malaysiakini logo
story-image
ADS

Artikel saya yang terakhir dalam Malaysiakini ialah pada 10 Februari 2018. Sewaktu sedang rancak mengangkat letak tulisan selanjutnya, hati saya menjadi cukup terpukul dengan satu berita yang disumbat ke telinga pada jam 1 pagi dua hari kemudian.

Pada waktu itu saya berada di Ampang, Selangor dalam rangka memenuhi temu janji diatur Kawah Buku untuk membedah personaliti Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Bangi.

Ia dijadual berlangsung pada 13 Februari.

Berita itu tidak lain dari pengesahan daripada isteri saya mengenai kehilangan seorang Aisyah Suraya. Dia - Aisyah Suraya - seorang yang cukup romantik dalam hidup saya. Dia berada cukup tersudut dalam relung hati seorang ayah yang telah 15 tahun mengusap, menyuap, membelai dan mengangkatnya demi mengasuh.

Tersentak dengan tragedi itu, kerja-kerja penulisan saya menjadi betul-betul tersentap. Entah! Saya menjadi gamam setiap kali mahu menulis.

Langsung, saya terpaksa memilih untuk jalan berdamai - antara saya, Aisyah Suraya dan pena - beberapa waktu.

Dari Kota Bharu membawa ke Kuala Terengganu, lalu ke Raub, Kuala Lumpur, Ipoh, Alor Setar, Cameron Highlands, Grik dan Kuala Lipis, saya benar-benar berulang-alik melayan kaki.

Hampir tiada sebarang tujuan, saya bermundar-mandir ke sana ke mari - cuba-cuba mencari sesuatu demi mengubati sesuatu. Namun, hingga ke hari ini pun saya seakan-akan masih belum menemui kesembuhan yang sakti.

Pemergian Tok Guru

Bahkan pada hari pemergian Tok Guru - yang turut jatuh pada tarikh 12 Februari - saya mengalami trauma yang sama. Rupa-rupanya Allah telah takdirkan orang-orang yang terlalu mahal dalam hidup saya itu 'diambil' dalam satu kebetulan tragedi yang bersamaan waktu.

Aisyah - apa istimewanya?

Selain daripada rupa dan raut wajah, rata-rata kita mudah terpaut mengingati seseorang menurut nisbah tinggalan kata-katanya.

Faktor ini kuat menentukan nilai ingatan kita terhadap seseorang sama ada singkat atau sederhana singkat atau kekal abadi selama-lamanya.

Aisyah Suraya kanak-kanak yang dianugerahi daya ingatan yang fotografik.

Sungguh pun beliau lemah dalam melangkah, mengeja dan mengira namun sekali beliau melihat atau mendengar sesuatu yang seni pada perhitungannya, ia cukup lekas menangkap dan menanggap visual dan kata-kata.

Beliau akan cepat menghafal dan mampu mengimbasnya kembali setepatnya, sepenuh kata-kata itu.

Misalnya, seusai kami membaca Yasin setiap minggu di malam-malam tertentu, walau sekali dibaca akan fadilat surah itu berbunyi:

“Mengikut Ma’qal bin Yaasar RA bersabda Nabi SAW: “Hati al-Quran ialah surah Yasin, tidaklah dibacaakan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya, dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir akan mati dan selepas mati.” (Hadis Abu Daud dan an-Nasai).

Anehnya, Aisyah Suraya mampu mengutip pengertian hadis tersebut lalu disebut sepenuhnya tanpa meninggalkan satu huruf.

Beliau sering mengingatkan waktu solat, menghafal dua pertiga dari surah Yasin, bertutur dalam bahasa Malayu baku dan bahasa Inggeris yang relatifnya bermutu.

Bila ditunjukkan foto arwah Tok Guru atau Pak A Samad Said misalnya, beliau terus mampu mengenali dan menyebut siapa orangnya yang pernah ditemuinya secara live tanpa ragu.

Kelebihan Tok Guru

Allahyarham Tok Guru lebih banyak meninggalkan permata kepada kita melalui untaian kata-kata. Kekeramatan itu - walaupun pendek-pendek - cukup menyentak akal fikiran. Di musim-musim menjelang PRU ke-14 ini, barangkali lebih relevan kita imbau 15 kata-kata berbisanya buat dijadikan pedoman.

  • Takut mati atau takut selepas mati

Hidup dipenuhi hukum dan peraturan. Halal haram. Sunat makruh. Dosa pahala. Syurga neraka. Jin iblis. Nafsu syaitan. Semua wakil rakyat (YB) bertanggungjawab jaga rakyat supaya tidak terpengaruh dengan godaan syaitan, supaya tak terpengaruh dengan godaan dunia; kerana dunia ni Allah sebut sendiri: “Innal hayaatud dunya la'ii bun walahum" (dunia ini hanyalah mainan).

Barang mainan kita beli kepada anak kita untuk selama-lama? Tidak. Lain pada mainan adalah hakikat sebenar iaitu manusia mati. Lepas pada mati itu, syurga ke neraka? Orang takut kepada mati.

Mati tak payah takut. Kalau takut pun, mati juga. Hak yang perlu takut ialah lepas pada mati itu - syurga atau neraka.

  • Kagum dengan Dr Mahathir

Dua perkara saya kagum dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Pertama, dalam keadaan Kelantan ni dia bangkang, tapi dia lulus RM600 juta untuk projek air. Ini saya kenang dia. Dia lulus dan beri melalui Tun Daim Zainuddin.

Yang kedua, dia lantang menyerang Zionis, sungguh-sungguh perangai Yahudi perangai Amerika ni. Ini yang menyebabkan negara Arab semua hormat, hormat sungguh. Banyak pemimpin negara Arab sendiri senyap, tak mahu menentang, takut itu takut ini sebagaimana yang saya sebut tadi.

Dia (Dr Mahathir) antara pemimpin bukan Arab, pemimpin Melayu, yang tentang sungguh-sungguh perangai Yahudi perangai Amerika. Ini menyebabkan nama baik Malaysia ni masyhur.

  • Tok Guru dan bola sepak

Saya sebagai rakyat Kelantan, saya hanya boleh berdoa. Perkara utama yang saya naknya selain daripadaa nak berjaya, kita nak tengok penonton ni jaga susila, jaga jangan ada keganasan biar betul-betul sporting spirit itu kena jaga mmolek. Bola, kita negeri Kelantan, kita ni, nak kena duduk dalam keadaan tenang, berakhlak dan beradab.

Saya masa muda dulu,ketika itu saya main bola belum Perang Jepun lagi sewaktu saya mengaji di pondok Jertih. Lepas sembahyang Asar, saya pergi main. Sampai sekarang lutut sebelah kanan saya ni cedera.

Gomo Klate gomo. Gomo ni memberi erti lain. Gomo tak kira peraturan. Tak kira disiplin. Hak lagu tu saya tak mahu. Hak kita naknya, pemain Kelantan bermain dengan penuh disiplin dengan peraturan cukup. Dapat menang pun kita menang; imej kita pun baik. (Lintas langsung temu bual live dengan Hot FM)

  • Apabila PAS berbaik dengan Umno

Bila PAS berbaik dengan Umno (BN), tiada siapa lagi mahu berkawan dengan PAS. Allah akan beri pada orang lain yang ikhlas bela Islam. (Ucapan di Muktamar PAS 2008 di Ipoh).

  • Nak tenggelamkan Umno

Selama lebih 50 tahun kita (PAS) berjuang nak tenggelamkan Umno. Apabila Umno hampir lemas kenapa kita nak pergi tolong?

  • Pemandu yang tahu arah

Jika kita nak pergi ke Kuala Lumpur, kena tahu pemandu yang tahu jalan ke Kuala Lumpur. Jika pemandu yang kita tumpang itu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai ke Kuala Lumpur dan terpaksa turun; menumpang kenderaan lain. Demikian juga dengan pemimpin yang tahu jalan ke akhirat.

  • Rujuklah kepada yang tahu

Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk.

Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tetapi enggan merujuk kepada syariat Allah apabila berdepan dengan masalah.”

  • Tawaduk sambil memahami konsep kerja berpasukan

Ramai pihak menyebut jasa-jasa saya di Kelantan sedangkan saya sendiri tidak terasa banyaknya jasa-jasa saya. Yang banyak membantu saya ialah para exco dan pegawai-pegawai kerajaan.

Saya umpama tuan punya restoran. Jika masakannya baik tuan restoran mendapat pujian sedangkan yang memasaknya ialah tukang masak, yang membeli lauk pauknya ialah pekerja tetapi akhirnya yang dipujinya ialah tuan restoran. (Ucapan di majlis Jasamu dikenang, 14 Mei 2013, Kota Darulnaim.)

  • Audit di akhirat tidak akan terlepas

Audit di dunia mungkin kita boleh melepasinya. Namun, audit di akhirat nanti, jika kita gagal melepasinya, hanya nerakalah yang menjadi tempat pembalasannya.

  • Umpan wang jamu dedak, ini ayam ini lembu

Orang yang menawarkan (wang) kepada orang; sama seperti kalau kita nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa dan tabur padi. Kalau nak panggil lembu, kita bubuh jerami.

Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang. Nak panggil lembu, mana lembu datang. Jikalau kita beri barang kepada orang, beri RM10 atau RM50. Orang akan datang ambil tapi ini bukan cara Islam. Cara Islam ialah, kepada manusia kita beri dia ilmu.

  • Rezeki halal itu apa?

Pastikan setiap suap makanan yang masuk ke mulut, seteguk air yang turun ke perut bukan daripada harta rasuah, tuntutan mileage palsu dan overtime yang bukan-bukan.

Kalau tidak, maka pada lahirnya sahaja ia berupa makanan dan minuman tetapi pada hakikatnya ia adalah bara api neraka yang akan membakar hangus.

  • Salasilah Umno

Cerdiknya penjajah ni, sebelum dia meninggalkan Tanah Melayu, mereka sempat tinggalkan “telur-telur” mereka. Telur mereka ini menetas baka yang mencontohi mereka; bukan dari segi rupa tetapi pemikiran dan tindakan. Telur yang menetas itu ialah Umno. Waspadalah.

  • Antiperkauman

Pemikiran ketuanan Melayu bawaan Umno adalah pemikiran yang berasaskan faham nasionalis yang bercanggah dengan Islam. Acap kali ia menggunakan kaedah pecah dan perintah. Inilah punca kepada pelbagai masalah.

  • Menyampaikan Islam kepada Melayu dan bukan Melayu

Saya ingin tanya kepada orang yang konon-kononnya membela Melayu. Sampai ke mana mereka nak bela Melayu? Kalau setakat di dunia, apakah nasib Melayu itu selepas meninggal dunia?

Kalau kita menghidupkan Islam di kalangan Melayu dan bukan Melayu, bukan setakat di dunia mereka selamat bahkan selepas mati hingga ke syurga mereka selamat.

  • Kenali Umno dan wajah proksinya

Senjata Umno ialah perkauman. Lambang Umno ialah keris tidak bersarung. Politik Umno ialah politik samseng jalanan. Sampai ke bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk perkauman.

Penutup

Hidup kadangkala cukup disarati teka-teki. Orang yang tak disangka-sangka boleh di tampilkan oleh Allah SWT ke dalam hidup kita dan boleh juga dengan tiba-tiba diangkat pergi.

Demikian juga dengan pemimpin dalam dunia kepimpinan. Ada yang setia beramanah dan ramai juga yang kecundang. Apa yang sama-sama diikrarkan sewaktu berjuang bersama Tok Guru dahulu kini tanpa segan silu telah berputar 180 darjah.

Senarai semak seperti yang diangkat di 15 kata-kata pesanan Nik Abdul Aziz di atas itu boleh - dengan mudahnya - disukat.

Pendek kata, apabila PAS berbaik dengan Umno (BN), tiada siapa lagi mahu berkawan dengan PAS. Allah akan beri pada orang lain yang ikhlas bela Islam.” Ini soal pedoman . Apakah kata-kata bergeliga yang telah berusia hampir 10 tahun ini tidak membawa erti apa-apa di hati para pemimpin Pas terkini?

P/S: Ops! Maaf. Jangan lupa temu janji kita di peti undi Rabu nanti.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen