malaysiakini logo
story-image
ADS

Alkisah pada minggu ini saya hendak membuka kisah satu keluarga yang amat 'cikai' lagi 'mencikaikan'. Riwayat sebuah keluarga haprak lagi menghaprakkan. Ini kisah keluarga Mat Cikai bin Haprak cucu Maprak dari Bani Kenahak.

Tapi ingat - awas dan waspada. Ini bukan niat dan cita-cita saya hendak mengungkit atau hendak memburukkan sesiapa. Tidak. Kejahatan dan kebusukan bukan tujuan saya membuka surah ini. Tujuan saya suci lagi murni. Indah lagi wangi. Wangi lagi mewangikan hidup seantero alam ini.

Saya melabonkan riwayat ini sama seperti niat Tun Seri Lanang ketika menulis Salalatus Salatin. Saya juga memiliki niat yang sama seperti Abdullah Munshi ketika si Abdullah ini merakamkan sejarah Melaka, kisah Pelayaran Abdullah atau pun kisah Singapura Terbakar.

Tujuan saya menulis ini hendaknya pada satu ketika nanti anak cucu cicit kita akan belajar dari apa yang saya tulis ini. Hendaknya cucu-cicit turun-termurun kita semua nanti akan mendapat pelajaranlah dari riwayat ini. Yang buruk semuanya dari saya. Yang baik pun dari saya kerana sayalah yang menulis riwayat ini. Amin.

Mengikut tuan yang empunya ceritera. Mengikut yang bersurah ada pun asal usul keluarga ini amat amat pelik lagi menghairankan.

Ada surah yang melaporkan bahawa mereka ini berasal dari suku Batak Senget. Ada pula yang mensurahkan bahawa keluarga ini berasal dari Gunung Merde berhampiran dengan Gunung Kenahak.

Ada pula yang bercerita bahawa keluarga ini berasal dari lubang jamban Iskandar Zulkarnain. Ada pula yang berkisah bahawa keluarga ini berasal dari lubang jamban Wan Empok dan Wan Malini dari Bukit Seguntang Mahameru.

Si Bapak bernama Cikai. Si Ibu bernama Mekai. Maka dari sinilah mengikut kajian Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka asal usul perkataan cikai dan mekai. Dari sinilah bermula konsep cikai dan mekai yang sering digunakan oleh Mat Rempit dan Mat Pet dalam kata bualan harian mereka.

Mengikut tuan empunya ceritera cikai dan mekai ini mempunyai pertalian keluarga dengan suku Ciput Miput. Dari surah ini nanti kita akan dapat cium hubungan si cikai dan si ciput ini.

Maka para pembaca budiman akan bertanya - apakah kisah dan surah ini boleh kita semua mendapat pelajaran darinya. Apakah kisah Mat Cikai ini akan menjadi tauladan dan sempadan kepada anak cucu cicit kita?

Kisah lanun Bugis

Sebelum saya menjawab pertanyan pembaca biar saya surahkan juga bagaimana baru baru ini telah timbul heboh heboh tentang keluarga Mat Cikai ini. Tiba-tiba Mahathir Mohamad bekas Perdana Menteri Malaysia menerangkan kepada umum bahawa Mat Cikai ini berasal dari lanun Bugis. Tiba-tiba satu Selangor jadi gempar.

Kita semua wajib berwaspada dan berhati-hati. Jika perkataan lanun Bugis terkeluar dari mulut Mahathir Mohamad maka pada hemat saya ini terjadi secara tidak sengaja.

Lanun Bugis yang saya tulis ini tidak ada persamaan atau pertalian darah atau air kencing dengan permaisuri Bengali Kahavita Kuur yang memerintah kerajaan Bengal pada kurun ke-7 di benua Hindi.

Lanun Bugis dan permaisuri Bengali dan Pemegang Botol Besar itu sebenarnya adalah riwayat dari sebuah kitab yang lain. Riwayat Pemegang Mohor Botol Besar itu terdapat dalam kitab Kahavita Kuur Betina Bengali. Bukan dari riwayat keluarga Mat Cikai. Harap maklum.

Kisah lanun Bugis yang disebut oleh Mahathir ini tidak ada sangkut-paut dengan 14 juta keping emas yang menjadi bayaran kepada sesiapa sahaja yang bernafsu untuk berkhalwat dengan seekor lembu betina dari Bengal.

Sayugia diberitahu kepada para pembaca yang budiman - riwayat keluarga cikai-mekai ini tidak ada sangkut paut dengan orang yang hidup, yang sedang mati, atau yang hendak mati. Jika ia ada persamaan maka semua ini adalah atas arahan Dewa Zeus.

Amoi cun

Mengikut kisahnya Mat Cikai ini telah membuntingkan seorang amoi. Amoi yang cun berambut panjang ini dikatakan cukup bergetah lagi berair. Mengikut kisah empunya kisah si amoi ini telah digunakan oleh Mat Cikai sebagai penyedap di malam hari. Hasilnya si amoi menjadi bunting.

Maka mengikut kisahnya si amoi ini telah datang dari benua yang amat jauh mencari Mat cikai. Akhirnya si amoi ini telah mendaki ke Bukit Damansara. Dari laporan akhbar The Sun si amoi ini datang untuk bertemu seorang jantan bernama Razak Baginda. Dari kisah yang tersurah belum dipastikan lagi siapa yang membuntingkan si amoi ini.

Dipendekkan cerita si amoi ini mendaki Bukit Damansara dengan sebuah teksi dari Jalan Petaling. Tujuannya untuk meminta duit belanja kerana dia telah bunting.

Pemandu teksi menunggu. Enjin terus terpasang. Tunggu punya tunggu pemandu telah tidak dibayar. Tup tup si amoi telah diculik dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta Proton Hijau.

Pemandu teksi naik angin kerana meter masih berjalan. Jumlah tambang teksi yang belum dibayar ialah 48 ringgit 75 sen. Pemandu teksi naik bengang. Dia turun ke lembah paya Brickfields lalu membuat laporan di Rumah Pasong Brickfields.

Nombor kereta Proton Hijau disebarkan ke seluruh negara. Tup-tup nomber Proton Hijau adalah milik seorang yang rapat dengan Mat Cikai.

Maka kata tuan empunya hikayat dari sinilah bermulanya kisah skandal keluarga Mat Cikai ini. Dari 48 ringgit 75 sen tambang teksi yang tidak dibayar telah membuka skandal pembunuhan Altantuya.

Bayangkan jika pemandu teksi ini dibayar tambangnya pasti pemandu teksi tidak akan membuat laporan polis. Tidak muncul kes kereta Proton Hijau. Si amoi akan hilang begitu sahaja. Tapi kerana ini keluarga Mat Cikai memang cikai lagi ciput maka 48 ringgit 75 sen pun tidak mahu dibayar.

Riwayat Mat Cikai ini diterusan lagi. Adalah mengikut hikayatnya setelah amoi ini mati dibunuh datang pula seorang India yang mengakui kenal baik dengan si amoi ini. Dari mulut si India ini terbuka kisah bahawa rupa-rupanya Mat Cikai ini telah membuntingkan si amoi.

Kisah si India ini menjadi heboh kerana dikatakan Mat Cikai ini suka pula menujah lubang belakang. Akhirnya berita dari Mat India ini menjadi heboh. Keluarga Mat Cikai menjadi berita dunia - CNN, BBC, The New York Times, Le Monde, The Guardian London - semua membuat berita tentang keluarga Mat Cikai.

Bayangkan semua bemula dengan tambang teksi 48 ringgit 75 sen. Jika Mat Cikai pada petang Sabtu itu di Bukit Damansara telah membayar tambang teksi itu - tidak akan muncul berita Altantuya dan Scorpene. Malah amoi bunting akan hilang bagitu sahaja.

Riwayat keluarga Mat Cikai berterusan. Mat India yang membuka kisah ‘lubang belakang' telah dijanjikan akan dibayar untuk menutup mulut dan mengubah cerita.

Mat India ini akhirnya telah dilarikan ke India. Sayangnya keluarag Mat Cikai yang memang cekai. Mat Cikai telah gagal membayar duit tutup mulut yang dijanjikan kepada P.I Bala. Maka sekali lagi berita keluarga Mat Cikai menjadi heboh.

Mat Cikai buat umrah

Minggu lalu awal bulan Januari 2018 tetiba mencul berita tentang keluarga Mat Cikai membuat umrah. Dunia bukan gempar kerana keluarga ini beragama Islam. Ini tidak menjadi tanda tanya. Yang menjadikan berita heboh rupa-rupanya Mat Cekai berumrah dengan menggunakan duit orang ramai.

Riwayat umrah ini terbocor apabila ada seorang minah baik hati telah membocorkan senarai nama kaum keluarga Mat Cikai yang akan pergi ke Saudi Arabia dengan menaiki kapal terbang milik kerajaan.

Minah baik hati ini pastilah pegawai kerajaan yang dapat senarai kaum keluara Mat Cikai yang sedang menggunakan duit orang ramai untuk berumrah.

Ini betul cikai first class. Ini betul bertaraf FLI (free loader international ). Ini sah Mat Cekai ini dari kumpulan FLG (Free Loader Globalist). Nak pergi umrah bawa emak dan adik beradik pun pakai duit kerajaan. Jika ini bukan cikai? Jika ini bukan haprak? Jika ini bukan ciput - apa namanya ini?

Maka sah dan sahih bahawa Mat Cikai ini memang ada pertalian rapat dengan Mat Ciput. Hanya mereka yang berdarah ciput sahaja tanpa malu dan segan akan menggunakan duit kerajaan untuk membawa kaum keluarga berumrah.

Perangai lanun Bugis

Babi yang tebal kulitnya itu pun tidak akan pergi membawa kaum keluarga berumrah dengan menggunakan kapal terbang kerajaan.

Cuba kita bayangkan bagaimana Mat, pakcik dan makcik Pantai Dalam merancang untuk berumrah. Keluarga ini akan berjimat cermat.

Mengumpul duit sadikit demi sedikit. Makcik buat kuih untuk berjaja di pasar malam. Pakcik ketika hari cuti akan pergi ke Pantai Remis mencuba nasib menjala ikan.

Semua bertujuan untuk menyimpan duit untuk ke Mekah. Bertahun mereka mengumpul sen demi sen. Ringgit demi ringgit.

Berumrah, naik haji mengikut ajaran agama hanya dilakukan jika ada kelebihan belanja. Jika pendapatan lumayan. Bukan bawa emak, bini, menantu, cucu, abang, adik ipar, kakak ipar pergi berumrah dengan menggunakan duit rakyat.

Ini perangai lanun Bugis. Maka sahlah apa yang dikatakan oleh Mahathir bahawa Mat Cikai ini seorang pencuri. Ini adakah sifat asli Lanun Bugis.

Maka adalah tidak jujur jika saya juga tidak memasukkan satu lagi kisah tentang keluarga Mat Cikai ini. Walaupun mereka lanun Bugis tetapi keluarga ini amat-amat meminati wayang Melayu.

Ayahanda kepada Mat Cikai amat meminati pelakon filem Melayu yang bernama Sarimah. Perangai ini telah diikuti oleh anaknya. Mat Cikai amat-amat meminati pelakon dan penyanyi Melayu yang bernama Ziana Zain.

Malah sepuput Mat Cikai ini juga meminati penyanyi yang bernama Anwar Zain.

Apakah meminati pelakon dan penyanyi filem Melayu ini salah satu dari watak Lanun Bugis? Saya tidak tahu. Hanya Dewa Zeus sahaja yang maha mengetahui. Amin.

NOTA:

Siapakah agaknya pegawai yang membocorkan nama senarai keluarga Mat Cikai itu? Tahniah/ Salut. Ini contoh pegawai kerajaan yang telah bosan dengan keluarga Mat Cikai.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen