malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Wawi ialah nama singkatan manja Wan Azizah Wan Ismail, nama yang sering digunakan oleh ahli PKR. Saya akan menjadi tidak jujur dan tidak berlaku adil jika saya tidak menulis tentang sosok yang dipanggil Wawi ini.

Sosok ini memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan ombak yang berjaya menenggelamkan Najib dan Rosmah pada Rabu 9 Mei 2018.

Kali pertama saya mendengar Wawi berucap ialah di Hotel Federal pada tahun 1998. Anwar ketika itu dalam lokap. Ombak Reformasi baru bermula.

Biar saya berkata jujur. Pada petang itu yang saya dengar hanyalah “Abang Anwa.. abam…abang Anwar…”

Saya geli-geleman mendengar bunyi perkataan Abang Anwar. Ucapan Wawi pada petang itu 'hancus -mancus'. Lalu saya takrifkan Wan Azizah pada petang itu ke tahap ameba.

Saya cukup sedar sosok ini ialah suri rumah tangga yang dipaksa oleh sejarah untuk naik ke pentas. Sosok ini seorang emak yang dipaksa ke hadapan corong pembesar suara kerana suaminya dituduh meliwat. Sosok ini ialah seorang bomoh mata yang amat cemerlang yang kini tercampak ke pentas politik Malaysia dan antarabangsa.

Wawi diusung ke hulu ke hilir oleh parti PAS dan NGO GERAK bukan kerana bijak berucap, beretorika atau bijak menghasut tetapi kerana dirinya ibu kepada lima orang anak Anwar Ibrahim - bekas timbalan perdana menteri.

Pada petang itu di Hotel Federal suasana telah diselamatkan oleh YB Mahfuz Omar. Dengan ucapan yang garang, tuntas dan jelas sambil mengajukan perlawanan.

Selepas Hotel Federal saya terus mengikuti perkembangan Wawi sehingga menjadi presiden Parti Keadilan Nasional (PKN). Saya mengikuti ceramah Wawi di sana-sini.

Saya masih ingat lagi Himpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun, Klang pada bulan November 2000. Sebelum demo berjalan telah diberitakan kaki Wawi telah cedera. Tapi Wawi masih sanggup datang untuk bersama ribuan demonstran. Wawi datang dengan menaiki kerusi roda. Demo petang itu telah diserang ganas oleh FRU tapi Wawi masih cekal dan selamat. Amin.

Kemudian pada petang 10 April 2001, 10 orang Reformis ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Empat dibebaskan. Lima yang lain bersama saya telah dihantar ke Kamunting untuk ditahan selama dua tahun.

Dua tahun kemudian - 2003 - saya dibebaskan. Untuk dijadikan cerita saya - beberapa minggu setelah bebas saya telah dijemput untuk berceramah di markas parti PAS. Markas ini betul-betul di hadapan Kem Kamunting. Ada yang lagi menarik. Saya akan berceramah bersama Dr Wan Azizah. Ini kali pertama kami sepentas.

Pada malam itu Wawi berceramah awal - sebelum saya - kerana sebagai presiden PKN dia ada program di Permatang Pauh.

Bukan Wawi Federal Hotel

Aduh! Saya terperanjat besar. Dua tahun saya di Kamunting, si Wawi bukan lagi si Wawi Federal Hotel. Tidak ada lagi “Aaaabang Anwar”. Kali ini Wawi telah menjadi pemimpin parti politik. Ucapan tuntas, teratur, jelas dengan mengajukan garis perjuangan.

Malah saya terperanjat besar kerana dalam ceramah ini Wawi sempat ‘menduku’ saya kerana saya masih lagi belum mendaftar sebagai pengundi. Hebat. Saya tergamam bila Wawi menduku saya. Dan sayang sekali saya tidak dapat membalas kerana sesudah ucapan si Wawi ini terus beredar.

Banyak air telah melintasi sungai. Banyak kapal telah masuk pelabuhan. Dari Parti Keadilan Nasional kini telah bergabung dengan Parti Rakyat untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dari PRU11ke PRU12 hingga ke PRU13 Wawi memainkan peranan sebagai ahli parlimen dan juga ketua pembangkang. Pernah Wawi bersendirian di parlimen kerana PKR hanya memenangi satu kerusi.

Wawi menjadi tembok pendinding dan menjadi kereta kebal T-14 bertahan dari serangan musuh. Wawi terus memimpin PKR ketika Anwar ditangkap atas tuduhan meliwat kali kedua.

Tup-tup suasana politik Tanah Melayu berubah. Kes 1MDB meledak terbarai Mahathir Muhamad bekas presiden United Malays National Organisation dan perdana menteri selama 22 tahun kini mula menyerang Najib habis-habisan.

Pada 4 Mac 2016, Mahathir mengajukan Deklarasi Rakyat. Kempen tandatangan dengan niat meminta Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu mengambil tindakan ke atas Najib.

Pada petang Jumaat itu Wawi adalah antara 43 warga Malaysia yang dijemput untuk memulakan kempen tanda tangan Deklarasi Rakyat (DK). Pada petang itu saya kecewa kerana Wawi gagal bersama.

Saya kecewa kerana pada petang itu jika Wawi bersama DK maka politik Malaysia akan bergelora. Bayangkan jika ayat ini yang dituturkan oleh Wawi kepada media pada petang itu:

“Walaupun Anwar dipenjara oleh Mahathir tetapi pada petang ini saya sanggup bersama sebaris dengan Mahathir untuk menandatangani Deklarasi Rakyat. Saya mengenepikan perkara yang lalu untuk tujuan yang lebih besar. Untuk menyelamatkan Malaysia.”

Jika ayat ini keluar pada petang itu maka Wawi akan menjadi bonda kandung kepada anak semua bangsa, bangsa semua agama. Wawi bukan hanya isteri kepada Anwar atau emak kepada Nurul. Wawi telah melintasi semua ini. Wawi menjadi Ratu Adil untuk menyelamatkan Malaysia.

Tapi sayang ayat ini tidak keluar pada petang Jumaat 4 Mac 2016. Maka saya mewajibkan diri bergerak pantas untuk memberi pencerahan tentang strategi yang dinamakan United Front atau Barisan Bersatu.

Banyak kapal telah melintasi Selat Melaka. Banyak kekasih yang bercinta telah berumah tangga. Kes 1MDB menyerap dan makin difahami. Mak cik dan pak cik Felda makin sedar siapa itu Najib dan Rosmah. Di sana-sini dakwaan kisah boros Rosmah menjadi buah mulut.

Parti Islam PAS telah terbarai. Parti Amanah Negara telah lahir. Tetiba Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu. Landskap politik Malaysia makin berubah.

Teori Barisan Bersatu

Wajib disedari dalam banyak keadaan politik bergerak bukan dalam satu arus yang logika. Setelah lahir BERSATU maka Parti DAP, AMANAH, PKR menjalin kerjasama dengan BERSATU. Hasilnya Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September 2015. Ini satu yang logik. Ini bukti teori Barisan Bersatu adalah taktik dan strategi yang tepat. Mendobrak musuh yang satu - menjatuhkan Najib.

Penubuhan ini juga bukan satu yang mudah. Akhirnya Wawi dinobatkan sebagai presiden Pakatan Harapan dan pengerusinya ialah Mahathir Muhamad. Politik logik kini mengambil alih politik songel.

Akhirnya Pakatan Harapan sampai ke tahap yang amat genting - untuk memilih siapa bakal Perdana Menteri. Di sini politik logik Pakatan Harapan telah diganggu gugat oleh perbagai genre kaum sewel dan oleh pelbagai bentuk penasihat songsang. Bonda kandung Wawi kini tersepit antara kemenangan dan kekalahan.

Ketika saya menulis ini saya hanya boleh berilusi memikirkan kembali betapa berdarahnya perasaan Wawi ketika mendengar nasihat songsang yang bertaburan memasuki ke telinga. Saya juga tidak sedar betapa kukuhnya iman Wawi menolak politik-politik pintas yang terus membisikkan hadis-hadis songsang yang perawinya masih belum bersunat.

Pada Sabtu 6 Januari 2018, dalam Konvensyen Pakatan Harapan Mahathir Muhamad telah diumumkan sebagai calon perdana menteri. Politik logik dan United Front sekali lagi menjadi juragan.

Saya turut sama pada hari pengumuman itu. Mata saya mengekori Wawi. Memasang telinga untuk mendengar apa yang akan keluar dari mulut Bonda Kandung.

Aduh! Bonda Kandung sebak ketika berucap. Saya juga sebak kerana saya memahami apa yang sedang berlaku. Selama 20 tahun sang ibu ini menjadi sasaran. Suaminya dipenjara. Anak-anaknya sampa larau dipisah dari ayah. Kini sosok yang bertanggungjawab menjadi kawan setia perjuangan.

Inilah ucapan yang saya nanti-nantikan. Ia gagal muncul pada petang Jumaat 4 Mac 2016 tapi ia dilafazkan juga pada 26 Januari 2018.

Wawi telah melintasi semua halangan. Apakah kita tidak menyedari bahawa sosok ini telah melakukan pengorbanan yang maha besar.

Titisan air mata itu adalah titisan air mata pengorbanan dari semua keluarga Anwar Ibrahim. Apabila Wawi menerima Mahathir Muhamad itu adalah pengorbanan.

Pengorbanan inilah yang membawa ombak dan tsunami yang menenggelamkan Najib dan Rosmah.

Pada Ahad 25 Februari 2018, Jelajah Pakatan Harapan bermula di Alor Gajah Melaka. Jelajah ialah kempen yang dihadiri oleh kesemua pucuk pimpinan Pakatan Harapan. Ini kempen besar menuju ke PRU14.

Saya sebagai wakil BERSIH ikut bersama Jelajah dalam usaha menghasut orang ramai di setiap negeri di Semenanjung.

Di setiap tempat saya memerhatikan Wawi dan Mahathir. Saya perhatikan bahasa badan mereka. Di setiap jelajah Dr Hasmah akan hadir sama walau tidak berucap. Wawi akan duduk di sebelah Dr Hasmah. Mereka kelihatan mesra. Amin.

Tiada lagi abang

Di setiap jelajah Wawi akan berucap sebelum Mahathir. Isi ucapan Wawi adalah sama - di Melaka mahu pun di Utan Aji, Perlis. Wawi akan memulakan dengan membawa pesan dari Anwar yang kini di Hospital Cheras. Tidak ada lagi Abang, tidak ada lagi Abam, hanya Anwar.

Ucapan Wawi sebagai politikus makin menyerlah. Dua puluh tahun di kancah politik telah mendewasakan seorang bomoh mata. Tema dan gaya Federal Hotel hanya menjadi ingatan.

Rabu 9 Mei 2018, hari kemenangan Pakatan Harapan. Sekali lagi pelawak politik muncul, pembawa hadis songsang dan penasihat pembawa rebah kini mula mengepung Wawi. Kali ini hadis songsang telah menjadi wahyu. Tujuan wahyu ini ialah untuk mengangkat Wawi sendiri menjadi perdana menteri.

Aduh! Para pembawa wahyu terlupa bahawa selama ini telah ada perjanjian suci - persefaham politik yang berjaya membawa kemenangan bersama Pakatan Harapan. Melupakan ini akan melahirkan ombak kebencian rakyat yang maha sangat. Dan saya amat yakin jika wahyu diterima maka jalan raya akan menjadi pilihan.

Dengan licik lagi tersusun politik songel dari pembawa wahyu ini telah ditumpaskan. Wawi telah diselamatkan dari jerung jawatan dan jerung projek. Wawi tegak berdiri bersetia dengan janji Pakatan Harapan.

Maka pada malam 10 Mei 2018 Mahathir dirasmikan sebagai perdana menteri ke-7 dan Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalan perdana menteri. Wanita pertama menjadi timbalan perdana menteri.

Bagaimana dengan Wawi?

Wawi kini dinobatkan sebagai bonda kandung untuk anak semua bangsa, bangsa semua agama. Wan Azizah Wan Ismail adalah Ratu Adil pembawa obor pencerahan untuk Malaysia baru.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen