malaysiakini logo
story-image
ADS

Sewaktu PRU11, saya sudah berada di UAE dan mahu balik mengundi. Lantas, menemui bos, Abdul Rahman, seorang lelaki Emirati yang terkejut membaca sebab saya mahu bercuti di borang cuti.

"Kenapa mahu balik mengundi?" tanya Abdul Rahman dengan wajah serius.

"Saya mahu jatuhkan kerajaan yang sedia ada!"

Abdul Rahman terkejut.

"Kami di sini tidak perlu pilihan raya, tidak perlu mengundi, semua kerajaan lakukan!" Abdul Rahman terus berkata, kali itu, tersenyum.

"Tidak perlu pening kepala dengan politik!"

Saya ketawa. Sememangnya walau tanpa demokrasi, UAE adalah antara negara yang aman, stabil, progresif dan harmoni. Dengan hanya tidak lebih 20 peratus warganegara sendiri dari 10 juta penduduk (sekarang), kemakmuran tanpa politikus dan politik tanpa henti memberi ruang lebih besar untuk pelbagai perubahan secara positif.

"Apakah demokrasi itu proses terbaik?" tanya Abdul Rahman. Dia adalah pengarah pusat reka bentuk dan projek syarikat. Lebih muda dari saya. Dia memberi kepercayaan penuh kepada saya dalam segala hal termasuk menjadi wakil beliau sekiranya tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat.

Saya tidak terus menjawab, cuba berfikir.

"Demokrasi tidak sesuai untuk semua negara dan situasi!" kata Abdul Rahman. "Lihat bagaimana Amerika cuba membawa demokrasi mereka ke dunia Arab. Semuanya gagal!"

Perbualan itu masih saya ingat kerana Abdul Rahman turut bertanya kenapa saya menjadi penentang kerajaan dan sanggup pulang untuk memangkah parti selain kerajaan. Sesuatu yang janggal. Saya turut bercerita bagaimana saya terlibat dengan politik tanah air bermula dari era reformasi.

Bagi Abdul Rahman, politik bukanlah membawa banyak faedah. Sesuatu yang betul dalam situasi negaranya. Dengan kepimpinan yang ada sudah cukup membawa banyak perubahan untuk sebuah negara Arab yang menyatukan tujuh negeri bawah satu negara merdeka.

Begitupun, mungkin dia tidak faham suasana PRU di Malaysia sebab tidak pernah dapat mengundi walau pernah belajar di Amerika. Perasaan dan semangat yang merentas keadaan dan sempadan. Apalagi apabila berada di luar negara.

Beza suasana

Ketika PRU11, tiada lagi Facebook, WhatsApp, Instagram dan Youtube. Tiada media sosial. Hanya Malaysiakini dan pelbagai blog alternatif. Suasana yang berbeza ketika PRU13 dan kini, PRU14.

UAE mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli Majlis Kebangsaan Persekutuan (FNC) pada tahun 2006. FNC adalah parlimen rakyat UAE. Bukan seperti kita dengan memangkah logo parti sebab tiada parti politik di UAE. Hanya memangkah nama calon-calon yang bertanding atas kapasiti peribadi.

Maklumat terperinci di sini: https://government.ae/en/about-the-uae/the-uae-government/the-federal-national-council-

Yang menarik, selepas PRU tahun 2015, pengerusi atau speaker FNC ketika ini adalah seorang wanita, Dr Amal Al Qubaisi. Ada 40 ahli FNC. Setiap emiriyah mempunyai wakil rakyat mengikut nisbah penduduk.

Saya mengikuti kempen PRU untuk FNC melalui pembacaan dan poster-poster calon. Agak menarik untuk melihat bagaimana para calon cuba mengetengahkan aspirasi dan wawasan.

Ada kemajuan dalam proses pendemokrasian. Sesuatu yang positif dan memerlukan masa. PRU terakhir mereka, peratusan jumlah yang datang mengundi masih terlalu kecil.

Tentunya, suasana tidak seperti PRU di Malaysia, apalagi menjelang PRU14 ini. Dengan sosial media, kempen semakin menjadi luas dan 24 jam sehari. Banyak ceramah dibuat secara langsung melalui Facebook. Maklumat juga, sama ada berita palsu atau tidak pantas tular, tersebar ke setiap telefon yang menggantikan TV, radio dan akhbar sebagai wadah komunikasi.

Kerana itu, apa yang berlaku ketika pilihan raya di tanah air tidak lagi sekadar berputar dalam sempadan negara. Kalau ada penipuan dan pelanggaran demokrasi dan perundangan yang berlaku, dunia boleh melihat tanpa sekatan.

Kalau perdana menteri sementara berkempen dengan menggunakan jentera dan fasiliti kerajaan misalnya, kemudian memberi pelbagai 'hadiah' seperti wang tunai, beras, gula, basikal, selain melontar seribu janji manis, semuanya boleh disaksikan secara terbuka.

Kalau ada parti yang awal-awal lagi meletakkan bendera di merata tempat walau kempen rasmi belum bermula dan rakyat yang mencabut bendera itu ditangkap, berita mengenainya dengan klip tular untuk dunia menilai sejauh mana keadilan pihak berkuasa dalam memastikan 'keadilan mengikut perlembagaan.'

Apakah pentingnya ketelusan dalam proses pilihan raya terutama ketika dunia melangkah ke hadapan dalam pelbagai kemajuan teknologi?

Memang penting terutama ketika ranking negara mengikut indeks persepsi korupsi masih jauh di belakang banyak negara jiran. Apakah kita tidak merasa malu dan gusar apabila persepsi dunia terhadap negara yang dikatakan negara Islam terbaik terus merudum?

Bagi kami yang terpaksa mencari makan di luar negara, apa sahaja perkembangan politik di tanah air tetap diikuti. Ramai yang mahu balik untuk mengundi dalam memastikan ada perubahan dalam pentadbiran negara.

Memang semenjak skandal 1MDB menjadi tajuk utama media dunia dengan segala pembongkaran, terasa amat malu untuk mengaku sebagai warganegara. Malu kerana mempunyai politikus bertaraf pemimpin negara yang digelar kleptokrat, perompak, penyamun, penyagak besar.

Ternyata, bagi sebilangan warganegara yang tidak mendaftar sebagai pengundi, sama ada tidak mahu ambil tahu mengenai politik atau tidak peduli dengan apa sahaja yang berlaku, biarpun itu sebahagian dari demokrasi, mereka mungkin tidak memahami kesan dan impak dari tindakan itu.

Begitu juga, mereka yang mahu melakukan undi rosak sebagai bantahan, seakan tidak mempedulikan majoriti yang mahukan perubahan melalui peti undi.

Sememangnya, proses pilihan raya dan demokrasi kita tidak telus, terbuka dan bersih. Pelbagai sekatan kepada parti pembangkang dan rakyat seperti mengharamkan parti secara tidak demokratik dan menetapkan pembuangan undi pada hari bekerja. Itu semua bukan alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat bawah perlembagaan negara.

Yang masih kekal meriah, PRU adalah sebuah pesta lima tahun sekali. Kibaran bendera, poster, pelbagai bentuk kempen selama sebulan menjadi kemuncak demokrasi negara. Ceramah memenuhi aktiviti harian. Ramai yang buat duit dan menambah pendapatan.

Seperti kata seorang rakan dari Britain, pilihan raya kita nampak membazir dengan perbelanjaan untuk bendera yang tentunya memakan jumlah jutaan ringgit. Apalagi kalau bendera itu dicetak di negara China.

Dengan pembuangan undi pada hari Rabu yang kemudian diisytiharkan cuti juga satu tindakan merugikan. Strategi pihak berkuasa yang mungkin mahu peratusan keluar mengundi lebih rendah dan menjadi 'backfire'.

Tahniah diucapkan kepada mereka yang berusaha mengumpulkan dana untuk warga yang tidak mampu pulang mengundi. Satu usaha murni di kalangan rakyat biasa yang memberikan harapan kepada generasi baru dalam memastikan demokrasi lebih baik sekiranya ada peralihan kuasa.

Ramai kawan-kawan dari luar negara yang telah membeli tiket untuk pulang.

Sememangnya, tidak rugi untuk pulang dalam pesta PRU yang hanya lima tahun sekali. Mungkin ini peluang terakhir dalam memastikan negara kembali menjadi hebat dengan menghukum para kleptokrat, penyamun, perompak, penyangak dengan membuang mereka melalui peti undi!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen