malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada petang 20 September - dua puluh tahun dahulu saya tahu di mana saya berada. Pada petang Ahad itu - dalam jam 4.30 - saya berada di wilayah Masjid Negara. Saya bersama lebih daripada 50,000 anak semua bangsa menunjukkan setia kawan kepada Anwar Ibrahim yang telah dituduh meliwat.

Anwar Ibrahim membuat labon ceramahnya di anjung Masjid Negara. Anwar mempertahankan dirinya daripada tuduhan liwat. Menuduh musuh politik dan Mahathir Muhamad yang membuat fitnah.

Di anjung Masjid Negara Anwar melaungkan 'reformasi'. Anwar melaungkan lawan tetap lawan.

Anwar Ibrahim timbalan presiden United Malays National Organistion telah dibuang daripada partinya. Anwar yang juga timbalan perdana menteri dan menteri kewangan telah diberhentikan daripada jawatan kerajaan pada 2 September 1998. Anwar dikatakan telah meliwat adik angkatnya Sukma Darmawan. Anwar juga dituduh meliwat pemandu kereta keluarganya yang bernama Azizan Abu Bakar.

Justeru tahun 1998 dinobatkan sebagai Tahun Meliwat Malaysia. Kes Anwar ini telah menjadikan perkataan - LIWAT - satu perkataan yang paling pop hingga ke hari ini.

Liwat terus menjadi berahi seksual terlarang. Walhal daripada kajian, bentuk hubungan seksual ini bukan satu yang asing dalam mana-mana budaya bangsa - termasuk budaya Bani Melayu.

Sama ada homoseksual mahupun heteroseksual liwat wujud sebagai bentuk nikmat seksual. Liwat menjadi nikmat seksual yang gelap lagi digelapkan.

Terima kasih kepada Mahathir. Terima kasih kepada Anwar. Dua sosok ini telah berjaya mengetengahkan perkataan liwat. Dari yang tak tahu kini satu Malaysia telah tahu. Dan ramai pula yang ingin mencuba. Amin.

Malam 20 September Anwar ditangkap. Pada malam itu juga anak-anak muda yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim telah bertindak. Anak-anak muda yang tidak mengenal siapa Anwar Ibrahim sebenarnya telah secara spontan terjerut untuk turun ke jalan raya.

Mahathir Mohamad yang menuduh Anwar sebagai peliwat telah ditakrif sebagai Mahafiraun. Mahathir dilihat sebagai telah menzalimi Anwar.

Pada malam 20 September 1998 Anwar ditangkap. Demonstrasi jalanan bermula. Laungan reformasi kedengaran di sana sini. Laungan lawan tetap lawan kedengaran di sana sini. Penyokong Anwar dari dalam United Malays National Organisation juga telah keluar menentang presiden parti mereka Mahathir Mohamad.

31 Ogos bukan 20 September

Harus saya terangkan di sini. Ramai yang membuat bacaan salah. Ramai yang menganggap reformasi itu demonstrasi dan demonstrasi itu reformasi. Ini salah. Demonstrasi itu ialah manifestasi reformasi.

Reformasi ialah tuntutan anak semua bangsa untuk melahirkan Malaysia yang lebih adil dan demokratik. Berjuang untuk melahirkan Malaysia tanpa rasuah. Berjuang untuk meghapuskan nepostisme. Berjuang untuk membasmi budaya feudal yang memenjarakan fikrah Bani Melayu. Berjuang untuk membebaskan fikrah Bani Melayu daripada terus terjerumus dalam padang pasir Arab.

Justeru agenda reform atau agenda perubahan yang awal ialah membuka ruang demokrasi.

Wajib saya terangkan secara tuntas di sini. Agenda perubahan ini TIDAK bermula pada 2 atau 20 September 1998. Tuntutan agenda perubahan bermula pada jam 12.01 - malam 31 Ogos 1957. Pada malam itu secara rasmi kuasa kolonial Inggeris telah memberi kuasa memerintah Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation.

Pada malam 31 Ogos 1957 ini juga anak semua bangsa telah meneruskan perjuangan anti-British kepada anti-United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini adalah parti anak didik dan boneka Inggeris.

Parti Komunis Malaya dan jaringannya semenjak 1948 telah mengangkat senjata melawan Inggeris kini meneruskan perang kolonial untuk melawan parti United Malays National Organisation.

PMIP - Pan Malayan Islamic Party - nama asal Parti Islam PAS - terus menentang kerajaan United Malays National Organisation. Parti Rakyat dan Parti Buruh - dua parti kiri yang amat tersusun dan kompak telah memberi perlawanan yang hebat kepada Parti Ketuanan Melayu.

Tiga tahun kemudian - 1960 - United Malays National Organisation telah memperkenalkan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri. ISA ialah akta penjara tanpa bicara. ISA membuktikan bahawa tuntutan agenda perubahan dari anak semua bangsa diteruskan.

Pada tahun 1963 - sekali lagi penjajah Inggeris menjalankan jarum. Kali ini dengan penubuhan Malaysia. Ramai yang menentang. Ramai yang dimasukkan ke dalam penjara melalui ISA.

Pada tahun 1974 - kaum tani miskin di Baling Kedah bangun melawan. Gerakan tani ini mendapat sokongan kaum pelajar. Ramai di ISA-kan. Kemudian berlaku tunjuk perasaan kaum tani - juga di Kedah - mereka menuntut harga padi yang masuk akal.

Semua ini adalah contoh perjuangan anak semua bangsa dan bangsa semua agama menuntut dilakukan reformasi. Semua menuntut diadakan reform agenda.

Jangan jadi macam Filipina

Gerakan Reformasi '98 itu adalah sambungan daripada semua gerakan yang menuntut memerdekakan Tanah Melayu yang bermula pada 31 Ogos 1957.

Pada 9 Mei 2018 - anak semua bangsa telah berjaya menendang Najib dan United Malays National Organisation daripada kuasa. Ini detik dan tanda permulaan terbukanya ruang demokrasi.

Dengan wujudnya ruang demokrasi ini maka berkemungkinan dijalankan agenda perubahan. Agenda perubahan yang telah mengeram lama ini boleh menetas. Agenda perubahan ini bukan peralihan sosok - dari Najib kepada Mahathir. Bukan perubahan daging dan tubuh badan.

Siapa jadi perdana menteri bukan agenda fundamental. Mahathir ke, Azmin ke, Mat Sabu ke atau Anwar yang jadi perdana menteri bukan isunya. Ini tidak penting. Ini agenda kulitan.

Apa yang penting dalam agenda perubahan ialah perubahan struktural. Perubahan lembaga-lembaga daulah. Pendemokrasian jentera kerajaan. Pendemokrasian kaki tangan kerajaan.

Agenda perubahan yang bersandarkan perubahan struktural akan menjamin kesejahteraan. Tanpa perubahan struktural maka kemenangan 9 Mei ini berkemungkinan lenyap.

Sayugia dingatkan - saksikan apa yang terjadi kepada Filipina. Rakyat Filipina telah berjuang ke jalan raya dengan people's power. Mereka berjaya menghalau Marcos. Tapi hari ini yang lahir ialah Duterte - pembunuh berlesen.

Awas dan waspada. Tanah Melayu dan Malaysia juga memiliki benih-benih Duterte. Anak semua bangsa wajib sedar bahawa agenda perubahan yang paling utuh ialah keberanian anak semua bangsa bangun bersuara dan bertindak. Jika bersuara dan bertindak telah menjadi budaya kita maka agenda perubahan boleh dituntaskan. Anak semua bangsa bukan hanya berlabun di Facebook atau Twitter atau Whatsapp.

Jika anak semua bangsa berani bersuara dan bertindak maka tukang karut dan kaki labon dapat dibogelkan. Anak semua bangsa wajib memiliki minda yang kritikal. Kelentong dan lebong Mat Songel akan terbonggeng apabila anak semua bangsa mula berani berfikr.

Berfikir secara kritikal adalah kunci agenda perubahan. Hanya dengan memiliki fikrah yang kritikal baru kita tahu dan sedar siapa sebenarnya peliwat dan siapa sebenarnya kaki lebong. Amin.

Lihat Komen