malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tanggal 9 Mei 2018 tarikh keramat yang pastinya menjadi sejarah baharu kepada sebuah negara. Penantian selama dua dekad untuk satu perubahan akhirnya menjadi kenyataan.

Melihat ke belakang, tahun 1998 tentunya merentas ruang perjalanan masa dan usia yang ironi. Siapa sangka, apa yang berlaku ketika itu menjadi pusingan noktah kepada sebuah parti yang berkuasa penuh semenjak merdeka.

Buat generasi saya yang dibesarkan bawah DEB dan mendapat peluang pendidikan di luar negara, krisis politik ketika itu seakan kejutan dari tidur yang panjang.

Tidak pernah termimpi untuk turun ke jalan raya dan berdemonstrasi secara tak halal. Apalagi dengan jawatan eksekutif sebagai golongan pertengahan atau dikenali ketika itu sebagai 'yuppies'.

Berlari dikejar dan disembah dengan air busuk oleh FRU. Kemuncak di masjid negara dan berjalan ke dataran merdeka. Dengan Internet yang masih di peringkat awal, maklumat disebar ke serata tanah air.

Seakan ada semangat baharu yang meronta untuk jiwa anak muda. Membakar semangat untuk negara. Tidak peduli kepada risiko. Tidak peduli kalau ditangkap dan disumbat dalam jel. Cakna kepada segala yang berkaitan dengan korupsi dan kronisme.

Ironi, kerana agenda reformasi mahukan perdana menteri ke-4 yang kami panggil Mahafiraun turun dari kuasa.

Dari deretan peristiwa itu, saya dibuang kerja dan terlontar ke Timur Tengah. Merantau meneroka ruang baharu untuk mencari rezeki halal dan masa depan lebih baik untuk anak-anak.

Di perantauan, ternyata banyak pengalaman baharu dan menguja. Minda dan ilmu berkembang. Pengetahuan bertambah. Memungkinkan diri menjadi lebih matang.

Dua dekad berlalu pantas dan pusingan kehidupan di luar jangkaan. Masih sahaja kritikal dengan kerajaan yang terus diperintah oleh parti yang sama, hanya kepimpinan bertukar.

Malah, kebobrokan semakin teruk sehingga timbul perkataan kleptokrasi. Begitu memalukan. Begitu memualkan. Begitu menjahanamkan negara. Perompakan siang hari berpuluh bilion dengan transaksi merentas planet. Tujuh buah negara membuat penyiasatan dan tiada kes di Malaysia.

Lebih dari itu, perompakan lain terbongkar dan tiada siapa yang ditangkap dan dihukum.

Business as usual. Semakin merapu gelagat mereka yang berkuasa. Memperbodohkan rakyat dengan pembohongan saban hari. Seakan mereka tidak akan mati. Tidak akan jatuh. Sombong dan angkuh.

Masa lalu bukan bebanan

Dari mata kasar, seakan lelaki yang dipanggil MO1 itu gah dengan memasang kaki-kaki yang menurut perintah. Semua institusi kerajaan bawah telapak kakinya.

 

Lebih memualkan apabila sang isteri begitu menunjuk-nunjuk. Mereka 'invincible' dan tidak boleh disentuh oleh undang-undang.

Ironi, dia yang dipanggil Mahafiraun itu kembali dan bertukar posisi. Tentunya, sesuatu yang di luar dugaan.

Masa lalu tidak lagi dibawa sebagai bebanan. Prioriti adalah negara. Apa yang telah berlalu, menjadi memori dan pengajaran. Masa silam sebagai sejarah untuk dikaji.

Kita lupakan semuanya. Kita mulakan langkah untuk menganjak ke arah kegemilangan.

Kembalinya Tun Mahathir ke gelanggang adalah ketentuan yang membawa cahaya baharu. Bak kata lagu (atas), seribu tahun tak mungkin berlaku. Kesempatan untuk menumbangkan gergasi jahat semakin dalam jangkauan.

Sememangnya Tun Mahathir adalah pakar strategi yang ulung.

Tanggal 10 Mei sejarah baharu tercipta. Kesyukuran kerana menjadi realiti. Kita di ambang yang belum pernah dilalui. Sebuah parti korup akhirnya diterajang oleh suara keramat rakyat melalui undi.

Kami masih meraikan kemenangan. Biar di mana berada. Anak-anak Malaysia kembali melihat masa depan yang lebih baik.

Ya, seribu tahun lagi tak mungkin.

Yang pasti, seribu tahun lagi, apa yang terjadi pada 9 Mei 2018 tetap sejarah paling manis selepas kemerdekaan enam dekad lalu.

Negara kembali menjadi milik rakyat Malaysia dan masa untuk bekerja keras!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen