malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebenarnya kita bukan marah dia nak jadi perdana menteri. Sementelah pula memang itu yang diinginkannya sejak sekian lama.

Betullah, hanya selangkah saja lagi yang tinggal untuk dia duduk di puncak itu pada suatu masa dulu namun rezekinya bukan pada waktu itu.

Lalu dia dihenyak dan dihina di tempat paling bawah. Didakwa atas perbuatan yang jika ditujukan kepada siapa pun pasti akan melemahkan.

Namun dia beruntung kerana dikasihi - atau lebih tepat dikasihani - oleh banyak orang.

Mungkin kerana imejnya yang diketahui sebagai elok di mata banyak orang, maka perjuangannya menjadi perjuangan semua orang.

Bukan sedikit orang yang beroleh malang dek kerana mempertahankan dia. Yang sedang belajar, rela berhenti demi membela nasibnya. Yang berpartai, jadi berpuak dan tidak kurang juga yang terkandas perjuangan politiknya oleh sebab menyebelahi dia.

Banyak mata yang lama terpejam terhadap peri pentingnya politik jadi terbuka luas disebabkan dia.

Mujur berlaku dalam aman

Jika sebelum itu ramai yang hanya menjadi pemerhati, kerana dia orang ramai rela turun ke jalan raya dan sedia dibelantan dan juga disirami air kimia.

Membiarkan tubuh dipenjara juga menjadi sumbangan ramai orang untuk dia selepas mereka menganggap dia berjuang atas nama keadilan.

Kita masuk ke suatu era yang menyaksikan rakyat yang selama ini diam tiba-tiba jadi pemberani. Himpunan demi himpunan diadakan bagi mendesak perubahan, dan lama-kelamaan perjuangan membebaskan dia menjadi agenda kedua.

Yang utama daripada himpunan-himpunan itu ialah bagaimana kejahatan dalam pentadbiran kerajaan harus dikuburkan.

Setelah dua pilihan raya berlangsung selepas langkahnya dipeteh, apa yang sekian lama diharap berlaku, akhirnya berlaku dalam suasana aman.

Bertempik gembiralah seluruh negara dengan apa yang dilihat sebagai permulaan langkah yang baik kepada sesuatu yang tidak pasti. Semua orang dirasuk gembira.

Kita jadi sebuah negara segar yang kita agak akan menuju kesejahteraan.

Apa yang berlaku setelah hari itu masih diperdebatkan. Bergantung kepada sokongan kamu ke pihak mana, yang kalah berasa seperti mati, merungut dan merungut.

Yang menang pula - setelah teramat gembira - kini mula mengira-ngira apakah mereka telah melakukan perkara yang betul baru-baru ini.

Sedang kita semua selesa menegakkan benang yang basah, dia pula tergesa-gesa mahu duduk di puncak - tempat yang katanya memang disediakan buat dia.

Kita setuju saja kerana memang itu mahunya, dan mungkin dia ialah pembaharu yang ditunggu-tunggu oleh negara ini. Namun cara dia bergerak menuju ke puncak itulah yang menjadikan kita terkilan.

Dia sendiri mengatakan bahawa bukan dalam tergesa-gesa atau terdesak mahu berkuasa, namun setelah hanya 120 hari kumpulannya menang pilihan raya umum, dia berbuat satu tindakan yang nampak sangat gelojoh.

Pihak yang bertanggungjawap membina imej dia sepatutnya meneliti dulu sama ada langkah berkenaan sesuatu yang akan menjadikan dia seorang pemimpin yang disenangi, atau pun hanya mengundang benci.

Mereka sepatutnya berkerja dengan gigih untuk lebih lama sedikit supaya imej dia terbina benar-benar gah berbanding masa-masa lalu.

Terlebih mengada-ngada benci menjelma

Biar gah sehingga semua orang menjadi tidak sabar untuk dia mengambil alih kuasa dalam negara, dan bukannya mula merancang cara bagaimana dia boleh segera naik takhta sejurus keluar dari penjara.

Mengesa orang lain mengosongkan kerusi demi memenuhi keinginan sendiri juga mendatangkan syak. Apakah benar ianya dilakukan dengan rela atau dengan dorongan sesuatukah?

Jika rela mengapa setelah puas berkempen untuk diri sendiri, dengan senang hati melepaskan kemenangan kepada orang lain? Jika dengan dorongan, maka apakah bentuk dorongan tersebut?

Semua persoalan ini tentu saja tidak menjadikan dia "dear to the heart of the people".

Dengan pelbagai kecelaruan dan rasa tidak percaya yang sedang berlaku sekarang, kegopohan dia langsung tidak membantu menenangkan suasana.

Kita semua jadi bosan dengan politik dan seperti selalu kita melihat politikus sebagai kumpulan yang sangat mementingkan diri sendiri, selain meletakkan partai berada lebih atas dari berkhidmat kepada masyarakat.

Kegawatan semacam inilah yang menyumbang kepada keruntuhan kerajaan lalu, apabila orang ramai menjadi jelak untuk terus menyokong mereka yang sibuk dengan tembolok sendiri sambil berkokok-kokok kononnya sedang kuat berusaha untuk membina negara.

Orang yang sedang berkasih-kasihan memang melihat semuanya indah belaka, namun jika pasangannya terlalu mengada-ngada, datang juga menyampahnya.

Tulisan kali ini dihiasi oleh foto daripada pameran Morphosis yang sedang berlangsung di Galeri Prima di Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Pameran yang mengetengahkan 88 orang pelukis dari pelbagai peringat umur ini diadakan sebagai meraikan peralihan kerajaan dan ianya akan berakhir pada 21 Sept ini.

Semua orang dijemput menyaksikan karya-karya yang bertemakan kecintaan kepada negara dan masuk adalah percuma.


ABDULLAHJONES ialah seorang nonpartisan yang selamanya disangka penyokong kerajaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen