malaysiakini logo
story-image
ADS

Kami rasa menjual ketakutan adalah sejenis perniagaan yang akan membuahkan banyak keuntungan.

Dari pemerhatian kami dapati pengurusan haji dan umrah dari Indonesia paling berjaya menjadikan ketakutan sebagai pelaris kepada perniagaan mereka.

Ketika tawaf dan saie kamu akan dapati jemaah dari Indonesia menjadi kumpulan paling ‘agreasif’. Mereka menolak, merempuh dan meloloskan diri tanpa mahu dipisahkan.

Biasanya kelakuan mereka amat menganggu jemaah lain.

Kami kuat mengatakan bahawa mereka ini ditakutkan akan berlakunya perpisahan dalam kalangan jemaah masing-masing.

Kami juga kuat berpendapat mereka terlebih dulu dibimbang-bimbangkan mengenai cerita-cerita bagaimana jemaah yang tersesat, tidak bertemu jalan balik ke hotel atau tenggelam punca untuk pulang ke negara asal tercinta.

Mereka yang bertanggungjawab membawa jemaah dari Indonesia seharusnya diberi penerangan tentang cara-cara menangani anggota rombongan tanpa perlu menanamkan rasa takut.

Laris buat semua bangsa

Ibadah haji dan umrah tetap diterima walau tanpa mereka berpegangan tangan sesama anggota rombongan semasa tawaf dan saie.

Sebagai perbandingan jemaah dari Indonesia kelihatan amat santai apabila keluar menyertai acara berbelanja.

Mereka kelihatan amat yakin berjalan dalam kumpulan kecil, tanpa ada rasa perlu berpegan tangan dan kain telekung. Mereka membeli-belah semahunya tanpa ada sedikit pun ketakutan seperti ketika semasa melakukan ibadat tawaf dan saie.

Kalaulah perasaan yang sama - yakni tenang dan santai ketika berbelanja - dipraktikan semasa bertawaf dan bersaie, serta ketika melontar jamrah pada musim haji, tentu saja ia memberi sumbangan yang besar kepada usaha menyempurnakan ibadat yang satu ini.

Gambar hiasan

Ketakutan sebenarnya dijual dengan laris kepada semua bangsa di Malaya ini.

Orang Cina ditakut-takutkan akan kehilangan negara yang didakwa dibina mereka. Apa saja dilakukan agar dapat ditabal sebagai bangsa yang paling utama memajukan negara ini.

Mereka ditakut-takutkan tentang nantinya jika tidak ‘merampas’ Malaya ini dari semua bangsa yang ada maka tentu saja mereka tidak punya tanah air untuk kembali.

Sementelah pula walaupun mencintai tanah besar tempat asal datuk nenek mereka, jauh di sudut hati mereka tahu di sana bukan tanah cinta sejati.

Apa yang hilang

Yang berbangsa India pula diapi-apikan oleh pemimpin bahawa mereka kaum yang sentiasa malang dan sering dipinggirkan.

Seolah-olah si pemimpin menyebutkan: tidak ada untungnya dilahirkan di negara ini jika kamu berbangsa India, padahal si penutur itu sedang berniaga mencari untung dengan menjadikan malang bangsa sendiri sebagai modal.

Bagaimanapun kita tidak tahu di mana silapnya hingga kaum India di negara ini masih ramai yang jauh tertinggal termasuk dari segi keselesaan hidup.

Apa sebenarnya berlaku sehingga mereka ketinggalan dalam banyak hal? Bukan tidak ada orang India yang berjaya namun jika dibandingkan dengan kaum lain mereka jelas sedikit daif.

Gambar hiasan

Kemudian kita ada bangsa agung - yakni bani Melayu - yang menurut kajian setengah tiang sebagai salah satu bangsa Yahudi yang bersama Nabi Musa menyeberangi laut terbelah itu.

Bani Melayu ini kononnya ialah apa yang disebut-sebut sebagai kaum Yahudi yang hilang. Mereka yang setuju dengan teori inilah yang sebenarnya mungkin hilang.

Hilang akal.

Melayu sejak merdeka dibuai dengan apa yang dirasa adalah hak hanya kerana datuk nenek mereka dilahirkan di sini dan telah berjuang melawan dinosaur, Siam, Portugis, Inggeris, Jepun dan komunis, seterusnya memerdekan negara ini.

Sementara bangsa lain hanya baru sehari dua ini tinggal di Tanah Melayu ini.

Gambar hiasan

Lalu kerana itu keturunan mereka berhak mendapat kepala lemang yang berlemak itu, dan selebihnya - jika mereka mahu - bolehlah diberikan kepada bangsa-bangsa lain yang 'menumpang'.

Mengaku hebat kerana dilahirkan sebagai satu-satu bangsa ini - jika kamu belum tahu - disebut sebagai sifat perkauman dan ianya tidak disenangi oleh sesiapa saja yang mahu menjadi manusia aman.

Dan tidak ada manusia yang boleh hidup aman apabila kita jadikan sesuatu kaum terlebih istimewa daripada kaum yang lain.

Nak berlagak di IG

Kita ini sudah lebih 50 tahun ditakut-takutkan dengan hal tersebut malah sebati dalam jiwa. Ia seakan-akan nafas kedua kita. Disedut sedalamnya untuk terus kekal hidup. Jika tidak - kita percaya - aan mengelupur matilah bangsa Melayu ini.

Kamu tidak mahu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Afrika Selatan tidak berapa lama dulu apabila orang berkulit putih berasa lebih berhak ke atas orang berkulit gelap.

Atau mungkin kamu tidak tahu apa yang berlaku lama di negara tersebut. Kesannya, hari ini ada sebilangan orang pribumi mula membalas dendam dengan merampas tanah milik orang kulit putih secara ganas kerana mendakwa tanah berkenaan adalah milik datuk nenek mereka.

Gambar hiasan

Apa sebenarnya yang ditakuti apabila kesamarataan diberikan kepada semua kaum?

Takut miskinkah, sebab kalau tak berapa kaya payah nak berlagak di Instagram?

Semua bangsa - baik Cina, India, Melayu, Kadazan, Dusun dan juga kaum lain adalah bodoh selama mana mereka asyik taasub dengan keagungan bangsa sendiri.

Apa yang perlu kita lakukan ialah melantik mereka yang adil dalam pemerintahan. Proses ini mungkin mengambil masa tetapi jika kita sibuk dengan agenda bangsa yang kita rasa satu-satunya yang agung, kita tidak akan ke mana.

Ahli politik ialah peniaga, mereka akan berikan apa yang kamu mahu.

Jika agenda bangsa menjadi idaman kamu, maka itulah yang akan mereka hidangkan. Justeru mengapa tidak kita jadikan semua pemimpin yang buta warna bangsa sebagai impian?

Mana tahu kita semua boleh hidup aman.

Ini tidak, asal sebut saja nak kaji sesuatu maka mulut kita pun berzikir tentang "kontrak sosial" lalu gegak-gempitalah alam Melayu.

Habis keluar semula cerita amuk Tok Nading. Sibuklah kita berkira-kira mengasah parang terbang dan selempang merah. Kemudian berarak, kemudian menjerit-jerit slogan itu dan ini.

Habis berarak bani Melayu balik ke rumah dan tunggu drama pukul 7, tunggu Maharaja Lawak, tunggu Melodi.

Atau nak nampak Islamik sikit tunggu nak undi siapa TU minggu ini.

Ops, maksud kami PU.

Padang gitu la mu awang weh.


ABDULLAHJONES adalah lelaki melayu tipikal yakni pemalas, sentiasa minta dibantu dan sangat suka akan hiburan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen