malaysiakini logo
story-image
ADS

"Dulu ke laut ibarat mengutip ikan. Senang-senang 40 kilo sekali turun. Tapi itu dululah.

"Sekarang, usahkan sekilo, seekor ikan pun belum tentu dapat," Bang Ismail, nelayan sepenuh masa di Tanjung Piai meluahkan.

Rokok gulung cap kuda digentel-gentelnya perlahan sebelum diletakkan di antara dua bibirnya yang kering.

Malam itu, ada beberapa orang kampung berkumpul di jeti Tanjung Piai yang terletak di penghujung tanah benua Asia itu.

Kedai makan Pak Bakar belum ditutup. Memang malam itu tidak seperti malam-malam biasa. Malam itu ada pasukan bomba dan polis.

Ada operasi mencari mangsa lemas yang belum ditemui. Sudah dua malam operasi.

Cahaya lampu dari Singapura dan stesen jana kuasa Tanjung Bin menerangi sebahagian gelap pada malam itu. Cahayanya menari-nari perlahan di hujung ombak lesu.

Suara batin orang kecil

Hanya suara kami kedengaran di celah-celah bunyi ombak mengeluh.

"Ada lebih kurang 600 nelayan berdaftar dan yang tidak berdaftar di sini.

"Sebahagiannya berpangkalan di jeti Penggawa yang terletak tidak jauh dari Laut Jepun.

"Sekarang jumlah nelayan yang turun ke laut agak berkurangan. Nak ambil upah di kebun kelapa sawit, harganya lagi menyakitkan," Bang Ismail bercerita lagi. Suaranya berbaur antara marah dengan kesal.

Harapan mereka kepada kerajaan baru ialah supaya kehidupan mereka boleh. Tidak lagi seperti sebelum ini.

Tetapi mereka tidak sedar bahawa kerajaan cuma metos kuasa politik yang dicipta.

Cerita Bang Ismail itu menambah-nambah lagi luka bangsa di negara merdeka yang tahap bergantung kepada kerajaan sangat tinggi.

Suara batin orang kecil seperti nelayan miskin terus tenggelam atas nama kemajuan dan pembangunan negara.

Pembangunan negara sering membawa makna pembolotan kekayaan oleh segelintir kelompok manusia yang berkuasa. Mereka bebas mentakrif makna pembangunan untuk masyarakat menerimanya tanpa soal.

Zalim benar untuk sesiapa yang berkuasa lalu memaksa yang lemah menurut saja.

Laut tempat nelayan Tanjung Piai mencari ikan semakin mengecil dan cetek. Kapal dagang sibuk melintasi Tanjung Piai membawa barang ke pelabuhan Singapura dan Tanjung Pelepas.

Pasir disedut, ditambak

Bot nelayan kecil terpaksa bersaing untuk mendapat ruang di laluan kapal-kapal besar. Juga terpaksa bergelut dengan bot-bot nelayan laut dalam.

Hidup ini benar-benar satu persaingan. Bersaing untuk terus menjadi nelayan dengan seadanya, atau mencari kerjaya lain yang masih serba tidak menentu.

Atau mungkin menukar daripada bot menangkap ikan menjadi bot pancung. Daripada mencari udang dan ikan kepada membawa pelancong asing menelusuri pantai pokok bakau.

Atau nelayan Tanjung Piai harus kembali ke perpustakaan sejarah tempatan bagaimana cerita tentera Indonesia menurunkan anggotanya dari kapal terbang semasa era konfrontasi.

Atau mereka harus kembali mencari akar nenek moyang mereka sebagai perantau dan pedagang hebat. Ada Bugis. Jawa pun ada.

Bukankah Tanjung Piai ialah juga tempat pangkalan tentera Jepun mendarat semasa Perang Dunia Kedua? Sejarah jarang difahami sebagai bidang yang menjana ekonomi.

Sejarah hanya digunakan untuk mengaut sokongan politik peribadi dan kelompok. Akibat tandus memahami sejarah, maka lahirlah nafsu ghairah untuk memusnahkan khazanah alam dan keharmonian bernegara.

"Ini pasal isu kuil itukah?" Ghazali yang menemani kami, bertanya.

Isu kuil hanya sampingan. Isu utama ialah makna pembangunan. Pembangunan negara dan bangsa yang menyeluruh.

Ada projek menambak pulau buatan berhadapan jeti tempat nelayan memunggah hasil tangkapan. Pasir disedut dari dasar laut dan ditambak di tempat lain hingga terbentuk pulau buatan.


Baca Ke hadapan pak menteri tani


Khabarnya pulau itu akan menjadi tapak simpanan minyak. Seperti tiada lagi tapak di tanah besar hingga terpaksa laut ditambak.

Jangan bicara soal kemungkinan pencemaran alam. Kesan ekosistem akibat pembangunan pesisir laut itu memakan masa untuk dirasai.

Yang pastinya, kawasan hidupan laut bermain dan berkejaran kini sudah kian sempit. Sesempit nafas sang nelayan memancing dan menjaring ikan serta udang. Semakin perit.

Gambar fail

Inilah suara nelayan Melayu terpinggir. Suara yang jarang sampai ke gegendang telinga dan dinding hati sang berkuasa.

Deretan pokok bakau berdiri teguh di pesisir pantai berlumpur. Biar deras ombak datang, bakau minyak atau bakau berus tetap setia mempertahan tanah berlumpur itu daripada terlerai. Dicengkamnya kuat-kuat. Bagai aur dengan tebing.

Hutan bakau dan pokok api-api di Tanjung Piai sudah diwarta sebagai Taman Negara. Taman warisan buat generasi masa hadapan dan tapak pelancongan. Hidupan di taman itu dilindungi oleh undang-undang.

Monyet dan lotong sudah turun-temurun menghuni hutan bakau itu. Siput, belongkeng, katak, mengkarung pun sama.

Semua haiwan itu akur hukum alam. Haiwan-haiwan tidak akan faham bahawa undang-undang ciptaan manusia sifatnya lebih berperibinatangan daripada berperikemanusiaan.

Nelayan-nelayan di Tanjung Piai, berhentilah berharap. Kalian harus bangun sendiri dan peganglah tangan kawan untuk melangkah ke hadapan.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen