malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketika menubuhkan Rajawali Art Group, kami mempunyai impian supaya satu hari nanti tumpuan penggemar karya seni catan tidak hanya terpusat di Kuala Lumpur.

Kami mahu menjadi kumpulan yang - walau berpusat di bandar yang agak jauh dari kota raya dan tidak dilihat sebagai tempat hasil seni dikeluarkan - bangun menjadi tarikan ramai.

Pada tahun-tahun awal, kami masih kurang dikenali, namun dengan kepesatan teknologi kami mula membina tapak dalam suasana seni di Malaya.

Awalnya kami menggunakan blog sebagai medan mempromosi, dan apabila Facebook mula menaik, kami pun turut serta memperkenalkan studio dan galeri kami melaluinya.

Hasilnya, studio kami menjadi terkenal sekurang-kurangnya dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Sedikit demi sedikit pelukis dari studio kami mula mendapat perhatian dan selang beberapa tahun, tiga pelukis dari Rajawali Art Group dipilih Balai Seni Negara untuk dihantar berpameran di Itali manakala seorang lagi di Kanada.

Studio kami juga tidak henti-henti dilawati penggemar karya seni dari dalam dan luar negara. Dan kami mengadakan pameran hampir setiap bulan di galeri kami itu.

Sambutan sangat menggalakkan

Pihak yang mengambil bahagian dalam pameran yang kami adakan juga datang dari dalam dan luar negara.

Selain berpameran, kami juga mengadakan acara baca puisi, teater dan kelas bimbingan untuk kanak-kanak serta orang dewasa. Kami juga sering menganjurkan kem-kem fotografi serta majlis dialog seni dengan menjemput penggiat dari dalam dan luar negara sebagai pembentang.

Cuma di sektor fotografi, kami tidak melibatkan diri dalam bidang memfoto pengantin kerana kami geli ketiak apabila memikirkannya (walaupun tempat kami sering dijadikan prop oleh ramai sahabat yang melibatkan diri dalam bidang yang entah bermoral atau tidak itu).

Acara-acara yang kami adakan biasanya mendapat sambutan amat menggalakan. Menjadi perkara biasa apabila acara yang kami jalankan dihadiri oleh ratusan pengunjung.

Semua ini kami lakukan dengan keupayaan sendiri.

Dengan dana yang terhad tetapi dikuatkan oleh tekad mahu buat, kami berjaya duduk megah.

Hari ini, dalam kalangan pencinta seni, tidak sedikit yang mengenali kumpulan pelukis Rajawali.

Hasil daripada kelas-kelas yang kami anjurkan, maka lahirlah beberap penggiat seni yang terkenal masa kini.

Tumpu karya baik

Ada yang menjadi ketua animasi di sebuah syarikat penerbitan terkenal, ada yang bergerak sebagai penggiat seni dan sekarang aktif menganjurkan acara.

Tidak ketinggalan seorang lagi lepasan kelas kami kini menjadi pemain teater yang disegani. Dua daripada mereka menjadi liberal tidak tentu hala.

Setelah semua landasan dibina, apa yang perlu dilakukan oleh artis Rajawali ialah mengetengahkan karya mereka kepada umum.

Kebanyakan mereka memperolehi apa yang hanya menjadi impian kepada banyak pengkarya di Malaya ini.

Mereka telah dikenali. Mereka telah dibawa hingga ke luar negara dan mempunyai pusat berkarya yang agak mustahil dimiliki oleh pengkarya lain.

Kami sangat berharap agar mereka kembali memberi tumpuan menghasilkan karya yang baik jika benar-benar ingin kekal dalam kelompok yang berjaya.

Rajinkan diri melihat karya orang lain dan belajar melaluinya.

Pergilah ke galeri-galeri yang ada untuk menambah kenalan dan juga ramahkan diri untuk bertanya serta bertegur sapa sesiapa saja yang ada kaitan dengan pekerjaan kita ini.

Dunia seni catan kita adalah kecil dan jangan pula kita jadi terpencil.

Bangkit dari abu

Rajawali adalah kumpulan, maka bekerjalah dalam kumpulan. Jika didapati tapak tempat berkarya sudah kelihatan usang, maka berpakatlah untuk menceriakannya.

Jika perlu disapu, maka sapulah. Jika perlu dibersih, maka bersihkanlah.

Jangan mengadu di media sosial tentang betapa usangnya tanah yang banyak memberikan kebaikan kepada kita itu, kerana mereka yang melihat rasa terkilan berkenaan hanya mampu memberi simpati.

Dan seperti selalu, kitalah yang akan berpeluh memelihara tempat berkenaan.

Ini adalah tahun ke-11 Rajawali Art Group, satu pencapian yang membanggakan.

Seperti yang kami katakan tadi, Rajawali bukan milik peribadi tetapi ianya adalah sebuah kumpulan.

Lupakan mereka yang meninggalkan kumpulan ini kerana semua orang ada kepentingan yang perlu didulukan. Sebaliknya mula lakukan kerja-kerja yang membangun.

Kepada yang selalu bertanya, di sini kami nyatakan bahawa studio Rajawali masih wujud dan kini diuruskan oleh Kelab Penggiat Seni Rajawali Kuantan. Ia sebuah pertubuhan berdaftar.

(Cari Facebook mereka dan ikuti perkembangannya di sana. Dan diharap juga pengurus Facebook berkenaan lebih cergas mengemas kini laman berkenaan.)

Ia bukan lagi sebuah kumpulan yang tidak terurus seperti masa lalu. Ianya kini mempunyai ahli jawatankuasa yang berkaliber dan sangat komited menjalankan kerja.

Besarlah harapan kami agar kelab ini meluaskan sayapnya sejauh mungkin dan seperti yang diketahui ramai bahawa setelah bangkit dari abu, rajawali pasti terbang tinggi.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, pemfoto, dan juga seorang kapitalis yang bila rindu kusebut namamu.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen