malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebenarnya kami pun terkejut dengan keputusan PRU14.

Langsung tidak kami jangka akan berlaku perubahan seperti mana yang terjadi malam Rabu lalu.

Memang cakap-cakap mahu menukar kerajaan sudah mula pada zaman reformasi dulu. Kemudian terdengar lagi pada PRU13 namun kami tersentak dengan keputusan rakyat yang kini benar-benar berani melakukannya.

Tentu sekali yang paling tidak diduga ialah, kita memerlukan Dr Mahathir Mohamad untuk merubah kembali apa yang mungkin dianggap ramai sebagai hasil daripada kerja tangan beliau sendiri.

Oh! Itu cerita lain di galaksi entah di mana nun jauh di sana.

Tambahan pula PAS dengan bergaya telah menunjukkan belangnya. Mereka berjaya mempertahankan Kelantan dan menawan kembali Terengganu!

Maka terkejut kami bertambah-tambah. Syabas daripada kami kepada partai berkenaan.

PAS juga mungkin boleh dimaafkan jika cakap-cakap yang mengatakan (semasa artikel ini ditulis) wakil rakyat mereka mungkin bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan Perak.

Selain mengesahkan berita kerjasama seperti desas-desus sebelum pilihan raya, kerajaan hari ini tentu saja memerlukan pembangkang yang kuat demi untuk menstabilkan pemerintahan negara.

Bukan sekadar kemas

Kami dengan ini mengaku silap apabila mengatakan yang PAS mungkin akan kalah teruk dalam pilihan raya kali ini.

Maafkan kami.

Cuma, berhentilah pakai jaket pemancing tu... tak hipster langsung bang aji.

Jika berkeras mahu berjaket begitu, kami cadangkan pakai ‘jaket Nehru’. Bukan saja kemas bahkan menambahkan kekacakan jika diganding dengan janggut dan kumis yang digunting rapi.

Paling penting adalah sorak-sorak seperti monyet gila di Dewan Rakyat hendaklah dihentikan.

Kami sudah lama bosan melihat telatah bodoh anggota parlimen bila membincangkan masalah negara.

Berdebatlah seperti orang dewasa dan buktikan kepada rakyat bahawa kamu sebenarnya boleh bekerjasama menjadikan negara ini sebuah tanah yang adil dan saksama.

Sebagai seorang Muslim kita sentiasa diajar supaya beristighfar apabila sesuatu yang kita minta itu dimakbulkan kerana ada kebimbangan apa yang kita dapat itu mungkin akan lebih merosakkan.

Seperti kata pepatah inggeris, berwaspada apa yang kamu minta kerana mungkin permintaan kamu akan dimakbulkan.

Dengan kemenangan ini kita berharap bahawa akan wujud lebih ketelusan dalam pentadbiran kerajaan. Kebebasan mengkritik juga hendaklah lebih dibuka. Kebebasan media perlu dikembalikan.

Henti amalan mendedak

Hentikan budaya yang menganggap kritikan adalah kerana tidak menyokong kamu.

Pada masa sama tentu sekali kita juga mahu mereka bertanggungjawab melaksanakan semua janji dalam manifesto pilihan raya tempohari.

Kita yang selama ini mengkritik kerajaan BN harus juga mengkritik apa saja kesalahan kerajaan yang baru ini.

Macai harus dihapuskan demi untuk menjadikan siapa sahaja yang duduk di tampuk pemerintahan sedar bahawa mereka adalah wakil rakyat dan bukannya wakil kerajaan.

Kita tidak mahu lagi menjadi penyokong yang membawa rebah.

Budaya memberi dan menerima dedak juga hendaklah dihapuskan.

Perjalanan menjadi rakyat yang berkuasa dan digeruni oleh politikus baru bermula dan hari ini kita wajib melepaskan apa juga sifat yang pernah ada pada penyokong melulu mana-mana partai politik.

Kita hendaklah menjadikan politik sebagai sebahagian kecil daripada kehidupan dan menjadikan keharmonian hidup bersama semua bangsa sebagai agenda paling besar negara.

Kesalahan masa lalu yang membawa retak dalam hubungan harmonis hendaklah dibaiki.

Kita tidak lagi mahu mendengar betapa suatu bangsa itu lebih atas berbanding bangsa lain.

Hentikan memainkan sentimen bangsa sebagai modal untuk meraih sokongan dan jangan sama sekali memperlekehkan penganut apa juga agama.

Tanpa kasih, tiada sayang

Mereka mereka yang sibuk memporak-perandakan bangsa dalam negara ini hendaklah ditangkap dan dibicarakan sebagai penderhaka.

Sebagai seorang Islam yang mahu beragama kami amat marah apabila agama kami diperbudak, dan kami juga berjanji dengan sepenuh hati tidak akan memperlecehkan penganut agama lain. Agama Islam sendiri melarang keras penganutnya mempermainkan agama lain.

Kita juga sudah boleh mula berhenti menyindir dan mencebik bibir kepada mereka mereka yang tewas dalam pilihan raya lalu.

Kita izinkan mereka meratap kesedihan tanpa perlu kita menabur garam pada luka dihati mereka. Cukup sekali kita katakan "padan muka" kepada mereka dan biarkan mereka - seperti kata "our tall, dark and handsome daddy" - bermuhasabah diri.

Mengharapkan kerajaan yang baru ini akan bebas dari apa juga kesalahan mungkin sesuatu yang idealis.

Namun dengan sikap seberani hari ini, lambat-laun akan berlaku juga setiap orang yang melakukan kejahatan dalam mentadbir negara mesti dipertanggungjawabkan.

Kita tidak lagi mahu bangkai dibiar membusuk dan dihidu setiap orang tanpa apa apa tindakan, sebaliknya ditutup dan akhirnya tersebar jadi virus namun diterima baik sebagai kelaziman hidup.

Pemimpin negara baru ini harus tahu bahawa kita hari ini telah menemui erti menjadi rakyat. Kuasa penentu di tangan kami dan seharusnya para pemimpin berhati-hati ketika berjalan kerana bila tersilap langkah, kamu kami buang.

Tanpa kasihan, tanpa kasih sayang.

Oh! Kami sendiri lebih selesa kekal mengkritik kerana rebel zaman kelmarin adalah penyokong kerajaan zaman now.


ABDULLAHJONES seorang pelukis, penulis, penyair, jurufoto, ninja dan seorang pengembara sepi yang berasal dari negeri milik mutlak partai pembangkang yang belum mempunyai menteri besar.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen