malaysiakini logo
story-image
ADS

Bahagian pertama

Spaghetti Western tidak ada kena-mengena dengan spaghetti bolognese, seafood marinara, aglio olio atau carbonara. Ia bukan makanan Barat. Malah, ia tidak ada kena-mengena dengan makanan.

Ia adalah satu istilah yang pada asalnya bertujuan mengutuk sesuatu, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya – ia menjadi satu panggilan yang diterima ramai, malah disenangi umum.

Ia sebenarnya merupakan satu genre - atau bagi sesetengah pengkaji filem yang serius - dianggap sebagai subgenre filem.

Asal nama spaghetti yang merupakan nama makanan tradisi Itali itu sebenarnya cubaan penulis dan pengkritik filem Barat yang mahu memperlekehkan karya pengarah serta penerbit Eropah yang dianggap gred B, tidak bermutu serta di bawah tahap pengarah besar Hollywood pada masa itu seperti John Ford, Howard Hawks dan John Sturges.

Sebaliknya - seperti legenda muzik/gaya punk - nama Spaghetti Western lekat sebagai satu kebanggaan. Ia seperti etimologi punk yang pada asalnya merupakan kata nista untuk menunjukkan betapa lekeh, buruk dan kejinya genre subkultur anak muda Barat sekitar awal 1970-an.

Hari ini istilah punk dan Spaghetti Western, masing-masing adalah genre yang diterima umum tanpa sebarang kontroversi.

Jika anda pernah mendengar dan menonton filem Django Unchained (2012) atau The Hateful Eight (2015) arahan Quentin Tarantino, anda tentu tahu bahawa kedua-dua filem itu – walaupun kedua-duanya karya original – merupakan tribute beliau kepada genre Spaghetti Western.

Malah, sebelum itu pun, Tarantino sering menggunakan muzik dan lagu daripada filem-filem asal Spaghetti Western yang diserapkan dalam runut bunyi filem-filem arahannya yang lain yang tidak ada kena-mengenai dengan genre tersebut.

Misalnya filem perang Inglourious Basterds (2009) dan filem aksi Kill Bill Volume 1 dan 2 (2003 & 2004).

Sebermula kisah koboi

Sedikit sebanyak sejarahnya bermula di AS. Antara genre Hollywood yang popular sejak filem diperkenalkan pada abad ke-20 yang lalu adalah filem koboi dan Red Indian – ia digelar westerns.

Genre ini merupakan filem cereka dengan latar belakang kehidupan lasak abad ke-19 yang mempunyai watak-watak gembala lembu (cowboys), penjenayah (outlaws), penyelia keselamatan (sheriff dan marshall), pemburu penjenayah (bounty hunters), pakar menembak (gunfighters dan gunslingers), dan pelbagai insan yang mencari kehidupan baru dalam dunia Wild West di Amerika.

Bagi saya, dalam genre awal filem-filem tersebut, ia sebenarnya merupakan kisah pendatang kulit putih Eropah ke Amerika yang memerangi kaum pribumi (yang digelar bangsa kulit putih sebagai Red Indian) untuk merampas tanah adat mereka atas nama kemajuan, pembangunan, dan tamadun Barat.

Watak-watak sebenar yang digembar-gemburkan aksi mereka dalam filem termasuklah protagonis, sama ada yang baik atau yang jahat yang dijadikan hero seperti Jesse James, Billy The Kid, Wild Bill Hickok, Wyatt Earp, Doc Holliday, Calamity Jane dan banyak lagi. Semuanya orang kulit putih belaka.

Pemberani tapi rasis

Yang menjadi antagonis dalam genre Hollywood tersebut termasuklah wira pribumi seperti Crazy Horse, Sitting Bull, Geronimo dan sebagainya, dan orang Mexico.

Pelakon tambahan yang sering menjadi penjahat, pelawak dan penghias latar belakang juga orang Mexico, warga kulit hitam, pekerja Jepun dan kuli dari China.

Setidak-tidaknya itulah yang digambarkan dalam filem-filem koboi yang dibintangi John Wayne dan yang lainnya yang mahu menjadi seperti John Wayne – gagah, berani dan sering kali rasis – sejak awal abad ke-20 hingga kepada dekad 1960-an.

Itu juga penampilan sang wira Amerika ditonton di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Rahsia kejayaannya adalah kerana plotnya yang mudah. Biasanya ia menceritakan tentang watak wira di dalam sebuah bandar kecil yang tidak senang melihat watak jahat yang mengganggu ketenteraman awam dengan ugutan dan sikap samseng.

Apabila wira jatuh cinta dengan seorang wanita yang turut dikacau gangu oleh ketua penjahat, mereka bertumbuk, dan ia berakhir dengan pertembungan pistol satu lawan satu. Ia digelar showdown atau face-off. Memang hero yang menang.

Di kala yang lain pula - di kawasan luar bandar atau ladang kampung - watak wira merupakan gembala lembu yang sedang bercinta atau mempunyai isteri yang dicintainya.

Pasanga itu diganggu oleh Red Indian atau penjahat Mexico yang mahu merampas ternakan mereka. Dengan bantuan tentera kulit putih AS yang berada di sana, mereka berjaya menewaskan kumpulan penjahat - yang ketuanya juga mahu merampas kekasih atau isteri hero.

Sehingga akhir 1960-an, amat jarang kisah sebenar tentang penindasan dan penderitaan kaum Red Indian dipaparkan dalam filem Hollywood.

Hanya selepas kelahiran genre Spaghetti Western dan ditambah pula dengan kesedaran serta kebangkitan sosiopolitik anak muda Amerika pada perghujung 1960-an barulah kisah-kisah kezaliman penguasa kulit putih dijadikan filem.

Filem western dari Eropah

Warga global yang tidak tahu apa-apa tentang hal itu hanya melayan keseronokan menonton filem-filem aksi yang memuatkan adegan tumbuk-menumbuk, tembak-menembak, sekali-sekala ada romatintik hero dan heroinnya, dan watak yang baik sudah pasti menang di akhir filem.

Sehinggalah plot yang basi dan berulang-ulang itu dengan sinematografi dan muzik latar yang sama bangkit dicabar oleh satu genre western - dari Eropah - yang berbeza sama sekali.

Pengalaman peribadi saya merasakan ia ada sedikit persamaan dengan kelahiran genre muzik/sikap punk di Britain pada pertengahan 1970-an yang lahir kerana kebosanan anak muda kepada suasana hidup yang beku dan kaku di alam pengangguran, kemerosotan ekonomi serta kegagalan band-band rock gergasi yang tidak lagi mempedulikan peminat dan terlalu syok sendiri dengan dadah atau gaya hidup peribadi mereka.

Namun begitu apa yang berlaku kepada filem western Eropah pada awal 1960-an ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan protes terhadap genre western Hollywood. Malah, ia merupakan satu ketidaksengajaan.


Baca Punk tanpa fesyen, tiada seragam


Ia bermula sebagai satu penghormatan dan rasa ingin meniru “kejayaan” filem-filem koboi Hollywood.

Segelintir pengarah filem di Jerman dan Itali telah menghasilkan filem western dengan imaginasi mereka sendiri yang difilemkan sepenuhnya di Eropah sebagai tanda penghargaan kepada genre Hollywood tersebut.

Daripada ketidaksengajaan itu, lahir satu kejayaan box-office yang tidak terduga apabila seorang pengarah Itali bernama Sergio Leone menghasilkan filem A Fistful of Dollars (1964) yang berbeza daripada semua genre western yang ada pada masa itu.

Walaupun ia bukan filem koboi pertama dari Eropah, ia merupakan titik permulaan populariti genre tersebut.

Pihak jahat tumpas juga

Watak wiranya merupakan seorang lelaki tanpa nama yang selekeh rupa, pakaian dan gayanya tetapi ditampilkan sebagai pakar menembak dengan pistol.

Wajahnya tidak bercukur, pendiam dan serius. Dia sememangnya seorang hero gunfighter seperti dalam genre Hollywood tetapi dia juga kelihatan seperti seorang penjahat atau outlaw.

Sang wira itu yang tiba di sebuah pekan telah mengadu domba dua kumpulan keluarga kaya yang berbermusuhan untuk menguasai kawasan tersebut.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya agendanya terdedah. Dia dipukul dan diseksa tetapi berjaya melepaskan diri.

Akhirnya, dengan kecekapan bermain senjata serta kelicikan strategi, membolehkan dia menumpaskan pihak jahat.

Apa yang membezakan ia dengan genre koboi Hollywood adalah ketiadaan watak baik. Memang ada protagonist dan antagonis tetapi kesemuanya mempunyai agenda yang tidak luhur. Akhirnya ramai terkorban.

Tetapi kekuatan filem itu bukan sekadar pada plotnya. Ia juga ada pada cara arahan, suntingan, sudut sinematografi, malah dialog dan muzik latar yang tidak pernah didengar sebelum itu.

Runut bunyi filem itu merupakan gabungan gitar elektrik, siulan, gendang, wisel dan sebagainya. Ia bukan lagi orkestra yang besar dalam genre biasa western dari Amerika.

Komposer yang menghasilkan muzik dan bunyian yang unik itu adalah Ennio Morricone.

Pelakon siri TV Hollywood Rawhide yang bernama Clint Eastwood yang memegang peranan utama dalam filem Itali tersebut - yang membuat penggambaran di Sepanyol - sebenarnya menerima tawaran untuk berlakon sekadar mengisi masa lapang serta melancong ke Eropah apabila siri televisyennya berehat seketika.

Lelaki tanpa nama

Tiada siapa yang menjangka filem tersebut menjadi box office di Eropah. Walaupun timbul kontroversi kerana Leone dikatakan telah mencuri idea itu daripada filem Jepun, Yojimbo (1961) arahan Akira Kurosawa. Dia kemudian bersetuju untuk berkongsi royalti dan hak dengan Kurosawa.

Kejayaan filem itu serta pengalamannya mencedok karya orang lain tanpa kebenaran menjadi pengajaran buat Leone. Filem seterusnya - dengan watak sama, yang digelar media sebagai Lelaki Tanpa Nama (The Man With No Name) - meluaskan lagi pengaruh genre western yang terbaru itu.

Filem For A Few Dollar More (1965) bukan sahaja popular di Eropah, malah di seluruh dunia. Ketika The Beatles, The Rolling Stones and The Who menguasai pasaran muzik global, filem tersebut menumpang kejayaan dengan muzik latar yang lebih rancak dengan penggunaan gitar elektrik.

Seperti cekapnya P Ramlee dalam mengadun segala pengaruh dan idea di sekelilingnya untuk menghasilkan lagu serta filem, komposer Morricone juga mengambil pelbagai pengaruh dan karya lain yang diadunkannya untuk menjadi hasil tersendiri yang original.

Selain mengangkat fenomena Eastwood sebagai pelakon aksi, filem itu juga mengembalikan sinar kepada seorang pelakon yang hampir bersara iaitu Lee Van Cleef (kerana gagal mendapat peluang baik di Hollywood).

Van Cleef yang sudah pun berusia 40 tahun pada masa itu kemudian terkenal sepanjang dekad 1960-an dan 1970-an sebagai aktor yang boleh membawa watak jahat dan baik pada bila-bila masa diperlukan.

Malah, filem terakhir dalam trilogi Lelaki Tanpa Nama atau kadangkala digelar Dollars Trilogy itu merupakan kemuncak Leone menampilkan visi dan imaginasinya terhadap genre western Amerika.

Dia memilih latar Perang Saudara Amerika (1861-65) untuk mempertemukan tiga watak tanpa agenda luhur serta tamak dan mahu menikam belakang sesama sendiri – The Good, The Bad and The Ugly (1966).

Saya meletakkan filem ini sebagai salah satu daripada 20 filem terbaik pilihan peribadi. Ia juga mengetengahkan keberanian Leone untuk menonjolkan hal-hal politik, perang dan propaganda.

Ia menampilkan apa yang dilihatnya sebagai kebodohan dan kekejaman perang yang tidak memberi apa-apa faedah kepada orang awam serta askar pangkat bawahan.

Di sini juga letaknya garis pemisah di antara genre western Hollywood dan Eropah, iaitu pendirian politik yang tegas, dan kadangkala jelas menonjol. Mungkin kerana pengarah Eropah - khususnya dari Itali - datang dari latar belakang gerakan kiri dan progresif, malah komunis.

Berbeza pula di Amerika apabila semua pengamal filem dan media Hollywood telah “dibersihkan” oleh kerajaan sayap kanannya, sama ada Republikan atau Demokrat yang antikiri sepanjang dekad 1950-an hingga 1960-an.

Semua pengkarya Hollywood yang progresif telah dituduh komunis, dan dihalang bekerja; mereka yang bukan warganegara telah dihalau keluar dari Amerika.

Dalam bahagian kedua tulisan ini nanti, saya akan bawakan kisah fenomena Spaghetti Western yang telah melahirkan ratusan filem tiruan, dan daripada jumlah itu terdapat beberapa permata yang bernilai.

Juga sedikit tentang ideologi dan politik kiri dalam genre ini. Jika masih berminat membacanya, ikuti sambungannya nanti.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen