malaysiakini logo
story-image
ADS

Lebih setahun yang lalu, saya pernah menulis mengenai berbijaksana dalam mendepani Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bagi saya, pada ketika itu, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu yang pernah 'dilanyak' teruk oleh Mahathir semasa era pemerintahannya boleh menghulurkan salam kerjasama, kenapa tidak kita?

Hari ini, isu yang sama berbangkit dengan beberapa pihak masih mengungkit segala 'kesalahan' dan tahap ketidakpercayaan pada Mahathir dengan media arus perdana terus menggunakan 'insan-insan terpilih' untuk tujuan mengadu domba.

Memang media arus perdana yang dimiliki oleh parti-parti politik kerajaan akan mengambil kesempatan daripada isu seperti ini untuk menunjukkan ketidakstabilan serta pepecahan di kalangan ahli serta pemimpin HARAPAN.

Hakikatnya, tidak pernah sekalipun mana-mana pemimpin pembangkang atau Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta para ahli atau penyokongnya untuk memaafkan atau percaya kepada Mahathir.

Persetankan musuh politik

Tidak pernah Anwar, Kit Siang, Guan Eng atau Mat Sabu paksa mana-mana ahli untuk meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Mahathir kerana tidak mungkin 'dosa-dosa' Mahathir boleh lenyap dalam sekelip mata.

Malah, Mahathir sendiri yang telahpun meminta maaf sebelum ini juga tidak pernah meminta ahli-ahli HARAPAN untuk mempercayai beliau.

Apa yang Mahathir minta ialah gandingan semua pihak dalam pembangkang untuk bersama beliau dalam gelombang menumbangkan Umno dan BN dalam PRU ke-14 atas alasan untuk menyelamatkan Malaysia.

Kerap kali Mahathir dipetik sebagai berkata, beliau sendiri tak pernah kisah digelar 'mahafiraun' atau 'mahazalim' dengan tidak menyaman mana-mana pihak yang menggelarkan beliau sedemikian.

Mahathir berkata, beliau cukup faham bahawa ia adalah permainan politik dan beliau juga bertindak 'mempersetankan' musuh-musuh politiknya terutama Anwar dan DAP suatu ketika dahulu sehingga imej kedua-duanya tercalar teruk.

Tetapi, itu dahulu, dan kini, kerana mahu menumbangkan Umno dan Datuk Seri Najib Razak dari jawatan nombor satu negara, Mahathir sanggup menyertai musuh-musuh politiknya walaupun tidak dapat dipastikan sama ada dendam itu masih membara antara keduanya.

Tujuannya satu iaitu bergandingan untuk menumbangkan Umno, BN dan Datuk Seri Najib Razak pada PRU14 dan bukannya agar para penyokong HARAPAN percaya Mahathir ini baik, Mahathir ini tidak pernah melakukan kesalahan atau Mahathir ini sudah bertaubat.

Lupakan kisah lama

Begitu juga dengan pimpinan HARAPAN seperti Anwar, Kit Siang, Guan Eng dan Mat Sabu yang sanggup melupakan kisah-kisah lama demi menjayakan matlamat utama menumbangkan Umno dan BN pada pilihan raya umum kali ini.

Justeru, soal percaya Mahathir atau tidak bukan sahaja tidak perlu ada malah tidak payah untuk diungkitkan kepada media arus perdana terutama berpaksikan dendam lama atau prasangka bahawa Mahathir mahu anaknya menjadi perdana menteri.

Yang pasti, bukan mudah untuk HARAPAN menumbangkan Umno yang sekian lama berkuasa dengan dana PRU ke-14 yang bukan sedikit dan pakatan pembangkang memerlukan dambaan, sokongan dan kerjasama semua untuk mencapai matlamatnya.

Faktanya ialah hampir separuh daripada 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dimenangi oleh BN dengan majoriti lebih 4,000.

Fakta juga bahawa PKR hanya selamat di 30 kawasan dari 51 kerusi Parlimen yang ditandinginya manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mendapat 27 kerusi tidak tahu nasibnya.

Entah menang, kalah

Sedarilah, walaupun hari ini Mahathir bersama pembangkang membentuk HARAPAN yang menjadi alternatif terbaik untuk berdepan BN pada PRU ke-14, ia bukan faktor yang boleh menjamin kemenangan.

Buat apa nak bergaduh siapa perdana menteri, siapa timbalan perdana menteri atau siapa dalam kabinet bayangan dan sama ada kita perlu percaya Mahathir atau tidak sedangkan hanya kerja kuat dan kesatuan semua pihak dapat menentukan potensi kemenangan.

Entah menang entah tidak, tetapi pihak-pihak yang bertelagah mengenai isu siapa patut jadi perdana menteri, nak meluat pada Mahathir selamanya atau tidak sepatutnya diam, mula berfikir dan bekerjasamalah jika mahu menumbangkan Umno.

Sedarilah semua, jika Mahathir sendiri yang kini berusia lebih 90 tahun dengan kedekat yang tidak seberapa tidak dapat menumbangkan Umno, maka anggaplah sahaja kerajaan itu Umno dan Umno itu kerajaan selamanya.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen