Undi rosak


(Dikemaskini )

Kali ini bukan “Ini Kali-lah”. Ia bukan lagi pertaruhan antara rakyat dengan regim korup, atau antara yang baik dengan yang jahat, mahupun antara yang benar dengan yang batil.

Ia adalah pertaruhan antara dua gandingan parti politik yang memiliki kepentingan masing-masing. Terdapat wajah koruptor dan diktator, sungguhpun bergelar bekas, dalam barisan dan pakatan masing-masing. Meminjam kiasan popular, ia umpama pilihan antara Pepsi dengan Coke.

Maka kita terdengar seruan untuk membuang undi rosak sebagai tanda protes, khususnya terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN). Mesejnya berbunyi, sokongan rakyat tidak harus diambil kesempatan sewenang-wenangnya. Seandainya pembangkang gagal menawarkan alternatif yang lebih baik, maka tiada kewajipan untuk rakyat menyokongnya.

Saya bersetuju dengan banyak kritikan terhadap HARAPAN, malah berkongsi sentimen ketidakpuasan, kekecewaan dan kemarahan terhadapnya. Pada masa sama, saya menghormati hak dan kebebasan pengundi untuk membuang undi rosak dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Persoalannya, apakah ia langkah terbaik bagi sebuah negara yang tidak pernah mengalami peralihan kuasa di peringkat persekutuan? Dan apakah kita bersedia untuk membayar harganya, jikalau undi rosak kita menyumbang kepada kembalinya majoriti dua pertiga kepada Umno BN di Dewan Rakyat?

Nilai Undi tak sama

Keputusan PRU ke-13 mengajar kita tentang jurang perbezaan antara undi dengan kerusi yang diperolehi. BN merangkul 59.91 peratus kerusi parlimen dengan 47.38 peratus undi popular; sementara Pakatan Rakyat yang memperolehi 50.88 peratus undi popular sekadar merampas 39.64 peratus kerusi.

Jelas, undi BN lebih bernilai berbanding undi PR, kerana BN menterjemahkan undi minoriti kepada kerusi majoriti.

Bagaimana nilai undi dikira? Peratusan kerusi dibahagi dengan peratusan undi yang diperolehi. Secara idealnya, jikalau sesebuah parti memperolehi 10 peratus undi popular, maka ia sepatutnya memperolehi 10 peratus kerusi. Nilai undinya satu, iaitu peratusan kerusi yang diperolehi setimpal dengan peratusan undi popular.

Mengambil kes PRU ke-13, nilai undi BN adalah 1.26, iaitu lebih besar daripada yang sepatutnya. Sebaliknya, nilai undi PR adalah 0.78, lebih rendah daripada satu.

Secara lebih mudah, seandainya kita umpamakan kertas undi dengan wang kertas, maka wang kertas RM1 dalam tangan BN boleh digunakan untuk membeli barang bernilai RM1.26; sementara wang kertas RM1 dalam tangan PR cuma mampu membeli barang bernilai RM0.78.

Izinkan saya memetik satu analisis statistik yang dikemaskini Dr Wong Chin Huat, pengkaji sistem pilihan raya di Malaysia:

Jika diteliti, nilai satu undi yang diperolehi BN hampir bersamaan dengan dua kali ganda nilai undi yang diperolehi PAS (1.98). Dengan kata lain, PAS memerlukan dua undi untuk mengimbangi satu undi yang diperolehi BN.

Jelas ia bercanggahan dengan prinsip “satu orang, satu undi”.

Tidak adil, bukan? Namun hakikatnya, keputusan PRU ke-13 adalah antara yang paling “adil” dalam sejarah.

Pada PRU ke-11, nilai satu undi BN bersamaan dengan 26.08 undi yang diperolehi PKR. PKR memperolehi 8.43 peratus undi popular, tetapi sekadar mempertahankan 0.46 peratus kerusi, iaitu kerusi tunggal di Permatang Pauh.

Bukan PKR sahaja yang menjadi mangsa. Begitu juga dengan PAS dalam PRU ke-7 pada tahun 1986. PAS sebagai pembangkang kedua terbesar yang memenangi 15.50 peratus undi popular ketika itu hanya mendapat 0.56 peratus kerusi, juga kerusi tunggal di Pengkalan Chepa.

Sedangkan BN yang memperolehi 57.28% undi popular berjaya merangkul 83.62 peratus kerusi. Dengan kata lain, nilai satu undi BN bersamaan dengan 40.41 undi PAS.

Undi yang disia-siakan nilainya

Mengapa fenomena ini berlaku? Dr Wong Chin Huat memperkenalkan konsep wasted vote (undi yang disia-siakan), yang mana undi popular yang diperolehi gagal diterjemahkan kepada kerusi. Ia harus difahami bersama sistem pilihan raya kita yang mengamalkan First-Past-The-Post (FPTP).

Dalam sistem FPTP, seorang calon hanya perlu memperolehi undi paling banyak di kalangan pesaingnya, tanpa perlu melebihi 50 peratus.

Misalnya, di kawasan yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, calon A dan B masing-masing memperolehi 33% undi, maka calon C akan diisytihar sebagai wakil rakyat jika mendapat 33% + 1 undi.

Dalam kes ini, sungguhpun terdapat 66 peratus pengundi (majoriti) menentang calon C, dia tetap pemenang yang diiktiraf dalam sistem ini. Dalam kata lain, 66 peratus undi telah disia-siakan nilainya kerana gagal diterjemahkan kepada kerusi.

Di samping itu, undi majoriti yang melimpah juga sia-siakan nilainya.

Misalnya, kawasan parlimen Seputeh yang menyaksikan persaingan antara Teresa Kok (DAP) dengan Wong Siaw Ting (MCA-BN) dalam PRU ke-13. Dalam pertembungan satu lawan satu ini, secara teori Teresa Kok hanya perlu memenangi 50 peratus + 1 undi untuk menang.

Hakikatnya, Teresa Kok meraih 51,552 undi majoriti. Dengan kata lain, lebihan undi berjumlah 51,551 itu tidak memberi makna bagi melonjakkan bilangan kerusi yang diperolehi.

Secara ringkas, undi yang diperolehi calon yang tewas dan undi majoriti yang terlebih diperolehi calon yang menang, adalah undi yang disia-siakan nilainya. Undi yang disia-siakan ini tidak mampu dielakkan, tetapi hanya boleh dikurangkan.

Parti politik boleh memilih untuk fokus di kawasan yang mampu dimenangi agar undinya tidak disia-siakan dengan kekalahan calon di kawasan lain. Inilah strategi yang digunakan DAP.

Namun, pembangkang boleh merancang, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, penyokong pembangkang dilonggokkan di kawasan tertentu, agar pembangkang menang dengan undi majoriti yang melimpah. Pada masa sama, persempadanan semula ini cuba memastikan kemenangan BN dengan perolehan undi yang memadai – cukup-cukup untuk menang – supaya undi BN tidak disia-siakan nilainya. Perlu ingat, daripada 20 kerusi yang dimenangi dengan undi majoriti tertinggi dalam PRU13, 19 kerusi dimiliki Pakatan Rakyat.

Kemenangan Pak Lah

Persempadanan semula kawasan pilihan rayalah yang memenangkan kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU ke-11 pada tahun 2004.

Peratusan undi popular untuk BN hanya melonjak 7.32 peratus, iaitu dari 56.53 peratus pada PRU ke-10 kepada 63.85 peratus; tetapi peratusan kerusi yang diperolehi BN telah meningkat secara mendadak dari 76.68 peratus (PRU ke-10) kepada 90.87 peratus.

Bagaimana kegilaan sedemikian boleh berlaku? Ini kerana gelombang Reformasi yang membadai PRU ke-10 pada tahun 1999 gagal menafikan majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat. Umno BN yang tergugat ketika itu telah mengambil kesempatan untuk menambah kawasan yang memihak kepada mereka melalui persempadanan semula pada tahun 2003.

Secara “kebetulan”, negeri yang dianggap kubu BN seperti Johor dan Pahang masing-masing mendapat enam dan tiga kerusi Parlimen baru.

Ia berakhir dengan penambahan kerusi parlimen dari 193 dalam PRU ke-10 kepada 219 dalam PRU ke11.

Tetapi mengapa persempadanan semula yang melibatkan penambahan kerusi tidak berlaku selepas kekalahan teruk Umno BN dalam PRU ke-12 pada tahun 2008?

Ini kerana pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen. Tanpa majoriti dua pertiga, kerajaan BN sekadar mampu memunggah pengundi dari satu kerusi ke kerusi lain dalam persempadanan semula, tanpa penambahan kawasan baru yang memihak kepada dirinya.

Undi rosak vs undi disia-siakan

Bagaimanapun, ketidakadilan sistem ini meruncing dalam PRU ke-13. Buat kali pertama pembangkang memperolehi undi popular majoriti (50.88 peratus), namun dinafikan kelayakannya untuk berkuasa kerana hanya merampas 39.64 peratus kerusi.

Umno BN telah hilang keabsahannya untuk terus memegang tampuk kuasa, walaupun “sah” dari segi undang-undang. Demokrasi Malaysia telah tempang kerana suara minoriti berkuasa ke atas majoriti, dan Umno BN yang bermuka tebal sanggup mempertahankan kuasa menggunakan segala jentera yang ada.

Kita semua maklum, persempadanan semula bakal meningkatkan kesukaran pembangkang untuk menumbangkan kerajaan sedia ada pada masa akan datang. Jika pada PRU ke-13 pembangkang sekadar memperolehi 39.64 peratus kerusi dengan 50.88 peratus undi popular, apakah ia bermaksud pembangkang perlu meraih lebih 60 peratus undi untuk memperolehi kerusi majoriti?

Dalam suasana di mana kebebasan bersuara, media dan akademik terkongkong, apakah mungkin pembangkang meraih lebih 60 peratus undi?

Maksudnya, nilai undi untuk pembangkang semakin menyusut, dan susutan itu dijangka lebih ketara jikalau Umno BN berjaya mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam PRU ke-14, dan menambah kerusi yang memihak kepentingan dirinya.

Mungkin pembangkang mampu menawarkan alternatif yang lebih baik pada masa depan setelah diberi pengajaran oleh pengundi dalam PRU ke-14. Tetapi, seandainya persempadanan semula berlaku selepas Umno BN merampas kembali majoriti dua pertiga, apakah kita pasti regim ini mampu ditumbangkan dalam PRU ke-15, sedangkan nilai undi kepada pembangkang semakin menyusut?

Tiada pilihan yang sempurna dalam hidup, apatah lagi dalam politik. Undi rosak mungkin meleraikan dilema dalam diri kita, tetapi gagal meleraikan hegemoni Umno BN. Jangan undi rosak hari ini merosakkan nilai undi anda pada masa depan.