malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas selesai peperiksaan SPM, saya bertandang seketika di tingkatan enam rendah sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Mara (ITM) di Arau, Perlis.

Pada awal 1980-an, ia merupakan satu pengalaman baru untuk saya yang tidak pernah keluar dari rumah sejak dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang.

Pada usia itu juga saya sudah sedikit sebanyak matang dengan maklumat genre punk hasil bacaan majalah dan zine serta siaran radio BBC dan RAAF.

Ditambah pula minat saya terhadap politik kiri sejak di bangku sekolah lagi - bukan dari segi penglibatan aktiviti tetapi lebih kepada suka membaca, angan-angan revolusi dam sembang kencang – saya semakin tertarik dengan genre pop rock yang cenderung kepada sosialisme dan anarkisme.

Tarikan partai kiri

Sejak zaman remaja di sekolah lagi saya sentiasa tertarik dengan logo sebuah parti yang nampaknya seperti kepala lembu yang berlatarbelakangkan warna merah.

Ketika usia sekitar 13 tahun, saya melukis logo itu pada beg sekolah kanvas dengan rasa bangga. Kawan-kawan hanya tersenyum manakala guru-guru buat tidak peduli.

Kemudiannya saya mendapat tahu logo itu sebenarnya seladang yang hidup berkumpulan dan bersatu-padu menentang pemangsa yang cuba menyerang kawanan haiwan tersebut.

Itulah yang dijelaskan oleh orang Partai Sosialis Rakyat Malaya atau PSRM yang saya kenali pada akhir 1970-an.

Nama asal wadah itu ialah Partai Rakyat Malaya yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam (gambar, kiri) pada 1955.

Ia kemudian ditukar nama kepada PSRM sewaktu kepimpinan Kassim Ahmad pada akhir 1960-an, sebelum kembali kepada nama asalnya PRM (tetapi mengubah Malaya kepada Malaysia) pada 1989.

Jadi, apabila angan-angan politik kiri bertemu muzik bernada keras dengan lirik yang garang, ia seperti buku bertemu ruas. Cantik sekali di jiwa seorang pelajar sekolah skema yang mengenali punk, seladang PSRM, dan nama-nama yang dianggapnya besar seperti Kassim, Boestamam, dan bapa perjuangan kemerdekaan Indonesia, Soekarno.

Tentang agitpop

Dengan itu, awal-awal lagi saya sudah berkenan dengan The Clash. Imej dan penampilan mereka yang memaparkan gaya revolusioner – setidak-tidaknya itulah persepsi saya sebagai seorang anak muda belasan tahun.

Apatah lagi, album keempat The Clash yang saya jumpa di gerai kaset Penang Road pada awal 1981 menampilkan tajuk Sandinista! yang secara tidak langsung membawa saya untuk membaca lebih lanjut lagi tentang topik tersebut. Apabila menemui maknanya, terkinja-kinja rasa seronok.

Nama album Sandinista! adalah sempena Barisan Pembebasan Kebangsaan Sandinista atau Frente Sandinista de Liberación Nacional (FLSN) di Nicaragua, sebuah negara Amerika Tengah, yang sepanjang 1970-an berjuang membebaskan negara itu daripada cengkaman diktator Anastasio Somoza yang didalangi kerajaan AS.

Ada banyak persamaan Nicaragua pada masa itu dengan perjuangan gerakan kiri di Cuba pada akhir 1950-an. Nama Sandinista pula diambil daripada Augusto Cesar Sandino, pejuang pembebasan Nicaragua yang melawan campur tangan Amerika di negaranya pada 1930-an.

Dari situ adunan politik kiri dengan lagu-lagu agitpop, iaitu muzik “agitasi propaganda pop” yang mempromosikan pendirian progresif serta radikal, telah menjadi kegemaran saya.

Tidaklah bermakna saya menolak genre lain, cuma ketika darah muda sedang panas, apa-apa yang keras dan bingit serta mempunyai arah tujuan kiri, malah anarkisme sekali pun yang sememangnya menjadi tumpuan band-band punk 1980-an, itulah kesukaan saya.

Bertemu yang sekepala

Di ITM saya bertemu dengan beberapa kawan - akhirnya - dan saya menarik nafas lega kerana ada dua, tiga rakan (lelaki) yang sudi berkongsi muzik walau sedikit berbeza genre.

Ia membolehkan kami sama-sama mendengar lagu di samping berborak tentang idea-idea kiri, fenomena politik Islam yang mula berputik di kampus-kampus, dan keinginan bertemankan girlfriend, serta hal-hal lain yang bernas mahu pun merepek.

Daripada sahabat Mamat - yang menunjukkan gambar-gambarnya berambut Mohican sewaktu di sekolah - saya berkenalan dengan genre punk hardcore seperti GBH, Discharge, Conflict dan banyak lagi.

Mungkin kerana keluarganya lebih berada, dia mampu memesan EP (yang saya gelar rekod kecil) dan pita kaset terus dari UK.

Daripada Ayaque dan Kudip pula, saya mengenali band-band reggae dan new wave yang lebih luas genrenya daripada apa yang terjumpa sewaktu bersekolah di Pulau Pinang.

Berbanding Mamat pada masa itu, Ayaque dan Kudip lebih politikal yang membolehkan kami bersembang tentang hal-hal yang dianggap membosankan oleh kawan-kawan lain, seperti ideologi dan politik kaum serta agama.

Daripada kawan sekolah Ehwal pula, minat asalnya kepada Iron Maiden serta kegemaran barunya ketika itu yang merangkumi Pink Floyd telah memastikan agar saya tidak melupakan asal-usul hard rock serta metal yang kami temui sewaktu zaman penghujung sekolah rendah dahulu.

Ditambah pula dengan kaki-kaki metal di ITM yang ada pada masa itu, dengan kaset-kaset cetak rompak mudah diperolehi dari Padang Besar, Thailand dan juga daripada para peminat muzik Melayu progresif seperti Kembara, saya turut mempunyai teman-teman yang lebih luas pandangan mereka tentang hal-hal kehidupan seharian.

Buku kiri, band anarkis

Perpustakaan ITM Arau juga banyak membantu apabila saya menemui buku-buku politik kiri yang tidak disangka boleh berada di sana, seperti biografi Leon Trotsky, kisah Revolusi Rusia serta sejarah komunisme, selain bahan-bahan politik yang bersifat akademik.

Mendengar lagu punk membolehkan saya mengenali anarkisme. Melalui kumpulan Crass, saya mengenali apa itu anarkisme sosial walaupun kumpulan punk lain memandang rendah kepada mereka kerana sudah “tua” dan digelar punk hippie.

Crass amat kritikal dengan band-band punk UK yang mereka tuduh mengambil kesempatan mencari makan dengan bermain genre muzik yang sudah pun menjadi komersial dalam setahun dua selepas letusan genre tersebut.

Melalui band Conflict pula, saya memahami apa itu perjuangan pembebasan haiwan atau kumpulan Animal Liberation Front yang membawa gaya hidup vegan iaitu tidak memakan produk haiwan serta aktif “menyerang” pusat kajian ubat-ubatan atau kosmetik untuk membebaskan arnab, monyet, kucing, anjing dan sebagainya daripada menjadi mangsa uji kaji.

Tetap tak reti main muzik

Sama seperti era sekolah juga, dua tiga kerat kawan yang minat muzik adalah golongan keras jari – tiada seorang pun boleh bermain alat muzik.

Malah saya yang sering berangan-angan menubuhkan band tidak mampu berbuat apa-apa. Baru belajar memetik gitar seminggu, jari-jemari menjadi kematu. Terus sahaja saya menyerah kalah. Dua tiga kali percubaan dilakukan tetapi gagal.

Agaknya ketahanan jiwa saya lemah. Atau mungkin kawan yang mengajar itu tidak memberi pilihan lain kecuali bermula dengan lagu Penantian karya kumpulan Harmoni! Aduhai.

Sepanjang tiga tahun lebih sedikit, kami hanya sekadar berangan-angan tanpa menubuhkan band. Jika ada pun, saya sekadar meluangkan sedikit masa sebagai “pengurus” sebuah band pop bagi kawan-kawan sekelas.

Semuanya kerana saya ingin mendekatkan diri dengan band, dan juga semua band members adalah rakan-rakan lepak.

Band itu memainkan lagu-lagu yang kami anggap mudah untuk dimainkan seperti Party Girl oleh U2, We’re Not Gonna Take It (Twisted Sister), Dendang Remaja (A Romzi & The Hooks) dan Rupa Tanpa Wajah (Kembara).

Tugas saya hanya berunding dengan penganjur konsert dalaman serta menempah ruang untuk sesi latihan dan jamming.

Hopelessly unfashionable

Apa pun, kami yang dua tiga kerat berkongsi minat melayan genre alternatif itu tidak memakai jaket hitam (kulit atau PVC), tidak berambut Mohican atau skinhead, tidak mempunyai boot Doc Martens, dan tidak merambu di tengah-tengah pekan Arau atau Kangar sambil membeliakkan mata atau menjelir lidah (walaupun setiap hujung minggu kami memang suka lepak di metropolis Kangar yang paling comel di Malaysia ketika itu).

Biasanya kami selesa dengan baju T tanpa kolar, jeans belian bundle di Kangar, sneakers Fung Keong atau North Star Bata. Ada juga baju T saya yang dicetak sendiri di sebuah kedai di Komtar Pulau Pinang dengan nama-nama band seperti The Clash dan The Jam.

Memang kami agak skema. Kami hopelessly unfashionable. Kalau ada usaha meniru watak-watak punk pun, ia cuma berlegar sekitar memilih Dunhill atau Rothmans kotak putih (yang paling tidak popular ketika itu kecuali untuk nelayan dan petani) sebagai rokok kesukaan kami.

Maklumlah jenama tersebut menjadi pilihan tokoh-tokoh kami seperti Johnny Rotten, Joe Strummer, Paul Weller, Siouxie Sioux dan banyak lagi.

Walaupun bertambah sahabat satu kepala dalam muzik dan politik di ITM berbanding di sekolah, ia masih merupakan kumpulan kecil yang sedikit dipandang pelik.

Namun tiada siapa yang peduli apa-apa kerana masing-masing menghormati dan meraikan perbezaan.

Idealisme dan/atau cari makan

Pengalaman kecil ini mempengaruhi jiwa saya apabila meninggalkan kampus dengan CGPA yang tidak begitu tinggi (serta terpaksa mengulangi satu subjek yang gagal), dan kembali ke Pulau Pinang dalam suasana peluang pekerjaan sudah tidak terkangkang luas lagi akibat kemelesetan ekonomi dunia pada pertengahan 1980-an.

Ketika menganggur, termasuk sekadar membuat kerja-kerja sambilan seperti menjadi pengutip bayaran khairat kematian sebuah kelab kampung di Pulau Pinang, berlaku Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan lebih 100 aktivis dan ahli politik pembangkang ditahan tanpa bicara – semata-mata untuk menutup krisis dalaman kerajaan BN, iaitu perbalahan Umno dan MCA tentang sekolah Cina, serta perebutan kuasa di antara Dr Mahathir Mohamad dan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah.

Idealisme punk dan politik progresif dalam diri saya memang tercabar ketika itu. Seperti generasi muda hari ini yang marah dengan golongan tua yang memegang kuasa, kami ketika itu benci dengan mereka yang membakar semangat kaum dengan bermain api.

Namun pada masa yang sama, kami yang sekadar memegang diploma akademik amat memerlukan pekerjaan. Pada saat itu, terngiang-ngiang di telinga: idealisme atau cari makan.

Pada awal 1988, penantian mencari kerja berakhir. Walaupun tiada sebarang jaminan awal, saya berpeluang menyertai skim latihan kewartawanan anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd yang seterusnya membawa saya menjadi wartawan di akhbar Berita Harian.

Bermula era perjuangan makan gaji dengan syarikat media yang selesa dengan pendirian “we support the government of the day” yang sekadar merupakan samaran indah untuk mengekalkan kuasa BN.

Bermula juga era saya sebagai orang dewasa muda di Kuala Lumpur yang terus mencari erti hidup tanpa meninggalkan minat mendengar dan melayan punk/new wave.

Dalam tulisan seterusnya saya akan mengulas tentang punk sebagai genre anti-establishment dan suasananya di Malaysia serta hal-hal yang menggembirakan dan mengecewakan tentang scene yang ada, termasuk kebekuan diri dan sesekali ada juga kemandulan idea saya sendiri.

Jika belum bosan membaca, izinkan saya sambung dalam tulisan yang lain nanti.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis dan pemerhati politik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen