malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerana jalan sesak amat pada petang itu, kami tersasar dan tanpa dirancang, sampai ke Balai Polis Jalan Pudu. Dan kenangan pun datang.

Untuk makluman, ini cuma cerita tentang masa lalu. Musim raya selalunya begitulah, kenang-kenangan datang menerjang.

Uriah Heep datang Malaya!

Kalau kamu belum tahu, Uriah Heep ialah sebuah kugiran rock yang terkenal pada tahun-tahun 1970-an. Kami selalu katakan yang kugiran ini adalah sebuah kumpulan yang kerasukan bunyi keyboard.

Hampir semua lagu yang mereka mainkan didominasi oleh bunyi keyboard.

Boleh jadi ketika itu keyboard ialah alat muzik yang sangat ke depan dan hasil bunyinya amat sesuai dengan lagu-lagu yang dimainkan oleh kumpulan itu yang hampir semuanya berbunyi amat angker.

Kami suka lagu-lagu daripada kumpulan Uriah Heep dan apabila mendapat tahu yang kumpulan itu akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur, kami membuat keputusan untuk pergi.

Suka cari gaduh

Waktu itu kami berusia 18 atau 19 tahun dan kami berbuat janji dengan Joe serta Rai, iaitu sepupu kami.

Rai peminat Rolling Stones dan sehingga hari ini kami masih belum boleh percaya yang Rai tahu katalog lagu-lagu daripada kumpulan berkenaan.

Kamu perlu faham yang Rai bukanlah "your tipical rock fanatic."

Di sekolah kerja Rai cuma bergaduh dan tidak ada langsung tanda yang menampakkan bahawa beliau adalah peminat muzik, waima genre apa pun.

Joe - iaitu abang kepada Rai - pula adalah misteri. Entah apa yang diminatinya, tidak langsung kami ketahui dan yang masih misteri hingga kini ialah bagaimana kami bertiga boleh berjanji untuk ke konsert berkenaan.

Kami langsung tidak ingat bagaimana kami boleh bersepakat untuk ke Kuala Lumpur. Perjalanan pada masa itu mengambil masa lebih kurang enam jam kalau menaiki bas, dengan jalan berbelit-belit apabila sampai ke Bentong/Karak.

Yang kami ingat adalah - selain mahu ke konsert berkenaan - kami mempunyai agenda sendiri iaitu ingin ke pejabat majalah Gila Gila yang sangat terkenal pada waktu itu.

Setahun sebelum itu, kartun yang kami lukis hasil idea rakan sekolah, Hasmadi Abdul Hamid, disiarkan di majalah berkenaan dan kerana itu kami bercita-cita untuk melihat dan bertemu dengan pelukis majalah legenda itu.

Kami tiba di Kuala Lumpur dan terus ke Balai Polis Jalan Pudu, ke rumah Atok iaitu kawan Joe dan Rai.

Atok anak polis dan beliau cacat, yakni tangan kanan beliau hanya sampai ke siku. Tapi dengan tangan kanan itulah beliau menempeleng cikgu sekolah beliau.

Nyaris bergasak sebelum menyanyi

Jangan tanya kami lebih lanjut tentang hal itu kerana kami pun diceritakan hal berkenaan hanya pada tahap itu: Atok lempang cikgu (dengan tangan kanannya...)

Malam itu kami ke konsert Uriah Heep.

Konsert dimulakan agak lewat kerana dikhabarkan angin, berlaku sedikit kekecohan antara kugiran pembuka acara, iaitu Blues Gang, dengan ahli kumpulan Uriah Heep.

Kononnya ia berkenaan betapa kumpulan Uriah Heep berasa tidak senang apabila alat muzik mereka ‘diganggu’ oleh anggota Blues Gang.

Ini hanya khabar angin. Dan sebelum memulakan acara pembukaan Ito - penyanyi kumpulan Blues Gang itu - keluar dan memberitahu yang mereka nyaris bergasak dengan ahli kumpulan Uriah Heep.

Selesai konsert, kami berjalan pulang ke Balai Polis Jalan Pudu dan menumpang tidur dalam sebuah bilik yang katanya dikhaskan untuk ‘kutu-kutu’ anak polis.

Pagi esoknya kami dibawa dengan motosikal oleh Atok.

Kamu tidak akan tahu apa itu rempit sebelum kamu jadi pembonceng kepada Atok.

Bayangkan, dengan kedudukan tangan kanannya yang lebih pendek daripada kiri, beliau akan sentiasa kelihatan seperti mahu berlumba dalam apa keadaan sekalipun.

Beliau menyelinap di celah-celah kenderaan yang melaju dan sesekali berselisih dengan bas mini yang terkenal menggila-gila pada waktu itu.

Apa yang dapat kami lakukan ialah berdoa sepanjang jalan dari Balai Polis Jalan Pudu menuju Jalan Pantai Baru tempat terletaknya pejabat majalah Gila Gila pada waktu itu.

Tiba di pejabat berkenaan, kami naik dan bertanyakan Encik Rejabhad. Kami diberitahu beliau belum tiba.

Kami menunggu di tangga pejabat. Tidak berapa lama kemudian kami melihat kelibat Encik Rejabhad tiba.

Pertemuan kami itu ada dicatatkan oleh beliau dalam majalah berkenaan untuk Gila Gila edisi hari raya. Malangnya, kami lupa keluaran hari raya yang mana.

Pertama kali bertemu penghulu kartun itu, kami jadi terpinga-pinga kerana beliau bercakap menggunakan bahasa seakan-akan bahasa yang biasa digunakan dalam filim-filim zaman Jalan Ampas.

"Dah kenapa pakcik ni...?" kata kami dalam hati, namun setelah beberapa kali bertemu beliau setelah itu, barulah kami tahu yang memang begitulah cara beliau bercakap. Penuh dengan madah dan peribahasa. Lembut dan teratur.

Pak Jab ialah apa yang kamu dapati apabila kamu berfikir tentang orang baik. Kami kira siapa pun yang pernah ada kaitan dengan beliau, akan bersetuju tentang hal ini.

Dalam setiap pertemuan, biasanya apabila pulang kami akan dibekalkan dengan beberapa cenderamata berupa majalah berkenaan.

Kami ada beberapa kali bertemu beliau selepas dari pertemuan pertama di tangga pejabat itu, dengan kali terakhir kira-kira beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Tauke balak berumah kayu

Kami sedang minum di Bistro Tjantek yang hipster itu dan melihat beliau melintas. Kami tegur dan mengajak minum, tapi beliau menolak kerana katanya ada tempat yang nak dituju.

Kami menawarkan untuk menghantar beliau ke sana, dan sekali lagi beliau menolak kerana katanya beliau lebih gemar berjalan.

Setelah berbual-bual seketika, kami akhirnya bersalaman dan berpisah. Tidak lama setelah itu beliau meninggal dunia.

Kami tidak tahu apa yang terjadi kepada Atok selepas itu kerana setelah Pak Jab tiba, Atok meminta diri lalu pergi.

Selepas daripada itu kami tidak pernah lagi bertemu dengan Atok. Semoga beliau sihat-sihat saja.

Rai sedang dalam pemulihan setelah diserang angin ahmar hampir setahun lalu. Beliau kini sudah boleh memandu.

Rumah kayu cengal beliau yang dibina sejak beberapa tahun lalu sudah hampir siap. Rai tauke balak, jadi tentu saja rumahnya dibina dengan kayu.

Bercakap mengenai angin ahmar, beberapa orang sahabat kami masih dalam tahap pemulihan setelah diserang angin merah ini, dengan seorang daripadanya menjadi selebriti terkenal.

Sengaja tidak kami sebut namanya di sini kerana tidak mahu beliau menjadi lebih terkenal.

Kisah mengenai sahabat kami ini telah dibukukan. Isteri beliau juga sedang menikmati masa gemilang setelah cerita mengenai keluarga beliau difilimkan melalui filim Pulang.

Joe masih mengorek bauksit dan jika tidak kerana pengharaman sementara menggali logam itu tentu saja beliau kini telah lebih kaya.

Hasmadi Abdul Hamid kini seorang pengamal perubatan tradisional yang amat handal mengurut jika kamu kuat menahan gagah jari-jemarinya yang amat keras itu.

Beliau masih berangan-angan untuk mendapatkan royalti daripada lagu Biasan ciptaan beliau yang dinyanyikan oleh penyanyi To’ki.

Tjantek Art Bistro ialah bapa kepada semua kafe hipster di Malaya ini. Ianya dibuka pada tahun 2000 iaitu semasa kebanyakan hipster sekarang masih menyusu atau sibuk dilahirkan.

Akhir sekali, kisah kenangan ini dihiasi oleh lukisan karya pelukis Abu Yusof, sahabat kami dari masa lalu.

*Gambar-gambar yang tersiar di sini bertujuan untuk hiasan saja, kecuali dinyatakan sebaliknya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, pemfoto, dan juga seorang kapitalis yang sedang cuba menjadikan kesedihan sebagai sebuah komoditi.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen