malaysiakini logo
story-image
ADS

Sailang budaya (cultural appropriation) ialah perbuatan yang amat jelik pada sesetengah orang terutama bangsa Afrika-Amerika di negara Uncle Sam sana.

Ia dilihat sebagai pencabulan hak ketika kaum Afrika-Amerika memang sudah lama berdendam atas sistem perhambaan yang menyebabkan datuk nenek mereka dibawa ke sana dari negara asal masing-masing.

Perbuatan sailang budaya ini biasanya dilakukan oleh kaum majoriti ke atas adab dan budaya minoriti.

Kaum Afrika-Amerika amat menjaga ‘hak’ mereka dalam hal ini. Siapa sahaja yang dilihat sengaja menyailang budaya mereka akan menerima kecaman.

Seorang ahli kelurga Kardashian yang popular entah kenapa itu ditempelak apabila mengayakan fasyen rambut yang dipanggil gaya cornrow serta mengatakan bahawa ianya adalah fesyen gaya pelakon Bo Derek.

Sedangkan fesyen rambut itu adalah satu gaya yang bersumberkan bangsa Afrika-Amerika itu sendiri.

Tapi itulah, kamu mungkin terlalu muda untuk mengenali siapa Bo Derek. Percayalah beliau ialah apa yang dipanggil sebagai "sepuluh yang sempurna".

Berbaju kurung pegang senapang

Kita di Malaya ini beruntung kerana kita tidak menganggap seorang gadis Cina berbaju kurung sebagai satu perbuatan sailang budaya.

Sebaliknya kita akan menghargai kesudian gadis-gadis bangsa lain mengenakan busana yang kami kira adalah yang paling sopan pernah direka oleh manusia.

Sememangnya baju kurung ialah pakaian yang tidak mengundang marah kepada sesiapa pun. Nenek dan emak kita dulu bergaya dan berkerja dengan mengenakan pakaian itu.

Satu foto pada zaman darurat memaparkan sekumpulan perempuan Melayu mengenakan baju kurung sambil memegang senapang amat-amat kami gemari.

Budak perempuan ketua kugiran yang baru-baru ini menjelajah Eropah, The Venopian Solitude, juga duta baju kurung yang baik walaupun kadang-kadang beliau mengenakannya dengan seluar panjang.

Jika kamu belum tahu, kami adalah peminat lagu-lagu kumpulan tersebut. Pok cik pun hipster jugok!

(Jika difikirkan balik, baju kurung dan seluar panjang nampak amat selesa. Sangat sesuai buat kegunaan para pramugari misalnya.)

Itulah... berpakaian sopan bukan bermakna kita perlu jadi hantu bungkus seperti kata setengah orang. Dan selain kebaya, kita juga ada banyak lagi jenis pakaian lain yang tidak mencolok mata.

Begitu juga apabila bangsa Melayu mengenakan cheong-sam atau melilit sari di badan, tidak berlaku sebarang keresahan kepada kaum India atau Cina di negara.

Pertahan bangsa Arab

Kurta juga sudah menjadi pakaian yang diterima oleh semua kaum di negara ini. Kita jadi saling menghargai dan sama-sama menghormati.

Cuma ada sedikit kebimbangan apabila bangsa Melayu mengenakan pakaian yang Islami - atau dalam bahasa tidak sekolahnya disebut sebagai ala Arab - dan dikecam.

Di sini kami sedikit keliru. Adakah kerana mereka yang menentang silang budaya yang satu ini mahu mempertahankan budaya Melayu, atau mereka sebenarnya bencikan Islam?

Atau mumgkin juga mereka sedang mempertahankan bangsa Arab daripada disailang budayanya oleh orang Melayu. Manalah tahu, khennnn...

Namun begitu kamu tentu akan bersetuju jika kami katakan bahawa penyailang budaya yang paling berdosa di Malaya ini adalah partai Umno.

Buktinya, hari ini songkok dan keris ialah Umno. Sedangkan kita tahu ini adalah hak milik bangsa Melayu. Tetapi ianya telah sekian lama digunakan oleh partai berkenaan sebagai lambang mereka.

Individu yang mungkin dicurigai keturunannya tetapi mahu ‘masuk Melayu’ biasanya akan mengenakan songkok bagi meyakinkan orang ramai perihal darah keturunannya.

Mencium keris pula dilihat sebagai suatu provokasi sedangkan asalnya ia hanya satu perbuatan hormat kepada senjata berkenaan.

Hishamuddin Hussien tentu masih menyesali perlakuan beliau pada satu perhimpunan Umno dulu, namun penyesalan beliau itu tidak mungkin membawa kepada gambaran ramai bahawa mencium keris bukanlah perbuatan orang Umno.

Jika kamu perasan, di sini kali ini kami adunkan bahasa Cina dan bahasa Melayu untuk membentuk kata "sailang budaya". Mungkin ia boleh digelar sebagai satu bentuk sailang budaya juga.

Tidak perlu tepuk tangan kerana kami memang handal begitu, dan kami yakin kamu menerima kata itu dengan tenang tanpa sebarang kesakitan, kerana ini adalah Malaya dan jika kita mahu berusaha untuk duduk aman, berganding tangan memajukannya, insya-Allah kita akan berjaya.

Cahaya di hujung terowong

Akhirnya, izinkan kami menjawab sedikit kemuskilan yang kami baca di ruang komen di bawah artikel kami minggu lepas.

Pertama, gambar-gambar yang disiarkan sememangnya tidak ada kena-mengena dengan tulisan kami. Seperti yang dinyatakan di bawah sana, ianya sekadar hiasan.

Kami ambil sendiri foto-foto yang disiarkan hanya kerana kami meragui kepandaian portal ini dalam hal memilih foto.

Dan jika kami buat keputusan untuk menjual foto-foto kami, kamu tidak akan mampu memilikinya.

Kedua, benar - kami mempunyai agenda tersendiri semasa menulis. Jika kamu mahu tahu, politik - atau lebih tepat menyokong partai politik - tidak termasuk dalam agenda kami.

Tapi itulah, jika kamu Umno, kamu kata kami DAP. Jika kamu Melayu, kamu lihat kami sebagai menyokong Cina (suatu dosa yang tidak terampun, yang boleh disamakan dengan murtad pada pandangan bani Melayu).

Jika kamu Cina, kamu akan melihat kami sebagai Melayu ultra yang malas dan kerjanya tidak lain adalah menanti subsidi, minta itu dan ini.

Dilahirkan Melayu atau Cina bukanlah satu dosa. Namun apa yang diharapkan cuma jangan ada penyokong PAS yang menuduh kami kafir, kerana kami yakin neraka itu amat pedih siksaannya.

Kata sesetengah orang, kunci sorga itu ada di tangan mereka. Sementelah pula kunci yang ada pada kami telah lama patahnya.

Bercakap mengenai PAS, kata-kata Tuan Ibrahim Tuan Man di parlimen tempoh hari adalah satu cakap yang bijak apabila beliau mengatakan bahawa PAS akan menyokong kerajaan Pakatan Harapan selama mana ianya tidak bercanggah dengan Islam.

Mungkin ada cahaya di hujung terowong untuk kita mempunyai partai politik yang bijak memakmurkan negara ini.

Bukan kerana beliau menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan, tetapi kerana beliau mahu memihak kepada perjuangan yang hak tanpa mengira siapa yang mengerjakannya.

  • Gambar-gambar yang tersiar di sini adalah untuk tujuan hiasan saja, kecuali dinyatakan sebaliknya.

ABDULLAHJONES ialah seorang penulis, penyair, jurufoto, pelukis, pengembara sepi nan melara dan seorang ninja yang kehilangan shurikennya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen