malaysiakini logo
story-image
ADS

Punk bagi kebanyakan orang ialah fesyen. Bagi anak remaja, punk adalah gaya. Seperti mana-mana generasi muda, ia merupakan stail pilihan. Hal-hal perjuangan, penentangan dan politik adalah soal kedua, atau mungkin suka-suka sahaja. Ikut kawan, kata sesetengah orang.

Sebagai fesyen, punk merupakan satu bentuk fizikal. Oleh kerana hal-hal hati tidak akan dilihat orang, ia perlu dizahirkan. Oleh itu ada orang yang menganggap dirinya punk serta yang melihat apa itu yang ditafsirnya sebagai punk akan menyaksikan fesyen yang sama – rambut Mohawk, jaket kulit (atau PVC) hitam, kasut Doctor Martens, jeans (termasuk gaya bondage) dan baju T yang biasanya hitam dengan paparan nama-nama band.

Ada juga yang ditambah-tambah dengan bertatu, bertindik telinga, hidung dan pusat, dan bergelang-gelang.

Itulah gambaran stereotaip punk. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Memanglah bukan semua begitu, tapi apa pun ia menjadi representasi punk. Ia imej sub-culture muzik underground yang berkongsi populariti bersama genre-genre yang seangkatannya seperti extreme metal.

Walau gaya muzik mereka berbeza, cara hidup alternatif hampir sama pada mata kasar umum.

Dari segi persembahan, mereka yang bermain muzik serta yang menonton band punk, hanya subgenre membezakan nada antara satu sama lain.

Bagi kebanyakan orang yang melihat mereka, kebingitannya adalah sama sahaja. Dari segi perkembangan, tidak banyak yang berubah sejak punk atau kadangkala disebut underground menjadi scene di Malaysia lebih suku abad yang lalu.

Jika punk itu fesyen, apa lagi sisi punk yang lain?

Punk dan politik

Saya tidak pernah menganggap diri saya otai kerana saya tidak selesa dengan istilah itu. Saya bukan orang yang know-it-all. Apa yang saya tahu sedikit sebanyak tentang punk, new wave dan muzik underground hanyalah sekadar pengalaman sebagai peminat pada era awal.

Waktu itu dunia seperti gersang tanpa band punk atau scene tempatan. Seperti catatan saya sebelum ini, ia merupakan proses pencarian pada zaman remaja melalui pembacaan dan pendengaran tanpa apa-apa yang boleh digelar punk di persekitaran.

Apabila memasuki alam dewasa, dengan memulakan tugas sebagai wartawan media arus perdana pada akhir 1980-an, kerjaya turut mengubah cara hidup. Namun apa yang dikatakan jiwa dan semangat punk kekal di hati.

Untuk diri saya, punk lebih merupakan pilihan politik. Sejak di bangku sekolah saya lebih tertarik kepada politik kiri, walaupun semuanya sekadar bacaan dan 'sembang kencang' bersama rakan-rakan.

Dalam hal-hal scene punk dan alternatif di Malaysia, tentunya saya bukan pakar. Bagi saya, pakar rujuknya ialah pengasas awal punk tempatan iaitu Joe Kidd.

Saya mengenalinya melalui rakan kolej, Mamat Terengganu, melalui ceritanya. Malah, Mamat yang memberikan saya alamat Joe di Terengganu untuk dihubungi melalui surat lewat 1980-an.

Itu namanya sahabat pena. Kami hanya bertemu di Kuala Lumpur selepas Joe juga menjadi wartawan pelatih di sebuah akhbar. Dari situ kami kerap berbincang tentang hal-hal punk dan politik.

Memang jelas dari awal lagi kecenderungan saya kepada idea-idea politik kiri berbanding Joe dengan dunia muzik.

Central Market Kuala Lumpur

Sejak akhir 1980-an hingga awal 1990-an, tempat lepak kami ialah di Central Market (atau Pasar Seni), sama ada selepas waktu kerja atau ketika cuti.

Di situ juga saya bertemu kawan-kawan lain - yang sebaya - walaupun berbeza gaya hidup. Kebanyakan mereka punk rockers dan thrash metallers, saya sekadar budak skema yang menjadi wartawan akhbar.

Di sana ada Lee, Bullet, Toyol, Meor, Mi Rambut dan beberapa lagi sahabat lain.

Walaupun Cental Market pada awal 1990-an merupakan tempat lepak saya, ia bukanlah pengalaman kali pertama saya di sana.

Sewaktu menganggur sekitar 1986-87, saya sudah pun berada di Kuala Lumpur, menumpang di sana-sini, kononnya mahu menjadi warga jalanan ibu kota.

Sebenarnya ia sekadar menyusahkan orang lain – tiada kerja, tentunya tidak mampu membayar sewa atau apa-apa upahnya; sekadar menumpang, makan tidur percuma yang ditanggung orang. Cuma masa itu saya tidak sedar diri, tidak rasa bangang, malah bangga pula menganggap diri cool.

Apabila saya kembali semula ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran mengikuti latihan kewartawanan pada awal 1988, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

Sosialisme rencam mazhab

Ibu kota menjadi tumpuan saya. Bukan sahaja kerana minat saya kepada kewartawanan ditanam sewaktu latihan tersebut, saya juga berasakan betapa luasnya Kuala Lumpur (bukan dari segi saiz secara fizikal) kerana ruang pertemuan dengan pelbagai orang yang membuka mata dan hati saya, sama ada yang baik atau buruk.

Pada awal 1990-an scene muzik punk mula popular di Kuala Lumpur walaupun bercampur-aduk dengan thrash metal, doom, crossover dan entah apa-apa lagi.

Namun, dari sudut idea politik pula, ia tidak begitu berkembang melalui scene tersebut. Sembang santai saya hanya sekadar bersama beberapa kerat manusia yang berminat menyelami sosialisme yang pelbagai mazhab, dan anarkisme yang berputik melalui lagu-lagu band anarkis, terutamanya Crass, Conflict, Subhumans, Zounds, dan yang lainnya.

Apabila Joe Kidd menubuhkan Carburetor Dung, dia berkongsi idea, lagu dan lirik dengan saya. Memang tidak ada apa-apa sumbangan daripada saya kecuali melayan harapan seorang sahabat yang mahu menyuarakan ekspresi punk.

Selain itu, saya juga berkenalan dengan Lee yang bersama band Hijrah yang kemudian menukar nama kepada The Pilgrims. Dengan beliau, kami banyak berbual tentang politik, ideologi, psikologi, malah hal-hal agama dan sains.

Tentu saja perkara berkaitan punk seperti semangat Do-It-Youself (DIY), label rekod sendiri, fanzine dan sebagainya menjadi santapan rohani seharian.

Semangat anti-establishment

Sebagai wartawan, sememangnya timbul konflik dalam diri apabila bertugas dengan akhbar arus perdana yang jelas sokongannya kepada pemerintah, sedangkan jiwa saya memberontak dengan idea-idea punk . Apatah lagi ketika itu usia baru mencecah pertengahan 20-an.

Mengimbas kembali, bagi saya, di situlah letaknya kekuatan anti-establishment punk. Tidak kisah sama ada jiwa punk itu berjaket hitam berambut Mohawk atau sekadar berbaju T bercelana kargo – yang penting ialah jiwa berontak yang melihat status quo perlu dilawan kerana pihak pemerintah semakin menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi.

Kemarahan hati amat meluap. Kepanasan jiwa sejak Oktober 1987 - apabila lebih 100 aktivis dan pemimpin politik pembangkang ditahan tanpa bicara dalam Operasi Lalang - masih membahang.

Walaupun bekerja dengan syarikat yang menyokong kerajaan BN, ia tidak pula mengikat jiwa saya yang melihatnya sebagai pelanggaran hak asasi yang perlu dilawan.

Dalam suasana sedemikian, apa yang boleh saya buat? Semangat anti-establishment tidak luput. Memang saya akui lagu-lagu generasi kedua punk UK banyak mempengaruhi angan-angan politik saya ketika itu – dengan lagu-lagu dan band-band seperti GBH, Exploited, Infa Riot, Discharge, dan lain-lain.

Sudah tentu gergasi seperti Black Flag dan Dead Kennedys menjadi santapan telinga seharian.

Sebenarnya, saya lebih banyak mendengar punk 1981 berbanding punk 1991 sekitar tahun 1991.

Bukan sekadar punk, yang masih membuat saya teruja sehingga hari ini adalah band soul UK yang politikal, iaitu The Redskins yang bercita-cita mahu “walk like The Clash, sing like The Supremes”.

Jenama politik Trotkyist mereka yang dipadankan dengan gaya fesyen skinhead agak mengelirukan kerana imej skinhead pada masa itu sering dikaitkan dengan kumpulan neo-Nazi dan fasis di Barat. Apa pun lagu-lagu mereka bersifat kiri radikal dengan gaya muzik Motown.

Genre politik progresif juga membawa saya kepada Billy Bragg, artis solo UK yang sehingga kini terus mempopular dan mempropagandakan lagu-lagu perjuangan rakyat serta pekerja.

Sudah tentu juga saya tidak lupa kepada Mamat dan Joe Kidd yang memperkenalkan saya kepada Attilla The Stockbroker, penyair dan penyanyi punk sosialis UK yang masih aktif sehingga hari ini.

Angan-angan dan hakikat

Pengaruh lagu dan lirik mereka memang menyentuh jiwa saya. Oleh kerana bukan pemuzik, saya mengambil apa yang saya sedar, faham dan terima melalui lagu untuk disalurkan dalam bentuk tulisan.

Sudah tentu bukan tulisan dalam akhbar tetapi dalam satu dua fanzine milik rakan-rakan seperti Aedes yang diusahakan Joe Kidd. Saya juga berkenalan dengan Nazri yang kini terkenal sebagai otai punk dengan gelaran Ayah Chik.

Dia sendiri mempunyai beberapa fanzine; yang saya ingat adalah Heartcore dan Revolusi.

Sebenarnya saya agak mandom dalam melibatkan diri dalam scene underground. Angan-angan besar tetapi hakikatnya agak menyedihkan.

Sesekali memang saya bertandang ke beberapa gig sekitar 1990-an apabila ia menggabungkan semua sub-genre, termasuk punk dan thrash metal. Fanzine pula sebagai bacaan santai – saya bukan fanatik penulisan underground, cuma membaca apabila sempat.

Jadi, memang sukar bagi saya untuk mencatatkan hal-hal scene tempatan kerana ia bukan kepakaran saya. Lagi pula suasana politik negara menyebabkan saya banyak meluangkan masa selepas kerja untuk bersama rakan-rakan kiri di kalangan NGO untuk bercanda dengan mereka.

Selain Joe Kidd, saya rasa Ahmad Nizang dan Fahmi Reza adalah antara orang yang lebih sesuai sebagai pakar rujuk genre punk. Bukan saya. Kesemua mereka terlibat dalam scene.

Mereka berpengalaman dalam muzik, mempunyai band sendiri, serta kekal aktif dalam dunia serta generasi masing-masing. Malah, kesemuanya berbakat dalam seni grafik.

Saya hanya pembawa semangat punk dalam diri sendiri. Bagi saya, jika menganggap diri punk kerana lagu dan lirik, kerana semangat perjuangan anti-establishment, kerana nilai-nilai progresif dan radikal, saya yakin ia akan kekal walau hidup dimamah usia.

Saya rasa kebanyakan rakan seperjuangan yang jauh melangkau alam dewasa tetap berjuang demi kebebasan, keadilan, hak asasi, demokrasi, dan melawan kuku besi sehingga ke saat ini.

Jika hanya suka-suka kerana fesyen dan gaya punk di kala remaja, biasanya apabila dewasa, kita hanyut dengan apa yang dikatakan hakikat hidup.

Kita berkahwin dan beranak-pinak. Kita menjadi konservatif. Kita menjadi musuh kepada idealisme kita sendiri sewaktu remaja. Malah, mungkin kita kini banyak membuang masa berleter dengan anak-anak muda yang baru berkenalan dengan punk. Itulah hakikatnya, dan ironinya juga.

Dalam bahagian tulisan terakhir nanti, saya akan cuba merumuskan pahit manis meminati punk, serta apa sebenarnya yang terbuku dalam hati terhadap punk-new wave yang saya minati hampir 40 tahun.

Jika belum bosan membaca, izinkan saya simpulkan apa yang mamu dalam catatan itu nanti.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis dan pemerhati politik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen