malaysiakini logo
story-image
ADS

“Datuk Mohamad Daud Iraqi telah kembali ke rahmatullah pada pukul 6.42 petang Rabu 8 November di Hospital USM Kubang Kerian.” Demikian sepotong berita yang cukup menggemparkan warga Negeri Kelantan dan Malaysia amnya pada petang itu.

Ia kerana Ustaz Mat Daud adalah ntara tokoh agama yang pernah memimpin Dewan Ulama PAS - sama ada peringkat Kelantan dan kebangsaan.

Terkenangkan beliau, hati saya lekas teringat kepada sikap Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz yang selalu menyuruh Ustaz Mat Daud menjadi imam jika beliau ada bersama dalam apa jua majlis yang melibatkan solat jemaah.

Apabila saya gagahkan diri bertanya pada suatu hari, Tok Guru spontan menjawab: "Bacaan dio ambo suko dengar. Kemas molek.”

Tok Guru menambah: “Lagi pun, lenggok bacaan hok dio bawak tu, kito dengar dan raso sayu begitu; serupo kito dengar tok imam di padang pasir di Iraq dduk bbaco Quran (sedang membaca al-Quran) dalam khemah dan ambo pula, sedang duduk dengar dari luar khemah. Sebab itu ambo suruh dio jjadi tok imam kalau dia ada."

Mari hadiahkan al-Fatihah seikhlasnya buat almarhum Ustaz Mat Daud Iraqi.

Beliau bukan setakat dihargai sebagai imam solat justeru kekemasan dan kelunakan suaramya tetapi juga turut diberikan perhatian setiap kali isu hudud bergelora.

Berbalas surat dengan Ustaz Mat

Ustaz Mat jugalah salah seorang pilihan Tok Guru untuk ditinjau pendapatnya. Sekurang-kurangnya, saya boleh sahkan yang saya pernah dua kali diarah Tok Guru membawa sepucuk warkah ditulis jawi oleh Tok Guru berupa pertanyaan yang memohon pandangan dari allahyarham.

Satu kali, ia dibawa dari Pejabat Menteri Besar dan kali kedua, diusung dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Kedua-dua surat itu dibawa ke rumahnya sewaktu Tok Guru mengalami keuzuran. Suasana bertukar-tukar warkah tanda meraikan pandangan ini hampir menjadi kelaziman dalam era kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Walau apa pun, mesejnya di sini ialah, Tok Guru tahu menghargai orang. Dia tahu - pahat boleh menebuk, gergaji boleh mengerat dan kapak boleh membelah untuk menukangi dan menyudahkan mana-mana rumah sebelum dijadikan sempurna.

Jika direnung dengan teliti, Tok Guru sejenis pemimpin yang cukup pandai menghargai dan memanfaatkan kebolehan seseorang menurut keahliannya.

Sandaran ringkasnya boleh diambil daripada hadis ini: “Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Hassan: Seranglah mereka atau hinakanlah mereka dengan syairmu, semoga Jibril membantumu."

Jika Nabi SAW menggunakan kebolehan berbahasa Hasan Tsabit dalam bidang kepenyairan - misalnya - untuk menunduk dan mematahkan serangan gerak saraf musyrikin Makkah, Tok Guru pun cukup taat meniru kaedah yang diamalkan baginda dengan meletakkan seseorang atau sesuatu itu sesuai pada tempatnya.

Keadaan ini jelas terpancar dalam pelbagai sikap yang ditunjukkan beliau ke atas pelbagai tokoh dalam pelbagai situasi, baik berupa layanan ke atas kebolehan rakan-rakan yang berkongsi gerakan atau melayani kekuatan tokoh seteru.

Fokus kolum pada pusingan ini akan cuba menyorot hal-hal seputar itu.

  • Melayan Mahathir

Dalam sebuah buku yang saya tukangi bersama seorang penulis lain bertajuk Mendekati Pemikiran Islam Dr Mahathir”, ada termuat seperenggan kata-kata Tok Guru dalam sekapur sireh:

“Saya telah mengikuti usaha gigih pengumpulan maklumat dalam terbitan ini yang membukukan sebahagian besar (15 teks ucapan) daripada pemikiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengenai Islam di sepanjang tempoh 20 tahun. Hanya dengan “duduk bersila” dan meneliti pelbagai teks ucapan beliau yang asli (original) dengan tenang melalui akal dan deria hati, baru kita mengenali Dr Mahathir."

Bahkan sewaktu saya diberi amanah menjadi moderator majlis “one man talk show” dengan Dr Mahathir menjadi pembicara di Dewan Tunjong Bangkuet pada 15 Mac lalu, saya memetik kata-kata ini secara terbuka.

Ini menyebabkan Dr Mahathir kelihatan sedikit terharu di atas pentas. Saya lalu tinggalkan sepotong kenyataan buat beliau: “Demikian sikap Tok Guru terhadap Tun tetapi saya tak pastilah, sikap Tun sendiri terhadap beliau. Terbuka, atau separuh terbuka?”

Mungkin agak terasa dengan terjahan itu, Dr Mahathir spontan tersenyum sambil matanya melirik saya. Dalam minit-minit pertama memulakan pidato, Dr Mahathir mengesahkan yang beliau tidak sedar betapa wujudnya buku ini.

Dia langsung memberi jaminan untuk membacanya.

Kembali ke tajuk. Ertinya apa yang ketara dari sini, Tok Guru tidak ingin tergesa-gesa mengatur massa untuk meletakkan prejudis di hadapan sebelum membuat penilaian.

Apa yang beliau anjurkan adalah fahami dulu Dr Mahathir. Sikap terhadap kata-kata dan pemikiran beliau, itu boleh datang kemudian.

Jika dilihat dari sudut ini, Tok Guru terbuka. Prinsip “unbigoted” dan “open mindedness” beliau jelas. Dia seboleh-bolehnya ingin juga cuba memahami dengan lebih dekat, siapa “orang ini” dan apa puncanya dia boleh berkata begitu dan begini.

Dalam kata lain, Tok Guru masih mahu mengguna pakai Dr Mahathir di tempat-tempat tertentu demi menghargai. Sehabis tidak, mungkin dengan berkat sikap itu, Tok Guru boleh mengendurkan ketegangan antara kerajaan pusat dan negeri lalu urusan dakwah - yang sentiasa menjadi keutamaan beliau - akan berjalan lebih lancar.

Bukti seterusnya semakin nyata jika kita teliti kawat tahniah Tok Guru yang dihantarnya kepada Dr Mahathir dalam isu protes beliau kepada kezaliman perang. Kawat ini serius. Ia ditandatangani dan dihantar pada 6 Februari 2007.

Tanpa prejudis, mari kita teliti kandungannya yang berbunyi:

“Alhamdulillah. Saya perlu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas keberanian Tun menyuarakan pendirian tegas yang mewakili hati nurani masyarakat Islam mengenai kebiadaban Blair dan Bush serta poket beliau di benua Australia yang diwakili oleh John Howard ke atas tragedi yang menimpa bumi Iraq. Jika di Daffour dan Chad mereka boleh bercakap mengenai mesej kemanusiaan sepenuh mulut, mereka juga harus konsisten ke atas pembunuhan 500,000 kanak-kanak di kota Baghdad. Jika mereka boleh menjadikan isu WMD (senjata pemusnah massa) Saddam sebagai alasan untuk menyerang Iraq, mereka juga harus menghantar skuadron pengebom udara untuk meleburkan Pyongyang. Anehnya, walaupun telah gagal membuktikan Saddam dengan tuduhan memiliki industri nuklear, bumi anbia itu masih terus diganyang.

"Seperti yang diletakkan oleh Tun selantang-lantangnya, tidak salah lagi yang Bush, Blair dan sekutunya perlu dihukum melalui satu tribunal. Setelah disabitkan kesalahannya, mereka layak dihambat dari empat penjuru alam walau di mana. Mereka wajib menanggung malu, dilabelkan oleh buku-buku sejarah sebagai pembunuh kanak-kanak, pembohong dan pengganas nombor satu dunia.

"Dalam hal ini, entah bagaimana hati saya masih terasa Tun sebagai pemimpin di dunia sebelah sini. Saya tidak nampak seorang pun pemimpin dalam kabinet Malaysia bersedia berdiri tegak menyatakan pendirian walaupun di atas platform OIC atau pentas pergerakan Negara-negara Berkecuali.

"Ini sekaligus membawa saya terasa seakan-akan kabinet Malaysia sudah menjadi sehelai kain sempit, semakin terpinggir dan terkurung dari arus intelektualisme global sezaman serta degup jantung dan denyut nadi kebencian masa yang sedang kencang membenci kezaliman perang bawaan Bush, Blair dan para sekutu.

"Tahniah sekali lagi di atas kelantangan suara Tun menyergah kezaliman. Walaupun saya mungkin mempunyai pandangan dan kesimpulan yang berlainan di atas layanan Tun dalam sesetengah isu setempat di Malaysia, tetapi saya masih perlu berkongsi kegembiraan kerana di atas titik ini kita boleh bersatu.

"Walaupun di mana, kita perlu lihat mana-mana pihak yang zalim itu sebagai “common enemy”. Dalam hubungan ini, Bush dan Blair yang takabur ini perlu dilabelkan sebagai pembunuh kanak-kanak, penjenayah perang dan pembohong.

"Jika Tun bertanyakan sikap saya dan PAS pada keseluruhannya, maka kita sependapat untuk bersetuju di atas perkara-perkara yang boleh kita bersetuju. Kita juga boleh bersetuju untuk mengatakan, tidak setuju. Salam hormat.”

  • Sikap terhadap MB Perak

Semua orang tahu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin ialah menteri besar tersingkat yang pernah dilantik dalam sejarah politik negara. Dan, hampir semua orang juga tahu ada sesuatu yang amat tidak kena sewaktu Nizar diusung keluar dari kerusinya.

Sikap Tok Guru boleh kita pungut daripada buku tulisan Wan Ji Wan Husin terbitan Anbakri Publika. Dalam pandangan sisinya di halaman XVII hingga XIX, Tok Guru ada menyebut:

“Pada saya, memahami rahsia kekuatan Nizar cukup senang. Nizar kuat kerana dia bergantung kepada al-Quran. Saya kuat mempercayai bahawa Nizar mungkin berpegang kepada ayat ini:

“Dan Kami turunkan (al-Quran) itu dengan sebenar-benarnya dan al-Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu melainkan sebagai berita gembira dan pemberi peringatan.” (al-Isra' : 105).

"Apabila manusia bertapak di atas al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT yang bersifat al-Haq, Yang Maha Gagah, Maha Bijaksana dan Maha Perkasa, maka dia (Nizar) berdiri tegak di atas hak. Dia menjadi kuat bukan kerana dia, tetapi dia kuat serta-merta kerana sumber kekuatan beliau disandarkan kepada Haqqullah sepenuhnya, insya Allah.

"Ini selaras dengan janji Allah dalam ayat berikut: “Dan, Kami akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walau pun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukainya.”(Yunus : 82).

"Pada saya, rahsia Nizar menjadi fenomena ada kaitan yang rapat dengan kaedah beliau berhujah. Faktor lain ialah mengenai latar belakang akedemik beliau yang cemerlang. Suka merendah diri, cerdas, personaliti beliau kelihatan “simple” dan mudah didekati, pandai menguasai tiga atau empat bahasa sekurang-kurangnya dan sikap terpuji beliau yang berani kerana benar. Semua ini adalah bersifat bonus.

"Saya berbangga rakyat Malaysia yang berbilang kaum kerana masih dapat menerima penampilan Nizar yang sederhana ini dalam banyak perkara. Lebih penting, beliau sedang mengiklankan Islam. Secara bil hal, Nizar sedang menjadi duta kami. Tidak mustahil beliau akan muncul lebih cemerlang lagi jika beliau terus beristiqamah dengan Islam.”

Cukup jelas terserlah sekali lagi di sini bahawa Tok Guru memang tahu menghargai orang.

  • Intelektualisme dan Dr Mujahid Yusof

Sikap menghargai ilmuan yang sekali gus seorang ahli parlimen muda bernama Datuk Dr Mujahid Yusof oleh Tok Guru juga tidak kurang pentingnya untuk dijadikan sandaran. Walau apa pun, beliau tetap masih berpilih sewaktu mahu mendukung seseorang.

Dalam pandangan sisi beliau yang ada termuat di dalam buku Wajah Baru Politik Malaysia karangan Dr Mujahid, Tok Guru ada merakamkan kata-kata ini:

“Pada saya, ilham Dr Mujahid untuk menulis buku ini adalah suatu percubaan yang berani. Beliau terpaksa berterus terang untuk mencari wajah baru politik Malaysia kerana mungkin kepada beliau wajah hodoh politik negara terkini sudah jelas kehilangan maruah dan ketiadaan papan tunjuk arah.

"Akhirnya negara kehilangan kompas. Puncanya tiada lain melainkan pemimpin politik kita yang tidak menolak sampah. Bahkan, sampah itu pula yang dianggap atau lebih tepat diyakini sebagai sumber petunjuk dan haluan hidayah.

"Sampah sarap yang saya maksudkan di sini adalah segala faham kebendaan yang dipungut an dipusakai dari tinggalan penjajah. Salah satu yang cukup sinonim ialah aliran sekularisme yang menyusup masuk berselindung di topeng wajah fahaman kebangsaan Melayu yang sesat lagi menyesatkan. Inilah salasilah kelahiran Umno yang sebenarnya.”

Nampak! Berasaskan merit, sekali lagi Tok Guru cermat menghargai dan tajam menilai potensi seseorang.

  • Melihat Mat Sabu

Walau apa pun yang akan dikatakan nanti dari mulut pengemar Mohamad Sabu atau sesiapa jua yang sinis terhadap beliau, kata-kata Tok Guru yang telah viral di maya tetap menjadi perakuan.

Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan balik kandungan ulasan Tok Guru ke atas beliau. Bunyinya begini:

“Khalid ibn Walid tak mengaji agama di mana pun. Lepas tiga bulan dia masuk Islam terus dilantik panglima perang. Mat Sabu ni lama dah. Sejak dia terlibat dalam politik masa di ITM lagi dia terus bersama dengan PAS. Tidak pernah terlibat dengan Umno.

"Ini kelebihan Mat Sabu. Dua kali Mat Sabu disumbat dalam ISA. Dio tunduk pada Umno ko? Dio sujud pada Umno ko? Pah, mana baik antara Mat Sabu dengan hak balik Azhar pah tu jjadi Pemuda Umno? Mana baik?

"Dia manusia kenal diri. “Allazi kholaqol maut ta walhaya ta liyab luwakum ayyukum ah sanu ‘amala.”

"Allah yang menjadikan manusia ni mati hidup, supaya Dia cuba kamu, siapa antara manusia yang lebih baik dari segi aktiviti.

"Jadi, oleh yang demikian kita berasa bangga, boleh seorang timbalan presiden yang sangat dibenci musuh. Alhamdulillah. Insya-Allah, kita doalah mudah-mudahan Mat Sabu di “upgrade” oleh Allah dengan taufik Dia, hidayah Dia.

"Dan dia ni - insya-Allah - ke mana dia pergi belum pada dia jadi timbalan presiden lagi, orang ramai. Di mana Mat Sabu ceramah di Kelantan, orangnya ramai, lebih kuranglah pesuruhjaya PAS pergi, ramai orang.

"Mat Sabu lebih mesra dengan non-Muslim. Dengan watak dia, dengan penampilan dia. Golongan Cina baik, India baik, lebih mesra dengan dia. Kalu saya pergi tu, Cina masuk juga tapi malu-malu.

"Boleh jadi penampilan saya lain sikit tapi Mat Sabu lebih rapat. Insya-Allah, Umno tak nyenyak tidur lepas pada ni. Insya-Allah, saya minta Mat Sabu letak di bawah portfolio dia, golongan non-Muslim supaya non-Muslim lebih mesra dengan PAS melalui Mat Sabu. Insya-Allah kita doalah mudah-mudahan Allah menyebarkan fahaman Islam lebih cepat dari biasa kerana Mat Sabu ni jenis orang yang turun padang.“

(Di petik kata demi kata daripada ucapan Tok Guru pada 2011).

  • Terhadap Husam Musa

“Husam ni, saya nak sebut, dia ni bukan saja Allah Taala buat untuk Kelantan tapi untuk Malaysia. Budaknya cerdik, pengalamannya banyak dan pemikirannya jauh ke hadapan.

"Kelantan sekarang ni, rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik daripada Husam. Ini termasuk mengambil balik tanah-tanah Felcra yang begitu sekali banyak, termasuk mewujudkan sistem kifalah yang banyak dapat menafaat oleh orang yang wasi atau orang yang hidup lepas dari mati.

"Orang keistimewaan upaya (OKU), banyak menerima manfaat daripada pemikiran Husam. Saya selama ini tak sebut kerana boleh jadi takut kecil hati exco-exco lain kerana tiap-tiap exco ni ada portfolio masing-masing

"Tapi portfolio yang dipegang oleh Husam, masalah kewangan dan pentadbiran ni, banyak memberi menafaat kepada Kelantan. Dan hamba Allah ni, banyak fikiran-fikiran dia menyelamatkan politik Malaysia sendiri. Saya tak sebut jah benda ni. Jadi tiba-tiba..?"

Ya. Sesekali, elok juga kita gantungkan kesudahan rencana dengan perkataan “jadi tiba-tiba?"


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen