malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya ada terbaca kenyataan Mahathir Muhamad pengerusi Pakatan Harapan. Mahathir memberi penerangan kepada media tentang dasar dan isi manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14.

Antara lain, mengikut Mahathir, dalam masa 100 hari Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya, Najib – yang telah menjadi bekas perdana menteri - akan ditangkap dan didakwa.

Untuk saya ini satu kenyataan yang amat bahaya. Untuk saya ini satu berita yang menakutkan. Saya faham kenapa kenyataan ini dibuat. Saya faham kenapa dasar ini dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan. Tetapi saya merasa takut. Apa yang saya takutkan?

Dari satu segi manifesto Pakatan Harapan yang ini memang menggembirakan hati rakyat Malaysia. Isi manifesto PRU14 seperti ini memang ditunggu-tunngu oleh 30 juta warga Malaysia. Anak semua bangsa, bangsa semua agama, di Malaysia ini telah lama tertunggu-tunggu untuk melihat Najib dan Rosmah didakwa.

Rakyat satu Malaysia, malah rakyat dunia gian bagai nak rak. Satu dunia tak sabar hendak melihat Najib dan Rosmah memakai baju lokap. Tetapi awas!

Secara jujur saya katakan, saya juga menyimpan harapan yang sama. Dalam hati kecil, saya juga mahu melihat Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa. Tetapi saya merasa gusar. Saya merasa risau. Ada sesuatu yang menakutkan saya.

Saya akui pada ketika ini Pakatan Harapan semakin mantap. Organisasi dan struktur Pakatan semakin tersusun. Kluk Klak di Selangor kini telah selesai tuntas. Tidak ada lagi niat dan cita-cita gelap untuk membuat kerjasama dengan parti Islam PAS.

Parti Islam PAS ini semakin jelas dilihat sebagai musuh rakyat. Menjalin kerjasama secara terang atau gelap akan memudaratkan sokongan rakyat yang telah muak mual loya dengan pembelotan PAS.

Pengagihan kerusi bakal calon semakin selesai. Ini langkah yang bijak – bersedia seawal mungkin. Kritikan di sana sini membuktikan bahawa perbincangan sedang berjalan. Bersuara mengeluarkan pandangan dibaca sebagai politik sihat. Ini membuktikan dalam Pakatan Harapan tidak wujud kuasa hegemoni dari mana-mana parti politik. Ini satu yang amat positif.

Dalam Pakatan Harapan tidak wujud parti besar. Tidak ada kuasa hegemon atau veto. Semua disuarakan untuk dituntaskan secara bersama.

Justeru dalam keadaan sedemikian saya melihat sokongan orang ramai terhadap Pakatan semakin ampuh. Di mana-mana saya pergi, bakal pengundi akan bertanya bila PRU? Penyokong dan orang ramai sudah mula tidak sabar untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah.

Jiwa tak tenteram

Keadaan sedemikian menakutkan saya. Ini menjadikan jiwa saya tidak tenteram. Sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang semakin mengampuh menakutkan saya.

Saya takut kerana Najib juga sedang membaca keadaan yang sama. Najib dan konco-konconya sedang melihat sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin merebak.

Contoh awal ialah Felda. Najib sedar warga Felda kini telah huru-hara. Warga Felda yang selama ini menjadi undi simpanan United Malays National Organisation kini telah pecah terbarai.

Rancangan telah disusun. Projek tangkap Isa Samad diatur. Penangkapan ini bertujuan untuk menenteramkan jiwa dan hati warga Felda yang barah membara kerana hutang yang tidak pernah selesai.

Projek ini membenarkan jurukamera menunggu dari posisi kamera yang amat strategik. Ini untuk merakam muka dan baju kuning penjara SPRM yang dipakai oleh Isa Samad.

Sayangnya gambar klasik Isa Samad digari masuk ke dalam lokap SPRM telah gagal memandulkan kemarahan warga Felda. Tup tup meledak berita tanah Felda di Jalan Semarak lesap terjual. Ini menambahkan kemarahan warga Felda. Lagu Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain pun tidak lagi dapat menghiburkan hati marah peneroka.


Baca: Felda dapat semula tanah, projek tetap jalan


Ada 54 kerusi Parlimen terikat dengan undi Felda. Justeru jika warga Felda meninggalkan Najib maka dengan serta merta kuasa Najib akan runtuh. Ini bermakna Pakatan Harapan akan mengambil alih kerajaan. Ini bermakna Najib akan ditangkap.

Fakta ini menjadikan saya takut dan gusar. Apakah Pakatan akan menangkap Najib dan Rosmah? Untuk saya ini bahaya. Bahaya apa?

Pada hemat saya bahaya besar akan datang. Bahaya yang saya maksudkan ialah Najib akan menyusun. Najib akan memastikan Pakatan Harapan tidak akan sampai ke Putrajaya. Najib akan memastikan Rosmah akan terus selamat dan dapat memiliki Hermes Birkin edisi kulit anak buaya biru 2018.

Ketika ini, Najib telah menyusun Felda 2.0. Ini adalah jawapan Najib terhadap Mahathir. Najib sedar bahawa Mahathir telah berjaya mendapat sokongan warga Felda. Najib juga sedar akan peranan ANAK - NGO kaum kerabat Felda yang menyokong Pakatan Harapan.

NGO ANAK telah berjaya mentarbiah dan menghasut generasi kedua warga Felda untuk membenci Najib dan menyokong Pakatan Harapan.

Najib juga sedar pengaruh Mahathir makin merebak melintasi Felda. Justeru pada Hari Raya Cina tahun ini si Najib telah menziarahi Langkawi. Di Langkawi Najib telah mengumumkan dana sebanyak 1.3 bilion ringgit untuk warga Langkawi.

Dedak Langkawi

Dedak Langkawi ini ditabur untuk memastikan pengaruh Mahathir lupus atau dapat dikurangkan. Didesasdesuskan bahawa Mahathir akan bertanding di Langkawi. Dana 1.3 bilion ringgit ini adalah kereta kebal Najib untuk bertahan.

Pengaruh Mahathir bukan hanya di Langkawi, Malah di Kedah bekas ketua bahagian United Malays National Organisastion untuk kawasan Kubang Pasu ini amat-amat berpengaruh. Menteri besar Kedah yang bukan dari Pakatan Harapan terpaksa menerima hakikat bahawa Mahathir telah berjasa di Kedah.

“Orang Kedah sayang Mahathir...” adalah antara kata-kata MB Kedah Ahmad Basah yang dilapor oleh Malaysian Insight pada 19/2/18. Ini kenyataan berbahaya. Kenyataan seperti inilah yang menakutkan saya.

Berita dari warung ke warung makin merebak. Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan. Pengaruh Parti BERSATU cukup ampuh di Kedah. Ke mana sahaja kita menapak kita akan terlihat kibaran bendera merah Bunga Raya BERSATU. Ini menakutkan.

Apa yang saya takutkan? Saya tidak takut dengan rancangan dedak Langkawi atau Najib membuat Felda 2.0 sampai ke Felda 100 pun. Ini tidak menakutkan. Apa yang menakutkan ialah rancangan Najib untuk menyelamatkan dirinya masuk penjara.

Mustahil Najib tidak sedar bahawa dalam PRU14 kali ini Pakatan Harapan akan menang. Sama seperti PRU13 dahulu rakyat akan berbondong-bondong turun untuk mengundi Pakatan Rakyat. Mustahil Najib tidak terhidu perkara ini. Mustahil si Najib tidak mendapat laporan risikan tentang sokongan terhadap United Malaysa National Organsiation makin merosot.

Malah kelmarin 18/2/18 akhbar China Press telah melaporkan bagaimana Timbalan Pengerusi MCA Wee Ka Siong telah meramalkan United Malays National Organisation akan kalah dalam PRU14 nanti.


Baca: MCA nafi ramal Umno kalah PRU


Ini bukan ramalan kecil anak. Ini ramalan parti cukong MCA, parti kawan setia Najib. Ramalan ini dibuat mungkin dengan niat jujur agar Najib bersedia menerima hakikat untuk mengundur diri. Atau ramalan ini cara MCA membeli insurans nyawa untuk selamat apabila Pakatan Harapan berkuasa sesudah PRU14.

Semua jarum kompas politik sedang menunjukkan Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 ini. Kerana kompas politik ini semakin jelas maka saya semakin takut.

Saya bukan takut untuk menang. Dasar saya ialah berani berjuang berani menang. Apa yang amat amat saya takuti ialah rancangan Najib. Mustahil Najib tidak bersedia.

Pada 11/2/18, Malaysiakini melaporkan kenyataan Najib tentang penipuan dalam PRU14. Najib menafikan kemungkinan akan berlaku tipu dalam PRU14. Mengikut Najib pilihan raya dibuat dengan “ketat” oleh SPR. Dari logik Najib, kerana ketat maka penipuan tidak wujud. Apa yang ketat lagi sendat tidak pula dibutirkan oleh Najib.


Baca: 'BN tak boleh tipu, proses pilihan raya sangat ketat'



Lawak seram

Ini lawak seram. Saya ketawa apabila terbaca lawak ini. Dalam masa yang sama saya merasa takut. Saya ketawa kerana umum tahu bahawa SPR ini ialah jentera kerajaan. Pengerusi SPR dilantik oleh Najib. SPR bukan bawah kawalan parlimen.

Saya merasa takut kerana Najib berkata tidak ada penipuan. Ini kenyataan yang amat amat menakutkan. Ini kenyataan yang amat berbahaya.

Najib kata tidak ada penipuan dalam PRU14. Ini bermakna semua bentuk penipuan sedang diatur dan sedang disusun. Ini hakikat. Jika tidak ada dakwaan penipuan apa perlunya Najib membuat kenyataan tentang penipuan. Garam yang masin tidak perlu diiklankan masin, kecuali telah ditambah racun atau gula.

Kalau tidak ada dakwaan penipuan dalam PRU14 kenapa Najib perlu membuat kenyataan tidak ada penipuan? Kenapa Najib perlu menafikan?

Di Malaysia cara membaca media cukup senang. Apa yang dinafikan oleh politikus maka perkara itu wujud. Politikus akan menuduh wartawan salah lapor atau salah dengar.

Dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah menang. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Tapi Pakatan Rakyat telah dinafikan kuasa untuk mengambil alih kerajaan.

Kali ini sekali lagi perkara yang sama akan berlaku. Dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Kalau kalah mungkin kerana ditipu.

Ketika saya menulis ini satu atau dua kes persempadan semula sedang berjalan. Satu demi satu kes bantahan orang ramai terhadap persempadan semula ini telah dibatalkan oleh mahkamah. Akhirnya persempadan semula akan berlaku.

Persempadan semula ini didakwa penipuan terbuka. Ini satu penipuan yang dijalankan seolah-oleh mengikut hukum dan hakam. Sebenarnya semuanya karut lagi marut. Ini namanya penipuan halal.

Persempadan semula ini boleh mengabui mata orang ramai. Orang ramai terpengaruh dengan proses mahkamah. Terpengaruh dengan proses bantahan. Orang ramai boleh membantah. Orang ramai boleh menulis ketidakpuasan hati mereka.

Tapi semua ini adalah hampeh.

Persempadan semula ini penipuan terbuka dan halal boleh menafikan Pakatan Harapan dari menang. Apakah ada lagi yang rancangan yang lebih menakutkan? Tunggu minggu hadapan.
 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen