malaysiakini logo
story-image
ADS

Aku ditanya pelajar selepas buka cuti semester, apakah itu Akal Budi Melayu?

Sebelum melalut lanjut, apakah dan siapakah Melayu?

Aku suka menggunakan kerangka Melayu yang disebutkan Shaharir Mohamad Zain dalam makalahnya ‘Sakti Melayu Pra Islam dan Awal Islam’. Rumpun Melayu menurut Shaharir meliputi beberapa buah negara bangsa (dalam konteks hari ini) yang dinamai Malaysia, Indonesia (dengan kerajaan purbanya Sriwijaya abad ke-6 M hingga ke-13 M, berpusat di Palembang, dan beberapa buah kerajaan purba lain di Jawa seperti Sailendra abad ke-7 M hingga ke-10 M, dan Majapahit abad ke-11 M hingga ke-16 M), Brunei dan Singapura (Tumasik/Temasik), Thailand Selatan yang dahulunya (terutamanya antara abad ke-15 M hingga abad ke-18) terkenal dengan nama Patani dan sebelum itu Langkasuka (abad ke-1 M hingga ke-15 M), Champa atau Campa di Vietnam (terutamanya sejak abad ke-2 M hingga abad ke-15 M dengan pusat pemerintahannya bermula di Amaravati, di sepanjang pantai di Annam Vietnam Utara, dan kemudiannya berpindah-pindah dari Inderapura (Quang Nam sekarang di Vietnam Tengah), Vijaya (Binh Dinh sekarang), Kauthara (Nhatrang sekarang), hingga terakhirnya di Panduranga (Phanrang sekarang) dan yang lainnya adalah Funan di Kambuja atau Kemboja (abad ke-2 M hingga ke-7 M berpusat di Vyadhapura berhampiran dengan Pnom Penh sekarang), Filipina, Madagaskar/Malagasi, Papua Niugini, Timor Leste, dan Taiwan. Rantau yang didiami oleh bangsa rumpun Melayu ini agak masyhur dikenali sebagai Gugusan Pepulau atau Kepulauan Melayu atau lebih luas lagi Alam Melayu.

Melayu, dalam kerangka ilmuwan matematik Melayu bernama Shaharir itu merangkumi batas geografi yang suatu masa dahulu dirujuk sebagai benua Sunda, dan sebagai tambahan, ikut memasukkan rentas masa dan zaman ketika Melayu masih belum beragama Islam. Menurut Shaharir ‘sebelum Islam, orang rumpun Melayu secara dominannya beragama Buddha walaupun ada yang beragama Hindu terutamanya Melayu-Funan awal dan Jawa (zaman Majapahit; berpindah ke Bali hingga kini), dan oleh itu, tamadun Melayu wajar dirujuki sebagai tamadun Melayu Hindu-Buddha, tetapi amat tidak tepat jika dirujuk sebagai tamadun Melayu-Hindu sahaja’. Ini semua adalah sebelum Melayu Islam mendapat tempat yang mana ‘kerajaan Islam yang pertama ialah kerajaan Pasai, akhir abad ke-13 M hingga akhir abad ke-14 M’ iaitu satu ‘tempoh yang dinamai zaman Melayu awal Islam itu’. Ini membawa implikasi Melayu tidak semestinya unggul kerana Islam sahaja, tetapi Melayu juga sudah lebih terbilang ketika sebelum Islam. Kehadiran Islam hanya membantu proses-proses lain pengkayaan umat Melayu.

Salah satu ciri terpenting orang Melayu yang merentas batas sempadan dan masa ialah Melayu itu bangsa yang metaforik. Dalam hal ini Melayu adalah sebuah bangsa yang kerana berakal menggunakan proses abstrak untuk menyatakan sesuatu. Dalam hal ini, sebagai bangsa metaforik, Melayu menghuraikan ‘sesuatu’ (a) dengan menggunakan ‘sesuatu yang lain’ (b), yang mana ‘sesuatu yang lain’ (b) itu mempunyai kualiti untuk ‘sesuatu’ (a) yang hendak dijelaskan. Maka kita akan mendapati Melayu merujuk raja atau pemerintah sebagai ‘pohon’ dan rakyat sebagai ‘akar’ di mana ia adalah pemindahan makna ke alam abstrak.

Perbualan metafora

Jika kita membaca novel Henri Fauconnier yang memenangi Prix Goncourt di Perancis berjudul ‘Malaisie’ (sudah diterjemah ke bahasa Melayu sebagai Nurani Tanah Melayu) pengarang ini mengesahkan, sekitar tahun atau sebelum tahun 1930an, orang Melayu masih menggunakan metafora dalam perbualan harian. Metafora Melayu inilah yang mengayakan sastera lisannya iaitu pantun, peribahasa, syair dan karya lipur lara. Produk metafora Melayu ini mengandungi rahsia dan petua kemajuan cara berfikir, kepintaran dan kearifan lokal orang Melayu yang hari ini dipakejkan semula sebagai Akal Budi Melayu.

Oleh sebab kemajuan cara berfikir, kepintaran dan kearifan lokal sebagai satu konsep positif ini dihujahkan sebagai Akal Budi Melayu maka adalah penting untuk dimengertikan, di dalam bahasa Melayu, secara ringkasnya akal itu juga bermaksud budi. Sementara budi itu juga bererti akal.

Akal menurut pengertian dalam bahasa Melayu adalah ‘kebijaksanaan, pekerti perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, tutur bicara, daya upaya’. Akal juga dikaitkan dengan ‘kebebasan membuat pertimbangan yang sewajarnya daripada seseorang yang dianggap berkuasa (berwibawa) dalam sesuatu hal’.

Oleh sebab itu berpekerti atau berkelakuan buruk seperti menyeleweng, memperdaya, menipu, menculik orang, menfitnah, anti-dialog, dan menganiayai pihak lain sering dirujuk sebagai perbuatan tidak berakal.

Demikianlah juga hal yang melibatkan budi, ia membawa maksud ‘segenap tenaga dan fikiran’; dan berakal’ justeru ‘mempunyai akal (fikiran), cerdik (dapat berfikir), pandai mencari akal (ikhtiar)’ atau ‘mencarikan ikhtiar (daya upaya)’ dalam sesuatu hal atau masalah yang menjelma.

Kebalikan dari budi itu tentulah badi iaitu tidak berperangai baik dan tidak berfikir dengan akal sehingga mendapat ‘kesan buruk’ lantaran melanggar kesaktian budi dan akal itu sendiri.

Menurut saya, budi dan badi Melayu ini tergambar seluruhnya pada petikan Sulalat-us-Salatin berkaitan satu waad (kontrak) antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Waad atau perjanjian itu berbunyi:

[Sembah Demang Lebar Daun, “Akan segala anak cucu patik bersedialah menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan, dengan dipelihara maruahnya oleh anak cucu Duli Tuanku. Jika ia berdosa, walau besar dosanya sekalipun jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat, jikalau besar dosanya ikut hukum syarak baru dibunuh.”

Jawab Sang Sapurba “Kabullah permintaan itu, tetapi dengan janji juga. Jangan anak cucu bapa hamba derhaka pada anak kita walau jahat dan zalim sekalipun.”

“Begitulah, tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahlah.” Diikat teguh oleh mereka akan janji itu dan pelihara sampai ke anak cucu. Barang siapa mengubahkan janji dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Jikalau raja memberi aib kepada hambanya alamat negeri akan binasa.]

Kontrak Melayu dengan penguasa

Dalam hal ini keturunan bangsawan Melayu bersumpah akan berbudi dan berakal, dan jika gagal melakukannya, iaitu pecah amanah, maka wajar Melayu melawan dari membiarkan badi atau kesan buruk merata sehingga menggugat pengertian akal dan budi itu sendiri.

Makanya kontrak Melayu dengan penguasa bukan selama-lama tidak tahu menderhaka tetapi kesetiaan atau berbudi itu ada hadnya, dengan syarat selagi tiada berbuat aniaya atau khianat kepada bangsa dan negeri.

Jika demikian bagaimanakah Akal Budi Melayu itu berfungsi atau apakah modus operandinya?

Pertama, Melayu mengamalkan akulturasi iaitu pengolahan sesuatu yang asing ke dalam budaya sendiri yang mana sesuatu yang asing itu menjadi dominan atau pekat kemudiannya. Sebagai misalan, anak Melayu hari ini mengambil muzik rap dan menjawakan bahasanya. Maka berlaku lah proses akulturasi yang sihat.

Kedua, Melayu mengamalkan adaptasi di mana mereka meminjam sesuatu yang sedia ada, dan mengubahnya mengikut keperluan, kesesesuaian diri (masyarakat) dan akibatnya menghasilkan sesuatu yang baharu. Sebagai contoh Melayu Terengganu dan Kelantan mencipta bedar (saya pernah menulis novel Bedar Sukma Bisu menjelaskan hal ini) dengan meminjam kekuatan dhow Arab, pinisi Bugis, jong Cina dan sekoci Belanda.

Ketiga, Melayu melakukan akomodasi di mana sesuatu yang asing itu dibentuk baharu menurut keserasian agama dan tradisi. Dalam hal ini banyak produk makanan kita selaku warisan budaya tidak ketara mengalami proses akomodasi ini.

Oleh kerana itu, penting untuk kita fahami orang Melayu sudah sedia sejagat atau universal, dan sikap atau sifat-sifat yang hanya ingin mengelompokkan Melayu dengan Melayu dan mengurungnya dengan Islam adalah suatu yang ‘anti-Melayu’. Ini bermakna ‘anti-Melayu’ boleh dilakukan oleh orang Melayu sendiri dan ia merupakan badi Melayu dan bukan sama sekali akal budi Melayu.

Orang Melayu mestilah sedar bahawa globalisasi bukan ancaman kerana bangsa Melayu itu sendiri sebagai bangsa dengan budaya bahari (kelautan dan kesamuderaan) sifatnya menyerap. Globalisasi untuk orang Melayu adalah kesempatan dan peluang. Melayu bukan bangsa Parsi atau Jepun yang rentan atau sukar menyerap budaya lain. Ancaman Melayu adalah Melayu yang antilokalisasi dan peribumisasi. Melayu yang ‘anti-Melayu’ ini menghakis metafora dan menukar apa sahaja yang melata dengan tafsiran literal, dan mereka juga antirasio yang mana Melayu asal perolehi rasio menerusi proses abstraksi (seperti mana dalam hal penciptaan metafora).

Melayu yang ‘anti-Melayu’ ini juga membantutkan kemajuan Akal Budi Melayu kerana menolak modus operandi 3A iaitu akulturasi, adaptasi dan akomodasi ini dengan menghadkan epistemologi Melayu yang turut memasukkan ‘alam berkembang menjadi guru’ kepada hanya sumber agama iaitu Islam yang mereka ketat dan ‘rigidkan' tafsirannya. Melayu yang ‘anti-Melayu’ ini anti gerakan dan memilih pegun. Melayu yang ‘anti-Melayu’ ini ada pada golongan Islamis tegar yang memilih pendekatan menghukum Hanbali dari pendekatan menyantuni Syafie.

Gulfisasi

Melayu yang ‘anti-Melayu’ ini ingin berhenti menjadi Melayu dan memilih gulfisasi (Gulfization merujuk kepada negara Teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Dubai, Bahrain, dan Emiriyyah Arab Bersatu).

Mereka adalah makhluk perosak yang mengakibatkan Melayu berbadi dan bukan berbudi lagi.

Adalah penting untuk kita mengembalikan Melayu yang berhujah dan berfikir dengan lapis-lapis pengertian, ketenangan jiwa, dan roh manusia Melayu yang dipandu manusiawi dan hening akal. Adalah sangat penting Melayu kembali berakal budi dan bukan menyebar badi atau kesan buruk kepada alam dan umat manusia.

Untuk itu Melayu mesti melihat semula kontrak purba mereka yang tepu pengertian budi dan badi. Yang budi disimpan setia, yang badi disangkal ditongkah usah membala.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen