malaysiakini logo
story-image
ADS

Di sebalik bahang pilihan raya umum (PRU) ke-14, kita menyelinap masuk ke ruang eskapisme seketika; sekurang-kurangnya lari sekejap daripada penipuan, penyelewengan dan pemaksaan oleh mereka yang berada di tampuk kuasa.

Kita sambung semula tulisan saya sebelum ini tentang sebuah genre filem yang telah lama dilupakan. Ia tentang Spaghetti Western, dan saya akan simpulkannya dalam bahagian kedua dan terakhir ini.

Tanpa sedar saya telah menonton beberapa filem dalam genre ini sewaktu zaman sekolah rendah di Pulau Pinang, iaitu sekitar pertengahan 1970-an.

Ini adalah kerana pihak sekolah akan memberikan tiket wayang percuma kepada sekumpulan murid - biasanya darjah empat ke atas - sempena cuti umum tertentu di negeri itu, seperti Hari Jadi Gabenor.

Biasanya filem-filem lama dan dianggap tidak bermutu ini ditayangkan pada waktu pagi di pawagam di luar kawasan George Town. Seingat saya ada satu pawagam di Jelutong, namanya Metro.

Begitu juga dengan tayangan cheap matinee pada pagi Sabtu di Butterworth. Biasanya ia menayangkan filem-filem aksi yang sudah beberapa kali ditayang sebelum itu.

Filem koboi di zaman kanak-kanak

Tiket untuk semua kelas sama harga dengan tiket kelas tiga pada masa itu, iaitu 65 sen. Ya, tempat duduk di pawagam ketika itu dibahagikan kepada beberapa kelas dan biasanya harga tiket berbeza-beza mengikut kelas berkenaan.

Ada dua bapa saudara saya – mereka bujang ketika itu – yang rajin mengajak saya menonton bersama. Sekitar penghujung 1970-an dan awal 1980-an, Lembaga Penapis Filem tidak begitu ketat tapisan mereka.

Asalkan tiada pelakon berbogel, hampir semua adegan dilepaskan, termasuk aksi ganas, kejam dan seksis.

Mungkin kerana itu minda saya agak sedikit terpesong apabila meminati bukan saja genre western Eropah tetapi juga filem-filem cannibalism, kung fu dan wuxia Hong Kong, aksi polis dan penjahat, zombi, serta kebangkitan semula filem-filem aksi keras Hollywood 1970-an. Agaknyalah.

Sebenarnya saya tidak ingat sangat filem-filem western Eropah yang telah ditonton di pawagam itu. Hanya setelah wujudnya teknologi video, VCD, DVD dan Blu-ray, barulah saya terhegeh-hegeh mencari semula filem-filem aksi yang lama.

Mujurlah, dalam pencarian itu terjumpa filem-filem Spaghetti Western yang jauh lebih bermutu daripada apa yang disajikan di pawagam-pawagam dahulu sebagai cheap matinee atau filem-filem percuma kepada murid sekolah.

Django dan kerandanya

Dengan kejayaan A Fistful of Dollars dan For A Few More Dollars di Eropah serta kutipan box-office global The Good, The Bad and The Ugly, muncul filem-filem Spaghetti Western yang mahu meniru dan mengambil kesempatan buat duit.

Tidak semua yang berjaya, namun yang hebat merupakan yang mempunyai kelainan dan berjaya menambat cita rasa penonton.

Selepas kejayaan filem-filem arahan Sergio Leone, tentu sahaja penerbit lain bertungkus-lumus mahu menirunya. Difahamkan kira-kira 600 filem dalam genre tersebut diterbitkan sepanjang 1964 hingga 1978 walaupun ada beberapa filem lagi yang dihasilkan pada dekad 1980-an.

Namun, daripada semua ini, rasanya tidak sampai 50 yang boleh dianggap baik, bernilai dan bermutu.

Satu daripadanya adalah Django (1966) yang memperkenalkan pelakon Franco Nero kepada dunia perfileman global.

Yang sama dengan filem-filem Leone ialah watak wira lelaki yang misterius, pendiam dan hebat berpistol. Yang membezakan filem ini dengan yang seangkatan dengannya pula adalah nilai ganasnya apabila (mungkin) lebih 100 orang mati dibunuh dalam masa satu setengah jam durasi filem, dan ideologi politiknya.

Jika dua filem awal Leone masih mengekalkan sikap Western Hollywood - dengan menjadikan 'yang asing' sebagai penjahat, penjenayah atau outlaws dari Mexico - filem Django arahan Sergio Corbucci, walaupun bersikap sama, ia turut menampilkan petani Mexico sebagai orang miskin yang menjadi mangsa kaum kulit putih di sempadan Amerika-Mexico.

Tidak cukup dengan kulit antagonis yang berwarna putih, watak mereka pula dihidangkan sebagai bekas tentera dan pemimpin Confederate, iaitu tentera Konfederasi selatan Amerika yang baru tewas kepada Bersekutu atau Union dalam Perang Saudara Amerika (1861-65).

Watak-watak Confederate itu ditampilkan sebagai rasis, kejam dan zalim. Watak Django sebagai protagonis pula dibawakan dalam suasana dia dalam kemarahan dan sentiasa mengusung sebuah keranda petanda isterinya yang mati dibunuh tentera Confederate.

Daripada pakaiannya yang kotor dan berdebu itu, dia jelas bekas tentera Union.

Unsur politik radikal

Ada dua lagi filem yang berlandaskan politik radikal juga merupakan arahan Corbucci, iaitu The Mercenary (1968) dan Companeros (1970). Kedua-duanya dibintangi Franco Nero dan ia berlatarbelakangkan Revolusi Mexico awal abad ke-20.

Revolusi itu dalam dunia yang sebenar pun agak rumit, mengelirukan serta memeningkan kepala kerana terlalu banyak watak yang mahu berkuasa.

Filem-filem itu pula menggunakan latar belakang revolusi tersebut untuk menonjolkan watak-watak protagonis yang kabur taraf hero mereka kerana ada kalanya bersikap tamak dan kurang ajar, ada kalanya pula baik hati dan sanggup berkorban.

Namun, pada penghujungnya ia tetap berpegang kepada tema kumpulan baik menewaskan yang jahat.

Tema yang sama juga ditampilkan dalam filem A Bullet for the General yang dibintangi Gian Maria Volonté arahan Damiano Damiani, serta Run Man Run arahan Sergio Sollima yang dibintangi Thomas Milian.

Nada dan aura politik kiri radikal amat terasa dalam filem-filem ini. Tidak dinafikan ia dipengaruhi suasana politik global pada masa itu yang dibayangi Perang Dingin.

Krisis peluru berpandu Cuba, Perang Vietnam, Revolusi Kebudayaan China dan kebangkitan anak muda serta pertentangan budaya, dan era pascamodernisme banyak meresapi pemikiran pengarah filem, malah sesetengah pelakon.

Sementara itu, Leone berpuas hati dengan filemnya yang dirasakan benar-benar sebuah epik western, iaitu Once Upon A Time In The West (1969) yang dibintangi Charles Bronson, Henry Fonda dan Claudia Cardinale.

Nada sinis

Namun, oleh kerana terlalu banyak filem tiruan dan ikutan Spaghetti Western telah dikeluarkan sepanjang dekad 1960-an, beliau merasakan perlu dilahirkan sebuah filem yang berlatarbelakangkan revolusi Mexico tetapi dengan nada sindiran.

Tajuknya adalah A Fistful Of Dynamite (1971) atau tajuk asalnya yang merupakan terjemahan daripada bahasa Itali, iaitu Duck, You Sucker. Dalam filem ini, revolusi tidak diagungkan, malah ditonjolkan sebagai permainan politik yang mempergunakan rakyat.

Salah satu dialog daripada watak utamanya lakonan Rod Steiger sebagai seorang samseng kampung memberi gambaran betapa sinisnya Leone terhadap politik revolusi:

“Orang yang membaca buku pergi kepada orang yang tak membaca buku - iaitu orang miskin - dan berkata: Kita perlu buat perubahan.

"Kemudian orang miskin pun buat perubahan. Lepas tu, orang yang baca buku, mereka duduk di keliling meja besar, dan mereka bercakap dan bercakap dan bercakap dan mereka makan dan makan dan makan, ya? Tapi apa yang berlaku kepada orang miskin? Mereka mati! Itulah revolusi engkau!”

Watak-watak lain termasuk seorang pejuang Tentera Republikan Irish (IRA) yang lari dari negaranya kerana diburu pihak berkuasa British.

Ia dilakonkan oleh James Coburn yang menjadi pakar letupan yang menjalin persahabatan dengan watak Steiger dan kedua-duanya saling curiga, namun ada pahit manis sebagai kawan.

Parodi dan era suram

Kebanjiran filem ikut-ikutan Spaghetti Western akhirnya melahirkan parodi, seperti yang berlaku kepada genre zombi pada hari ini. Jalan yang menjadi pilihan adalah komedi.

Pada 1970, filem My Name Is Trinity lakonan Terence Hill dan diarahkan oleh Tonino Valerii dengan dibantu sedikit-sebanyak oleh Leone menjadi parodi kepada genre itu.

Yang paling nyata ialah gaya watak utama yang pemalas dan diheret kudanya sendiri tetapi mempunyai kepakaran pantas bermain pistol. Selain sekuel kepada filem ini, Hill juga melakonkan beberapa filem komedi dalam genre yang sama termasuk My Name Is Nobody.

Menjelang pertengahan 1970-an, genre itu seperti sudah letih dan tiada apa-apa yang baru. Ia mati tidak berkubur apabila genre lain mula menggantikannya seperti jerung gergasi (Jaws), perang planet (Star Wars), rasukan syaitan (The Exorcist), petinju jalanan (Rocky) dan banyak lagi.

Genre aksi lasak pula kembali popular menjelang awal dekad 1980-an bersama pelakon Sylvester Stallone, Chuck Norris, Bruce Willis, Steven Seagal dan lain-lain.

Kini western tiada lagi sempadannya. Tiada sub-genre spaghetti atau macaroni, hanya sesekali diterbitkan sebagai tribut kepada genre yang lebih awal yang memperkenalkan Hollywood kepada dunia.

Contohnya Quentin Tarantino - yang turut menggemari genre Spaghetti Western ini - menghasilkan filem yang tidak bersifat retro, sebaliknya menjadikannya sebagai inspirasi untuk filemnya yang kontemporari.

Legasi yang ditinggalkan

Walaupun eranya singkat, Spaghetti Western banyak mempengaruhi industri filem dunia. Banyak filem Asia yang menyadur, meniru, malah mencuri sesetengah babak, watak dan runut bunyinya.

Di Malaysia, filem 6 Jahanam (1969) arahan dan lakonan P Ramlee jelas dipengaruhi genre tersebut. Di Hong Kong, filem Bells Of Death (1968) arahan Yeh Feng juga menggambarkan corak perwatakan serta plot Spaghetti Western walaupun ia asli dan baik dari segi teknik dan sinematografinya.

Sedekad kemudian, filem itu disadur oleh penerbit di Malaysia dengan tajuk Loceng Maut (1977).

Sama ada kita sedar atau tidak, filem-filem terbitan dari benua Eropah itu memberi peluang kepada pelakon-pelakon muda Amerika untuk menjadi terkenal serta legenda Hollywood yang sudah lewat usia untuk mengembalikan kegemilangan mereka.

Nama-nama mereka yang terlibat dalam genre tersebut, selain Eastwood, Van Cleef, Fonda, Nero dan Bronson, termasuklah Klaus Kinski, Burt Reynolds, Jack Palance, Yul Brynner, Woody Strode, dan Tony Anthony.

Dan, ya, memang watak utama wanita jarang ditonjolkan dalam genre itu. Entah kenapa, walaupun ramai pengarah berpemikiran kiri, kebanyakan watak wanita dalam filem-filem mereka hanya tampil sebagai mangsa penjahat yang perlu diselamatkan atau watak sampingan.

Hanya satu, dua filem sahaja memberi mereka peranan besar seperti watak Claudia Cardinale sebagai Jill McBain dalam Once Upon A Time In The West arahan Leone. Wataknya seorang bekas pelacur yang menjadi balu gigih mengusahakan tanah yang mahu dirampas oleh kapitalis syarikat keretapi.

Selain filem-filem yang disebutkan dalam tulisan ini dan minggu sebelumnya, antara permata klasik dalam genre ini termasuk Navajo Joe, Keoma, The Great Silence, Day of Anger, The Big Gundown, Death Rides a Horse, Sabata, Sartana, Face To Face dan Texas Adios.

Rasanya ini antara yang bermutu dan ada nilainya tersendiri; setidak-tidaknya semua ini saya telah tonton.

Memang ada banyak lagi, dan ada yang kurang bermutu, malah ada yang boleh dianggap teruk serta membuang masa. Namun, itulah hakikat dalam apa-apa genre.

Terpulang kepada diri sediri untuk menilainya. Jika masih berminat tentang genre yang sudah lama dilupakan ini, ada yang boleh ditonton di YouTube, dan ada yang boleh dicari di ruang-ruang lain.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen