malaysiakini logo
story-image
ADS

Drama dan wayang penamaan calon telah berakhir. Bermulalah perang memancing undi. Boleh dikatakan majoriti telah membuat keputusan logo parti politik mana yang bakal dipangkah.

Hanya pengundi atas pagar yang tentunya menjadi tumpuan parti-parti yang bertanding. Kempen selama 11 hari boleh sahaja merubah peratusan majoriti undi di hari pengundian.

Tidak sukar untuk meramalkan, selain pelbagai hadiah, terutama wang tunai selain mengitar semula sentimen rasisme, agama dan kebencian terhadap golongan tertentu menjadi bahan kempen yang masih laku di abad ke-21 ini.

Kalau dilihat dari komen-komen di Facebook dan Whatsapp, majoriti mahu perubahan. Tetapi tentunya, suasana di ruang media sosial tidak selalunya memaparkan realiti.

Buat kami yang berada di luar negara, sama juga situasi. Boleh dikatakan, sama ada mengundi secara pos, pulang mengundi atau sekadar mengundi di angin lalu, masing-masing telah memangkah logo pilihan di dalam minda.

Hampir semua yang mendaftar untuk mengundi di kedutaan dan konsulat sebelum ini, merasa terkejut dengan perubahan cara pengundian oleh SPR untuk pengundi di luar negara.

SPR mungkin mempunyai alasan kukuh, dengan penyelidikan menyuluruh sebelum mengubah cara pengundian untuk kami di perantauan. Tidak sekadar mengubah semata-mata untuk memudahkan kerja, apa lagi mengikut arahan para politikus.

Begitupun, dengan defisit kepercayaan yang masih di tahap teruk, tindakan SPR memang menjadi persoalan besar. Apa lagi dengan tindakan membatalkan penamaan calon parti pembangkang dan pelbagai sekatan yang dikenakan untuk berkempen.

Ramai masih lagi terkeliru dengan peraturan mengundi melalui pos yang dibuat oleh SPR. Cara mengundi di kedutaan dan konsulat jauh lebih baik. Untuk menghantar undi melalui pos, bukan sehaja memakan masa kalau di UAE, malah kalau menghantar secara kurier, begitu mahal.

Mereka yang bekerja di SPR, yang dilantik oleh DYMM Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung, memikul amanah dengan nama Tuhan, tentu menyedari yang mereka tidak dipengaruhi atau mengikut telunjuk oleh para politikus yang memerintah.

Kuasa yang diberikan kepada SPR dilakukan secara adil, saksama dan berhemah. Setiap keputusan yang dibuat berdasarkan perlembagaan. Integriti SPR semestinya menjadi lambang keutuhan demokrasi, bukan menjadi kuda yang diperlakukan untuk pihak berkepentingan.

Peluang pertama

Buat pertama kali PRU13 rakyat Malaysia di luar negara diberikan peluang untuk mengundi selain para diplomat dan pelajar. Begitu juga buat kami di UAE. Dibenarkan mengundi di pejabat konsulat Malaysia di Dubai dan kedutaan Malaysia di Abu Dhabi.

Walaupun tidak dibenarkan berpolitik di UAE, pihak berkuasa membenarkan pengundian untuk ekspatriat. Antara yang paling ramai di sini ialah warga India, Pakistan dan Filipina yang semuanya mengambil kesempatan mengundi dari UAE.

Di UAE juga pernah ada wakil BERSIH, Encik Mohd Hasnol Yunus sebagai sebahagian dari kempen BERSIH Global (atas). Beliau pernah membawa ahli wakil rakyat dari Pakatan Rakyat untuk melihat pengendalian pengundian pos di UAE. Rombongan yang diketuai oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar itu disambut oleh konsul am Malaysia (bawah).

Warga Malaysia di UAE terlibat dalam pengundian pos sebagai pemerhati Pakatan Rakyat atau NGO seperti yang dilaporkan oleh akhbar Guf News (bawah).

Malah menjelang PRU13 juga ada siri ceramah oleh politikus Malaysia di UAE. Antara yang pernah datang ialah arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Dubai yang turut disertai oleh warga Malaysia pelbagai kaum dan dari seluruh emiriyah.

Begitupun, tiada politikus yang datang menjelang PRU14. Tiada kutipan derma terutama dari parti PAS kali ini, sesuatu yang menarik kerana PAS bertanding di 160 kerusi parlimen dan tentunya memerlukan dana yang besar.

Pada PRU13 memang banyak juga dana yang disumbang oleh warga Malaysia untuk kempen PAS.

Kebetulan sehari sebelum hari penamaan calon, sempat bertemu dengan ramai warga Malaysia di Dubai yang makan tengah hari di sebuah restoran milik syarikat GISB.

Topik perbincangan berkisar kepada PRU14. Boleh dikatakan, semua yang telah membeli tiket untuk pulang mengundi mahukan perubahan kerajaan. Cukuplah enam puluh tahun bawah satu parti yang kini dikenali sebagai kerajaan kleptokrat.

Salah seorang dari mereka, Puan Noorliani Othman Basir yang lebih dikenal sebagai Puan Nonie (bawah).

Menurut Puan Nonie, undi pos memang sentiasa berisiko untuk pengundi. Dengan sistem baru yang diperkenalkan untuk PRU14 ini sebenarnya lagi menyusahkan pengundi luar negara. Kertas undi yang perlu di terima dan diposkan sendiri dalam tempoh yang terhad.

Lebih membebankan kerana kos penghantaran ditanggung oleh pengundi sendiri dan ramai dinafikan hak sebagai pengundi pos untuk kali ini juga tanpa alasan yang kukuh.

Puan Nonie tak nampak kesungguhan SPR

Puan Nonie berkata yang beliau tidak nampak kesungguhan SPR dalam memberi hak mengundi kepada pengundi luar negara semenjak di perkenalkan sejak PRU13 lagi.

Dalam nada yang sama, Puan Nonie merasakan PRU14 merupakan pilihan raya paling getir. Bagi beliau, bahang PRU telah lama terasa dan kempen pilihan raya telah pun bermula bertahun dulu dengan berbagai skandal besar menjadi isu utama bahan kempen.

Puan Nonie amat berharap kali ini rakyat Malaysia berani untuk mencatat sejarah baru tanah air membina kegemilangan negara dan demi generasi anak cucu dengan mengubah kerajaan.

Beliau akan pulang untuk mengundi dan telah pun mendaftar menjadi Paca seperti PRU sebelum ini.

Akhirnya, Puan Nonoe mahukan rakyat belajar menjadi raja kepada politikus supaya politikus berkhidmat untuk rakyat dan bukan sebaliknya. Kuasa rakyat yang boleh meletak kan sesiapa di parlimen dan membuang wakil rakyat tanpa rasa takut sekiranya wakil rakyat gagal berfungsi. Ramai sekadar menjadi pasu bunga atau berteriak seperti dalam sarkas semata-mata.

Encik Badrul Hisham bin Othman pula menyatakan yang undi pos secara penghantaran pos sendiri yang dibuat pertama kali oleh SPR bukanlah yang pertama di dalam dunia. Malah telah diamalkan oleh Jerman, Sepanyol dan AS.

Bagi Encik Badrul, selagi SPR dilihat sebagai alat oleh kerajaan yang memerintah untuk memberi kelebihan kepada mereka, udi pos secara penghantaran sendiri ini adalah langkah ke belakang untuk meyakinkan pengundi akan 'kebersihan' proses pengundian yang dijalankan.

Encik Badrul turut bersetuju dengan Puan Nonie yang pengundian di pusat mengundi luar negara di kedutaan adalah lebih baik. Ini kerana setiap parti politik yang bertanding boleh melantik pemerhati bagi pihak mereka untuk memastikan integriti proses pengundian seperti yang dilakukan sebelum ini.

Encik Badrul turut berharap setiap kali PRU rakyat Malaysia boleh memilih dengan bijak dan bebas untuk jangka masa panjang. Beliau sudah bosan melihat rakyat dimomokkan dengan retorik pejuang bangsa atau agama eksklusif untuk satu-satu pihak sahaja.

Beliau bersemangat sekali untuk pulang mengundi tetapi terkilan kerana tidak sempat untuk turun berkempen atau menjadi sukarelawan Paca.

Saya juga sempat berbual dengan dua orang ahli Umno di UAE yang merasa mual dengan kepimpinan yang ada. Lebih-lebih lagi insiden pembatalan calon di parlimen Batu dan DUN Rantau.

Malu dengan kebaculan

Tanpa mahu menyebut nama, mereka berdua berkata malu dengan kebaculan dan sikap tidak gentleman parti sendiri dalam menghadapi rakyat. Mereka tidak mahu pulang mengundi atau mengundi secara pos walau ada kesempatan kerana memboikot kepimpinan parti sendiri.

Keseluruhannya, majoriti warga Malaysia di UAE, tidak kira bangsa dan agama, mahukan perubahan di peringkat kerajaan dan ini bukan sesuatu yang pelik. Apalagi skandal 1MDB melibatkan IPIC dari Abu Dhabi dan menjadikan warga Malaysia malu apabila berdepan dengan ekspatriat lain.

Saya pernah ditanya oleh sekumpulan juruteknik warga Filipina, "Kami telah membuang Imelda Marcos bertahun dulu, kenapa kamu rakyat Malaysia masih menyimpan 'Imelda Marcos'?"

Soalan yang mengungkap imej negatif dari bencana politik negara ketika ini!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen