malaysiakini logo
story-image
ADS

Semua pelabun dan tukang karut politik bertanya. Pemerhati politik pelbagai jenis 'kangkung' juga bertanya. Mereka bertanya: Kenapa Najib tidak bubar parlimen lapan bulan dulu dan adakan PRU14?

Ini soalan yang masih belum mendapat jawapan tuntas. Apakah duit 1MDB sudah habis? Apakah Najib belum mendapat mimpi? Apakah Rosmah masih belum puas membeli-belah? Tidak ada satu jawapan yang dapat menenteramkan jiwa sesiapa sahaja yang bertanya.

Tapi ada satu jawapan yang amat-amat meyakinkan. PRU14 belum dijalankan kerana wujudnya ‘gaduh dalaman’ yang maha hebat antara ketua-ketua bahagian. Dikatakan lebih 70 bahagian parti United Malays National Organisation sedang bergaduh sesama sendiri.

Pergaduhan dalaman untuk merebut kerusi 'Why Be' hinggakan bekas MB Perlis Tuan Haji Shahidan Kassim terpaksa memberi amaran. Si Shahidan ini memberi ingatan kepada ahli United Malays National Organisation agar jangan bergaduh secara terbuka. Gaduh senyap-senyap dan tikam-tikam dalamgelap agar jangan dicium oleh media.

Tikam gelap-gelap ini pula dikatakan menyebabkan Tuan Haji Zambry MB Perak menjadi mangsa. Tuan Haji Adnan MB Pahang dilaporkan juga sedang menggelupur. Tuan Haji Idris Harun ketua menteri Melaka juga sedang merana takut. Dan paling jelas ialah Tuan Haji Khaled Nordin sedang kena tibai apabila kawannya exco perumahan dan kerajaan tempatan ditangkap.

Tidak cukup dengan ini, Sabah dan Sarawak mahu menilai dan mengkaji kembali Perjanjian Malaysia 1963. Senang cakap, Sabah dan Sarawak melihat Najib ini lemah.

Amat jelas jika PRU14 diadakan tahun lalu, tim gerombolan pimpinan Najib akan menang dengan senang. Ini ketika Pakatan Rakyat ketika itu sedang bernafas dalam lumpur. Ini sebelum anak-anak muda memanggil Tuan Haji Hadi Awang dengan nama “Eddy Wang” yang bunyinya lebih cool. Ini sebelum kes saman Tuan Haji Hadi Awang dibuka di London. Ini sebelum bini al-ustaz Takiri mendapat kereta Audi baru.

Sekarang, masuk tahun 2018, semuanya sudah berubah. Pakatan Harapan telah wujud. Mahathir Muhamad telah dilantik sebagai pengerusi. Mahathir telah juga menjadi calon HARAPAN untuk menyandang tugas perdana menteri.

Hantu raya dan kumpulan kugiran mak lampir yang heboh ke hulu ke hilir memukul rebana dan tetawak di Konvensyen Pakatan Harapan bulan lalu telah dapat dipaku. Polong-polong tak bertuan yang masih berkeliaran telah hilang taring. Ada polong tak bertuan telah dimasukkan kembali ke dalam kotak. Apa yang jelas polong polong ini telah tidak lagi dapat menakut sesiapa pun.

Pakatan Harapan secara perlahan-lahan mengenap, mengeras, membeku dan menjadi kompak dalam satu organisasi tersusun. Kelam kabut semakin reda. Agihan kerusi hampir selesai. Bak kata Orang Putih - Pakatan Harapan is on the go.

Jika sekarang PRU14 dijalankan, jawabnya amat jelas, BN akan bungkus. Najib dan Rosmah tidak akan sempat lari ke Kazakhstan.

Jika minggu depan PRU14 diadakan, maka pada pagi ini Jabatan Kerja Raya akan mendapat arahan baru. Bilik penjara Sungai Buluh yang telah dikosongkan oleh Anwar Ibrahim akan diubah suai sedikit. Satu katil besi akan dipesan dari Korea. Katil besi khas untuk pemimpin negara sedia ada.

Kenapa heboh-heboh?

Lalu timbul persoalan, jika dalam PRU14 Najib dan United Malays National Organistian akan kalah apa yang nak dirisau? Kenapa heboh-heboh? Bukankah ini yang dimimpi-mimpikan oleh 30 juta rakyat Malaysia? Khalas.

Sabar dulu. Begini kisahnya.

Mahathir Muhamad pengerusi HARAPAN telah lebih dua kali berkata ada kemungkinan PRU14 akan dibatalkan. Pada 6 Januari 2018 dalam Ucapan Penutup Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam, Mahathir telah menimbulkan perkara ini.

“PRU14… mungkin tidak ada.”

Pada petang Sabtu 3 Februari 2018 dalam Dewan Yayasan Perdana di Putra Jaya sekali lagi Mahathir menimbulkan perkara yang sama. Di hadapan hampir 400 orang anak muda Mahathir memberi ingatan bahawa ada suatu rancangan.

Apa rancangan ini?

Mengikut pandangan Mahathir, jika sokong terhadap BN dan konco-konconya semakin susut dan tidak menjamin kemenangan, maka PRU14 akan dibatalkan.

Mahathir juga berkata, jika sesudah PRU14 Najib menang tipis maka mungkin ada rancangan membuat huru-hara untuk memastikan yang ada terus berkuasa.

Mengikut pandangan Mahathir, Si Najib ini akan menggunakan kuasa Majlis Keselamatan Negara dan kuasa darurat.

Apakah kata-kata Mahathir ini tepat? Apakah ini benar? Apakah kenyataan sebegini masuk akal?

Apa yang penting ialah kita wajib menggunakan akal dan fikrah untuk menilai apa saja kata-kata sang politikus. Kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab wajib terus berwaspada. Kita wajib melihat dari semua sudut sebelum membuat satu-satu keputusan, apatah lagi kali ini tentang darurat dan keselamatan negara.

Pencerahan Mahathir tentang rancangan jahat Najib di Forum Anak Muda Sabtu lalu telah dijawab oleh menteri Salleh Keruak. Si Salleh ini pasti telah diarahkan untuk menjawab. Kalau dahulu ada Azalina dan ada Rahman Dahlan untuk menjadi benteng Najib, kini nampaknya yang tinggal hanya Salleh sebatang kara.

Kenapa perlu Salleh menjawab dan menafikan? Kalau semua ini hanya ‘ngong’ dari Mahathir. Kalau labun ini hanya putar alam dari Mahathir, kenapa Salleh bertegang lidah menafikan? Apakah ada buaya di sebelah bangkai? Apakah ada Rosmah di sebalik Birkin?

Kebiasaan di Malaysia ini, apa sahaja yang dinafikan oleh perdana menteri, menteri atau menteri besar atau oleh mufti atau oleh sesiapa sahaja, ertinya perkara yang dinafikan itu wujud. Ini cara kita membaca media dalam negara dunia ketiga yang bernama Malaysia ini.

Justeru, mari kita renungkan betul-betul dan leraikan apakah Mahathir ini berkata benar.

Jaringan penyokong Mahathir

Pertama, si Mahathir ini telah menjadi PM selama 22 tahun. Ini bermakna sosok ini masih lagi memiliki jaringan penyokong dalam kerajaan Najib. Mustahil tidak ada pegawai polis, pegawai tentera, pegawai risikan yang hati perut mereka telah lama terikat kepada Mahathir.

Lihat sahaja jeneral bersara ketua-ketua angkatan bersenjata yang mara ke hadapan apabila pengawal peribadi Mahathir 'dihapuskan'. Kumpulan Patriot ini semuanya penyokong tegar Mahathir.

“Tun, boleh berjumpa? Ada hal.”

Pasti ada juga ahli-ahli perniagaan yang menjadi kaya raya kerana projek Tun. Jika si kaya ini terdengar gosip atau tercium kentut busuk Najib atau dengar khabar-khabar angin pasti mereka juga akan membuat sesuatu.

Ello Sopi, could you arrange a meeting with Tun. Rather urgent.”

Malah terbukti jelas Mahathir juga masih ada hubungan lagi dengan sosok-sosok bekas menteri. Pasti masih berhubung dengan gedebe-gedebe dalam United Malays National Organisation sekarang. Kecuali Khairy, Azalina, Rahman Dahan dan Salleh Kerouk, semua kabinet Najib yang sekarang ini tahu bahawa Najib ini berdepan dakwaan sebagai seorang pencuri dan penyamun.

Menteri dan para gedebe United Malays National Organisation sedar dan tahu siapa sebenarnya Najib. Mulut mereka mungkin disumbat dedak. Jadi amat susah untuk bercakap. Tetapi jika ombak Melayu mengampuh dalam PRU14 ini, semuanya akan berubah.

Contoh terbaik ialah Isa Samad yang tahu apa yang telah berlaku di Port Dickson. Justeru jika kaki Isa Samad terus dipijak oleh Najib, maka si katik ini pasti akan menelefon Tun Mahathir.

Contoh paling afdal yang terbaru ialah ketua Orang Asli Gua Musang Tengku Razaleigh telah mengakui kepimpinan Mahathir. Dan ini disambut baik oleh Samy Velu yang juga telah membeli insurans dengan mengakui ketrampilan kepimpinan Mahathir.

Kedua, Najib dikaitkan dengan siasatan di Singapura, di Luxumbourg, di Hong Kong di Perancsis , di Switzerland dan di Amerika. Di Peranchis ada kes rasuah Scorpene. Di lain negara kes 1MDB.

Hakikatnya Najib tidak – diulangi sekali lagi, tidak – Najib tidak akan dapat melarikan diri dari kes 1MDB. Hanya menunggu masa bila kes ini akan meledak terbarai. Di Amerika kes 1MDB telah bertukar dari kes sivil menjadi kes jenayah.

Yang menyelamatkan Najib dari ditangkap dan didakwa pada hari ini dikatakan kerana Najib ini masih lagi perdana menteri Malaysia. Ketua polis adalah lantikan Najib. Peguam negara adalah lantikan Najib. Pengarah SPRM adalah lantikan Najib.

Maka cuba bayangkan apa dalam otak Najib dan Rosmah. Apa yang sedang mereka fikirkan sekarang apabila melihat ribuan warga Felda datang mendengar ceramah Mahathir? Apa dalam benak Najib apabila melihat bendera merah BERSATU memagari kampung-kampung di seluruh Kedah?

Apa yang sedang difikirkan oleh Najib apabila setiap pagi laporan SB masuk menyatakan semakin ramai pegawai kerajaan belot? Semakin ramai cikgu dan cikgi merasa tidak puas hati dengan kerajaan. Mereka akan mengundi Pakatan Harapan.

Laporan risikan ini menghuruharakan fikrah Najib. Tetapi apakah huru-hara akan menjadi jalan selamat untuk Najib dan Rosmah? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen