malaysiakini logo
story-image
ADS

Jumaat lepas, ada pertemuan dengan Tan Sri Dr Ali Hamsa, ketua setiausaha negara (KSN) dengan sebahagian kecil warga ekspatriat Malaysia di Dubai.

Pertemuan dengan makan malam diadakan di Rumah Malaysia, iaitu residensi Konsul Am Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusuf.

Lawatan KSN ke Dubai untuk menyertai Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia (WGS) yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Februari. WGS dihadiri oleh 140 kerajaan seluruh dunia, 16 organisasi antarabangsa dan lebih 4,000 delegasi.

WSG adalah sidang pertemuan tahunan yang anjurkan oleh kerajaan Dubai. WSG melibatkan segenap pemimpin kerajaan dari seluruh dunia dalam suatu forum dialog global tentang proses pentadbiran awam serta kaitannya dengan teknologi dan inovasi.

Ia juga wadah pertukaran pengalaman dan pengetahuan antara pentadbir kerajaan, ahli korporat, usahawan, pakar dan akademik untuk melihat trend masa depan dan implikasinya bagi kemanusiaan sejagat.

Antara pemimpin negara yang menjadi tetamu ialah Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Perancis, Edouard Phillipe. Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde dan bintang Hollywood, Robert deNiro turut menjadi salah panelis.

Tema utama WSG ialah happiness atau kebahagian/kesejahteraan.

Antara yang menjadi berita utama ialah kejayaan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati (bawah, kiri) yang menerima anugerah menteri terbaik dunia.

Pengurniaan anugerah menteri terbaik ini adalah penghargaan peringkat global yang diberikan kepada seorang menteri yang terpilih daripada semua negara di dunia secara tahunan dan mula diberikan pada tahun 2016.

Proses pemilihan dan penentuan pemenangnya dilakukan secara terbuka dan bebas bawah Tetuan Ernst & Young dan diselenggarakan oleh pihak WGS.

Ternyata, anugerah kepada Sri Mulyani Indrawati menjadi kebanggaan 257 juta rakyat Indonesia dan menjadi simbol pembaharuan yang dibawa oleh Presiden Jokowi.

Dalam pertemuan dengan KSN, turut diadakan dialog untuk memberi peluang kepada kami bertanya mengenai situasi tanah air.

Dalam ucapan pembukaan, KSN memberi penjelasan mengenai keadaan semasa dari segi pertumbuhan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk mengenai pelbagai inisiatif yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Turut dinyatakan yang tahun ini adalah tahun pilihan raya.

Mendengar secara kritikal

Tentunya maklumat yang sama sahaja dengan apa yang dibaca di media perdana dan tiada apa yang baharu. Semuanya bagus dan indah. Buat kami yang sentiasa mengikuti perkembangan melalui sosial media dan media alternatif, tentunya mendengar secara kritikal.

Apabila diberi kesempatan untuk bertanya, saya terus sahaja mengambil peluang untuk menyoal mengenai masalah pengangguran di kalangan siswazah dan mengenai KDNK berbanding realiti sebenar.

KSN memberitahu yang masalah pengangguran siswazah bukanlah perkara besar dan banyak peluang pekerjaan terutama di sektor swasta. Beliau tidak dapat menjelaskan berapakah jumlah sebenar siswazah yang menganggur.

Mengenai jumlah pekerja asing yang jumlah semakin ramai, beliau menegaskan mereka adalah perlu untuk mengisi bidang pekerjaan yang warga tempatan tidak mahu. Malah, tanpa pekerja asing banyak industri yang boleh lumpuh.

Ada juga pekerja asing di peringkat pengurusan dan teknikal, tetapi syarat kemasukan adalah ketat.

Di sektor awam pula, selepas usia pencen ditambah, masih ada banyak kekosongan untuk diisi. Selain, banyak pekerjaan yang sudah tidak diperlukan seperti jurutaip misalnya.

Saya menegaskan, dalam perkara berita palsu atau fake news, kerajaan juga menyumbang dan bukan semata-mata pihak pembangkang. Saya bermaksud, pihak kerajaan terutama politikus yang merasakan mereka berada di atas undang-undang, mestilah sama melihat diri dalam cermin.

Kalau kita membaca pelbagai kenyataan politikus, sama ada taraf menteri atau taraf ketua bahagian yang merapu dan memperbodohkan rakyat, yakni pembohongan selain separuh benar, akta berita palsu patut meliputi para badut ini.

Hukuman kepada politikus yang berbohong bawah akta berita palsu patut lebih berat seperti melucutkan mereka dari apa sahaja jawatan dan tidak membenarkan mereka memegang kuasa sehingga mati.

Dengan media perdana dikuasai oleh parti politik seperti Umno, MCA dan MIC, kebebasan media, keadilan dalam pemberitaan dan ketelusan tidak mungkin berlaku.

Propaganda kerajaan

Kerajaan boleh menuduh pihak lain menyebarkan berita palsu walhal para pemimpin kerajaan jauh lebih teruk dengan propaganda, dakyah, fitnah dan pertuduhan terpilih ke atas pihak yang tidak sehaluan.

Jawapan KSN, berita palsu adalah fenomena global dan orang persendirian turut terlibat dalam penyebaran berita palsu.

Pertanyaan lain dari warga yang hadir termasuk mengenai kebanjiran warga asing terutama di Kuala Lumpur memberikan gambaran menakutkan. Banyak kawasan yang dikuasai oleh warga asing tertentu dan rakyat tidak lagi merasa selamat.

Kerajaan Malaysia perlu belajar daripada kerajaan UAE dalam mengawal pekerja asing terutama buruh dengan menyediakan tempat tinggal yang terkawal. Kawasan tertentu disediakan dengan segala kemudahan untuk para buruh mendiami dengan selesa.

UAE mempunyai 90 peratus warga asing dan penguatkuasaan yang ketat, efisien, tanpa rasuah dan konsisten, dibantu dengan teknologi canggih, menjadikan UAE sebuah negara yang aman dan selamat. Kes jenayah yang rendah menjadikan situasi yang membahagiakan untuk penghuni.

Sebaik dialog berakhir, KSN datang menemui saya dan sempat berbual seketika. Kemudian, beliau menjemput saya ke pejabatnya kalau pulang ke Malaysia. Sesuatu yang saya akan lakukan sekiranya ada kesempatan.

Secara kesimpulannya, kami mengucapkan terima kasih kepada KSN, konsul am Malaysia dan warga diplomatik kita di Dubai yang mengadakan pertemuan julung-julung kali ini.

Tidak lupa terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang belanja kami makan di pertemuan itu!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen