malaysiakini logo
story-image
ADS

Selain dari tidak letih-letih memimpin minda massa dengan ilmu pengabdian agar sentiasa terasuh dengan sikap tawaduk Tok Guru Nik Aziz Nik Mat juga tidak serik-serik menegur Umno.

Dia sering tampil untuk menyingkap isu semasa yang cuba diputar para pemimpin kebangsaan di Putrajaya.

Kepada beliau, jika dibiarkan mereka bebas bermain kayu sepanjang masa tanpa disanggah, habis bengkaklah seluruh dahi dan minda umat.

Dalam pusingan ini, saya ingat ada baiknya kita berhenti sejenak untuk melihat bagaimana Tok Guru menghantar pelbagai sanggahan demi melayan beberapa pemain nakal dari tebing awan biru.

Beliau menyentuh mengenai nasib sekolah agama rakyat (SAR) - di manakah letaknya peranan pembangkang dan bagaimana beliau mewajarkan dirinya untuk bertanding berpanjangan sejak 2003 dulu.

Tetap perkasa, segar-bugar

Pada Tok Guru, selagi Umno mengganggu Islam, maka akan begitulah sikapnya. Dia tidak akan duduk diam sebaliknya sentiasa bersikap kritis. Selaku pembangkang, dia akan melawan dengan hujah; bertanding dan menentang Umno sampai ke mati.

Lihatlah nanti, bagaimana isu-isu ini yang pernah cuba dijadikan political football seawalnya oleh Umno kemudian memasuki gawang gol mereka sendiri melalui tendangan penalti.

Bertanding sampai ke akhir hayat: Selaran dibuat naib presiden Umno terhadap saya kerana mahu bertanding hingga akhir hayat boleh dilihat dalam dua keadaan.

Sama ada Najib dan Umno takut dengan berita itu kerana Umno memang ketandusan ulama, atau Umno terlalu panik kerana dalam keadaan pemimpin Umno sibuk mahu meninggalkan perjuangan, PAS tetap perkasa dan segar bugar.

Saya akan terus bertanding hingga sampai ke akhir hayat. Tidak ada apa yang pelik dalam Islam. Lihat sahaja sejarah Rasulullah SAW dan khalifah yang empat - mereka memegang tongkat kekhalifahan sampai ke akhir.

Kita ada dasar dan bergerak dengan isyarat dan panduan. Kita bukan main raba-raba dan ikut rasa. Itu perangai nasionalis. Pemimpin sekular memang begitu. Turut tanpa pedoman tongkat lalu meraba di malam buta. Konon berwawasan, pada hal dia buat ikut nafsu.

Menggelecek Najib: Sepatutnya, Najib semak dulu apa yang telah disebut Ku Li dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 9 Februari 2003.

Ku Li sahkan yang “Nik Aziz pemimpin sebenar orang Kelantan.” Ada munasabah pemimpin sebenar tidak bertanding?

Tentu tidak logik membenarkan pemimpin yang tidak sebenar dari Umno memimpin. Saya tidak mahu tanggung dosa. Jika Najib nak marah, Najib perlu marahkan Ku Li yang telah membuat pengesahan.

Dulu saya sudah agak kurang semangatlah untuk terus bertanding tetapi Ku Li yang memberikan dorongan tambahan ini.

Nik Aziz tamak: Soal tamak tidak timbul. Itu Najib yang pandai-pandai. Ini soal orang nak keluar, maka takkanlah politik Malaysia terpaksa mengalami sebuah vacum.

Kekosongan perlu diisi oleh pemimpin yang sebenar seperti yang diisyarat oleh Ku Li. Bagikan saja kepada pemimpin pembangkang untuk berada di kerusi pilot habis cerita!

Mengulas ketua pemuda Umno: Komen Hishamuddin Hussien pula tidak ada yang baru, sebaliknya hanya meniru komen Najib dan boleh dilihat dalam laporan NST pada 17 Febuari 2003.

Tidak banyak berbeza. Sekadar itulah termampu dibuat oleh ketua pemuda Umno - meniru dan mengajuk cakap-cakap orang. Sungguh malang, Umno tidak banyak boleh tumpang idea daripada ketua pemudanya.

Mengulas pemuda MCA: Sama juga dengan ketua pemuda MCA. Lihat Utusan Malaysia 17 Febuari 2003.

Ketua pemuda itu saya lihat cuba-cuba belajar berenang. Barangkali lebih menjadi keutamaan bagi MCA untuk mencari perdamaian antara Lee Leong Sik dengan Lim Ah Lek. Lim yang hendak turun tetapi tidak dapat turun-turun sampai sekarang. Ini isu besar dan memerlukan penyelesaian. Orang MCA mahu melihat presidennya digantikan.

Sebenarnya, yang berkuasa dalam MCA itu siapa? Itu pula dijawab oleh Ong Tee Kiat terlebih dahulu. Tolong kemaskan almari baju MCA sebelum cuba hendak tunjuk pandai menyusun kerusi meja di rumah kami.

Debat Umno - Pas: Mengenai debat antara Sallehudin Ayub (PAS) dan Nazri Aziz (Umno) yang dijadualkan berlangsung pada 16 Febuari 2003.

Saya rasa eloklah ianya berlangsung tanpa campur tangan sesiapa. Cuma saya terkilan sedikit kerana ia hendak dibuat secara tertutup. Penyokong kedua-dua belah pihak pula dihadkan kepada 200 orang sahaja.

Soalannya di sini ialah, semasa Umno menuduh PAS itu dan ini, ia dibuat secara terbuka. Daripada ‘fatwa Haji Hadi’, Tuhan dituduh samseng, SAR yang kemungkinan menjadi sarang pengganas, SAR tidak mengajar Islam, SAR yang mencerca pemimpin, SAR yang tidak memiliki guru terlatih dan lain-lain dibuat oleh Umno secara terbuka.

Apabila debat dan ada sedikit ruang untuk menjawab oleh orang yang kena tuduh, terus ianya ditutup.

Entahlah, perangai Umno tidak pernah berubah. Perangai tidak jujur untuk mendengar perbezaan pendapat memang sebati dalam Umno. Dia (Umno) tahu yang dia tidak boleh berhujah.

Walaupun debat belum berlaku, dia sudah hampir yakin yang dia ketiadaan dalil, asas dan justifikasi untuk menyekat bantuan kepada SAR. Tengoklah nanti.

Sekolah agama rakyat: Sekali cakap tidak mahu tutup. Tidak mahu tutup macam mana kalau sudah segala saluran bantuan yang boleh menghidupkan SAR ditutup? Saluran pernafasan SAR ialah bantuan per kapita. Mustahil tidak faham.

Tidak memberi bantuan kewangan samalah seperti memotong belanja susu untuk bayi yang sedang menyusu. “Eh! Mati pula anak kita?"

Dalam hal tamakkan kuasa, ia bermakna tidak cukup-cukup dengan kuasa untuk digunakan bagi menjamu nafsu.

Menggunakan kuasa untuk mengekalkan kuasa walaupun dengan menzalimi orang lain adalah termasuk dalam pengertian ini. Sumbat orang ke penjara melalui ISA tanpa dibuktikan kesalahan.

Tunai amanah, tanggungjawab

Buat-buat tidak faham jika rasuah dilihat berlaku dikalangan kerabat dan kroni. Menggunakan kuasa untuk menyekat perlaksanaan hudud. Tidak menggunakan kuasa untuk melaksanakan pelbagai peraturan Allah. Mencampuri urusan kehakiman.

Ini adalah sebahagian daripada contoh bagaimana kuasa yang ada disalahgunakan tetapi masih tamak untuk mengekalkan kekuasaan.

Pindaan demi pindaan ke atas akta dan aku janji semakin menjelaskan lagi fenomena ketamakan kuasa pemimpin Umno demi mengekalkan kekuasaan.

Jika menggunakan kuasa untuk menolak kezaliman, menentang kemungkaran, memakmurkan bumi Allah dengan keadilan dan menukar ganti pemimpin sekular dengan pemimpin Islam; maka ini dinamakan perjuangan.

Ia disebut menunaikan amanah dan tanggungjawab selaku orang beriman.

Peranan pembangkang dalam demokrasi: Pejuang Islam mahu memastikan setiap inci bumi Allah di seluruh Malaysia menerima Islam yang syumul. Ini termasuklah misi menawan Pahang Darul Makmur, negeri kelahiran Najib sendiri yang sedang senget sekarang. Kenapa harus cemas?

Saya sesungguhnya sangat yakin dengan kebebasan berhujah. Hujah perlu dilawan dengan hujah. Hatta, kuasa besar AS yang semakin samseng berikutan tiadanya amalan semak dan imbang banyak menimbulkan kegawatan memerlukan cabaran dari hujah kuasa besar yang lain.

Pandangan awam sedunia yang kini menyuarakan protes terhadap AS seakan-akan menjadi suatu kuasa pengimbang yang tersendiri.

Kuasa tawar-menawar yang boleh menyemak pendirian AS tentu penting bagi proses keamanan dunia. Ini selaras dengan tuntutan ayat Al-Quran yang bermaksud:

"Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam" (sebahagian ayat 215 al-Baqarah).

Pas yang menyemak: Umno pun memerlukan PAS sebagai mana dunia memerlukan kehadiran pelbagai kuasa besar yang saling semak-menyemak.

Umno perlu disemak kekuasaannya agar tidak terlalu tamakkan kuasa sehingga kuasa kolektif menjadi monopoli kepada satu atau dua orang pemimpin yang kelirukan kuasa.

Dalam semangat itulah saya masih melihat keperluan untuk bertanding walaupun sampai ke akhir hayat.

Walaupun presiden undur atau tidak pada bulan Oktober depan, saya tetap bertanding dalam pilihan raya akan datang. Demikian pendirian saya.

Menjengok sedikit Umno di Kelantan, saya perhatikan tidak pernah sama apa yang digambarkan oleh pemimpinnya di akhbar-akhbar dengan realiti masalah yang dihadapi.

Khalil Yaakub mengesahkan yang Umno Kelantan telah mantap lalu menggerunkan PAS (lihat Utusan Malaysia 17 Febuari 2003).

Baru tiga minggu lepas, Umno mengubah pemimpin, tiba-tiba sudah mantap. Belum pun bertunas. Belum pun lagi nampak tanda-tanda keluar daun baru, macam mana Khalil boleh yakin ianya mantap? Saya tidak mahu menjadi penyebar khabar-khabar angin.

Usikan Nik Aziz: Saya boleh sahkan Umno Kelantan sedang bergolak lebih teruk dari sebelumnya. Annuar Musa pula dilaporkan berkata - dalam akhbar yang sama - bahawa “jika Umno mahu menang, perhatian serius yang perlu diberi ialah perpaduan”. Awang Selamat pula dalam akhbar yang sama bimbangkan amalan ‘cah keting’.

Lihatlah. Sekali kata kuat dan mantap, sekali lain kata ada cah keting dan tiada perpaduan. Sekali kata Nik Aziz pemimpin sebenar. Saya cuma membaca dan melihat apa yang ditulis.

Saya kadang-kadang bertanya kepada diri sendiri: Umno ni, dia fahamkah apa yang dia buat?

Sedikit analisis

Perhatikan ketegasan dan peranan yang dimainkan Tok Guru. Tok Guru bagaimana, dan kita pula bagaimana?

Tulisan saya sering juga dilontar batu oleh dua tiga kerat budak-budak nakal yang konon mahu sinis. Konon, saya asyik terkenang masa lalu.

Tanpa mempeduli, saya cungkil dan angkat jua pelbagai sikap allahyarham demi membandingkan dan menjadikannya sebagai titik rujukan. Harapannya, ada kesan muhasabah. Manalah tahu? Di situlah letak duduknya.

Jika mahu ambil isu 1MDB sebagai rujukan kes, maka 1MDB ini sebesar-besar skandal yang pernah meletus dalam politik Malaysia sejak 1957. Demikian juga dengan Felda.

Ia sebesar-besar iblis jenayah kolar putih yang pernah dimunculkan. Anehnya, ia cuba dikambus oleh sebarisan pemimpin “kelas satu” negara dengan disambut sikap acuh tak acuh pemimpin dari parti Islam justeru seolah-olah mahu menyembunyikan najis dari pelbagai anus ke dalam pasir masa.

Masing-masing menyuguh semua orang agar mempercayai ia sekadar air selut yang sedang dimainkan oleh barisan pembangkang.

Lihat beberapa waktu terdahulu bagaimana seorang pegawai teratas dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memilih untuk berundur lebih awal semata-mata kerana tidak mahu bersubahat. Apa itu bersubahat?

Nampak tak banyak beza

Ada pulak, isu-isu ini, isu buatan sekadar permainan pihak yang cemburu! Siapa yang cemburu dan untuk apa? Politik pembangkang apanya?

Ini skandal raksasa yang sedang meranapkan negara. Tak payah cakap hal yang semalam. Ambil hal hari ini, cukup. Nilai ringgit kita dah tinggal berapa kupang?

Inilah jadinya apabila parti yang mendaftarkan dirinya sebagai pembangkang pun sudah keliru tentang kewujudan dan raison d’etre mereka.

PAS yang dipimpin Tok Guru setia dengan amanah. Nik Abdul Aziz jarang keliru.

Dia telus dan setia menegur dengan penuh tanggungjawab. Ini cukup terbukti melalui pelbagai isu yang ditegur oleh beliau lewat 2003 seperti yang dinyatakan di atas.

Sekali lagi, sepatah kata Tok Guru: "Umno perlu disemak kekuasaannya agar tidak terlalu tamakkan kuasa".

Terkini, apa makna pujian perdana menteri terhadap presiden PAS dalam perutusan tahun baru 2018?

Kata Najib, inilah politik lebih matang yang membina negara. Nampak - tak jauh bezanya dengan konsep politik matang dan sejahtera bawaan Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, pada halaman 6 Sinar Harian bertarikh 3 Januari 2018 pula terpampang kepala berita berbunyi: PAS mahu Najib kekal PM.

Apa erti semuanya ini?

Ah! Saya dengan ini ingin mengayuh basikal ke pekan sambil bersiul berlepas tangan. Tak kuasa saya...


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen