malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Kolum
Gerakan guling Najib tajaan media luar negara
ADS

Saya amat yakin ramai akan bertanya bila gerakan guling Najib ini akan berakhir? Bila Najib akan dijatuhkan? Bila Najib berjaya digulingkan? Bila Najib akan berundur?

Bila rakyat Malaysia - anak semua bangsa - akan melihat Rosmah kali terakhir sebelum Rosmah lari naik kapal terbang?

Jawapannya cukup senang. Gerakan guling Najib ini tidak akan berakhir. Ianya hanya akan berakhir apabila Najib berjaya disingkir. Pada ketika ini anak semua bangsa di Malaysia tidak ada pilihan - masih terpaksa melihat Rosmah Mansor. Amin.

Saya amat sedar anak semua bangsa di Malaysia ini telah muak dan mual bila sahaja mendengar Najib atau Rosmah membuka mulut.

Pengalaman benci, muak, mual,loya dan perasaan hendak menerajang ini telah dirasakan dan dilalui oleh warga Indonesia di zaman Suharto. Perasaan yang dirasakan oleh warga Malaysia pada ketika ini telah dialami oleh warga Filipina di zaman Marcos dan Imelda. Warga Mesir juga telah melalui dan merasakan pekara yang sama di zaman Mubarak.

Jika anak semua bangsa di Malaysia terseksa melihat Rosmah jangan cepat naik darah. Bersabar. Ini kerana perasaan yang sama telah dialami oleh warga Tunisia.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda, pelajar dan mahasiswa di Tunis telah ‘muntah hijau’ bila sahaja mereka mendengar nama First Lady Leila Ben Ali.

Warga Mesir, Filipina, Indonesia, Tunisia terseksa bertahun-tahun. Tetapi akhirnya sampai juga saat dan ketika dimana penyeksaan mereka tamat. Dan mereka meloncat tinggi merayakan hari pembebasan.

Gerakan guling Najib ini terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama dari luar negara yang berpusat di Amerika Syarikat. Kedua - kumpulan dari dalam negara - kumpulan rakyat Malaysia sendiri.

Sejarah dan babak babak akhir membuktikan bahawa serangan ke atas Najib oleh media luar negara belum pernah terjadi seperti yang berlaku sekarang. Dalam bahasa Inggeris - unprecedented - tidak pernah terjadi.

Dalam kes liwat pertama Anwar Ibrahim - tahun 1998 - pun serangan dari media luar tidak seganas yang diajukan ke atas Najib. Serangan media luar terhadap Mahathir dalam kes Anwar tidak seampuh apa yang sedang berlaku kepada Najib.

Pada ketika itu, si Anwar ini adalah ‘darling’ kepada media Barat. 'Darling' ini ertinya kekasih 'lomoi' yang dicintai.

Pada ketika itu, Anwar telah memelihara dan membuat jaringan persahabatan dengan media luar negara dan politikus barat terutama di Amerika.

Wajib diingatkan bahawa Paul Wolfowitz peneraju Perang Iraq ialah kawan baik Anwar.

Serangan bertalu-talu

Sekarang semua berbeza. Serangan media luar negara terhadap Najib datang bertalu-talu. Sampai nak patah tengkuk Najib apabila tunduk membaca kutukan dan serangan ini.

Warga Malaysia - anak semua bangsa - wajib sedar serangan ini bukan datang daripada media jenis Baca Ria, Kosmo atau Harian Metro. Serangan ini datang dari media arus perdana yang berwibawa.

Media-media yang mengutuk Najib ini dibaca dan diyakini oleh warga di Amerika Syarikat, di Perancis, Switzerland, United Kingdom, Jerman, Kanada mahu pun di Australia.  Akhbar yang menyerang Najib ini adalah bacaan harian dan rujukan untuk elit politik dan elit ekonomi di Amerika Utara dan di Eropah.

Akhbar seperti Washington Post, Washington Times, The Los Angles Times, The Wall Street Journal, The Guardian, Le Monde, The Times, The Financial Times, The Age, Sydney Morning Herald, The Australian - semua akhbar ini bukan 'kecik anak'.

Harian ini mempengaruhi jalan politik, garis budaya dan garis ekonomi bukan hanya untuk Amerika Utara dan Eropah malah untuk dunia kapitalis.

Jangan sesekali terlupa, tiga tahun dahulu The New York Times (NYT) ialah akhbar pertama yang bertanggungjawab meledakkan berita dakwaan rompakan 1MDB. Ini sebelum Peguam Negara Puan Loretta Lynch daripada Department of Justice Amerika Syarikat (DOJ) membuat kenyataan.

The NYT kelihatan seperti 'kepala' untuk media barat. Apabila NYT mengambil sesuatu garis pendirian maka yang lain akan mengikut.

Begitu juga dengan stesen televisyen. Kelihatan jelas stesen televisyen di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia tidak putus-putus menggambarkan berita berkenaan Najib dan dakwaan rompakan 1MDB.

Stesen-stesen televisyen ini kelihatan amat gembira dalam usaha mereka memperlekeh Najib. Malah dapat dirasakan bahawa stesen televisyen ini secara terbuka mahu Najib digulingkan segera.

Pada tahun lalu, stesen Australian Broadcasting Cooperatiion (ABC) telah membuat dokumentari sepanjang 45 minit tentang keterlibatan Najib dalam tiga kes pembunuhan - Altantuya, Hussain Najidi dan Kevin Morais. Dokumentari ini jelas menunjukkan Najib sebagai ‘orang jahat’.

Mengikut labun Pak Menteri Salleh Keruak media luar negara dan stesen televisyen BBC, CNBC, CNN , ABC, SBS - terus menabur fitnah dan tohmah. Stesen televisyen ini seolah-olah dilihat sedang bersekongkol dengan Mahathir dan Pakatan Harapan dalam usaha menggulingkan Najib.

Saya amat yakin gerakan guling Najib dari luar negara ini akan berterusan. Kita baru sahaja diberi tahu tentang sebuah buku yang akan muncul pada bulan September ini.

Akhbar The Wall Street Journal akan mengeluarkan sebuah buku tentang kisah dakwaan Najib mencuri duit 1MDB.

Seawal bulan Mac - portal penerbit buku Amazon.com - telah mengiklan buku bernama - Billion Dolar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World.

Buku ini pasti akan meledak heboh sedunia. Pasti laris berjuta naskah. Pasti menjadi Buku Ter Hot di NYT untuk beberapa bulan.

Minah Oprah pasti akan menemubual Tom Wright - penulis buku ini - juga wartawan daripada Wall Street Journal. Bila ini berlaku maka kisah Najib anak beranak dan kawan baiknya - protoganis utama yang bernama Jho Low - akan menjadi perbicangan sedunia.

Dunia kenal Malaysia

Ketika ini, kita wajib berbangga kerana seluruh dunia telah mengenal Malaysia. Malah kita wajib tersenyum puas - walau pun kita bukan pemenang hadiah nobel atau pemenang Piala Bola Sepak Dunia - tapi kita ada memiliki seorang Perdana Menteri yang didakwa sebagai pencuri.

Satu-satunya Perdana Menteri dalam dunia ini yang didakwa terlibat dalam kes curi dan kes bunuh. Berbanggalah. Amin.

Dalam buku yang akan terbit ini pasti ada babak pencurian, penipuan dan pembunuhan.

Watak-watak perempuan genit cun lagi bergetah seperti Paris Hilton dan Merinda Kerr akan memainkan peranan penting. Ini diselang seli dengan watak perempuan bernama Rosmah.

Kisah intan berlian merah jambu - anting-anting, rantai dan gelang akan berselerak di sana sini.

Dan jangan lupa dengan babak lukisan pelukis gagalis miskin yang hilang sebelah telinga. Van Gogh ialah seorang 'Gagalis' yang cintanya ditolak oleh seorang 'Minah' di Brixton, London akan memainkan peranan latar untuk menghias rompakan duit 1MDB. Semua ini adalah aji-no moto - yang akan merancakkan jualan buku ini.

Pasti ada babak bagaimana duit curi 1MDB telah digunakan oleh Jho Low untuk merayakan tahun baru 2013 sebanyak dua kali pada hari yang sama.

Awalnya pesta tahun baru ini dirayakan di Sydney Australia kerana tahun baru sampai awal disana. Kemudian semua tamu Jho Low diterbangkan dengan dua buah pesawat Jumbo ke Los Angles untuk pesta sambutan tahun baru kali kedua. Bayangkan. Bayangkan. Amin.

Kalau saya yang berjaya mencuri duit 1MDB berbilion bilion dolar - akan juga membuat pesta tahun baru yang lebih hebat daripada apa yang dibuat oleh 'Cina Tembam bernama Jho Low' ini.

Saya akan mengadakan pesta tahun baru di Finland, di mana matahari tak turun-turun selama tiga bulan. Saya akan pastikan semua warga Brickfield akan diterbangkan ke Finland.

Dan tamu kehormat saya pastilah 'YB Tontotwi'. Saya juga tidak akan lupa akan menjemput bintang filem dari Jerman.

Pesta hedonis seperti ini tidak ada apa-apa masalah. Terlalu jauh dari tangan Jakim atau Jais. Tentang belanja. Tidak perlu dirisaukan. Jika putus duit buka saja kantong 1MDB. Dolar dan pound akan mencurah keluar. Bayangkan. Amin.

Babak pesta Champagne dan entot mengentot di atas kapal Equanimity akan memeriahkan buku ini.

Pasti watak Leornadio Di Caprio dan Martin Scorsese akan muncul. Awas bukan sebagai sebagai pelakon tambahan tapi sebagai penerima dana dari duit curi 1MDB.

Sesudah buku ini diterbitkan pasti ada filem menyusul. Pernah dilaporkan sebuah filem dokumentari tentang 1MDB sedang disunting.

Lihat dan perhatikan cara kempen menggulingkan Najib ini disusun oleh media asing. Semua diatur. Semua disusun satu persatu.

Jho Low di Shanghai?

Semua dipastikan akan memberi impak maksima. Semua bertujuan untuk menjerut leher si Najib anak beranak.

Pada tahap ini dikatakan Riza anak Rosmah Mansor dengan suami pertama sedang menyorok di Putrajaya.

Pada ketika ini, mengikut dakwaan dalam laporan harian The Australian  'si Lanun rakan curi' Najib yang bernama Jho Low sedang menginap di sebuah hotel mewah di Shanghai.

Kenapa di Shanghai ? Kenapa China Merah memelihara dan memberi perlindungan kepada Jho Low? Itu satu babak yang tersendiri.

Bagaimana pula gerak kerja rakyat Malaysia untuk menggulingkan Najib? Kita tunggu minggu hadapan.

 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen