malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa tahun sebelum merdeka, Usman Awang menulis sebuah cerpen yang bertajuk Untuk Malaya Merdeka. Cerpen itu terdapat dalam antologi Turunnya Sebuah Bendera.

Secara keseluruhan ada 18 cerpen tulisan Usman Awang dalam antologi itu. Semua cerpen itu ditulis sebelum merdeka.

Tentu saja kebanyakan cerpen sasterawan negara itu berkisar soal masyarakat yang berhadapan kewujudan sebuah negara yang akan merdeka.

Kemerdekaan akan membebaskan negara dan masyarakat daripada penjajahan. Kemerdekaan akan memberi peluang dan kuasa kepada anak tempatan membentuk rupa bentuk negara baru mengikut acuan sendiri.

Setelah lebih enam dekad merdeka dan membina rupa bentuk kebangsaan negara, hari ini kita masih terkial-kial. Sekejap membangunkan bersama, sekejap kemudiannya meruntuhkan bersama.

Ada perubahan yang tidak diperlukan. Begitulah juga di sebaliknya.

Antara pendekatan untuk membangun rupa bentuk kebangsaan adalah melalui pendidikan. Inilah pendekatan yang paling kritikal dan utama dibahaskan sepanjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

Rasa perkauman memang disemai

Sekolah, universiti, jabatan serta kementerian adalah perkakas untuk pembentukan rupa kebangsaan.

Dalam cerpen tersebut, watak utama menghadiri kelas bahasa Inggeris. Kelas itu terdapat pelajar pelbagai kaum. Penulis yang menjadi watak utama melahirkan pandangannya tentang kelas tersebut kepada rakan sekelasnya.

Katanya: 

"Kalau sekolah-sekolah di Malaya ini dapat merupakan dasarnya seperti kursus kita ini, rasa perkauman lebih cepat dihapuskan."

Sebenarnya rasa perkauman di Malaya telah wujud sejak lama dulu. Rasa perkauman itu disemai dengan dasar pecah-perintah penjajah dan ditambah pula dengan sentimen dinyalakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam hal ini, Usman secara jelas menyalahkan kerajaan yang membiarkan wujudnya sekolah yang pelbagai aliran dalam sebuah negara merdeka.

Anak bangsa terus dipisah-pisahkan mengikut etnik mereka.

Kerajaan peralihan pada masa itu diketuai Tunku Abdul Rahman yang menjadi perdana menteri. Pesuruhjaya Tinggi British, Donald Mac Gillivary masih berkuasa.

Usman menulis: 

"Salah pihak kerajaan juga yang mahu mengadakan sekolah Melayu untuk orang Melayu, Cina untuk Cina dan India untuk India."

Usman melihat kerajaan sebagai satu daripada faktor penyebab pengasingan etnik ini berlaku. Kerajaan di mata Usman tidak berpendirian tegas.

Pada 1951, satu laporan pendidikan dibuat bagi mencari formula sistem pendidikan untuk negara baru ini. L J Barnes mengetuai jawatankuasa tersebut.

Usman di dalam cerpen turut menyatakan persetujuannya dengan saranan Penyata Barnes melalui kenyataan watak utamanya:

“Aku sangat setuju dengan Penyata Barnes yang mencadangkan sekolah kebangsaan bagi menggantikan sekolah perkauman yang ada sekarang di mana kanak-kanak dari segala bangsa dapat bersama-sama belajar dalam suasana ramah-mesra di dalam suatu tempat”.

Cadangan Penyata Barnes ternyata berpandangan jauh dalam usaha membentuk sebuah masyarakat baru dalam sebuah negara merdeka yang pelbagai kaum.

Sekolah-sekolah vernakular ini mestilah dihapuskan dan hanya ada sekolah kebangsaan sahaja. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar.

Praktik politik populis

Cerpen-cerpen yang dikumpulkan itu bukan sekadar memperkenalkan pembaca kepada kehidupan bangsa pada zaman penjajahan yang tidak pernah dilalui oleh generasi kini.

Ia juga mengingatkan kepada penderitaan dan pengorbanan generasi masa lalu pada pembentukan negara bangsa yang merdeka.

Sekolah vernakular adalah warisan penjajah yang terus kekal mewarnai sistem pendidikan dan proses pembentukan negara bangsa Malaysia.

Biarpun perubahan demi perubahan di sekolah vernakular dilakukan oleh pelbagai pihak, hakikatnya perubahan itu tidak lebih bersifat kosmetik untuk kelangsungan politik populis.

Berhujah apa juga hujah yang ada, pada akhirnya hujah politik populis lebih menguntungkan.

Usman adalah antara sasterawan yang berani menyuarakan ketidakadilan. Ia menjadikan dirinya sentiasa dikenang sebagai pengarang besar. Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh pernah menulis sebuah puisi yang berbunyi:

"......

terima kasih, Usman

kerana berada di depan

kerana berani berkata

pada zaman bisu

terima kasih kerana berani berdiri

sewaktu ramai orang melarikan diri.

Kita masih perlu kepada sasterawan dan penulis biasa yang menyambung bicara Usman yang semakin kelemasan dalam amuk perkauman.

Setiap kali sesuatu kelompok mengalami kegetiran dalaman mereka, sentimen-sentimen perkauman akan dipalu. Ada pula yang menari mengikut paluannya.

Amuk perkauman ini boleh disalut dalam bahasa agama, bahasa bangsa, bangsa niaga, bangsa demokrasi, bangsa hak asasi dan apa jua bahasa yang dirasa menguntungkan pada tempoh semasa.

Namun bahasa isyarat yang sudah menyala-nyala merah perlu diambil serius.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen