malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam tulisan minggu lalu saya telah menunjukkan bukti-bukti sahih bagaimana dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Pakatan Harapan hanya kalah dalam PRU14 kerana ditipu. Umum telah mengetahui perkara ini. Penipuan yang dirancang telah lama menjadi rahsia umum.

Saya juga telah menerangkan bahawa dalam PRU14 ini, Pakatan Harapan akan menang untuk kali kedua. Kali pertama Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 tahun 2013. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Ini fakta sejarah.

Maka sahihlah bahawa musuh utama dan penyebab utama jika Pakatan Harapan gagal ke Putrajaya pada PRU14 ialah kerana adanya penipuan. Penipuan ini tersusun, teratur dan terancang.

Dalam masa yang sama Najib juga sedang membuat persediaan. Persediaan untuk apa?

Mengikut bacaan politik Mahathir Muhamad bakal perdana menteri Malaysia, sesudah PRU14, si Najib masih belum bersedia untuk mengundur secara terhormat. Banyak songeh sedang dirancang. Banyak projek sedang diatur oleh Najib dan aparaciknya.

Maka tugas orang ramai – kita sesama kita – yang sayangkan Tanah Melayu ialah memerhati dan memahami lenggok dan muzik yang sedang dilagukan oleh Najib. Kita semua wajib bersedia. Bijak membaca lenggok politik musuh agar kita tidak terperangkap dalam strategi musuh.

Berita terkini melaporkan si Najib ini tidak lagi makan nasi. Kini Najib makan quinoa. Apakah memakan ‘benda’ ini akan memberikan Najib kelebihan kudrat untuk berlari? Sekurang-kurangnya tidak semput untuk lari masuk ke dalam kapal terbang. Betul ke berita ini? Atau hanya berita palsu.

Najib tidak makan nasi adalah berita benar. Bukan berita palsu. Najib akan lari masuk ke dalam pesawat terbang ini hanya andaian.

Sabar dulu. Andaian ini berasaskan berita bergambar dari Facebook A Kadir Jasin. Kadir ini ialah bekas ketua pengarang akhbar New Straits Times. Dalam FB Kadir diperlihatkan gambar sebuah pesawat Antonov 124. Ini pesawat pengangkut yang terbesar dari Kazakhstan.

Apa lagi yang akan diangkut oleh pesawat ini hanya jin Afrit yang tahu. Kenapa pesawat ini berlabuh di KLIA wallahualam bissawab.

Kenapa si Najib membuat persediaan? Apakah semua yang dirancang tidak meyakinkan si Najib? Bagaimana dengan kerja politik para macai dan para gurkha?

Kita semua wajib sedar bahawa si Najib pasti berfikiran jauh hingga sampai ke Sungai Buloh. Najib pasti memikirkan untuk tidak mahu masuk ke bilik yang telah dikosongkan oleh Anwar di Sungai Buloh.

Justeru si Najib ini pasti ada memiliki plan B. Ini penting. dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Dalam politik, tiga hari adalah masa yang amat panjang.

Najib sedar ombak rakyat sedang bergelora. Ombak ini akan sampai untuk menghumbankan Najib dan United Malays National Organisation dalam PRU14 ini.

Pada awal bulan Februari ini si Najib ini sedang melihat dirinya dengan jelas. Melihat diri? Apa yang akan berlaku?

Minggu ini Najib dan Rosmah pasti menggelabah gila babi. Mungkin si dua sejoli ini telah menelefon Kazakhstan dan bertanyakan tentang Antonov 124? Kenapa perlu menelefon Kazakhstan?

Panggilan telefon wajib dibuat kerana adanya satu rancangan tersusun yang selari dengan perancangan Najib sendiri. Perancangan ini lebih rapi, lebih tersusun dari rancangan Najib. Perancangan ini sedang menetas.

Ini bukan rancangan Mahathir. Bukan rancangan Wan Azizah. Bukan rancangan Lim Guan Eng. Bukan rancangan Mat Sabu. Ini emak, ayah, datuk semua perancangan. Ini rancangan dan kerja sulit FBI dan CIA. Ini konspirasi global mat salih untuk menjatuhkan Najib dan Rosmah.

Apa dia sedang berlaku? Kenapa FBI? Kenapa CIA? Kenapa mat salih ini masuk campur?

Biar saya petakan rancangan ini agar kita semua tahu dan sedar bahawa rancangan ini juga adalah sebahagian dari projek yang akan memastikan Pakatan Harapan menang dalam PRU14.

Pertama, hujan tidak ribut pun tidak, tetiba pada 26 Februari 2018 akhbar Tages-Anzeiger dari Zurich, Switzerland melaporkan kenyataan menteri kewangan Swiss tentang duit 400 juta ringgit yang dirampas dari wang haram 1MDB. Kerajaan Swiss berhak mengambil duit ini.


Baca: Akhbar: K’jaan Switzerland mahu RM400 juta wang 1MDB


Berita ini disambut oleh Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan. Mengikut Mahathir, duit ini adalah milik rakyat Malaysia. Sesudah PRU14 duit ini akan diambil kembali oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Kenapa tetiba cerita duit 400 juta ringgit ini muncul? Kisah 1MDB dah mula senyap. Dari Amerika tak ada berita apa-apa. Heboh-heboh 1MDB telah luntur. Sabar dulu. Rupa-rupanya duit 400 juta ini hanya mukadimah. Ada lagi ledakan yang akan muncul. Ledakan jenis apa?

Kedua, tetiba bom atom meledak di Bali. Kapal mewah Equanimity milik Jho Low disita. Kapal yang bernilai 1 bilion ringgit ini didakwa dibeli dengan duit curi 1MDB. Kapal ini telah disita oleh Indonesia? Biar betul? Disita oleh kerajaan Indonesia?

Disita oleh Indonesia dengan kerjasama FBI. Aduh! Ini pasti memeningkan kepala Najib. PRU14 makin dekat. Apakah Indonesia kembali dengan sikap pro-Anwar dan menyokong Pakatan Harapan?

Kunci berita ini ialah kerjasama Indonesia dengan FBI. Mengikut kenyataan rasmi kerajaan Indonesia kapal ini telah diekori selama lapan hari. Lapan hari?

Ini maknanya dalam masa lapan hari ini FBI pasti telah sempat berurus dengan akhbar Tages-Anzeiger di Zurich untuk memecah kesepian berita 1MDB. Bijak. Bijak cara kerja mat salih ini. Ini dinamakan perancangan rapi lagi teratur.

Berita kapal Jho Low disita di Bali menjadi berita dunia. Dari London ke Paris ke New York semua melaporkan tertangkapnya kapal Jho Low.

Berita ini menjadi paling hot di Malaysia. Portal Malaysiakini dan Malaysia Insight hampir runtuh oleh kemasukan pembaca. Akhbar Melayu arus perdana tidak melaporkan apa-apa. Media Melayu arus perdana sibuk dengan projek membodohkan Bani Melayu dengan kisah Neelofa.


Baca: Akhbar Melayu, Inggeris abai laporan kapal Jho Low dirampas


Najib sendiri terperanjat besar kerana si Jawa Jokowi telah berani menibai Najib yang mengakui dirinya sebagai pahlawan Bugis. Satu untuk Jawa. Kosong untuk Bugis.

Seperti biasa peguam negara Malaysia mula bersilat lidah membuat berita palsu lagi bodoh dengan menyatakan bahawa kapal Jho Low bukan milik Malaysia. Tidak cukup dengan kebodohan peguam negara, Salleh Keruak untuk membuktikan dirinya lebih bodoh lagi dengan berkata tidak ada bukti yang Equnimity ini milik Jho Low.


Baca: Salleh: Tiada bukti Jho Low pemilik Equanimity


Kita semua bernasib baik. Rakyat Malaysia terselamat kerana bodoh dan bangang ini bukan penyakit berjangkit.

Bom atom telah meledak di Bali. Najib dan Rosmah berharap-harap dalam masa dua tiga hari semua ini akan senyap dan reda. Portal berita yang antikerajaan akan membawa kisah yang lain.

Para aktivis di FB dan media sosial akan heboh dengan berita Neelofa atau Sajat akan mengumumkan tentang jantinanya seminggu sekali. Ini berita mimpi harapan Najib. Ini harapan mimpi berita Rosmah.

Ini juga mungkin doa Riza Aziz selepas muncul berita kapal Jho Low disita.

Ketiga, tetiba pada 1 Februari 2018 sebuah lagi bom atom meledak. Kali ini dari akhbar The Wall Street Journal (WSJ). Sekali lagi dunia gempar dengan berita 1MDB.

Kali ini WSJ telah melaporkan dakwaan rundingan pihak Jho Low dengan satu sosok dari parti Republikan yang rapat dengan presiden Trump. Dana sebanyak 75 juta dolar Amerika akan bertukar tangan jika DOJ membatalkan semua kes 1MDB.


Baca: WSJ: Sekutu Trump minta wang dari Jho Low untuk pengaruhi DOJ


Lihat bagaimana perancangan FBI dan CIA ditetaskan di media. Bermula dengan berita menteri kewangan Swiss. Diikuti dengan tertangkapnya kapal Jho Low. Satu demi satu disusun diatur untuk mendapatkan impak maksimum.

Berita tentang percubaan merasauh ini telah diketahui lama oleh WSJ. Surat menyurat yang menjadi bahan bukti telah lama disimpan oleh WSJ. Tetapi WSJ menunggu saat dan masa yang amat baik untuk meledakkan berita ini.

Masa dan ketika yang amat baik ialah sekarang, ketika dikatakan sedang ada rancangan untuk menipu dalam PRU14, ketika Najib hendak menafikan kemenangan Pakatan Harapan.

Amat jelas konspirasi mat salih ini adalah sebahagian dari projek ‘regime change’ yang telah dirancang dengan licik sekali.

Projek regime change atau 'terajang Najib' ini selari dengan niat dan cita-cita warga Malaysia. Anak semua bangsa, bangsa semua agama, akan menggalu-alukan sesiapa saja yang sudi bergerak bersama-sama dalam usaha menghumbankan Najib dan Rosmah.

Bila saya menutup tulisan ini saya amat yakin pasti akan lagi ledakan yang sedang dirancang. Apa lagi projek terajang ini? Pasti ada. Kita tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen