malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada 15 Februari 2015, sebuah artikel termuat di dalam akhbar The Star setelah saya selesai ditemuramah oleh seorang wartawan bernama Ariff.

Tulisan kali ini hanyalah bersifat muat turun semula sesuatu yang pernah keluar di akhbar berkenaan. Semestinya ia telah diperkemaskan.

Saya melakukannya supaya kandungannya lebih tersebar luas justeru saya percaya ia masih relevan dalam konteks memperkayakan dapatan daripada susuk bernama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohon kongsikan sedikit latar belakang tuan sebagai setiausaha politik kepada Nik Aziz. Bila mula berkhidmat dan sehingga bila, serta bagaimana boleh berkhidmat sebagai setiausaha beliau.

Setiap orang memiliki latar belakangnya. Saya mengambil pencen pilihan awal melalui Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik selepas 20 tahun. Saya kemudian ditawarkan jawatan setiausaha politik kepada Nik Aziz selaku menteri besar Kelantan di ketika itu. Ia berlaku setepatnya pada 1 Disember 1999. Saya berundur dari jawatan tersebut pada 31 Disember 2009.

Soal bagaimana saya boleh berkhidmat sebagai setiausaha politik, saya lebih gemar bersandar kepada takdir yang menentukan saya di jawatan tersebut. Saya kira, ia ketentuan Ilahi sejak azali.

Bagaikan ketetapan rezeki, saya cukup percaya yang saya tidak dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan berlaku ke atas saya.

Susah bekerja dengan Nik Aziz? Bagaimana cara beliau bekerja?

Oh, senang tak senang, tapi susah pun tak susah.

Apa yang menyenangkan ialah Nik Aziz seorang yang tidak cerewet. Dia pendengar yang tekun, peneliti yang tajam memerhati dan sentiasa memberi tunjuk arah yang jelas tentang apa yang dimahunya. Jarang beliau tidak jelas. Mahir sekali dia menilai kekuatan yang ada pada seseorang dan cermat sekali dia menyerahkan tugasan mengikut keahlian yang dimiliki orang itu miliki mengikut bacaannya. Dan, ia selalunya tepat.

Sepanjang 10 tahun, apa jua tugasan yang diberi kepada saya tidak pernah atau jarang sekali saya tidak memenuhi apa yang diharapkannya. Alhamdulillah, saya mampu membuat delivery dengan sempurna.

Aspek senang tak senang pula - kesukaran boleh muncul apabila beliau ada juga berteka-teki; seakan menguji atau menduga sikap kita terhadap sesebuah isu yang topikal di waktu itu.

Misalnya - katakan - keputusan membawa Felda ke Bursa Malaysia yang diputuskan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan bajet 2004, atau keputusan membatalkan Projek Landasan Berkembar Elektrik melibatkan RM14.5 bilion oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, sedangkan itu idea Dr Mahathir.

Mungkin beliau sudah ada lakaran ideanya yang tersendiri tetapi dia cuma mahu memancing reaksi saya. Mana tahu, ada kelainan yang mungkin dapat memperkayakan lagi sudut dan perspektif beliau.

Atau, apabila beliau meminta saya menyemak personaliti seseorang dengan meninjau pandangan seorang arif yang lain yang dia tunjukkan, sewaktu berada di tengah-tengah keresahan untuk melantik atau mengangkat orang tersebut atau sebaliknya. Ini cukup sulit kerana saya sering disalah tafsir.

Kalau tidak disempurnakan, ia arahan. Jika disempurnakan, maka kita akan terlibat dengan memberi pandangan yang cukup penting dalam proses membuat keputusan. Rata-rata orang ramai tidak tahu tentang ini. Kepada yang tahu, mereka akan siap dengan pelbagai andaian.

Misalnya saya ini setiausaha politik yang pandai-pandai dot dot dot, sedangkan saya cuma menjalankan tugas.

Apabila Nik Aziz melihat keadaan saya yang agak risau dan sempat membaca bahasa badan saya, dia lalu bertanya. Saya beritahu latar belakang perkembangan ini.

Dia pernah memujuk: "Tok ssoh dok ccagholah (usah dihiraukanlah). Ini amanah ambo ko anta (anda). Anta telah menjalankan amanah, susoh apo!”

Saya masih ingat, inilah kata-kata pujukannya yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Adakah TGNA mengamalkan protokol ketika di pejabat? Adakah beliau banyak bergantung kepada pegawai-pegawainya, atau adakah beliau lakukan sendiri kebanyakan tugas?

Saya hanya boleh katakan begini: beliau tidak rigid berprotokol tetapi tidaklah pula beliau tidak pentingkan protokol. Penentuan protokol biasanya diserahkan semula kepada pihak yang berurusan dengan beliau.

Baik yang menyentuh pakaian, adab berbahasa, cara duduk dan berdiri, bila patut bercakap atau bila pula perlu diam - ini semua pada saya adalah protokol.

Beliau tidak pernah memayah-mayahkan, tetapi mengambil sikap yang sentiasa berhati-hati. Saya selalu mengikat diri saya untuk membina satu set peraturan berupa "dos and don’ts" yang menjadi satu set protokol tersembunyi yang saya serkupkan ke atas diri setiap kali berurusan dengan beliau.

Hal Ini untuk mengelakkan saya agar tidak melakukan rempuhan yang bersifat blunders.

Ya, beliau suka berdikari. Dalam hal-hal mengangkat letak sesuatu yang dikira mudah, dia akan melakukannya sendiri seboleh-bolehnya. Dia jarang benar minta saya - misalnya - eh, bawa itu, eh hulurkan ini, atau oh, betulkan jubah ini, atau, tolong angkat kasut saya.

Yang selalu berlaku ialah dia akan lakukan apa saja jika ianya senang dan boleh dengan mudah diselesaikan menggunakan kudrat kaki tangan dan siku lututnya sendiri.

Orang ramai mengenali beliau sebagai guru, ulama, menteri besar serta mursyidul am PAS. Tapi sebenarnya siapa atau bagaimana peribadi Nik Aziz? Adakah beliau seorang yang serius atau pandai bergurau?

Guru atau ulama, atau menteri besar atau mursyidul am? Siapa beliau sebenarnya? Pada saya beliau adalah rangkuman kesemuanya sekali. Empat dalam satu dan satu dalam empat.

Ada kala beliau memakai topi personaliti yang khusus tetapi ada juga ketikanya dia memakai keempat-empatnya sekali gus pada satu masa. Ini mengikut merit situasi dan kesesuaian keadaan.

Beliau serius apabila menyentuh aspek ibadat khusus. Solat Zuhur berjemaah misalnya. Dalam hal ibadah umum berupa muamalat, itu beliau agak fleksibel. Namun apabila berkaitan dengan masa, beliau begitu tegas. Segala sentuhan beliau atas apa jua perkara bertolak atas dasar ilmu.

Apakah ada dalil al-Quran atau nas? Itu keutamaan. Jika benda yang mubah - misalnya pilihan antara nak makan roti arab atau nasi campur untuk makan tengahari - maka itu tak ada isu. Dia santai menerima – apa saja.

Bergurau? Ya, ada kalanya juga tetapi pada keseluruhannya masih bersifat menyemai ilmu dalam gurauannya. Misalnya, dia pernah tanya saya, kenapa tak ambil nasi lemak ketika dia lihat saya memilih makanan Arab berasaskan susu. Ini berlaku di Rumah Seri Kelantan di suatu pagi.

Saya menjawab: Nasi lemak saya dah selalu makan. Yang ni belum pernah cuba lagi seumur hidup.

Dia lalu ketawa kecil lalu. Sambil melihat saya makan, dia bercerita kisah seorang tua yang buta dengan cucunya yang kecil. Ia bermula apabila cucunya cuba menceritakan perihal lazatnya sejenis makanan bernama kir kepada atuknya yang buta.

Ujiannya ialah bagaimana mahu menggambarkan sedapnya makanan yang dinamakan kir itu. Jawab anaknya, warna kir adalah putih.

Atuknya bertanya, seputih mana? Seputih sejenis burung laut. Bagaimanakah burung laut itu? Cucunya lalu membengkokkan siku dan lengan lalu memimpin tangan atuknya yang buta itu untuk meraba tangan dan lengannya.

Jawab atuknya: Ooo begini susu kir rupanya...

Ha ha ha... kamipun ketawa panjang bersama-sama.

Berdasarkan pengalaman bersama Nik Aziz, bagaimana pendekatan yang arwah gunakan untuk membuat keputusan?

Beliau banyak membaca. Membaca itu prasyarat. Dalam banyak hal, beliau tidak bermula dari kosong. Dalam kepalanya, saya seakan-akan dapat merasakan yang beliau sudah ada kerangka kasar sebelum cuba-cuba meninjau pandangan lain untuk mencari ketepatan dalam membuat keputusan.

Melainkan - ya melainkan - pandangan balas yang kita kemukakan itu bersifat mencanggahi peraturan atau sebarang undang-undang bertulis. Apabila kita bangkitkan aspek ini, seringkali dia boleh berpusing 180 darjah.

Dia akan lebih teliti mendengar bacaan tentang kesan dan unjuran implikasi. Jika dia yakin lontaran pandangan balas mempunyai justifikasi kukuh, dia bersedia untuk turn the table dari segi mengubah keputusan yang mungkin telah kejap dibuat sebelumnya.

Apa rutin harian arwah selain daripada aktiviti rasmi. Apa yang dilakukan pada waktu lapang? Arwah ada hobi tertentu atau kegemaran tertentu?

Beliau suka:

  • Membaca buku
  • Meneliti berita akhbar
  • Menembak
  • Gemar atau cuba-cuba membaca minda pemimpin veteran yang lain seperti Lee Kuan Yew.

Beliau pernah menyuruh saya menterjemah kata-kata penting pemimpin Singapura tersebut dan saya telah melakukannya.

Setelah siap, saya membacakannya untuk beliau. Kami lalu berbincang sambil cuba menghadam dan membandingnya dengan beberapa check list ciri-ciri kepimpinan unggul di sana sini.

Di sebuah kamar di tepi laut - di pantai Tok Bali - kami sempat bermalam di sana. Kami benar-benar cuba mentelaah apa yang ada di sebalik tubuh Lee Kuan Yew yang mengagumkan itu.

Nik Aziz tak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi. Petikan ucapan, ceramah atau sidang media beliau banyak mencetuskan kontroversi dan mendapat liputan media. Adakah ia dirancang?

Dalam banyak hal ia tidak dirancang. Terkadang, saya juga seakan terasa bagai terperangkap. Tak tahu saya yang dia nak ‘tembak' dan lepaskan kata berpendirian setajam itu. Saya pernah juga terkejut. "Ah, sudah dahlah sekali ini. Meletup pulak dah. Bala dah laaa aku," misalnya saya berbisik dalam hati.

Apa pun, di sinilah letaknya cabaran ke atas ketangkasan seorang pembantu. Ia sesuatu yang menarik. Ia menguji ketrampilan seorang setiausaha ketika diasak bermain keris.

To repair the damage? What’s the remedy? When and how or rather - should I?

Saya perhatikan, walau apapun kejutan hasil kontroversi yang dicetus atau tercetus, oleh kerana Nik Aziz bermula dengan keikhlasan demi kepentingan Islam, setiap kali melangkah, pergulatan di pentas politik negara akan berakhirnya di pihak beliau, atau sekurang-kurangnya memberi keuntungan kepada gerakan Islam.

Dengan membeli isu lalu menjinakinya, beliau membuat kempen pemasaran dengan cara membuktikan yang Islam mampu menawarkan formula dan penyelesaian ke atas setiap apa yang mungkin dilihat kebuntuan oleh massa.

Jika boleh dikongsikan, isu politik apakah yang paling sukar untuk Tok Guru tangani? Apa langkah yang pihak anda dan Nik Aziz lakukan untuk meredakan kontroversi itu?

Ini satu soalan satu terjahan yang tough ha ha... Bagaimana harus saya mulakan? Biar saya jawab begini: Saya ingin tangguh menjawabnya di siri temubual dengan pihak tuan seterusnya. Boleh begitu?

Mengapa Nik Aziz begitu disayangi oleh rakyat Kelantan? Apa rahsianya?

Pada saya, beliau teliti membancuh personalitinya. Ikon beliau ialah Rasulullah SAW. Biar pun beliau bercerminkan Nabi Muhammad tetapi itu tidak pernah menyekat beliau untuk menyesuaikan “ideals" dengan the inhibit local values.

Ini perkara payah tetapi beliau telah membuktikan yang beliau mampu melakukannya. Dalam keadaan beliau berbaju Melayu misalnya, beliau masih memilih untuk berserban.

Apabila ditanya kenapa berserban, maka ini meniru nabi. Apabila ditanya kenapa berbaju Melayu dan berselendang, maka jawabnya, ini pakaian pahlawan.

Kadangkala, ada juga faktor kebetulan. Maksud saya, beliau secara kebetulan memiliki chemistry yang memenuhi cita rasa dan pengharapan orang Islam dan Melayu secara khusus dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai perbezaan warna kulit, etnik, kerencaman agama dan kepercayaan.

Dalam keadaan masyarakat, rata-rata pada umumnya amat kecewa dengan kebobrokan sistem kapitalis berpaksikan semangat kebangsaan totok yang dilihat sedang ketirisan dalam pelbagai nilai, amalan dan serba-serbi, beliau telah kemukakan beberapa pandangan yang mengangkat keupayaan Islam menjadi alternatif.

Ini ada termuat dalam pelbagai reaksi beliau walau di mana. Alhamdulillah, selaku setiausaha politik di ketika itu, saya sempat membukukan sisi-sisi pandangan beliau yang cukup kaya dengan pendirian.

Apa kenangan yang tidak dapat tuan lupakan sepanjang bersama arwah?

Soalan ke-10 ini juga ingin saya tangguh ke temubual yang akan datang. Itupun jika diizin dan masih diberikan peluang.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen