malaysiakini logo
story-image
ADS

Seorang sahabat dari Arab Saudi yang menetap di Dubai memberitahu ada banyak perkara pelik sedang berlaku di negara yang terletaknya dua Tanah Haram.

Dia baharu pulang selepas Aidilfitri di Jeddah. Katanya, trafik makin kurang dan urusan di lapangan terbang hanya beberapa minit. Tidak lagi sejam dua untuk urusan penerbangan dan imigresen.

Para pekerja masih orang yang sama. Sistem juga tidak berubah. Masih sikap acuh tak acuh. Tetapi urusan lebih pantas. Sebabnya, semakin kurang penduduk di Arab Saudi, itu kesimpulannya.

Sememangnya sudah lebih 800,000 pekerja asing dan keluarga mereka meninggalkan Arab Saudi sehingga kini dan semakin ramai akan berbuat demikian sebaik musim panas bermula.

Dengan keadaan ekonomi yang masih merudum akibat kejatuhan harga minyak, selain perbelanjaan perang Yaman yang terus mengikis dana, kerajaan Arab Saudi sama berdepan dengan perlunya memberi peluang pekerjaan kepada warga sendiri.

Kejatuhan pelaburan luar negara serta dana yang keluar terus meningkat menjadikan keadaan tidak menentu disebabkan oleh pemimpin de facto, Muhammad bin Salman (MBS) sama, yang cuba memastikan kuasanya terus tidak tergugat.

Walau begitu ramai pekerja asing pulang ke negara masing-masing, majoriti syarikat tempatan masih gagal memenuhi kerja kosong untuk digantikan oleh warga Arab Saudi sendiri.

Pemberhentian pekerja asing adalah sebahagian daripada percubaan MBS untuk mengurangkan pergantungan terhadap minyak melalui kepelbagaian ekonomi dengan elemen signifikannya, memujuk warga Arab Saudi memenuhi pekerjaan bawahan. Sektor ini adalah dua pertiga daripada pekerjaan domestik.

Pihak berkuasa mahu menghasilkan hampir 500,000 pekerjaan kepada rakyat sendiri dalam sektor swasta menjelang 2020.

MBS mahu mencepatkan pembuangan pekerja asing yang merangkumi sepertiga penduduk melalui proses Saudisasi. Program untuk mewujudkan tenaga pekerja tempatan yang produktif.

Kerajaan menaikkan levi kepada syarikat yang mengambil pekerja asing dan mewajibkan pekerja asing membayar fi kepada famili yang menetap di Arab Saudi. Juga menghadkan sektor untuk pekerja asing termasuk industri peruncitan dan servis.

Majikan Saudi menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja tempatan yang sudah biasa dengan sektor awam, tanpa perlu bekerja keras dengan pelbagai kemudahan termasuk pencen. Rakyat Saudi tidak berminat untuk bekerja di sektor yang dianggap pekerja status rendah dengan gaji yang murah.

Penipuan dalam Saudisasi

Kerajaan juga mengenakan kuota untuk pekerja tempatan tetapi banyak syarikat mencari jalan untuk mengingkari. Termasuk mengambil pekerja tempatan dengan membayar gaji rendah melalui kerja palsu atau 'bogus'. Satu cara penipuan dalam Saudisasi yang semakin menjadi ikutan.

Ramai majikan berpendapat yang pemuda dan wanita Saudi adalah malas dan tidak berminat bekerja. Anak-anak muda Saudi dituduh lebih suka duduk di rumah daripada bekerja dengan gaji murah yang tidak menepati status sosial.

Kadar pengangguran sudah mencapai 12.9 peratus di suku pertama tahun ini.

Kerajaan Saudi sendiri terpaksa memastikan defisit bajet tidak berterusan. Dengan cukai yang dikenakan kepada pekerja asing dikatakan mampu meraih hampir RM80 bilion menjelang 2020.

Diharapkan kenaikan harga minyak boleh membantu beban kewangan. Simpanan luar negara walaupun ada pertambahan sehingga AS$499 bilion dalam bulan April lalu, masih rendah berbanding sewaktu kemuncak empat tahun lalu, iaitu AS737 bilion.

Begitu juga langkah untuk menyenaraikan Aramco yang diharapkan memberi dana untuk membantu menjana ekonomi dan pelbagai projek.

Senario yang sama turut berlaku di beberapa negara lain seperti Kuwait dan Oman.

Kempen Omanisasi di Oman turut membuatkan lebih 115,000 pekerja asing kehilangan pekerjaan. Pihak kerajaan menarik balik pelbagai insentif seperti tanah komersial percuma, latihan percuma dan pinjaman dengan subsidi sekiranya syarikat tidak mengambil pekerja tempatan.

Oman sedang menghadapi krisis terburuk dalam 40 tahun dengan kadar pengangguran mencapai 17 peratus.

Masalah lain apabila pekerja asing pulang adalah banyak rumah dan flet yang kosong tanpa penyewa. Ini menyebabkan ramai pemilik hartanah muflis akibat tidak dapat membayar pinjaman bank.

Pada ketika ini lebih 60,000 graduan tempatan Oman sedang mencari kerja dan kerajaan Oman cuba menghasilkan 40,000 hingga 50,000 pekerjaan setiap tahun.

Di Kuwait pekerja asing semakin tidak mendapat layanan dan ramai pulang menyebabkan 75,000 flet tidak disewa.

Hujan emas sudah terhenti

Di UAE, dengan Dubai sebagai hos Ekspo Dunia 2020, pelbagai projek yang sedang dalam pembinaan tidak begitu nampak impak keseluruhannya.

Ternyata hujan emas sudah terhenti di banyak negara-negara Arab yang dahulu bergantung kepada pekerja asing. Dengan realiti semasa, diharapkan kerajaan kita juga mesti berusaha memastikan rakyat kita mendapat pekerjaan dan pekerja asing tanpa izin wajib dihantar pulang.

Prioriti peluang pekerjaan mesti diberikan kepada rakyat sendiri. Pihak berkuasa patut memastikan tenaga pekerja di kalangan sisawazah dan bukan siswazah terus diisi oleh anak tempatan.

Kebanjiran pekerja asing, termasuk PATI yang dikatakan melebihi 6 juta orang turut membawa pelbagai risiko terutama faktor sekuriti.

Mereka yang membawa masuk pekerja asing dan menjadi kaya raya juga patut disiasat dan didakwa sekiranya ada penyelewengan seperti mana skandal lain yang sudah terbongkar. Mereka boleh dianggap pengkhianat kerana membawa warga asing masuk untuk mengayakan diri sendiri.

Hujan emas bagi warga asing di Malaysia juga patut sama dirasai oleh rakyat sendiri demi memastikan negara terus maju, aman dan mencapai taraf negara maju dengan pekerjaan yang stabil dan berpendapatan seadanya.

Dengan perubahan melalui pilihan raya ke 14, ekspektasi kepada kerajaan baharu untuk transformasi dalam pelbagai bidang, terutama menambahkan pekerjaan dan menyifarkan PATI pastinya sesuatu yang tidak dapat dielakkan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen