malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas balik tarawih malam kedua Ramadan tahun ini, bersama puluhan ribu lain, saya sempat melihat siaran langsung melalui KiniTV. Ada adegan yang pastinya membuat ramai terlopong tidak percaya apa yang dilihat.

Ia bukan episod TV Realiti. Bukan juga sebuah kejadian yang berlaku di negara dunia ketiga, apalagi di negara dunia pertama.

Kejadian itu membawa nama negara sekali lagi bertaraf global. Sesuatu yang sama ada mahu atau tidak, menjadi sebahagian daripada kejayaan BN memerintah sehingga sebelum 9 Mei lalu.

Kesan dan impak kecemerlangan slogan 1Malaysia, transformasi, wasatiyyah, blue ocean, maqasid shariah, we love PM dan lain-lain akronim yang tentunya telah memakan kos berbilion ringgit untuk menjadikan seorang politikus bertaraf keramat.

Propaganda dan 'fake news' yang menjadi sebahagian dari kempen politik kerajaan pimpinan bekas perdana menteri seakan berhasil. Itu kalau dilihat dari sambutan 'rakyat' terhadap beliau kalau ada lawatan di mana-mana.

Dia dan kaki-kaki bodek di sekeliling sememangnya berada dalam dunia alternatif, atau planet lain yang mana realiti mereka tidak sama dengan realiti majoriti rakyat.

Mungkin juga mereka dalam mimpi-mimpi siang hari yang terus indah saujana fatamorgana.

Apalagi pasangan yang 'disayangi' parti Umno itu sewaktu mengerjakan umrah baru-baru ini telah masuk ke dalam Kaabah dan masuk ke makam Nabi SAW. Begitu tinggi darjat yang boleh mencapai tahap maksum buat penyokong tegar yang sanggup mati katak mempertahankan pasangan paling romantis dan bahagia di muka bumi.

Malam Khamis itu, Saya dan isteri turut terpaku melihat polis merampas 72 beg wang tunai, barangan kemas, 284 kotak beg mewah dari sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Mendengar ulasan dari wartawan KiniTV yang spontan sama membangkitkan perasaan geram, marah, dan penuh kebencian kepada perompakan wang rakyat di kala pelbagai bajet dan subsidi dipotong.

Saya pasti, semua sudah tahu kejadian tersebut dan masing-masing boleh membuat penilaian sendiri. Tidak perlu saya mengulas lanjut.

Rakyat juga telah membuat keputusan untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi yang memberikan ruang keadilan untuk bertindak. Kuasa rakyat yang menumbangkan rejim yang berkuasa selama enam dekad.

Lantas saya teringat di malam pertama Ramadan sebelum PRU13. Sebaik mendarat di KLIA, seorang rakan segera menghubungi meminta saya ke Sri Perdana.

Katanya ada majlis sambutan ulang tahun perdana menteri bersama buka puasa.

Ketika 1MDB belum kedengaran

Ketika itu, belum lagi kedengaran mengenai 1MDB dan segala skandal bertaraf dunia. Semua masih merasakan ada transformasi dan pembaharuan dari politikus yang dipilih oleh Tun Mahathir Mohamad untuk menggantikan Pak Lah.

Sebaik tiba di perkarangan Sri Perdana, memasuki kawasan majlis sudah dipenuhi dengan ramai jemputan. Semua meja menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan dan ketua-ketua Umno telah dipenuhi.

Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah Mohd Ali turut ada di meja utama.

Saya agak tersipu kerana bukan sahaja 'gate crash' tanpa jemputan, malah tiada kerusi kosong.

Sambil mencari kerusi, ada satu meja kosong. Dengan kad tertulis. "Famili PM'.

Kawan saya terus menyuruh saya duduk sahaja di situ. Berseorangan. Ramai mata yang memandang. Siapa agaknya. Kemudian ada yang lambat datang sama ke meja saya. Semuanya orang kuat parti Umno dan ada bergelar Tan Sri.

Seorang lain ialah artis yang bergelar Datuk Seri dan penasihat busana kepada isteri perdana menteri. Dengan artis inilah saya berbual. Artis yang pernah popular di tahun 80han dan sebaya dengan saya.

Selepas tarawih yang diadakan di kemah besar, kami kembali duduk di kerusi untuk makanan malam. Juadah yang menyelerakan.

Setelah itu, sambil berbual dengan para Tan Sri, Datuk Sri dan Datuk, saya dapat melihat ramai politikus Umno yang beratur untuk bertemu dengan isteri perdana menteri. Agak panjang kerana mereka beratur di belakang saya.

Saya bertanya kepada artis itu, kenapa mereka beratur untuk bertemu isteri perdana menteri, dan bukan perdana menteri.

Artis itu tergelak. Mungkin kerana soalan saya itu amat naif.

"Sebab mereka mahu jadi calon PRU!" Lebih kurang jawapan artis itu.

Saya juga sempat mendengar perbualan mereka yang beratur. Antaranya berkata, amat penting untuk mengambil gambar dengan isteri perdana menteri untuk ditunjukkan kepada orang kampung. Lebih senang untuk jadi pilihan calon.

Boleh dikatakan, hampir semua yang bertemu isteri perdana menteri itu mencium tangannya. Bagi saya sungguh menghina dan menyedihkan melihat para 'pejuang agama, bangsa dan negara' bawah parti Umno begitu sekali rendah standardnya.

Selepas melihat tidak ramai yang beratur, artis itu berkata, "Jom, saya kenalkan kepada datin seri!"

Beratur mohon maaf dengan datin seri

Saya pun mengikuti beliau berjalan ke arah Datin Seri yang masih melayan beberapa politikus lain.

Artis itu memperkenalkan saya kepada Datin Seri sebagai kawan dari Dubai. Kami berbual seketika.

Tiba-tiba Datin Seri berkata kepada artis itu, "Cerita sedikit apa yang akan berlaku di akhirat nanti?"

Saya terkejut dan memandang kepada artis yang tersenyum melirik.

"Begini, di akhirat nanti, 30 juta rakyat Malaysia akan beratur untuk meminta maaf dengan Datin Seri!"

Saya lagi terkejut kerana sejauh itu perginya perbualan santai, nun ke akhirat. Mungkin Datin Seri mahu memberi tazkirah, detik hati saya.

"Kenapa?" tanya saya mahu tahu. Teruja.

Artis itu ketawa. Begitu juga Datin Seri. Membayangkan kelucuan walau nada yang serius.

"Kerana mereka semua mengutuk Datin Seri dengan pelbagai fitnah dan tohmahan!"

Saya terkaku, tidak pasti mahu ketawa atau mahu menangis di saat yang 'mencemaskan' jiwa itu.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen