malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya melihat, dari dahulu hingga sekarang, punk atau scene yang ada masih - dan rasanya akan terus kekal - sebagai kelab budak-budak lelaki atau boys’ club.

Ia tidak banyak bezanya daripada genre metal atau hip-hop rap yang watak-watak utamanya adalah lelaki. Kebanyakan band dianggotai lelaki walaupun ada segelintir kumpulan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemain bass wanita.

Memang ada all-women band (hampir kesemuanya) seperti Shh…Diam (gambar) yang tegas dengan attitude punk mereka, malah berani merentasi pelbagai genre muzik dengan topik-topik yang panas dan kontroversi.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga kelakar. Namun, mereka juga tergolong dalam istilah "segelintir". Oleh kerana kepelbagaian irama, ada yang melihat mereka bukan sebagai punk sejati yang biasanya bingit dengan lagu tiga kord.

Ertinya, jika ada pun perempuan, ia dilihat sebagai novelty, malah biasanya sebagai peminat atau teman kepada peminat/pemuzik. Keseimbangan gender amat lemah.

Adakah itu satu masalah? Terpulang kepada yang mengalaminya, melayannya, dan memerhatikannya. Saya hanya mampu melihatnya sebagai pemerhati. Lagi pun saya juga one of the boys dahulu.

Perbezaan kaum

Scene punk – juga hampir sama seperti metal – tertumpu kepada satu kaum. Saya pernah mendengar teori kononnnya telinga anak-anak bumiputera mudah menerima muzik yang bingit berbanding kaum-kaum lain di Malaysia.

Namun andaian yang tidak saintifik ini terbukti kantoi apabila rata-rata peminat punk di Taiwan - yang pernah saya perhatikan suatu ketika dulu - adalah daripada kalangan Cina, walaupun Taiwan juga mempunyai minoriti bumiputera.

Di Semenanjung Malaysia hampir semua yang terlibat dalam scene itu adalah Melayu. Dalam konteks masyarakat tempatan, aspek kaum sukar untuk dipisahkan daripada bahasa, budaya, adat dan sikap kolektif.

Dengan itu, asas amalan budaya Melayu yang didoktrinkan sejak kecil - iaitu agama Islam - mempunyai pengaruh yang besar. Ia tidak semestinya tentang soal akidah tetapi meliputi hal-hal ritual, haram dan halal.

Macam mana seseorang itu berasa dirinya punk sekali pun, keyakinan Melayu dan kepercayaan agamanya tetap tebal.

Di Sabah dan Sarawak, saya terpaksa mengakui kelemahan saya mengikuti scene di sana. Malah, saya mengaku bahawa saya lebih berpengetahuan tentang politik di kedua-dua wilayah terbabit berbanding hal-hal genre punk atau indie.

Namun, dalam sedetik dua pemerhatian, rasanya ramai juga yang terlibat itu terdiri daripada kalangan bumiputera yang sudah tentunya datang dari pelbagai latar agama termasuk Kristian dan Islam.

Penyertaan anak-anak Cina, India dan campuran dalam scene underground tempatan memang amat sedikit. Mungkinkah ia soal bahasa yang tidak dapat dipisahkan daripada agama dan budaya kaum dominan?

Atau mungkin ada benarnya cita rasa muzik yang awal-awal lagi ada perbezaannya dari sudut sub-genre?

Skate punk

Saya tidak mempunyai banyak jawapan untuk persoalan-persoalan yang telah, sedang dan akan timbul. Walapun saya dalam usia yang lanjut, ia tidak memberi apa-apa makna istimewa.

Saya sendiri tidak selesa dengan segelintir otai yang berasakan diri mereka sebagai tok guru yang tidak boleh ditegur. Atau mereka merendah-rendahkan minda orang muda. Mungkin tidak ramai seperti itu tetapi memang ada.

Ia seperti saya tidak tahu apa-apa tentang budaya skateboarding yang mewujudkan skate punk. Mungkin apabila punk meletus 40 tahun lalu, ia tidak pernah dipedulikan Johnny Rotten (gambar) atau Joey Ramones, ia tidak dikisahkan Poly Styrene atau Patti Smith.

Bagi saya sub-genre kepada punk ini mula popular di Amerika Syarikat pada awal 1990-an, dan ia yang melahirkan melodic punk atau apa yang dikatakan pop punk.

Melodic punk ini bagi saya bukanlah merujuk kepada manisnya melodi lagu-lagu Bad Religion yang keras dan lantang liriknya dan politikal serta kritikal terhadap kuasa dan penguasa agama, tetapi menjurus kepada band-band bersuara halus berbanding suara-suara serak dan jerkahan punk-punk yang lebih awal.

Apa pun, mungkin kerana saya tidak minat serta tidak pandai bermain skate, kurang minat dengan genre ini, apatah lagi sukan sebegini.

Sudah tentu saya sedar ramai peminat skate di Malaysia. Seperti mana yang saya masih ingat tentang kegilaan anak muda pada awal 1980-an membuat persembahan breakdance di khayalak ramai.

Suatu ketika dahulu sewaktu sesekali melepak di Alor Setar, Kedah, saya memerhatikan suasana di pekarangan Masjid Zahir menjadi medan tarian jalanan itu. Heboh akhbar-akhbar Melayu tentang akhlak anak muda Melayu.

“Tarian” punk

Dalam soal tarian, kadang-kadang saya tertawa sendiri dengan rentak tari mereka – punk yang mempunyai koreografi tersusun. Ada yang seperti zapin dengan gerak kaki ke depan dan belakang, ada pula yang ganas seperti helikopter. Tapi apalah yang saya tahu…

Dalam kebanyakan gig yang dipimpin oleh band Second Combat dan rakan-rakan straightedge, biasanya yang dikatakan tarian para peminat mereka memang ganas dan penuh bertenaga.

Terkena siku, terpijak kaki dan tersinggung rusuk sudah menjadi adat mainan. Cuma ironinya kegilaan mereka (kebanyakannya) melompat terkinja-kinja itu sebenarnya tanpa dadah, arak, atau rokok.

Itulah yang mereka namakan straight edge sebagai punk bersih – gaya hidup cetusan idea Ian MacKaye dan bandnya Minor Threat di AS pada awal 1980-an.

Bagi yang lain masih terbungkam dalam dunia rokok dan arak - dan entah apa-apa lagi - mereka juga mempunyai gaya hidup tersendiri walaupun dalam genre yang sama. Bagi saya, biarlah.

Yang muda dan bertenaga, buatlah apa yang dirasakan nikmatnya. Siapa tahu, 10 atau 15 tahun nanti, apabila bernikah dan mula beranak-pinak, mungkin giliran mereka pula berleter dengan anak-anak remaja yang menggila dalam mosh pit nanti.

Saya sendiri sewaktu muda jarang berpeluang ke gig underground kerana tidak banyak persembahan. Yang sedikit sebanyak ada sekadar gig band thrash metal, atau yang masih meneruskan genre heavy metal dalam gaya Iron Maiden atau Scorpions.

Jadi tidak banyak ruang untuk cuba-cuba tari pogo atau yang serupa dengannya.

Hanya sewaktu usia pertengahan 40-an saya teruja dengan kehadiran otai punk Buzzcocks di Kuala Lumpur pada 2009 sampai lupa diri.

Ketika itu, walau badan lemah dan tidak cergas saya menyerbu masuk mosh pit. Kesannya memang memalukan – dihimpit, ditolak dan dirempuh anak-anak muda yang benar-benar muda.

Penat, sengal-sangal tapi berbaloi. Nah, itulah nilai kerohanian punk, agaknya. Sedikit bangang tapi puas.

Fanzine

Fanzine atau fan magazine bererti majalah buatan sendiri oleh peminat. Dalam scene punk-new wave, ia merupakan satu produk dan amalan yang penting.

Saya sebut fanzine atau zine sebagai “zin”. Bukan “zain”. Malah, “zing” pun tak apa, asalkan bunyinya ke arah “zin”. Marah atau tidak, itulah yang saya selesa.

Bagi mengisi kekosongan pada awal 1990-an, saya pernah menerbitkan sebuah fanzine yang berjangka hayat selama tiga keluaran sahaja. Dengan bantuan Joe Kidd yang ketika itu sudah menempa nama sebagai editor fanzine Aedes serta menubuhkan band Carburetor Dung, kami memulakan fanzine Parasit. Turut membantu adalah Shahlan yang merupakan vokalis pertama Carburetor.

Memang ketika itu saya agak bosan apabila bertugas sebagai Ketua Biro Berita Harian di Terengganu. Jadi selain menulis tentang politik tempatan - biasanya karenah Umno dan PAS - serta rencana-rencana hujung minggu terutamanya politik global seperti Perang Bosnia dan hal-hal penulisan termasuk idealisme Kassim Ahmad, saya mencuri masa untuk cut & paste (memang betul-betul gunting daripada majalah hiburan dari UK dan Amerika) serta sesekali menterjemah dan membuat catatan untuk Parasit.

Ia sekadar mahu berkongsi maklumat dengan anak-anak muda yang rajin melepak di sebuah studio muzik di Kuala Terengganu. Bagi saya, tiada apa yang menarik sangat dengan Parasit. Biasa-biasa saja.

Saya juga bukan kolektor, sama ada piring hitam, kaset, cakera padat atau zine. Saya sekadar suka mendengar dan membaca. Kalau ada, adalah. Kalau tidak, tak akan mendaki gunung merentas lurah untuk mencarinya.

Oleh itu, memang saya tidak banyak mengikuti perkembangan zine tempatan serta keluaran produksi muzik-muzik underground.

MMM dan MDC

Seperti mana saya kaki bangku, begitu juga saya kematu jari dengan alat-alat muzik. Hanya sekadar peminat dan pemerhati dari jauh.

Namun, ia tidak pernah mematikan angan-angan untuk menubuhkan band. Memang pernah saya bersama beberapa kawan (kesemuanya pemuzik tersohor dalam genre masing-masing sejak dahulu hingga sekarang) dan beberapa kali lepak jamming di studio muzik.

Di sana saya membawa berkajang-kajang kertas yang dituliskan lirik panjang berjela-jela. Apabila kawan-kawan memetik gitar dan memalu dram, saya mula meratib, melalak dan menjerkah – kecuali menyanyi - kerana memang saya tidak berbakat sama sekali.

Band kami yang hanya jam di studio itu namanya Millions of Mad Moslems (MMM), sempena band anarko-punk Millions of Dead Cops (MDC).

Sekitar awal 1990-an rasanya, pernah apabila rakan-rakan The Pilgrims merakamkan muzik untuk saya nyanyikan. Tetapi setibanya di studio, saya kaget, takut dan stage fright; saya terus lari balik rumah, dan bertaubat tidak akan buat band lagi. Entah mengapa, begitulah adanya.

Saya menyebut tentang MDC kerana akhirnya bersua muka dengan mereka di Kuala Lumpur. Namun perasaan saya seperti terusik. Ia amat berbeza dengan keterujaan apabila bersama Buzzcocks dahulu.

Bagi saya, apabila melihat MDC di depan mata di Rumah Api pada Januari tahun lalu - dengan lagu-lagu politik marah yang kekal gayanya sejak didengar daripada kaset pada pertengahan 1980-an dahulu - ia amat membanggakan. Tetapi pada masa yang sama saya berasa sedih.

Perasaan pilu membungkam jiwa apabila melihat penyanyi utama MDC Dave Dictor dalam usia yang melewati 60 tahun cuba menggagahi era mudanya.

Terasa penat melihat dia memperkenalkan setiap lagu seperti ceramah pendek politik. Saya yakin Dictor selesa dengan apa yang dicintainya.

Mungkin saya sendiri yang letih dan lelah dengan fantasi politik radikal yang hanya rancak dan bingit di ruang-ruang kecil yang gelap penuh berasap rokok tanpa ventilasi sempurna.

No regrets

Ini tidak bermakna saya mengalah. Saya tidak lupa kepada MMM walaupun ia sebagai pengalaman yang mencuit hati.

Saya juga tidak lupa kepada Parasit walaupun ia tidak menggegarkan apa-apa. No regrets. Memang ada sedikit malu tetapi masih mampu tersenyum lebar.

Sama ada lagu, muzik atau filem, sejak awal lagi saya sedar politik yang idealistik dan progresif menjadi makanan rohani. Mungkin dahulu kerana gah dengan slogan-slogan yang meyakinkan diri bahawa kita lebih bijak daripada orang lain.

Memang ada ego dan sedikit bongkak. Kalau tak percaya, lihat saja mereka yang tahu segala-galanya tentang anarkisme dan sosialisme, dan sudah tentu Islamisme.

Dalam penilaian semula tentang punk sebagai sumber ilham dan benteng usia, banyak idea asas yang masih kekal dalam jiwa saya. Cuma dari segi fizikalnya yang tidak banyak berkembang melalui apa yang dikatakan sebagai scene. Sama sahaja seperti dulu.

Sama ada boys’ club atau dominasi satu kelompok kaum, ia juga merupakan satu cetusan yang semula jadi; mungkin atas keselesaan diri masing-masing.

Apa pun, segala yang dicatat - itulah punk-new wave bagi saya. Menilainya semula, ia masih sesuatu yang berharga buat saya. Suka atau tidak, itulah ia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen