malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Sebelum punk: Uji Rashid, Yaadon Ki Baaraat dan a-go-go
ADS

Punk. Ia sedang dimamah usia, ia semakin tua. Tidak semestinya ia matang namun umurnya kian meningkat. Ia sebagai genre. Sebagai suara alternatif - atau mungkin fringe - ia tetap diminati setiap generasi yang lahir selepasnya. Masih menjadi luahan berontak walaupun ruang amarah itu sekadar dalam minda atau di dalam sebuah studio muzik usang yang sempit.

Maafkan saya kerana ingin berkongsi nostalgia seketika tentang genre muzik yang saya minati sejak budaya pop menerkam di hati dan kemudian naik ke minda. Ya, bermula akhir 1970-an, saya tergila-gilakan genre muzik yang digelar punk rock, dan juga new wave.

Ya, memang itu semua istilah media tetapi kita juga tahu tanpa media, dunia kita sempit dan gelap seperti di bawah tempurung. Hari ini media sosial membuktikan betapa luasnya dunia ini (walaupun sebenarnya ia hanya gema yang bergaung kembali di kalangan sendiri-sendiri).

Apa yang ingin saya kongsikan ialah betapa sepi suasana sewaktu saya menemui muzik yang menjadi kegemaran saya itu tanpa wujudnya sebarang kumpulan atau gang, atau puak - sama ada yang berambut Mohican atau berpakaian serba hitam, sama ada yang memakai kemeja T band atau yang dibuat sendiri (DIY).

Saya hanya seorang diri. Mungkin kerana saya gagal mencari kawan-kawan yang berkongsi genre yang sama. Atau lebih tepat lagi, memang ada sedikit pencarian tetapi tidak ketemu di usia awal.

Uji Rashid dan Hail Amir

Semuanya bermula apabila saya - seperti kanak-kanak - lain mula menangkap irama pop yang berkumandang di radio. Tambahan pula ada alat pemain piring hitam (turntable) di rumah nenek milik pak menakan saya. Koleksinya pelbagai – dia meminati pop kontempori Melayu, Hindi dan Inggeris manakala adik lelakinya lebih kepada hard rock.

Mungkin ia bukan unik di tanah air kita, tapi bagi saya ia merupakan permulaan zaman kanak-kanak saya yang mendengar lagu di Pulau Pinang pada awal 1970-an.

Sejak di sekolah rendah saya mengenali lagu-lagu pop kontemporari Melayu zaman itu melalui nyanyian Uji Rashid, Hail Amir, DJ Dave, Dhalan Zainuddin, Sharifah Aini dan banyak lagi.

Uji merupakan bintang popular pada masa itu yang sering digandingkan dengan anak Pulau Pinang, Hail Amir, dalam pelbagai album muzik, filem dan siri TV, termasuk lagu duet Antara Matamu Dan Mataku.

Uji sendiri terkenal dengan lagu-lagu seperti Ku Ingin Selalu Di Sampingmu dan Semakin Hari Semakin Sayang . Bagi saya yang belum baligh ketika itu, Uji pada zaman itu ialah Siti Nurhaliza pada hari ini.

Selain itu, seperti kanak-kanak dunia Melayu biasa saya juga meminati lagu-lagu filem Hindi nyanyian Mohammed Rafi, Lata Mangeshkar, Kishore Kumar dan Asha Bosle. Namun, walaupun mengenali malah hafal sesetengah lagu tersebut, jiwa saya lebih tertarik dengan koleksi piring hitam lagu-lagu lama pak menakan saya.

Rock ‘n’ roll and a-go-go

Walaupun bapa saudara saya itu tidak begitu tua, minatnya melangkau zamannya. Mungkin saya juga terikut-ikut begitu. Ditambah pula dengan rancangan pop di Rangkaian Biru – siaran bahasa Inggeris di radio RTM – pengetahuan tentang lagu-lagu pop 1960-an makin bertambah.

Selain The Beatles, saya mula mengenali The Rolling Stones, The Who dan The Animals. Nada mereka lebih hangat dan rancak. Namun yang lebih menarik bagi diri saya sendiri - entah macam mana - melalui pop 1960-an saya mengenali pula akar genre tersebut, iaitu rock ‘n’ roll 1950-an.

Daripada Elvis Presley kepada Bill Hailey, Chuck Berry, Little Richard, Buddy Holly, Jerry Lee Lewis, dan seterusnya Cliff Richard, Dion, dan selebihnya yang pelbagai.

Apabila dibawa ke dunia sebelah sini, tentunya saya mudah menerima muzik A Romzi & The Hooks, A Ramlee & The Siglap 5, A Rahman Hassan & Orkes Nirwana, J Kamisah, The Swallows dan banyak lagi.

Kadang-kadang emak saya menjadi teman untuk saya tanyakan tentang para penyanyi dan kumpulan pop a-go-go tersebut, walaupun dia sendiri hanya mendengar mereka di radio pada zamannya, dan minatnya lebih kepada P Ramlee, R Azmi dan Momo Latif.

Setelah sedikit dewasa kemudiannya, saya sedar bahawa minat terhadap pop a-go-go lebih menyusuri kepada simplicity gaya muzik itu sendiri – gitar utama, gitar irama, gitar bass dan dram. Itu sahaja. Tidak perlu orkestra besar atau gesekan biola beramai-ramai.

Jiwa saya mudah menerima lagu-lagu A Romzi seperti Dendang Remaja, Menanti Dewi, Zunika, dan Lagu Tiga Kupang yang keras dengan petikan gitar psychedelic pop.

Begitu juga alunan pop The Swallows melalui pimpinannya Kassim Selamat dengan lagu-lagu berbahasa Bawean seperti La O Be, Angkok-Angkok Bilis, Nga Lompak A Go Go, dan Mak Itti Mai Illa yang mudah menambat jiwa.

Kebanyakan lagu mereka tidak terlalu terikat dengan langgam Melayu, sebaliknya berentak global; sedikit-sebanyak seperti nada lagu-lagu kumpulan The Animals dan The Kinks.

Dengan pengaruh pop yang tidak mengikut turutan masa, saya juga meminati genre Doo Wop yang menampilkan nyanyian berharmoni awal 1960-an seperti lagu-lagu Duke Of Earl persembahan Gene Chandler, Blue Moon (The Marcels), At The Hop (Danny and The Juniors), Teen Angel (Dion & The Belmonts), Why Do Fools Fall In Love (Frankie Lymon & The Teenagers); dan juga genre kumpulan yang dikategorikan sebagai Girl Group seperti The Ronettes dengan lagu hit mereka Be My Baby, Will You Love Me Tomorrow (The Shirelles), Leader of the Pack (The Shangri-Las), Please Mr Postman (The Marvelletes), He’s a Rebel (The Crystals) dan banyak lagi.

Rock, kenduri kahwin dan radio

Maafkan saya sekali lagi kerana catatan di atas berbunyi seperti menonjol-nonjol nama atau “name dropping”. Sebenarnya saya sendiri tidak selesa apabila orang lain menulis atau bercakap seperti ini.

Namun, saya perlu meletakkan konteks tentang genre muzik serta pengaruhnya pada tempat yang betul dan untuk diri saya. Juga saya mahu berkongsi era dan pengalaman dengan orang lain yang sedikit sebanyak ada persamaannya dengan saya.

Mengapa genre sebegini menjadi minat saya? Memang sukar untuk menjawabnya kerana cita rasa adalah hal-hal yang berkait dengan jiwa, dari mata dan telinga ia turun ke hati. Mungkin kerana irama, tune, nada dan visual (yang kadang-kadang terpampang di kaca TV) membuatkan saya lebih tertarik dengannya berbanding budaya pop komersial kontemporari era saya sendiri.

Apabila meningkat usia sedikit - sekitar 12 tahun - saya mula dapat merasai nikmat lagu-lagu yang lebih berat dan bingit. Daripada koleksi piring hitam pak menakan yang seorang lagi, saya menghayati lagu-lagu Black Sabbath dan Grand Funk Railroad. Daripada koleksi jiran rumah pula, saya berkesempatan mendengar Deep Purple, Rare Earth dan Santana.

Majlis kenduri kahwin 1970-an di Pulau Pinang pula penuh dengan para DJ kampung memutarkan lagu-lagu Led Zeppelin, Free, Queen dan beberapa lagi, selain lagu-lagu wajib genre pop Hindi daripada filem-filem Bobby, Yaadon Ki Baaraat, Haathi Mere Saathi, Sholay, Hare Rama Hare Krishna, dan sebagainya. Malah, ia diselang-selikan dengan lagu-lagu Rahimah Rahim, Sanisah Huri, J Mizan, Rafeah Buang, dan ramai lagi bintang 1970-an.

Semua ini hasil carian sendiri. Seperti yang disuarakan pada awal catatan ini, saya tidak punya ramai kawan yang meminati muzik. Mungkin mereka lebih agresif dalam bidang sukan. Saya pula agak mandom, dan kaki bangku. Memang segelintir kami di sekolah yang minat komik, muzik dan filem lebih skema daripada yang lain; walaupun dari segi pengajian tak hebat setara mana.

Mungkin menyedari betapa tidak agresifnya saya dalam dunia nyata, maka secara semula jadinya saya tertarik kepada genre muzik yang lebih keras dalam dunia fantasi seni pop.

Memang melodi dan irama amat penting dalam penilaian peribadi penentuan lagu dan muzik tetapi kebingitan rock itu juga harus ada. Kerana suasana di radio dan TV sekitar 1970-an - malah sehingga 1980-an - begitu lembab perkembangannya. Ia penuh dengan genre yang saya anggap membosankan. Saya terpaksa mencari di ruang lain.

Saya pernah menulis beberapa kali – dalam buku dan alam maya – tentang hal peribadi ini. Ia berkisar tentang penemuan genre punk dan new wave dari corong radio Royal Australia Air Force (RAAF) yang bertempat di Pulau Pinang pada masa itu.

Kulit Star Wars isi lagu jiwang

Ia juga daripada siaran gelombang pendek (shortwave) BBC World Service, terutamanya rancangan DJ legenda John Peel yang menampilkan lagu-lagu “alternatif” (maksudnya alternatif dari segi pilihan lain, dan bukan sebagai satu nama genre) dan siaran Friday Rock Show bersama DJ Tommy Vance yang membawakan lagu-lagu klasik hard rock serta heavy metal yang baru pada masa itu.

Di samping itu, sejak memasuki sekolah menengah, saya mula menyimpan wang saku untuk membeli pita kaset lagu; tentunya yang dicetak rompak kerana harganya murah. Apatah pula arwah ayah baru sahaja membeli sebuah radio kaset portable yang kecil.

Walaupun saya rasa sedikit malu, terpaksa dikongsi di sini bahawa dua kaset pertama yang dibeli dengan simpanan wang saku sekolah pada 1978 ialah album runut bunyi filem Blue Hawaii yang dibintangi Elvis Presley dan runut bunyi campuran filem fiksyen sains. Mungkin kerana kulit kaset itu adalah dari filem Star Wars yang saya tergila-gila pada masa itu.

Mengapa Elvis? Kerana saya meminati rock ‘n’ roll dan menyangka ia penuh dengan irama rancak tersebut. Ya, saya kecewa sebenarnya kerana ia memuatkan hanya lagu-lagu jiwang 60-an.

Mengapa runut bunyi filem fiksyen sains? Memang saya meminati genre filem fantasi sama seperti mana-mana kanak-kanak biasa. Dan poster Star Wars itu - dari dulu hingga sekarang - masih tetap hebat pada saya.

Wayang, John Travolta dan Sha-na-na

Sebenarnya, budaya pop saling berkaitan. Kita sendiri sedar bahawa bukan sekadar genre pop menjadi minat tetapi ia berhubung kait dengan filem, tarian, isu-isu kontemporari yang panas pada masa-masa tertentu. Zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan menonton kartun di TV dan ke pawagam untuk menikmati filem-filem koboi, sci-fi, perang dan wayang hit Hindi.

Filem-filem Hindi menjadi makanan jiwa orang Melayu Pulau Pinang (dan kemudian apabila menjelang dewasa, saya menyedari bahawa ia menjadi minat hampir kesemua orang Melayu).

Yang terkesan dari dulu hingga sekarang ialah filem Yaadon Ki Baaraat yang dibintangi Dharmendra dan Zeenat Aman. Ia sebuah kisah tiga beradik lelaki yang terpisah apabila ibu bapa mereka dibunuh kumpulan jahat kerana mangsa berani menentang kezaliman, dan akhirnya mereka bertemu semula untuk menegakkan keadilan.

Walaupun plotnya berbunyi seperti kita pernah berkali-kali mendengarnya, perlu diingatkan bahawa filem ini diterbitkan pada 1973, iaitu hampir 45 tahun lalu. Dengan gaya aksi, drama dan sedikit kisah cinta bersama dengan lagu-lagu yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, Yaadon Ki Baaraat memang mempengaruhi jiwa saya sepanjang pemilihan genre muzik dan filem.

Memang ada filem Melayu tetapi era pasca-P Ramlee menyaksikan gerak perlahan dalam penghasilan filem. Sepanjang 1970-an filem Melayu memang banyak dari sudut kuantiti tetapi lemah dari segi kualiti.

Laksamana Do Re Mi karya terakhir P Ramlee agak lemah berbanding filem-filem beliau yang lain. Kita hanya sedar tekanan dan penderitaan dari pelbagai sudut, termasuk kewangan dan bantuan dana yang dialaminya selepas allahyarham pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 1973.

Malah, filem-filem Melayu hanya kembali bernafas apabila ia diwarnakan (secara harfiyah) dengan Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Hapuslah Air Matamu, Menanti Hari Esok dan Pendekar pada pertengahan 1970-an.

Dari sudut lagu dan tarian pula, pertengahan 1970-an menyaksikan kebangkitan (atau lebih tepat lagi, jangkitan global) era disko. Dengan filem Saturday Night Fever, semua anak remaja mahu menjadi John Travolta. Saya pun teringin menjadi selebriti itu tetapi bukan daripada watak filem tersebut.

Saya tidak mahu menjadi Tony Manero si penari disko. Yang menjadi pilihan saya ialah Danny Zuko, watak cool Travolta dalam filem yang satu lagi, iaitu Grease, yang saya tonton di pawagam.

Grease menampilkan imej dan era rock ‘n’ roll 1950-an, khususnya dengan penonjolan kumpulan vokal Sha-Na-Na. Populariti kumpulan tu bersama watak utamanya Jon Bowzer dengan suara bass memberi kesan kepada jiwa saya apabila ia dijadikan siri TV yang turut ditayangkan oleh rangkaian TV tempatan.

Begitu juga drama komedi TV Happy Days yang menampilkan watak The Fonz yang dibawakan oleh Henry Winkler dengan jaket kulit hitamnya serta rambut jambul rock ‘n’ roll.

Jadi, bagaimana daripada pelbagai genre pop yang sedemikian rupa saya boleh terjebak dengan punk dan new wave? Bukankah punk itu dikatakan anti-establishment? Bukankah ia menentang segala yang normal? Mengapa genre yang agak komersial boleh membawa kepada punk? Atau mungkinkah punk itu tidak sehebat mana?

Jika belum bosan membaca, izinkan saya sambung dalam tulisan yang lain nanti.


WAN HAMIDI HAMID ialah seorang penulis dan pemerhati politik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen