daripada kemiskinan.

Bodoh itu biar bertempat.

Air liur basi pak dukun

Betul juga apabila ada yang mengatakan bahawa jika benar segala ilmu mistik itu benar-benar berkesan, mengapa tidak disantaunya segala penjahat dunia?

Yahudi yang kamu kata zalim itu, atau Trump yang bodoh itu, adalah calon yang paling layak kamu santau.

Atau jika mahu yang lebih dekat, santau saja si pembunuh anggota keselamatan baru-baru ini.

Biar mereka rasakan akan kesaktian perguruan harimau berantai pusaka moyang kutil kulit berkurap kamu itu.

Ini tidak, yang sering kita dengar disantau ialah mak cik guard atau peon sekolah yang entah apa dosanya dan di mana untungnya apabila dibiar menderita perut membusung.

Yang sering jadi mangsa bomoh ialah isteri yang dizalimi suami, anak dara tua, janda kesepian dan juga mak cik kedai makan yang masak tak sedap.

Mereka sanggup berhabisan harta untuk menyedapkan hati sendiri - atau dalam kes mak cik masak tak sedap tadi, dia berharap masakannya akan secara magis menjadi enak - dengan sopotong ayat Tuhan.

Atau pun sebenarnya kerana air liur basi pak dukun kegemarannya.

Budak sekarang menggelar ini sebagai "bodoh bertingkat" dan tidaklah salah bagi orang mengatakan begitu kerana mereka yang terlibat dalam kegiatan sumbang itu terdiri daripada semua peringkat.

Yang bersekolah tinggi pun terkena, apatah lagi yang tidak. Yang beragama pun terjebak, apatah lagi yang jahil murakab.

Keluarlah dari kebodohan itu kerana ianya adalah barah yang amat bahaya untuk kehidupan dunia kamu, dan terlebih-lebih bahaya untuk kesempurnaan akhirat kamu.

Oh! Menyebut tentang barah, biasanya segala penyakit yang kamu katakan sebagai misteri ini kebanyakannya adalah barah yang lewat dikesan.

Mengapa lewat dikesan? Kerana kamu sibuk membiarkan tok pawang menyelak kain kamu walaupun sepatutnya kamu kena bersegera ke hospital.

Kenapa suka ke pawang berbanding ke hospital? Kerana tok pawang biasanya bawak cerita sedap akan kesalahan orang lain berbanding sibuk mengubati penyakit kamu itu.

Artikel kali ini dihiasi foto perasmian pameran Mindescape yang berlangsung di Galeri Primi, Jalan Riong, Kuala Lumpur baru-baru ini.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis, penyair, dan jurufoto amatur yang bisa membuatkan kamu jatuh cinta kepadanya tanpa sebarang usaha.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen