malaysiakini logo
story-image
ADS

Sastera sudah jadi makanan anjing! - begitu lebih kurang kata Faisal Tehrani. Agak kasar bunyinya dan kami yang terkenal suka berkasar semasa menulis dan melukis ini juga sedikit terkejut dengan ayat berkenaan.

Namun kamu harus faham dari mana datangnya kekecewaan itu.

Faisal agak kecewa apabila hampir tiada rakan penulis mahupun wakil dari persatuan penulis datang memberi sokongan kepada beliau semasa keputusan perbicaraan mengenai pengharaman buku-bukunya diputuskan di mahkamah sebelum ini.

Betul, semua orang - sama ada penulis, pelukis atau siapa saja - bersendirian dalam memperjuangkan apa yang dilihat sebagai pinggiran namun sedikit sokongan moral sentiasa memberi semangat.

Kami sendiri baru saja melancarkan pameran (lukisan) bersendirian kedua dan akan sentiasa berasa gembira apabila ada teman-teman yang mengaku kenal datang melihat apa yang kami persembahkan.

Kami sedia maklum yang kebanyakan sahabat kami tidak mampu atau tidak akan sanggup membayar mahal untuk karya kami namun kehadiran mereka meraikan apa yang kami usahakan adalah pembakar semangat.

Seorang kawan lama agak terkejut apabila melihat harga karya kami.

"Bulih beli rumoh sutir!" kata dia kepada kami. Dan tentunya beliau adalah benar jika rumah kos rendah yang dibina dan dijual sekitar 1990-an dijadikan sebagai perbandingan. Namun kesudian beliau datang meluangkan masa adalah suatu hal yang mengharukan kami.

Kita selalu jadi kuda

Diharapkan kawan-kawan kami yang belum datang ke pameran kami segera berbuat demikian sebelum - seperti kata Faisal - kami 'anjingkan' mereka.

Faisal juga dalam satu wawacara lain memberi amaran kepada Dr Maszlee Malik agar berhati-hati dengan pembodek (dalam hal penulisan) dan itu memang penyakit kita yang belum pernah sembuh.

Apabila sesebuah kerajaan terbentuk, maka berbondong- bondonglah mereka yang mahu menumpang 'tui'. Tanpa segan silu mereka menonjolkan diri dengan harapan akan menerima habuan.

Seperti yang kami katakan selalu selalu, kita jadi diperkuda apabila kita rela menjadi pembeli jiwa. Kita puja penguasa dengan harapan diberikan habuan sedangkan menjadi tanggungjawab sesiapa saja yang memerintah untuk memastikan kesejahteraan semua orang di bawah pimpinan mereka.

Malangnya, pemimpin hanya nampak mereka yang tiba-tiba timbul dan terapung itu sebagai wira bahasa, misalnya, sedang orang lain yang dari dulu berjuang akhirnya hanyut dan tenggelam dek kerana tidak mahu bermuka-muka.

Ambil kumpulan yang menerbitkan buku secara persendirian - atau disebut sebagai penerbitan indie sebagai contoh.

Jika tidak kerana mereka maka hari ini kita mungkin tidak mempunyai ‘industri’ buku yang amat giat. Bukan hanya buku baru dibaca oleh golongan muda bahkan buku-buku langka juga kini buruan.

Penggemar buku, persatuan atau kementerian mana yang berani mengaku bahawa ini semua terjadi atas usaha mereka?

Bukan harap dana terus

Tentu saja kegilaan kepada pembacaan oleh generasi baru hari ini harus diakui adalah hasil sumbangan penerbit persendirian.

Malangnya pemimpin hari ini langsung tidak memandang mereka itu sebagai penyumbang kepada pengukuhan ‘industri’ buku dan benarlah amaran Faisal kepada Maszlee itu.

Pembodek memang akan menonjolkan diri mereka kononnya sebagai wira buku negara, dan seboleh mungkin mahu mendiamkan kisah bagaimana mereka menerima dana kerajaan bertahun-tahun dan apa yang mereka lakukan ialah berjalan makan angin ke merata alam tanpa banyak membuahkan hasil membanggakan.

Penerbit buku persendirian bukan mengharapkan dana terus dari kerajaan tetapi apa yang mereka harap ialah kerajaan menyediakan sedikit dorongan kepada pembaca dengan memberikan baucar buku, misalnya.

Setelah menerima baucar buku maka terserah kepada pembaca sama ada untuk menggunakan kemudahan itu untuk membeli buku atau tidak.

Namun jika langsung ditiadakan baucar berkenaan padang perlumbaan menjadi tidak rata dan sudah tentu kita akan dapati lebih ramai penerbit buku persendirian akan menutup perniagaan.

Kita - kumpulan yang rajin menerbitkan buku - biasanya dilihat sebagai budak jahat.

Puncanya, kerana kita menerbitkan bahan bacaan yang menurut sesetengah 'pakar buku' sebagai tidak mengikut piawaian nasional atau lari daripada selera orang lama yang berasa mereka masih kekal muda belia dalam pemahaman makna perubahan masa.

Justeru kami rasa golongan lama itu sebenarnya langsung tidak pernah membaca buku-buku yang diterbitkan oleh kumpulan 'budak jahat' tadi.

Jika saja mereka meluangkan sedikit masa melihat cara bagaimana budak-budak terbabit berkerja dan memahami bagaimana komitednya mereka dalam menghasilkan produk hanya atas nama cinta, tentu kumpulan yang terus-terusan dibuai kegemilangan masa lampau masing-masing itu akan memberi tabik hormat.

Malangnya orang kerajaan yang diberi tanggungjawab dalam hal buku atau bahasa hanya sudi berkampung dengan penulis-penulis yang rajin berkumpul dan berpakat mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan dana, menggembirakan kerajaan sambil mengintai-intai satu lagi destinasi pelancongan untuk lawatan sambil belajar akan datang.

Kerana kami ini terlibat dalam dua bidang yang tidak dipandang penting oleh kerajaan - yakni penulisan dan seni catan - kami ingin menyatakan kejauhan hati kami apabila kedua-dua bidang ini langsung tidak disebut dalam belanjawan lalu.

Kerana itu izinkan kami berpuisi bagi menutup tulisan kali ini :

Di Balai Seni Negara

Tun M kata

seni itu penting

buat negara

lalu bertempik seluruh

seniman dalam negara

gembira tidak terkira

bersorak bagai nak gila

setelah berucap

tun balik rumah

dan tidur dengan lena

seniman juga sama

balik rumah

mengelupur seperti biasa.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto daripada pameran GoBlock yang berlangsung di Galeri G13 Kelana Jaya, Selangor.


ABDULLAHJONES ialah penulis yang baik hati namun sering disalah erti, terutama oleh penyokong partai pembangkang terlebih utama oleh PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen