malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Kolum
Merakam sejarah: Lagi projek sailang Mahathir
ADS

Malam Rabu 9 Mei 2018 kerajaan baru Pakatan Harapan gagal ditubuhkan. Dr Mahathir Muhamad gagal mengangkat sumpah di Istana Negara untuk menjadi Perdana Menteri ke-7.

Satu surat - persetujuan - yang telah ditandatangani oleh empat pemimpin HARAPAN (PKR, DAP, AMANAH, BERSATU) untuk menobatkan Mahathir Muhamad sebagai Perdana Menteri baru telah disediakan.

Surat ini telah dibawa oleh Dr Wan Azizzh untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Tetapi pada malam Rabu 9 Mei 2018 surat ini tidak dibincangkan. Surat ini terbengkalai.

PKR - mengikut logik - telah mendapat kerusi terbanyak. Walhal kerusi terbanyak ini adalah hasil daripada empat parti bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo - logo Parti Keadilan Rakyat.

Lalu timbul persoalan hakiki untuk kurun ini: Cadangan Wan Azizah untuk dijadikan perdana menteri lahir dari mana?

Siapa agaknya yang berjaya menyuntikkan idea Wan Azizah jadi perdana menteri ini?

Drama tambah gelap, gerun

Amat jelas di belakang semua ini adalah projek untuk menggagalkan Mahathir daripada menjadi perdana menteri. Maka siapa agaknya di belakang projek 'mengsailang' Mahathir ini?

Jeng jeng jeng. Drama bertambah gelap. Lagi takut lagi menggerunkan.

Ketika semua ini berlaku di Padang Timur - di hadapan Amcorp Mall - rakyat makin melimpah berhimpun. Orang ramai makin gelisah menunggu kerajaan baru ditubuhkan.

Dari dewan hotel di Petaling Jaya saya terus-menerus berhubung dengan Jonah dan Kecik dua orang anak muda yang telah ditugaskan mememantau dan memandu orang ramai di Padang Timur.

Permintaan daripada war room cukup senang - orang ramai wajib terus ditenteramkan. Huru-hara tidak dingini.

Kita tahu pasti ada hantu pontianak bersama dalam ribuan orang ramai yang sedang berkumpul. Ejen provokasi yang diupah pasti ada bersama berlegar di sana sini. Pengalaman telah menjadi guru dan mendewasakan tindak-tanduk kami.

Arahan Mat Sabu

Jam telah melintasi dua pagi. Hari telah beralih. Kami difahamkan esok akan diadakan sekali lagi pertemuan pemimpin Pakatan Harapan dengan Agong.

Mat Sabu memberi arahan kepada saya agar mententeramkan warga yang berhimpun di Padang Timur. Saya turun ke bawah hotel untuk ke Padang Timur. Di ruang menyambut tamu dan di luar hotel ratusan warga sedang menunggu. Keadaan berserabut.

Pengurus hotel berkenaan, seorang Mat Salih kelihatan gagal mengawal keadaan. Suara dan permintaanya agar ruang lobi dikosongkan tidak dipedulikan. Ruang lobi menjadi padat - berpusu-pusu.

Lalu saya meminta megafon dan bersuara meminta ‘kawan-kawan’ keluar dari hotel dan menunggu di luar. Permintaan saya berjaya dilunaskan.

Dari hotel saya ke Padang Timur untuk memberi taklimat. Kepada yang berhimpun saya memberi penerangan apa yang telah berlaku. Dan juga mengumumkan bahawa esok pemimpin HARAPAN akan pergi sekali lagi menemui Agong.

Saya tidak meminta mereka berundur. Saya tidak meminta orang ramai beredar. Ini kerana saya tidak tahu apa lagi yang bakal berlaku. Daripada pengalaman saya ombak orang ramai yang berhimpun di padang atau di jalan raya jangan sesekali kali disuraikan.

Dalam fikrah - saya masih lagi bersiap sedia dengan politik jalan raya. Dalam sekelip mata semua boleh berubah. Justeru saya wajib terus bersedia. Semangat mahu melawan daripada orang ramai yang berhimpun jangan dipatahkan.

Justeru untuk meredakan suasana saya telah mengumumkan Khamis dan Jumaat sebagai hari cuti umum. Justeru orang ramai boleh terus bersadai di Padang Timur. Pengumuman saya ini disambut oleh gelak ketawa.

Media sosial dengan pantas ketawa memperli dan bertanya - kuasa apa yang ada pada Hishamuddin Rais untuk mengumumkan cuti. Tetapi saya tidak ada pilihan. Hanya ‘cuti umum ‘ yang boleh mententeramakan orang ramai yang berhimpun.

Dari Padang Timur saya berundur ke hotel tersebut. Jonah dan Kecik masih bertanggungjawab di Padang Timur.

Lewat jam tiga saya beredar dari hotel dan singgah sekali lagi ke Padang Timur. Saya perhatikan orang ramai telah mula beredar.

Esoknya, Khamis 10 Mei 2018 jam 11.00. Najib Razak membuat siaran media. Najib muncul di radio dan televisyen untuk mengumumkan bahawa tidak ada - saya ulangi TIDAK ADA - parti politik yang memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Semua terpulang kepada budi bicara Agong.

Saya dipanggil ke hotel di Petaling Jaya itu. Keadaan semakin tidak menentu. Apa makna ucapan Najib? Berita angin mula tersebar bahawa Agong akan menemui bual pemimpin Pakatan Harapan.

Menemu bual?

Apa sebabnya menemui bual ini? Saya menjadi hairan. Pemimpin Pakatan Harapan bukan nak minta kerja. Atau nak minta lesen projek jual pasir ke Singapura.

Dalam keadaan yang tidak menentu maka berita angin ini pantas tersebar untuk menjadi labon politik.

Telefon Zahid

Pada Khamis 10 Mei 2018 jam 5 petang rombongan pemimpin Pakatan Harapan sekali lagi - kali kedua - ke Istana Negara.

Saya telah menelefon Zahid Hamidi yang masih lagi menteri dalam negeri kerajaan penjaga (care taker goverment). Zahid Hamidi minta saya datang ke rumahnya di Putrajaya pada jam 5 petang.

Di Putrajaya saya lihat kawalan cukup ketat. Banyak jalan ditutup. Polis di sana-sini. Banyak lorong dikawal. Arah ke rumah rasmi perdana menteri tidak mungkin dilintasi. Ada jalan yang direntang kawat berduri.

Putar punya putar - bertanya di sana sini - akhirnya saya berjaya juga sampai ke rumah Zahid Hamidi.

Apa tujuan saya berjumpa Zahid Hamidi? Tujuan saya hanya satu untuk meminta si Zahid ini agar tidak melakukan apa-apa rancangan dan tindakan yang berpotensi membawa huru-hara.

Saya sedar bahawa Barisan Nasional telah kalah. Tetapi saya juga sedar sebagai menteri dalam negeri kerajaan penjaga si Zahid ini masih ada ‘garam’ untuk memberi arahan.

Saya yakin ramai akan bertanya bagaimana saya boleh menemui menteri dalam negeri ini?

Zahid kawan lama Universiti Malaya

Biar saya hitam putihkan sejarahnya di sini. Zahid ini ialah kawan lama saya dari zaman Universiti Malaya. Dalam Majlis ke-17 Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sesi 1974/75 - Hishamuddin Rais telah dipilih untuk menjadi Presiden PMUM. Timbalan Presiden PMUM ialah Zahid Hamidi.

Pada 3 Disember hingga 8 Disember 1974 - PMUM telah menjadi dalang demo mahasiswa bersama pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Mara dan Institut Teknologi Kebangsaan. Pelajar dan mahasiswa turun berdemo menyokong kaum tani miskin dan penoreh getah di Baling, Kedah.

Pada malam 8 Disember 1974 polis dan soldadu menyerbu kampus UM dan UKM atas arahan perdana menteri Razak Hussein. Saya meninggalkan kampus UM pada malam 8 Disember 1974. Jawatan Presiden PMUM Majis ke 17 diambil alih oleh Zahid Hamidi.

PMUM kemudian diharamkan oleh Mahathir Mohamad yang ketika itu menteri pelajaran. Perharaman ini disahkan melalui Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 1974. Justeru hubungan Hishamuddin Rais dengan Zahid Hamidi telah lama terjalin.

Ketika saya sampai ke rumah Zahid pihak polis masih lagi memberi kawalan. Saya masuk ikut pintu belakang. Ini rumah kediaman rasmi timbalan perdana menteri - luas dan lumayan.

Minta Najib letak jawatan

Seperti biasa Zahid menyambut kedatangan kami dengan ramah-mesra walau pun kerajaan yang dipimpinnya telah kalah. Saya datang dengan dua orang kawan dari generasi 1974 dan anak muda bernama Jonah.

"Shahrizat dan Khairy dah sampai awal tadi…." Ini pembukan ucapan politik daripada Zahid Hamidi.

"Mereka meminta aku memimpin... mereka nak Najib letak jawatan," Zahid terus bersurah. Tetiba Hamidah isteri Zahid sampai. Si Hamidah ini melaungkan "reformasi" apabila dia terlihat kami. Kami sesama senyum ketawa.

"Aku tak sampai hati nak beritahu Najib hal ini... bayangkan dah lebih 30 tahun aku dengan dia... tapi esok hari jadi Umno... di PWTC akan ada move." Zahid menerangkan lagi.

"Macam mana keadaan sekarang?"

Duduk di luar istana

"Sham… Agong tak akan terima Pakatan Harapan. Masuk istana pun belum pasti… duduk di luar pintu istana." Zahid bercakap dengan penuh keyakinan.

Ini menjadikan saya cuak. Apakah rombongan pemimpin Pakatan Harapan akan tersadai di pintu pagar Istana Negara?

"Jonah cuba telefon… betul ke?" Jonah menelefon kawan di hotel di Petaling Jaya untuk kepastian.

"Betul… delegasi masih di luar istana lagi," Jonah memberi jawapan tuntas. Saya merasa ada sesuatu yang mencurigakan. Dalam hati saya terus bertanya. Keadaan ini hasil daripada projek siapa?

Kemudian dari saku seluarnya Zahid Hamidi mengeluarkan sekeping kertas.

"Umno mendapat 54 kerusi, PKR 47 dan PAS dapat 18 kerusi, tidak ada parti yang memiliki majoriti," bunyi suara Zahid ini sama seperti yang telah diucapkan oleh Najib pada awal pagi tadi.

Malah ada bau-bau chempedak dengan bunyi titah di istana pada malam yang lalu.

Apa maksud kenyataan ini? Apa tujuan kenyataan ini. Pada hemat saya projek sailang Mahathir masih berjalan.

Minta warga bertenang

Tiba-tiba muncul di kaca televisyen ulangan kenyataan Ketua Polis Negara Fuzi Harun yang meminta semua warga bertenang.

Saya tersenyum kerana saya sedang melihat kenyataan daripada KPN ini bersama Zahid Hamidi - menteri dalam negeri. Justeru niat saya telah pun disampaikan oleh kenyataan Fauzi.

Zahid menarik tangan saya untuk keluar dari ruang tamu. Kami berdua duduk di dapur.

"Apa Najib akan lakukan? Najib akan panggil NSC ke? Malam itu Najib ada panggil?"

"Tak ada," Jawapan Zahib pendek. Kemudian dia menyambung lagi.

"Aku ada telefon bos."

Siapa bos ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


 

Lihat Komen