malaysiakini logo
story-image
ADS

Cerita rakyat tentang kisah keakraban Ali, Ah Chong dan Ramasamy kini perlu diubah menjadi Ali, Ah Chong dan Murthi.

Ramasamy sudah mendiang. Murthi menggantikan tempat Ramasamy berkongsi cerita suka-duka bersama Ali dan Ah Chong.

Gara-gara Murthi ghairah berkawan dan berkuasa, dia tidak tahu membezakan di antara manikam dan batu. Lalu dibawa batu untuk dipamerkan kelebihannya pada masyarakat untuk memperkukuhkan kerajaan baru yang sedia rapuh seperti istana pasir.

Himpunan anti-Icerd hujung minggu lalu dianggap sebagai satu himpunan yang terbesar umat Melayu di Malaysia sejak merdeka. Ini bukan seperti himpunan yang biasa-biasa seperti Bersih sejak 2008.

Jauh sekali jika hendak dibandingkan himpunan di kuil Hindu Sri maha Mariamman yang menyebabkan kekecohan selama beberapa hari.

Himpunan anti-Icerd berjalan penuh aman dan berdisiplin. Itulah yang diajarkan dalam Islam dan adab orang Melayu berhimpun. Anggota keselamatan dan polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah.

Polis memberi jaminan keselamatan ke atas para peserta dan pada masa sama penganjur juga menjanjikan perhimpunan itu ialah himpunan paling selamat dan bersih.

Baik buat Melayu, Islam

Ternyata benar kata-kata mereka itu. Benar janji Polis. Benar juga kata penganjur.

Dr Mahathir Mohamad pun mengucapkan tahniah kepada para peserta himpunan kerana memenuhi harapannya. Sebelum itu, Mahathir mendoakan agar himpunan berkenaan berjalan aman.

Abaikan sahaja sama ada pujian Mahathir itu sindiran atau benar. Dari segi kenyataan yang disiarkan media massa, Mahathir memang memuji.

Beliau pun bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur sejurus tamatnya himpunan keramat itu. Alhamdulliah doa Mahathir dimakbulkan.

Abaikan juga jika orang lain juga mendoakan hal yang sama dan dimakbulkan.

Jika diterima kenyataan bahawa himpunan hujung minggu lalu itu adalah perkumpulan terbesar umat Melayu sejak merdeka, itu satu perkembangan yang baik buat orang Melayu dan Islam.

Penyelesaian sudah ditemui setelah berpuluh-puluh tahun umat Islam berpecah dan bercakaran sesama sendiri. Benarlah kata Timbalan Presiden PAS bahawa perhimpunan itu adalah tanda kesyukuran kerana kerajaan PH menolak Icerd.

Selepas ini, hak berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia akan lebih mudah dibuat. Dataran Merdeka akan jadi satu lagi daya tarikan para pelancong sebagai tempat untuk rakyat berkumpul dan bersuara seperti di Trafalgar Square atau Hyde Park di London.

Hampir setiap minggu ada demostrasi dari segala macam aliran pemikiran dan kumpulan.

Angka boleh berubah

Penyokong PH juga boleh buat himpunan aman sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi menteri dan kerajaan PH. Kadangkala konvesyen, kongres atau apa-apa istilah mesyuarat tahunan parti politik adalah acara melegimitasikan kehendak elit dalam parti.

Orang bawahan atau perwakilan hanya bawa telinga dan badan untuk didoktrin.

Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan jumlah peserta himpunan itu adalah 55,000 ribu seperti dilaporkan Malaysiakini dan ABC News.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir menyatakan himpunan tersebut berjumlah lebih 100,000 peserta. Penganjur mengatakan peserta himpunan itu ada 500,000.

Ada juga yang mengatakan jumlah peserta mencapai 700,000 dan 1.5 juta. Antara 55,000 yang paling sedikit dan 1.5 juta angka terbanyak.

Bagi ahli politik itu sangat subjektif dan angka itu boleh berubah-ubah mengikut keperluan semasa.

Jangan buang masa tentang angka yang tepat. Ini bukan matematik. Sebut sahaja bahawa himpunan itu telah menghimpunkan ramai orang. Sangat ramai dan tidak terkira.

Sebelum sibuk berbahas tentang jumlah sebenar angka para peserta himpunan anti-Icerd, lebih baik mencari asal-usul perhimpunan itu.

Ia penting bagi memahami implikasi himpunan kepada kerajaan, negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Semua ini bertitik tolak daripada idea bernas seorang menteri yang bernama P Waythamorthy untuk membuat ratifikasi Icerd.

Ramuan terbaik Melayu

Ini kerana Malaysia masih belum menandatangani deklarasi yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu. Kajian tentang Icerd dibuat sejak 2012 di bawah portfolio perpaduan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Itu cerita lama.

Tetapi adalah satu cerita dalam simpanan fail yang baru ditemui beberapa bulan selepas Waythamoorth masuk ke pejabat.

Himpunan anti-Icerd menyatukan seluruh kekuatan PAS dan Umno bagi menyatakan iltizam untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia yang merupakan perlembagaan negara.

Himpunan anti-Icerd menemukan ramuan terbaik bagi orang Melayu bersatu dengan mengetepikan perbezaan politik.

Beberapa minggu lalu, Waythamoorty juga membidas polis kerana gagal sampai awal untuk menyelesaikan isu kuil di Seafield, Subang Jaya.

Menteri itu lupa bahawa dia ialah menteri kerajaan. Waythamoorty ialah menteri yang menyebabkan orang Melayu Islam di Malaysia bersatu dengan caranya yang tersendiri.

Bukan Mahathir, Hadi Awang, Zahid Hamidi ataupun Mat Sabu. Inilah yang kerajaan PH bimbang seperti kebimbangan PH memerintah hanya sepenggal.

Tidak mengapa, kerana Umar Abdul Aziz memerintah hanya dua tahun sahaja. Bukan sepenggal.

Trima kaseyyy Waythamoorty!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen