malaysiakini logo
story-image
ADS

Inti pati keputusan mesyuarat kabinet bertarikh 6 Jun 2018 yang dicatat pada jam 1:46 tengahari dan dikemaskini sekali lagi pada jam 2:05 tengahari.

Umumnya sidang media oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet buat kali ketiga kelihatan cukup memberangsangkan.

Bersifat objektif, berikut adalah inti pati keputusan yang telah diumumkan oleh beliau:

1) Tan Sri Muhammad Ibrahim letak jawatan sebagai gabenor Bank Negara

2) Kementerian-kementerian akan disusun semula

3) Peruntukan RM500,000 kepada anggota parlimen dan RM200,000 untuk pusat khidmat anggota parlimen akan disalur sebelum Aidilfitri

4) Skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri melibatkan 22 jenis barang kawalan

5) Kerajaan akan beri insentif hari raya kepada peneroka Felda membabitkan peruntukan kerajaan bernilai RM50 juta

6) Peneroka Felcra juga menerima bonus dengan kos RM44 juta, dibayar melalui keuntungan Felcra

7) Parlimen bersidang mulai 16 Julai, Akta Antiberita Tidak Benar dan GST akan dimansuhkan

8) Masa depan Majlis Penasihat Kerajaan belum dimuktamadkan

9) Ujian bahasa Inggeris untuk kakitangan awam kanan kerana mereka perlu berunding dengan warga asing

10) Bayaran Bantuan Sara Hidup tidak lama lagi

11) Dr Mahathir akan berada di Jepun antara 10 hingga 12 Jun untuk Persidangan Nikkei - lawatan rasmi pertama sejak beliau menjadi perdana menteri pada 10 Mei 2018

12) Kerajaan akan menangani masalah kekurangan zat di kalangan kanak-kanak bandar, termasuk Putrajaya

13) Menteri Kewangan dan pegawai SPRM akan ke China tidak lama lagi berhubung siasatan projek Suria Strategic Energy Resources

14) Peguam negara dan Kementerian Luar Negeri akan memulakan tindakan susulan ke atas MH17

15) Kementerian Kesihatan akan mengkaji skim Peduli Sihat Nasional dan insurans takaful bagi golongan miskin.

16) Perdana menteri akan melengkapkan kabinetnya menjelang akhir minggu ini

17) Jawatankuasa kabinet khas mengenai masyarakat India akan bermesyuarat tidak lama lagi

18) Penjawat awam kanan akan dikenakan potongan gaji 10 peratus

19) Kerajaan mengkaji semula Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)

20) Perdana menteri enggan ulas tuduhan yang memperincikan perbelanjaan untuk Yang di-Pertuan Agong

21) Skim kawalan harga musim perayaan akan dilaksanakan mulai 8 hingga 22 Jun 2018

22) Kerajaan akan kaji semula pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan Singapura

23) Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan

24) Jawatankuasa meliputi pakar bukan kerajaan akan diwujudkan untuk menambah baik kurikulum pendidikan dari peringkat taska sehingga universiti

25) Kerajaan berpendapat, baik jika tidak ada kapal perang ditempatkan di Selat Melaka dan Laut China Selatan

26) Syarat pinjaman bank yang ketat akan dikaji semula untuk membantu usahawan kecil

Tengok. Genap sebulan kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat begitu banyak keputusan yang penting.

Terus mara tanpa mengira penat lelah, bergerak tekun memulihkan negara.

HARAPAN adalah sebuah kerajaan yang rajin membuat kerja. Tugas dipikul dengan komited, amanah dan penuh tanggungjawab.

Terbukti ia bukan sebuah kerajaan yang hanya gelojohkan elaun dan gaji tetapi 'duduk saja dan cakap saja'. HARAPAN adalah kerajaan yang kreatif, bukan dari jenis kerajaan yang gemar bermain topeng dan sekali gus bukan dari baka pemalas.

Cuba bandingkan pencapaian dengan kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Ahmad Yakob dan Mohd Amar Nik Abdullah, atau kerajaan Terengganu di bawah mentorship Datuk Seri Abdul Hadi Awang misalnya.

Apa yang boleh ditengok, apa yang telah tuan-tuan (kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu) lakukan sepanjang tempoh yang sama?

Cuba tolong senaraikan sikit - dalam bentuk butiran mudah 1, 2, 3, 4, 5 - biar senang rakyat nak ikuti. Jika nak elakkan rakyat memfitnah, mohon kiranya sudi berkongsi apa jua pencapaian konkrit yang dibuat. Sudilah biar pun secebis, jika tuan tidak keberatan.

Kata semangat “fastabiqul khairat” atau berlumba-lumba berbuat kebajikan itu amalan terbaik.

Respons kerajaan Kelantan

Senggang tak sampai dua hari sejak dimulakan pemerhatian dan dimuat naik di Facebook pada 7 Jun 2018, khalayak dapat menyaksikan seseorang di hujung sungai Kelantan - sayup-sayup memulakan senamrobiknya.

Aksi dan keloi kata-katanya sederhana berbunyi:

"Kerajaan negeri ada melaksanakan beberapa perkara antaranya sumbangan kepada pengayuh beca, bantuan RM100 kepada murid menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan pengecualian cukai pintu sebelum PRU14 lalu.

"Yang lain - contohnya penubuhan kolej wanita - kena ambil masa, kena buat kertas kerja yang lengkap.

"Kita ada lima tahun. HARAPAN pun belum buat lagi, cuma penghapusan GST saja," kata timbalan menteri besar Kelantan selepas majlis penyerahan sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri kepada pasukan keselamatan di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim.

Cakap orang politik dari arah yang berlawanan, biasalah begitu. Daripada 26 keputusan ke arah pembaharuan dan pemulihan yang diatur Putrajaya, cuma satu sahaja pencapaian yang sempat dipetiknya. Terlepas pandanglah yang selainnya itu.

Diambil satu yang terpaksa disebut Mohd Amar yakni penghapusan cukai GST oleh kerajaan baru Malaysia. Cubalah timbang kesan perbandingannya pula dengan sumbangan bantuan kepada penarik beca cetusan idea kerajaan negeri Kelantan itu. Kumpulan sasaran mungkin sudah tak sampai 100 orang.

Atau, bandingkan kesan geran galakan RM5,000 bagi mana-mana peniaga yang berminat untuk membuka gerai makan berasaskan menu ikan singgang. Tentulah kita akan segera melihat sebuah perbandingan persis antara ikan aya dan ikan bilis.

Teguran Prof Agus pasca-PRU13

Sewaktu Mohd Amar melenting susulan ditegur oleh Prof Agus Yusoff selepas PRU ke-13 pada 16 Ogos 2013, kita diingatkan dengan respons yang sama. Alasan yang dipakai sama. Masa masih banyak. Tak sampai 100 hari. Lima tahun lambat lagi.

Menurut Agus, pimpinan baru kerajaan negeri bukan saja dilihat kekeringan idea, malah lebih teruk daripada itu. Mereka tidak mampu mengekalkan serta meneruskan beberapa projek yang sudah dirangka pimpinan sebelumnya.

"Apa kesudahan semua projek yang sudah dirasmikan malah digembar-gemburkan kepada rakyat sebelum PRU ke-13 pada masa itu?" tingkah beliau.

Bukan sahaja Agus melahirkan kritikan dan teguran terbuka sebegitu. Beberapa penulis blog dan rakyat Kelantan sendiri mula tertanya-tanya akan hal yang sama. Ini boleh dibaca di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Ia bersepah di mana-mana.

Memang kritikan Agus berjawab. Namun ia dijawab timbalan menteri besar Kelantan itu dalam nada yang cukup tipikal. Sinis, defensif dan agresif – itu trade mark beliau.

Perangai bengkengnya yang sering kelihatan bergerak-gerak itu seakan tidak dapat ditahan-tahan setiap kali berceramah atau diterjah wartawan.

Katanya: “Kerajaan negeri berusaha menyiapkan rumah mampu milik ini dalam tempoh lima tahun sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PRU13 PAS Kelantan.

"Projek Lebuh Raya Rakyat dan Stadium itu juga tidak harus dijadikan isu kerana pihak kerajaan negeri kini dalam proses memperhalusi projek tersebut."

Itu pada tahun 2013. Sekarang - 2018 - jika ditanya, apa pencapaian projek-projek rumah mampu milik dari segi prestasi atau apa yang terjadi dengan stadium dan projek lebuh raya rakyat?

Semangat jawapannya tak berubah; masih konsisten iaitu menggunakan kaedah the revert logic. Mari kita dengar:

“Bagaimana mungkin ada bangunan yang boleh dibina dalam masa 100 hari.”

Lagi-lagi menggunakan alasan masa. Namun setelah lima tahun genap, sasaran akan dianjak dan cakap-cakap pun akan dipintal semula.

Bahkan, yang ini lagi menarik. Jika diundur sedikit ke belakang yakni lima bulan sebelum PRU ke-14, pada 20 Disember 2017 ketika beliau ditanya tentang kenapa pembangunan di Kelantan menjadi perlahan, tentu ramai yang masih ingat.

Setepatnya mari kita semak dan inilah alasan yang dikemukakan: “Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.

"Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat kita akan ketinggalan. Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan."

Ke situ pula hujahnya.

Berita gembira untuk rakyat

Kembali kepada kerajaan HARAPAN yang memerintah. Dalam suasana kolum ini sedang rancak ditulis pun, bagaikan jarum jam yang berhingguk ada-ada sahaja warkah bersampul yang mengingatkan pembaharuan sedang dihantar ke tangga rakyat.

Kita dikhabarkan tentang berita-berita segar pelbagai usaha memulihkan ekonomi negara dan amalan demokrasi hari ke hari. Ini antara lain:

1) Tabung Harapan Malaysia yang ditubuhkan.

2) Pertama kali isteri bekas perdana menteri di panggil SPRM untuk isu yang berkaitan dengan rasuah.

3) SPRM bertindak bebas memburu suspek skandal-skandal kewangan negara tanpa arahan perdana menteri.

4) Perdana menteri tidak menjawat jawatan menteri kewangan atau mana-mana portfolio walau pun pada awalnya memegang jawatan menteri pendidikan.

5) Puluhan individu meletak jawatan dari badan kerajaan dan badan-badan berkanun.

6) Ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan tahunan dari kerajaan persekutuan buat pertama kali.

7) Jemaah menteri bersetuju membuat potongan gaji 10 peratus untuk dimasukkan ke dalam Tabung Harapan Malaysia.

8) Pemimpin Umno disiasat malah ada yang lari ke luar negara menggunakan jalan laut dan 'jalan tikus'.

9) Krisis perlembagaan berjaya dielakkan selepas peguam negara dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

10). Semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik mesti mengisytiharkan harta kepada perdana menteri dan SPRM setiap tahun.

Seakan, seluruh rakyat sudah boleh mulai tidur nyenyak justeru mereka yakin di sana terdapat sepasukan menteri kabinet yang bijak-bijak, jujur dan boleh diharap.

Apa susah, menteri dan pemimpin kita semuanya sedang tekun buat kerja demi memulihkan negara.

Kita berikan mereka masa secukupnya untuk membela kita dan mengeluarkan Malaysia dari lubang kemusnahan yang sedalam ini.

Dihujung 2023, kita nakkan bukti


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen