malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam pidato Presiden Amanah semasa konvensyen parti itu berlangsung di Meru, Ipoh hujung minggu lalu, Mohamad Sabu ada menyentuh soal ekonomi di bawah tajuk Memulih Ekonomi Negara.

Hampir semua pembahas juga membawa persoalan ekonomi. Ia bukan aneh kerana isu ekonomi adalah mauduk politik.

Ekonomi sebenarnya ialah persoalan teras pembinaan semula negara bangsa. Bangsa yang tidak kuat ekonominya tidak akan mampu membina negara bangsanya sendiri.

Bangsa iu akan hilang bahasa, hilang identiti, hilang wajah, tidak berjiwa, kosong dan amat mudah dirasuk dengan elemen politik sempit.

Tambahan pula dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, hal ini sangat memungkinkan.

Konsep negara bangsa yang hendak dibina bukan bermula selepas keruntuhan BN pada 9 Mei lalu.

Konsep negara bangsa kita terbina sejak pejuang kemerdekaan dan pemimpin kemerdekaan merumuskan rupa bentuk negara baru. Ia terbina secara rasminya pada hari negara ini merdeka.

Usah hilang nafas bangsa

Ia diperkukuhkan lagi dengan hari penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. Inilah hari merdeka dan kebangsaan yang menjadi mercu tanda pembentukan negara bangsa bagi Malaysia.

Perjanjian sosial antara son of soil dengan kaum pendatang yang bersedia menumpahkan kesetiaan mereka kepada raja dan negara tidak sekadar diingati, tetapi difahami sedalam-dalamnya.

Perjanjian sosial itu diterjemah dalam Perlembagaan Persekutuan yang dianggap sebagai panduan tertinggi dalam bermasyarakat di negara yang baru mendapat kemerdekaan.

Oleh itu, Amanah jangan hilang nafas bangsa dan bahasanya sendiri dalam mendaki puncak lebih tinggi. Ekonomi adalah bahasa kesejahteraan rakyat. Itulah salah satu antara bahasa yang difahami oleh Nabi Sulaiman AS sebagai diungkapkan dalam pidato Mohamad.

Beliau menyebut tentang keperluan seseorang pemimpin menguasai pelbagai bahasa seperti Sulaiman.

Keadaan ekonomi dalam sesebuah negara adalah bahasa kesejahteraan.

Usman Awang pernah mengingatkan dengan puisinya yang berbunyi:

"walaupun sudah mengenal universiti

masih berdagang di rumah sendiri."

Rangkai kata itu terdapat dalam puisinya bertajuk Melayu.

Hari ini walaupun kaum Melayu menjadi tuan, hakikatnya tidak sedemikian dalam konteks ekonomi. Orang Melayu di kampung-kampung menghadapi masalah kejatuhan harga komoditi sejak sebelum PRU ke-14 lagi.

Bukan rejim lama semata-mata

Penurunan harga komoditi utama - misalnya kelapa sawit yang menjadi RM250 setan dan getah sekerap (RM2.15 sekilo) - berada pada paras terendah sejak beberapa tahun ini.

Ia sesuatu yang membebankan bukan sahaja ekonomi isi rumah tetapi juga kehidupan masyarakat secara keseluruhannya.

Penurunan itu berterusan. Dianggarkan 70 peratus daripada kategori B40 adalah kaum Melayu.

Harga ikan temenung sekilo RM12 hingga mencapai RM16. Telur ayam gred C pula RM14 sepapan. Sinar kemenangan PH belum mampu memadamkan keresahan orang lapar dan orang miskin.

Perkembangan kewangan dan pelaburan negara di peringkat antarabangsa pula menunjukkan penarafan Moody's juga menunjukkan indeks ekonomi negara berada dalam keadaan lebih rendah dari setahun yang lalu.

Ini memberi kesan pada kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Saham milik beberapa syarikat juga terus merosot, termasuk TH Plantation (turun 45 peratus), TM (35 peratus) dan Axiata (35 peratus).

Rizab antarabangsa negara pada Okt tahun ini ialah RM101 billion, menyusut daripada RM109 billion pada April.

Usahlah kerajaan PH mengalih masalah ini atas kesalahan rejim lepas semata-mata atau kesan global trade war. Langkah ekonomi yang konstruktif perlu diambil segera. Bukan sekadar mengambil pendekatan ekonomi populis seperti pemberian subsidi, penetapan harga lantai, inisiatif dan sebagainya.

Itu memang perlu tetapi yang sangat diutamakan kini ialah menimbulkan keyakinan, kelestarian dan keampuhan ekonomi negara kepada pelabur sama ada dalam atau luar negara.

Belajawan 2019 yang disebut sebagai inisiatif ekonomi rakyat juga gagal merangsang keyakinan pelabur dan memberi kesan negatif buat rakyat. Saham di bursa tidak menunjukkan sebarang angka yang positif.

Bukan amalan lazim

Kenyataan Menteri Kewangan tentang jumlah hutang negara yang ‘mengelirukan’ sangat tidak diperlukan pada saat ini. Hutang rasmi RM686.8 bilion. Tetapi diisytiharkan RM1 trilion oleh perdana menteri dan menteri kewangan dengan memasukkan jumlah jaminan kerajaan sebanyak RM199.1 bilion dan bayaran pajakan kerajaan sebanyak RM201.4 bilion.

Presiden Amanah juga mengulangi dakwaan tentang hutang RM1 trilion, sedangkan amalan kewangan dunia yang kita amalkan selama ini tidak memasukkan kedua-dua item tersebut.

Begitu juga amalan Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) selama ini.

Agenda politik kita terlalu obses dalam keghairahan berjaya menumbangkan raksasa berusia 60 tahun itu. Sesungguhnya kemenangan PH rapuh dan satu titik kritikal dalam politik negara.

Usah biarkan keghairahan membina semula negara ini akhirnya musnah disebabkan euphoria tidak terkawal. Jangan disia-siakan keberanian dan pengorbanan rakyat melakukan perubahan.

Sehubungan dengan itu, ada empat perkara yang dikemukakan pada tulisan ini, iaitu:

  1. Para menteri dan pimpinan PH perlu berhenti menuding jari pada kelemahan dan kebobrokkan rejim lalu. Rakyat sedia maklum bahawa rejim BN korup - dan penyangak - bak kata Mahathir Mohamad. Hukuman kepada mereka sudah berjalan dan akan terus berlangsung dalam pemikiran rakyat Malaysia. Pimpinan dan ahli PAS pun setuju bahawa BN adalah parti korup dan perlu diganti.
  2. Menteri Kewangan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, para anggota lain kabinet serta pegawai kerajaan membuat satu pendekatan ekonomi yang konstruktif dan berskala jangka panjang.
  3. Agenda memperkukuhkan ekonomi pribumi terus dijadikan teras pembinaan semula negara. Kiranya ekonomi pribumi masih mundur, agihan kekayaan tidak seimbang, tragedi 13 Mei akan terjadi.
  4. Tragedi itu menggunakan nama-nama lain tetapi asbabnya masih sama - ekonomi tidak seimbang.
  5. Mengawal neo-liberalisasi ekonomi yang merobek falsafah negara bangsa yang sedang dalam proses pembinaan. Dan matlamat Dasar Ekonomi Baru perlu dikembalikan dalam penggubalan pendekatan yang lebih nasionalis.
  6. Nasionalis harus difahami dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia. Bukan nasionalis perkauman, fasis atau asabiyah.

Kritikan ini bukan menafikan kesungguhan kerajaan semasa menyelesaikan permasalahan ekonomi negara. Ini soal tekanan hidup yang berterusan.


DR MUHAIMIN SULAM ialah aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen