malaysiakini logo
story-image
ADS

Arwah datuk saudara sebelah emak saya dijatuhkan hukum gantung oleh kuasa kolonial Inggeris. Datuk saudara saya terlibat dalam kes Melayu lawan Cina di Padang Lebar dan Batu Kikir pada 6 dan 7 November 1945.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan - Agong pertama Tanah Melayu - telah memberi pengampunan. Datuk saudara saya tidak mati digantung tapi dipenjara seumur hidup. Setelah dibebaskan datuk saya menjadi guru silat. Dia wafat pada tahun 1963.

Bangsa Johor terutama di Muar dan Batu Pahat akan terus mengingati legenda Selendang Merah Kiyai Saleh. Panglima Melayu yang bangun menentang kaum Cina sesudah Jepun menyerah kalah.

Generasi saya pula akan terus mengingati 13 Mei. Malah saya sendiri telah melanggar arahan keras pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar agar jangan singgah di Kuala Lumpur ketika pulang dari Kuala Kangsar ke Seremban. Arahan ini sampai ketika cuti sekolah penggal pertama pada Julai 1969.

Apabila kereta api yang saya tumpang berhenti di Kuala Lumpur saya telah menyelinap masuk ke perut kota Kuala Lumpur. 

Untuk beberapa jam - saya budak kampung - telah meredah Kuala Lumpur.  Saya menaiki bas Seri Jaya menuju ke Kampung Pandan dan ke Batu Road.

Keretapi penuh soldadu

Mata saya telah merakamkan sejarah. Saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri kedai-kedai Cina yang terbakar ketika bentrokan Melayu-Cina berlaku di Kuala Lumpur. Bentrokan ini berlaku sesudah pilihan raya umum ke-3 pada 10 Mei 1969.

Saya juga masih ingat dengan jelas kereta api yang saya tumpang untuk pulang bercuti dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur dipenuhi oleh soldadu. Di kepala kereta api berdiri tercegat dua soldadu lengkap bersenjata.

Ini mengingatkan saya kepada imej kereta api yang dirampas oleh Pancho Villa (1978-1923) pejuang revolusioner Mexico. Dalam kereta api yang saya tumpang ini ada gerabak khusus untuk para soldadu.

Soldadu ini ditugaskan khas untuk mengawal kereta api yang akan dipenuhi oleh pelajar dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dari Sekolah Tunku Abdu Rahman (STAR) Ipoh dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Tanjung Malim.

Semua pelajar ini pulang bercuti dengan menaiki keretapi yang sama. Kami diatur dalam gerabak khas masing-masing.

Khabar angin bersimpang siur mengatakan bahawa kaki busuk Cina akan menyerang kereta api yang membawa pelajar Melayu pulang bercuti. 

Malah di kampung saya di Jelebu, ibu saudara saya bertanya apakah saya akan selamat untuk pulang kembali ke Kuala Kangsar.

Justeru babak-babak pembantaian bangsa Cina masih cerah dalam ingatan saya. Saya tidak perlu membaca buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas oleh Tunku Abdul Rahman Putra. 

Atau membaca Kertas Putih laporan rasmi kerajaan Perikatan tentang bentrokan 13 Mei.

Untuk generasi 2001 - pasti mereka akan terus mengingati kes Kampung Medan. Ini disambut dengan kes kuil Hindu terbaru tahun 2018.

Bentrokan berlaku di Seafield Shah Alam. Kali ini bukan Melayu membantai Cina saperti yang berlaku di Batu Kikir tahun 1945 dahulu. Kali ini Melayu membantai India.

Kes Melayu bergaduh atau membantai Cina dan India ini bukan hanya berlaku di Johor, Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur sahaja. Hampir di setiap daerah di Tanah Melayu ini ada legenda dan mitos Melayu bergaduh dengan China atau Melayu bergaduh dengan India.

Lagenda dan mitos ini ditambah dengan Aji-No-Moto mengikut situasi dan suasana ketika itu. Fakta dan kebenaran amat jauh sekali.

Apa sebenarnya semua ini? Apa yang wajib kita fahami daripada pembantaian bangsa-bangsa ini. Apa sebenarnya di belakang tragedi pembunuhan dan pembantaian bangsa-bangsa ini?

Saya telah menulis. Saya telah berforum. Saya telah memberi kuliah. Saya telah membincangkan. Saya terus memikirkan tentang hal ini.

Pada hemat saya - pada fikrah saya pembantaian dan pergaduhan bangsa-bangsa adalah kerana persoalan nasional kita yang belum selesai - the unfinish national question.

Di Malaysia ini saya rasa - hanya saya seorang - yang ke hulu ke hilir - yang jadi Pak Sibuk cuba memberi penjelasan tentang persoalan nasional yang belum selesai. Saya mahu menimbulkan persoalan nasional ini.

Tahun lalu sebelum PRU14 saya telah menulis satu siri berkenaan persoalan nasional dan bangsa-bangsa. Siri tulisan ini akan dijadikan satu buku sebagai sumbangan saya ke dalam kancah agenda yang maha penting ini.

Tulisan - persoalan nasional - dalam Malaysiakini tidak mendapat beribu-ribu ‘share’ seperti tulisan saya tentang Mat Songel atau Bik Mama.


BACA BERKAITAN:

Persoalan nasional (mukadimah)

Persoalan nasional (1)

Persoalan nasional (2)

Persoalan nasional (3)


Persoalan nasional yang saya timbulkan dianggap berat atau payah untuk difahami. Atau difahami tetapi takut untuk dipegang tanduk agar lehernya dapat dipatahkan.

Apa dia persoalan nasional yang belum selesai dan tuntas?

Pada hemat saya negara bangsa yang dicita-citakan belum wujud. Kedatangan bangsa Cina dan India ke Tanah Melayu telah merubah rupa bentuk Tanah Melayu. Perubahan ini masih belum dapat diterima secara tuntas oleh Bani Melayu.

Tidak semua Bani Melayu menerima kedatangan Cina dan India ke Tanah Melayu. Kemasukan Cina dan India ini adalah hasil dari projek paksaan Inggeris.

Perang gerila lawan fasis Jepun

Kuasa kolonial Inggeris memaksa United Malays National Organisation untuk menerima Cina dan India menjadi warga negara kerana Inggeris mahu menyelamatkan harta kolonial mereka.

Sesudah perang dunia kedua Inggeris hampir jatuh muflis. Lebih dari setengah pendapatan Inggeris - bijih timah dan getah - pada ketika itu datang dari Tanah Melayu.

Ini berlarutan hingga ke tahun 60-an. Tanah Melayu yang kaya raya menjadi begitu penting untuk Inggeris.

Kuasa kolonial sesudah Jepun mengundur telah diserang oleh kaum nasionalis. Kaum kiri dan kaum komunis - anak semua bangsa - telah mengangkat senjata semenjak darurat diumum pada 20 Jun 1948. 

Pengalaman perang gerila melawan fasis Jepun kini diarahkan untuk menyerang Inggeris.

Barua Inggeris

Perang gerila anak semua bangsa rakyat Malaya ini telah memukul teruk kuasa kolonial Inggeris. Justeru Inggeris tidak ada pilihan melainkan memberikan kuasa kepada barua dan budak suruhan yang mereka taja.

Jika tidak Tanah Melayu akan menjadi Republik Rakyat Tanah Melayu.

Barua dan budak suruhan Inggeris ialah United Malays National Organisiation. Gerombolan ini hanya ditubuhkan pada tahun 11 Mei 1946.

Walhal Parti Komunis Malaya ditubuh 30 April 1930. Kesatuan Melayu Muda ditubuh pada tahun 1938. Parti Kebangsaan Melayu Malaya ditubuh pada 17 Oktober 1945.

Inilah latar belakang bagaimana orang-orang Cina dan India menjadi warga negara tanah Melayu. Ini dilakukan bukan secara demokratik. 

Tidak ada pungutan suara untuk bertanya kepada bani Melayu - apakah mereka bersetuju untuk menerima Cina dan India menjadi warga negara Tanah Melayu.

Kemasukan India dan Cina ini melalui paksaan Inggeris dengan kerja sama elit dan bangsawan Melayu. Ini fakta sejarah bukan putar alam Hishamuddin Rais. Amin.

Suara Perkasa, Isma tanda negara bangsa gagal

Justeru - hasil dari paksaan dan pembelotan - hari ini kita dengar suara Perkasa. Kita mendengar suara Isma.

Kita mendengar suara parti Islam. Kita mendengar suara jihad. Kita mendengar suara ketuanan Melayu. Kita dengar suara mempertahan Raja-raja Melayu. Kita mendengar - masanya telah sampai orang Melayu tidak boleh bertolak ansur dengan Cina dan India.

Untuk saya suara-suara ini hanyalah manifestasi.

Ini adalah manifestasi - tanda dan makna bahawa persoalan nasional belum selesai. Negara bangsa Malaysia gagal wujud. Suara-suara Perkasa dan Isma ini adalah tanda kegagalan itu.

Jika gagal apa langkah yang wajib diambil?

Harus diakui bahawa kaum politikus hanya berupaya memikirkan dalam jangka masa lima tahun. Fikrah dan daya fikir politikus terbantut.

Akibat kerja tangan politikus

Politikus dalam dunia ini bukan pemikir tegar dan tuntas. Mereka tidak bonsai tapi menghampiri tahap bonsai. Mereka hanya memikirkan cara popular untuk mendapat undi dalam masa lima tahun sekali.

Justeru kegagalan persoalan nasional di selesaikan adalah akibat kerja tangan para politikus.

Wajib disedari bahawa politikus bukan negarawan. Politikus bukan pemikir. Bukan pemula. Bukan pencetus wacana untuk kelahiran negara bangsa. Kaum politikus mahu menang undi lima tahun sekali.

Saya wajib memberikan contoh kegagalan politikus. Yang hasilnya ialah kegagalan menyelesaikan persoalan nasional.

Contoh terbaik ialah gagal didirikan sekolah satu bahasa di Malaysia. Berkilo-kilo air liur keluar. Hasilnya zero.

Contoh terbaik kempen para politikus masih lagi untuk memancing undi melalui kempen bangsa dan agama.

Justeru - rumusan saya tidak salah jika saya nyatakan bahawa pergeseran, pertengkaran, pergaduhan Melayu - Cina - India ini kerana kegagalan menyelesaikan persolan nasional.

Hari ini kita selalu mendengar suara yang berkata, "kita Melayu, kaum lain jangan ganggu Islam, jangan gugat Raja Melayu, Melayu sedia berjihad."

Apa sebenarnya makna kata-kata ini?

Awas! Sedarlah. Di belakang suara-suara ini ialah persoalan nasional. Di belakang persoalan nasional ini ialah perebutan punca-punca ekonomi.

Bani Melayu tidak puas hati kerana di mana-mana mereka pergi kota dan bandar semuanya dimiliki oleh Cina.

Psikologi Melayu terpinggir, terpencil

Di Malaysia tidak wujud kota dan bandar Melayu. Ini satu yang amat pelik dalam dunia ini. Di Mesir kota Cairo diduduki oleh Arab Mesir. Di Karachi kota Karachi didiami oleh warga Pakistan. Di Shanghai di duduki oleh warga China. 

Tetapi di Tanah Melayu tidak ada kota, bandar dan pekan Melayu.

Banglo dan kondo tidak dimiliki oleh Malayu. Di mana-mana bani Melayu mendongak terngadah mereka terlihat bangunan yang bukan milik Melayu.

Bani Melayu terpencil di atas bumi sendiri. Dari segi psikologi bani Melayu merasakan terpinggir - terpencil - terisolasi.

Tidak cukup dengan harta kekayaan yang bukan milik Melayu. Kini tanah dan sejarah kampung mereka dirobek dan dicincang.

Contoh terbaik - dengan kurang ajar Kampung Pantai Dalam, Kampung Kerinchi dialih untuk menjadi Bangsar South tanpa penduduk asal kampung dirujuk. 

Ini sama seperti kemasukan Cina dan India ke Tanah Melayu tanpa rujukan bani Melayu.

Semua ini adalah contoh terbaik persolaan nasional yang belum selesai. Inilah contoh terbaik sejarah dan tamadun bani Melayu yang diinjak-injak.

Kenapa ini dibenarkan berlaku? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen