malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas enam dekad merdeka, secara amnya kita terutama orang Melayu semakin lebih islamik dalam banyak perkara, kalau mengikut apa yang wujud di Malaysia ketika ini.

Setelah “Bersih, Cekap, Amanah” dan “Penerapan Nilai-nilai Islam” di tahun 80-an, diikuti “Islam Hadhari” di zaman Pak Lah dan Islam Wasatiyyah, maqasid syariah sebagai slogan kerajaan bawah Umno/BN, Islam menjadi jenama yang mengelilingi kehidupan.

Dari taski yang bermaksud Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam, ke sekolah agama Islam, mahkamah syariah, maktab/kolej Islam, universiti Islam, ribuan masjid dan surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perbankan Islam, logo halal JAKIM, pelbagai NGO dan persatuan Islam sehingga makanan, pakaian dan buku-buku yang menepati syariah.

Sejak merdeka juga kita ada parti politik yang berjenama Islam dan mereka para politikus yang bukan sahaja bertaraf ulama, ustaz dan penceramah bebas menjadi pemimpin di bawah, ironinya, demokrasi sekular.

Maka dari segi permukaan, dengan tudung dan jubah, segala yang menutup aurat, kita pastinya lebih yakin untuk masuk ke syurga berbanding dengan generasi sebelumnya yang tidak islamik dalam banyak perkara. Tengok sahaja filem-filem P Ramlee dan era 60-an sebagai rujukan.

Setelah enam dekad dan meriah sakan dengan segala yang berjenama Islam, apakah kita dapat melihat peningkatan dari segi kualiti individu Muslim secara umumnya di kalangan bangsa Melayu?

Apakah ada peningkatan kualiti sebagai manusia yang lebih baik akhlak dan etika berbanding dengan generasi sebelum ini? Tidak perlu banding dengan para sahabat di zaman Nabi SAW atau orang Barat.

Kalau diukur dari pelbagai kes rasuah, korupsi, seks, penyelewengan dan perompakan siang hari oleh politikus Melayu Islam, penjawat Melayu Islam hingga ke para lebai yang berpolitik, tentunya ramai boleh membuat tafsiran jujur yang kita sebenarnya semakin hanyut bawah maqasid songsang yang menjahanamkan.

Belum lagi diukur dari pertambahan penganut mazhab bomoh, dukun dan jampi menjampi untuk saling menjadi lebih baik dari orang lain. Berapa ramai yang terpedaya dengan penceramah motivasi, skim cepat kaya dan air bacaan Quran yang menyembuhkan segala penyakit di dunia.

Lihat sahaja ramai politikus yang mengangkat sumpah dengan nama tuhan, berpakaian Melayu membaca akujanji untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Apakah mereka boleh menjadi contoh terbaik sebagai Muslim?

Apakah isteri serta keluarga mereka boleh menjadi model Muslim untuk generasi hari ini?

Mereka semua solat lima waktu, berpuasa Ramadan, membayar zakat dan berulang kali berkata mahu berjuang demi agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Setakat itu, modal politik dengan laungan Hidup Melayu dan takbir. Tanpa roh dan akhlak Islam.

Ikon Muslim

Begitu juga para agamawan yang menjadi politikus dan penjawat awam, apakah mereka dengan serban, jubah, berkumat-kamit melontar ayat Quran dan hadis, menunjukkan model terbaik sebagai ikon Muslim yang boleh kita jadikan selebriti?

Dengar ceramah mereka di Youtube, berapa ramai mereka yang memajukan pemikiran dan membawa anjakan paradigma ke arah akhlak yang mencetus revolusi jiwa?

Apalagi kalau membawa komen-komen dan posting pengikut mereka di media sosial, penuh dengan maki hamun, sehingga kafir mengkafir dalam menegakkan benang basah dan keimanan politik serta tok guru mereka.

Adakah kita gah dengan Islam seperti buih-buih di lautan? Apabila 80 peratus dari bekalan makanan halal yang kita suap jadi tahi setiap hari dari para kafir yang kita momokkan sebagai kafir harbi dan kuasa ekonomi terus menjadi angan-angan Mat Jenin, tokoh Melayu Islam yang kita sayangi.

Apakah ada bidang yang kita terajui dan maju di bumi yang dijeritkan sebagai hak ketuanan? Hatta ada NGO Melayu Islam yang menganggap tidak adil kalau diberi subsidi lebih kepada mereka yang memerlukan hanya kerana mereka bukan Melayu Islam?

Menjelang pilihan raya umum, segala bogeyman, hantu mengenai ancaman DAP, ancaman Yahudi, ancaman Kristianisasi, ancaman Islam Liberal dan pelbagai ancaman ciptaan akan terus menjadi pengeras untuk terus berkuasa.

Ironi, semenjak lama, puak Melayu Islam ini menang secara haram kerana pilihan raya yang tidak islamik kerana tidak telus, tidak terbuka dan tidak berlandaskan semangat demokrasi. Menyalahgunakan jentera kerajaan dan komponen pentadbiran negara untuk memastikan menang dengan cara apa pun, matlamat menghalalkan cara.

Tentu mereka sangka, tuhan akan memaafkan mereka selepas berkali pergi haji dan umrah, selain menyumbang bawah yayasan untuk anak-anak yatim dan sekolah tahfiz? Air dan minyak takkan bercampur, kata mereka.

Kita tengok ramai para politikus dan famili serta kroni parti kebangsaan yang kaya raya, bergaya dengan kemewahan walau sumber pendapatan meragukan. Apakah semua itu menjadi lambang kualiti produk Islam wasatiyyah?

Hebat dengan Birkin umpamanya, apakah itu natijah wasatiyyah?

Kita juga tengok parti berjenama Islam dari dulu hingga sekarang mengharapkan derma tin Milo untuk menggerakkan aktiviti berpolitik untuk menjadi kerajaan. Setelah enam dekad, apakah parti berjenama Islam itu tidak mempunyai keupayaan untuk menjana ekonomi sendiri dengan keahlian sejuta?

Saya menekankan parti jenama Islam kerana mereka selalu mengganggap lebih mulia dari orang lain kerana diketuai oleh agamawan dan berjuang untuk ke syurga, bukan semata berpolitik untuk pilihan raya. Malah berkecuali pun politik matang dan sejahtera dalam keadaan rakyat mahukan keadaan yang lebih baik selain tak henti berceramah dengan retorik semata-mata.

Aksi politik

Sebagai pemerintah di sebuah negeri bertahun-tahun lamanya, apakah negeri itu boleh menjadi model sebuah negara Islam yang riuh rendah diperjuangkan? Termasuk sakan menjual RUU355 yang terus sekadar untuk aksi politik semata-mata.

Ramai dari politikus parti berjenama Islam itu sendiri, secara tangapan pertama pun tidak mempunyai karisma dan aura sebagai pemimpin. Apalagi kalau diukur dari strategi politik dan kehadiran atau kepontengan mereka di parlimen ketika mereka diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil.

Kalau dikritik dan dikecam, dilabelkan Dapigs dan menghina ulama. Bak kata perdana menteri (yang juga Melayu Islam pahlawan Bugis dan hero ummah sebagai penerima derma terbesar dunia), kepala bapak kaulah.

Berbalik kepada menjadi lebih islamik berbanding generasi sebelum ini, mungkin kita terus tidak mahu mengaku yang kita lebih gah dari segi kulit, bukan isi Islam yang sebenarnya.

Tandas-tandas kita termasuk di masjid terus tidak melambangkan nilai-nilai Islam. Itu sudah cukup untuk menjadi bukti rendahnya taraf Islam generasi yang lebih banyak menghantar informasi agama melalui media sosial.

Penyelenggaraan bangunan, terutama masjid juga menjadikan prasarana bertaraf dunia pertama sekadar bertaraf dunia ketiga.

Dan lebih malang, anak-anak kita, generasi yang bakal menerajui negara, semakin kucar kacir mengharung kehidupan di sebalik sorakan propaganda di media perdana yang seolah-olah, negara kita adalah syurga.

Generasi yang sepatutnya lebih Islamik dari akhlak kepada kehidupan bermasyarakat berbilang kaum dan bersaing di peringkat global. Generasi yang lebih ramai hafal al-Quran dan lebih ramai menjadi graduan Universiti Islam.

Generasi alaf baru yang juga semakin terbuka dengan teknologi, terperangkap dengan kesongsangan generasi semasa yang lebih takut makan babi dari makan duit rasuah serta pendapatan haram.

Lihatlah keliling, ikhlas bertanya, tidak berdosakah kita memusnahkan generasi anak-anak kita, bermula dari pendidikan cacamarba, kekeliruan dari pelbagai label Islam, politikus dan agamawan yang tiada akhlak Islam, hingga kepada pemerintahan kleptokrat yang menjadikan agama, selain rasisme sebagai modal survival apabila diperlukan, terutama apabila di ambang kekalahan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen