malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada satu ketika, saya diberikan tugasan oleh sebuah entiti kerajaan Dubai. Konglamerat bertaraf GLC itu merangkumi tiga GLC berlainan yang besar iaitu Pihak Berkuasa Pelabuhan, Pihak Berkuasa Zon Bebas Cukai dan Jabatan Kastam.

Tugasan itu adalah untuk mengkaji dan mencadang penubuhan sebuah syarikat telekomunikasi kedua di UAE bawah GLC tersebut. Satu tugasan yang berat kerana sebuah misi sulit.

Bersama dua orang lain yang dilantik oleh pihak pengerusi dan ahli lembaga pengarah entiti itu, kami diberi dua bulan untuk mengkaji, mengaudit dan mengenal pasti aset (seperti bilangan telefon, pencawang, talian optik), fasiliti dan sistem yang ada.

Saya diberi tugasan sampingan untuk mengetuai pengauditan bersama pasukan audit sebuah auditor terkemuka dunia. Mereka adalah auditor profesional yang tahu apa perlu dibuat, saya sekadar menjadi koordinasi dengan entiti tersebut.

Dari pandangan luar memang tugasan mudah. Apabila masuk bekerja mulalah melihat kesukaran. Bukan sahaja mengenai tugasan tetapi berdepan dengan pelbagai kerenah manusia yang sudah terbiasa bahagia di zon selesa.

Pihak Berkuasa Zon Bebas Cukai misalnya mempunyai ribuan staf dan lebih 12,000 syarikat beroperasi. Pihak Berkuasa Pelabuhan pula mempunyai struktur pengurusan yang besar dengan ribuan pekerja pelbagai peringkat.

Jabatan Kastam pula mempunyai banyak lokasi yang berjauhan.

Saya merancang untuk menghabiskan tugasan audit dalam tempoh dua bulan seperti mana yang diberikan pihak lembaga pengarah.

Langkah pertamanya memanggil semua ketua pengarah, CEO, pengarah, ketua jabatan bawah entiti tersebut untuk memperkenalkan diri, menerangkan tugasan dan meminta kebenaran ke semua mereka untuk membuka pintu kepada kami.

Ia adalah lesen besar kerana tugasan kami bawah arahan lembaga pengarah. Kena ada lesen besar.

Tentunya mereka tiada pilihan kerana pihak pengerusi sendiri yang menjadi pengerusi jawatankuasa tugasan kami. Itu memudahkan.

Sedikit demi sedikit kami membongkar pelbagai pembaziran, penyelewengan dan salah laku dari pengauditan aset untuk telekomunikasi sahaja. Malah ada yang mengejutkan. Tidak terfikirkan entiti mega itu yang nampak gah dari luar mempunyai banyak kelemahan dalaman.

Mengejutkan kerana sangkaan kami tugasan itu mudah sahaja.

Ramai cuba sabotaj

Tidak begitu rupanya. Ramai pihak dalam yang cuba sabotaj, enggan bekerjasama, menghalang atau menyembunyikan rekod, fakta kerana mahu menyelamatkan diri. Ramai yang jahil juga kerana menganggap telekomunikasi bukan elemen penting.

Mereka tidak tahu setiap bulan bil telefon mencencah jutaan dan tanpa telekomunikasi, urusan menjadi lebih teruk.

Contohnya ada talian telefon yang wujud dalam rekod dengan jumlah bil bulanan yang tinggi tetapi tidak ujud secara fizikalnya! Puas kami mencari mana telefon dengan nombor tersebut.

Bukan satu dua jumlahnya.

Setelah sebulan, kami pasti tugasan audit tidak mungkin habis dalam masa dua bulan. Pihak lembaga pengarah bersetuju untuk ditambahkan tempoh. Kami memberitahu yang pelbagai kaitan lain menyebabkan urusan semakin besar.

Dalam keadaan itu, kebetulan ada terminal baru sedang dibina dan pihak lembaga pengarah meminta saya menguruskan keperluan telekomunikasi untuk melihat perbezaan. Apabila kerja bermula dari sifar lebih mudah kerana terus menjalankan projek mengikut SOP.

Akhirnya enam bulan terpaksa dikorbankan untuk pengauditan sahaja. Menjadikan tugasan besar juga terpaksa dianjakkan.

Begitulah pengalaman kecil saya yang mahu diumpamakan bagaimana sukarnya kerajaan Pakatan Harapan setelah mengambil alih pentadbiran dari kerajaan kleptokrat yang sudah lama memerintah.

Ramai terutama pihak pembangkang (yang kalah dan tahu betapa teruknya pentadbiran mereka) terus bising menagih manifesto dalam 100 hari pertama.

Juga pembangkang parti lebai yang tidak mengundi pun HARAPAN, apa lagi bersetuju dengan manifesto bising setiap hari.

Para tentera siber pembangkang Melayu Islam setiap hari menyatakan rakyat telah dikencing oleh HARAPAN. Begitulah kebebasan media dalam era selepas 9 Mei 2018.

Saya memahami tugas berat para menteri. Bayangkan mengambil alih pentadbiran yang korup dari perdana menteri, kabinet hingga ke penjawat awam. Puluhan tahun mereka menjadi dewa- dewi yang boleh buat apa sahaja dan kalau ada penyelewengan, korupsi boleh ditutup bawah tikar sahaja.

Kesilapan kerajaan HARAPAN tidak membuat janji 100 hari bermula daripada pembersihan pentadbiran. Sabotaj di kalangan para penyokong BN yang masih makan gaji bawah kerajaan HARAPAN nampak ketara.

Memang banyak juga kelemahan dari pihak menteri yang rata-rata pertama kali mentadbir. Selepas menjadi pembangkang.

Penyebaran berita palsu

Mungkin ekspektasi yang tinggi dari pembangkang hari ini yang masih 'sore loser' dan mahu merampas balik kerajaan tanpa pilihanr aya. Mereka seakan merancang dengan para penjawat awam yang masih terus bersekongkol.

Suara-suara kritik melulu dan penyebaran berita palsu, separuh benar, fitnah termasuk dari media perdana kepunyaan pembangkang seolah-olah menjadikan suasana berkecamuk.

Himpunan kebangkitan ummah misalnya mahu menggambarkan Islam-Melayu atau Melayu Islam tiba-tiba tergugat, terancam dan boleh terhapus bila-bila masa. Hanya kerana ketua hakim dan peguam negara bukan orang Melayu.

Pada masa yang sama ada laporan kajian mengatakan hanya 23 peratus dari orang Islam Malaysia yang solat lima waktu! Dan mereka lupa rizab tanah Melayu hanya tinggal 12 peratus bawah kerajaan BN. Jutaan pendatang tanpa izin dibawa masuk dan tidak balik-balik. Ranking rasuah yang teruk bawah kerajaan BN terus dilupakan.

Tidak pasti mana dan siapa yang lebih tergugat. Tentunya pembangkang yang kehilangan kuasa dan duit mudah.

Masalah dadah, mat rempit, banduan, pelajar gagal, pengamal bomoh, sihir yang sinonim dengan Melayu Islam juga seakan tidak mengancam lagi.

Sentimen bangsa dan agama terus dimainkan dan ramai masih terperangkap dengan isu kitar semula.

Manakala politikus yang kini pembangkang seakan-akan menjadi malaikat dan suci bersih dari apa-apa kesalahan. Terus bising meroyan. Terutama mantan ketua dan timbalan kleptokrat yang tidak tahu malu.

Malaysia baharu memerlukan lebih 100 hari dengan kerosakan pentadbiran sebelumnya.

Para pemimpin HARAPAN juga sudah wajib berfikir dan bertindak seperti kerajaan. Perkara remeh-temeh seperti isu Melayu pendatang hanyalah peluru untuk pembangkang yang tiada modal lain.

Kerja kuat tanpa perlukan publisiti murahan dan membuang masa dengan isu-isu bodoh.

Kita sudah mencapai sejarah dengan menumbangkan kerajaan kleptokrat BN dan amanah yang diberikan mesti mengatasi cabaran. Jangan terlalu obses dan dikongkong oleh 100 hari. Majoriti yang mengundi HARAPAN akan memahami.

Seperti cerita saya mengenai tugasan yang kecil tetapi penuh cabaran, mesti sentiasa fokus kepada prioriti demi negara, bukan lagi bertelagah untuk parti, individu dan kelompok masing-masing!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen