malaysiakini logo
story-image
ADS

Ujian sebenar bagi mengukur prestasi mana-mana parti ialah pilihan raya umum. Pada perhitungan akhir, parti adalah para pemimpin parti.

Bagi satu-satunya kerajaan yang diterajui oleh parti Islam di Malaysia, tentu sekali PAS di Kelantan yang ada di bawah teraju Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa diekori pelbagai pihak yang mahu membedah dan menganalisis kaedah serta strategi digunakannya.

Ini menjadikan dia sentiasa duduk dalam keadaan beringat, sedar diri dan dalam sentiasa berjaga-jaga.

Tok Guru Nik Aziz tidak bermula dari kosong. Apa yang dilihat dari segi luaran - fizikalnya - yang kelihatan sedikit letih sebenarnya tidak begitu.

Pada banyak ketika, keadaannya yang dilihat letih dan slow moving itulah sebenarnya kekuatan yang ada dalam dirinya. Ini sering berada di luar jangka musuh politiknya.

Jika tidak, masakan Tun Dr Mahathir Mohamad - presiden Umno yang terhebat pernah dilahirkan oleh parti nasionalis Melayu itu - tak mampu mengalahkan PAS walau dicuba bertubi kali.

Pendek yang menerkam

Ertinya, hampir pasti, Tok Guru ada menyimpan kekuatan misteri yang sukar difahami dan disaingi oleh rata-rata seteru politiknya.

Sekali dia menghantar sepotong battle cry di setiap kali pilihan raya umum (PRU) misalnya, ia mudah bersambut. Ini justeru Tok Guru cukup tajam membaca strategi gerak saraf yang diatur lawan.

Setangkas tangan mahaguru kung fu, beliau cukup cekap menepis dan segera menampilkan versi kata-katanya yang menikam. Rangup tetapi mudah.

Misalnya, ungkapan masyhur daripadanya berbunyi: "Bui lembu, heret; bui kain, paka; bui gula, kaca. Pakoh, pakoh PAS.” (Beri lembu, heret; dia beri kain, pakai; dia beri gula, kacau. Tapi tiba masa pangkah, pangkahlah PAS).

Dalam tempoh PRU ke-10 pada 1990 hingga ke 2004 (PRU ke-12) sekurang-kurangnya, pelbagai kata-kata pendek yang menerkam - dan kadang-kadang sayu dari jenis ini - dilihat cukup sakti memukau khalayak.

Ini semua bertolak daripada kejujuran yang ada pada beliau. Bagi pemimpin Islam lain yang juga dalam PAS misalnya, orang mudah boleh bertanyakan balik: "You talk the talk, but can you walk the walk?"

Sebaliknya, terhadap Nik Aziz, rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan yakin pemimpin itu memang ikhlas mempertahankan sebuah kerajaan Islam yang benar-benar amanah, tidak korup, tidak rasis, tidak makan pitis, berjuang demi membela keadilan dan bebas dari amalan diskriminatif sepenuhnya.

Walau pun dia miskin, rata-rata orang melihat dia sebagai seorang bapa yang ikhlas ingin menyenduk isi pengat keladi itu untuk diagih-agihkan ke pinggan semua.

Untuk kali ini, saya akan beri fokus kepada cara Tok Guru memilih calon demi memastikan pemimpin yang dilahirkan PAS melepasi piawai tertentu yang ada dalam kepalanya.

Tilikan tok guru pondok

Ini memandangkan, dia mahu pastikan calon PAS yang menang nanti mampu mendukung dan mengangkat cita-cita politik Islam yang dibawanya.

Mengambil satu kes secara langsung dalam sebuah PRU, mari kita lihat bagaimana seorang calon yang Tok Guru ragui - walaupun mendapat sokongan kuat daripada akar umbi dan sesetengah pemimpin kanan parti.

Sebelum senarai calon dimuktamadkan, saya pernah diarah beliau pada suatu pagi untuk membawa nama tertentu ini buat 'tilikan' seorang lagi ulama iaitu almarhum Tok Guru Haji Lloh di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Mungkin ramai yang tidak tahu amalan ini ada diamalkan pada ketika yang tertentu, tetapi inilah dia Nik Abdul Aziz. Dia unik dan jika keadaan dikira memerlukan, dia boleh bertindak menyalahi kelaziman.

Dia berpesan kepada saya begini: “Bawa nama ini. Royak (beritahu) ko Tok Guru Haji Lloh, Nik Aziz kirim salam ko dio dan mitok tulong Tok Guru Haji Lloh tengok tilik sikit kesesuaian calon ini untuk pilihan raya.”

Setelah pesanan ini saya bawa dan sampaikan tanpa mengalih atau meninggal sebutir pun ayat seperti diamanahkan, Tok Guru Haji Lloh bermenung agak lama.

Setelah itu, dia berkata: “Kalau tak salah ambo, orang ini rapat dengan orang balak yang baik dengan si polan si polan. Panda-panda Tok Guru Nik Azizlah. Royak begitu pun ke dio, padan ddoh (dah cukup).”

Tanpa singgah di mana-mana, saya terus balik ke pejabat dan sampaikan terus respon Tok Guru Haji Lloh itu.

“Jika gitu, tak apalah. Ambo faham doh tu. Terima kasihlah,” katanya.

Gergaji, pahat Tok Guru

Tak lama kemudian, saya pun azan sebaik waktu untuk solat Zuhur masuk. Bersama beberapa orang lain yang ada di Pejabat Menteri Besar pada ketika itu, kami pun solat berjemaah sama-sama.

Diringkaskan cerita, orang itu lalu tidak dicalonkan.

Di sini, dapat kita sama-sama saksikan ketegasan Tok Guru jika berdepan dengan calon yang dijangka mudah dipengaruhi dan mendatangkan masalah.

Ertinya Tok Guru amat teliti sebelum memutus untuk menaik atau menggugurkan bakal calon. Dia ada sekeping kertas carta semak di dalam mindanya setiap kali mahu memilih calon pilihan raya.

Dia bukan sahaja melihat faktor winnability semata-mata tetapi dia turut memerhatikan aspek-aspek kelayakan lain yang menyentuh perkara lebih asas seperti integriti dan kejujuran yang tidak diragui.

Untuk lebih memperinci amalan dan sikap politik Tok Guru setiap kali menjelang PRU, saya mohon izin untuk menurunkan sebuah temu ramah eksklusif wartawan Guang Ming Daily, Foo Moi Peng menjelang PRU ke-11.

Dalam kotak tukang (tool box) Tok Guru dapat dilihat penuh berisi alat. Di sana ada gergaji, pahat, tukul, pemutar skru dan paku.

Seperti dikatakan Anne-Marie Brouwer dalam kertas kajiannya, “hitting a moving target is tough while hitting an invisible target is even tougher.”

Tok Guru menggunakan pelbagai teknik sewaktu mengetuk sasaran yang bergerak - walau seberapa sulit - dengan tukulnya.

Pada Tok Guru, sesuatu soalan boleh menjadi jambatan kepada pengukuhan keyakinan. Ia perlu dilayan. Melalui proses soal jawab, beliau yakin ada kesempatan untuk menerangkan aplikasi Islam dalam rangka sebuah pemerintahan.

Ini dilihat peluang dan ia perlu direbut. Adapun tentang sikap membisu pemimpin Islam lain yang katanya “pemalu” apakala berdepan dengan wartawan masa kini, maka sikap begitu dilihat terlalu aneh. Apakah ketika menjawab pertanyaan wartawan; kita boleh malu kerana diri pemalu?

Soalan: Bagaimana Tok Guru menilai prestasi wakil rakyat ketika sidang dewan undangan negeri (DUN) berlangsung?
Jawapan: Dalam setahun kita ada tiga persidangan DUN. Hanya sidang untuk belanjawan saja mengambil masa empat hari manakala yang lain hanya sehari. Dalam sidang sehari, yang sempat bercakap kadang-kadang 10 ADUN sahaja. Daripada bilangan tersebut, tiga hingga empat orang boleh berhujah mengemukakan fakta-fakta dengan baik. Bagaimanapun, kalau hendak dibanding zaman lampau, ternyata lebih baik wakil-wakil rakyat yang ada sekarang. Mereka yang berkelulusan universiti sudah semakin ramai. Mereka berhujah dengan fakta dan kadang-kadang mengkritik kerajaan dalam bentuk kritikan yang membina.

Selain itu, kita adakan juga prapersidangan terlebih dulu. Pada sesi tersebut, kita berbincang segala aspek. Semasa saya menjadi anggota parlimen dahulu, kerajaan BN juga mengadakan prapersidangan bagi membincangkan soalan-soalan yang akan dibangkitkan dan kaedah hendak menyoal. Mungkin semua ini berlaku di seluruh dunia.

Saya ambil pengalaman semasa menjadi anggota parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) mulai 1967 hingga 1978.

Soalan: Adakah wakil rakyat sesuai bercakap mengenai masalah rakyat mereka saja?
Jawapan: Isu dalam kawasan DUN tidak banyak. Kalau ada pun masalah jambatan, jalan, dan orang miskin. Apa yang menjadi perhatian sangat ialah masalah moral. Isu ini kita dapat pungut dari akhbar-akhbar. Masalah sosial boleh disebut wakil rakyat biarpun perkara itu tidak berlaku dalam DUN dia.

Oleh kerana Kelantan sebahagian daripada Malaysia dalam konsep federalisme, maka apa yang berlaku di negeri lain, wakil rakyat sebut juga kerana khuatir ia berjangkit ke Kelantan. Sekarang tidak timbul masalah kenegerian. Sebab itu saya suka sangat wakil rakyat menyentuh mengenai isu nasional. Seorang ahli politik tidak boleh fikir masalah rumah dan kampung dia saja. Dia perlu tahu isu di peringkat global.

Perangai manusia di Malaysia dan Amerika adalah sama sahaja, sama ada perasaan gelojoh atau pemarah dan sebagainya.

Soalan: Bagaimana Tok Guru menjaga kawasan sedangkan sibuk dengan tugas sebagai ketua kerajaan?
Jawapan: Dalam DUN Cempaka, saya lantik seorang wakil peribadi yang mempunyai elaun tetap. Sebagai ketua kerajaan, saya tidak mempunyai banyak masa. Saya tidak boleh tumpu kepada kawasan saya saja. Saya pergi ke merata-rata tempat mengikut tahap kesihatan saya.

Cuma, pada hari Jumaat, saya masuk kawasan saya. Kalau tidak uzur, saya bercakap di depan orang ramai, dan kalau uzur saya hanya bersalam dan dapat bertemu mata dengan masyarakat setempat. Dapat bertanya khabar mengenai mereka – ada yang sakit, mati, atau berkenduri-kendara.

Giliran Jumaat tiap YB

Soalan: Rakyat hanya akan memilih calon wakil rakyat daripada mereka yang mampu menunaikan segala janji. Apa pandangan Tok Guru?
Jawapan: Janji masalah projek biasa berkaitan bina jambatan, calvert dan bantu penduduk miskin. Benda ini tidak boleh ditunaikan 100 peratus kerana ia bergantung kepada peruntukan yang ada. Setiap ADUN mesti menghabiskan peruntukan yang diberi. Tidak ada sebab dia tidak menghabiskan peruntukan.

Misalnya kita bagi kepada seseorang wakil rakyat RM70,000 setahun. Dia perlu menyelesaikan banyak tuntutan rakyat. Misalnya hendak pasang elektrik, air, kerosakan jalan kampung dan pelbagai lagi. Ada sesetengah wakil rakyat membelanjakan peruntukan lebih. Ini sudah tentu akan menyusahkan kerajaan.

Ini kerana dia terlalu dekat dengan rakyat dan tidak sedar peruntukannya sudah habis. Di kawasan saya sendiri juga pernah berlaku perbelanjaan melebihi peruntukan. Ini berlaku di luar jangka, misalnya musim banjir.

Soalan: Peruntukan tidak cukup?
Jawapan: Bagaimanapun tidak dapat dinafikan juga, ada wakil rakyat yang malas. Laporan mereka ada pada saya. Saya dapat laporan melalui penghulu dan ahli parti. Saya hendak lihat setiap wakil rakyat tiap-tiap hari Jumaat mesti sembahyang di setiap masjid yang terdapat di kawasannya. Bergilir-gilir solat Jumaat.

Misalnya, di kawasan saya, saya solat Jumaat secara bergilir-gilir, tidak tetap di satu tempat sahaja. Saya tidak pernah solat Jumaat di Kota Jembal (Kedai Lalat), tempat rumah saya, kecuali kalau saya uzur tidak boleh pergi jauh.

Saya pergi ke merata-rata tempat dan boleh bertemu mata dengan orang ramai. Orang kampung, dia sensitif, mahu berjumpa dengan pemimpin dan Tok Guru. Saya terpaksa tanggung biarpun kadang-kadang keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan.

Soalan: Bagaimana cara Tok Guru menilai prestasi kerajaan PAS ?
Jawapan: Dalam kepala saya, saya mesti matikan isu yang ditimbulkan oleh Umno. Apa sahaja isu yang timbul, saya berusaha untuk menyelesaikannya. Ini dibuat melalui ucapan atau penyelesaian terhadap isu yang ditimbulkan.

Misalnya, isu tanah di Kuala Stong, Dabong. Umno sebut kerajaan negeri hendak rampas tanah rakyat. Kalau tanah rakyat, mesti ada geran. Sebab itu, semasa mula-mula memerintah Kelantan, saya sudah beritahu, mana-mana rakyat yang meneroka tanah sebelum 1990, kita akan selesaikan. Selepas 1990, kita tidak akan selesai. Kita mahu wujudkan peraturan tertentu tetapi mereka tetap teroka juga.

Tanah yang diusahakan secara komersial juga diberi hak milik sekiranya diteroka sebelum 1995. Kalau ada geran, apabila kerajaan mahu ambil juga, kita akan selesaikan hak mereka.

Kerajaan negeri bersedia untuk menyelesaikan masalah tersebut. Orang politik sengaja mahu membesar-besarkan perkara yang boleh mengaburi mata rakyat. Kalau penduduk meneroka tanah sebelum 1990, kita akan mencari bukti-buktinya sama ada melalui penghulu, imam, dan melihat pokok-pokok yang ditanam.

Kalau teroka sebelum 1990, kita akan bahagikan geran. Kita sudah senaraikan mereka. Orang yang membawa kes ke mahkamah, kita tinggalkan terlebih dahulu. Biarkan mereka selesaikan kes tersebut di mahkamah. Kita akan selesaikan kemudian. Umno sebenarnya tidak ada modal membawa kes-kes ini ke mahkamah.

Soalan: Sebelum ini, Tok Guru kata hendak menjadi menteri besar hingga ke akhir hayat. Boleh Tok Guru jelaskan semula?
Jawapan: Masalah menjadi wakil rakyat terletak pada dua perkara. Pertama, kesihatan, dan kedua, sokongan rakyat. Kalau orang ramai sokong namun kesihatan saya tidak mengizinkan, tak boleh. Kalau kesihatan saya baik tetapi orang tak sokong, tak boleh juga. Jadi, dua perkara ini perlu diambil kira.

Kalau saya sihat dan rakyat sokong serta parti setuju, maka boleh saya lakukan. Kalau parti kata saya boleh, tetapi kesihatan tidak baik, maka tak boleh berlaku juga. Takkan pula saya nak datang ke pejabat dengan kerusi roda.

Macam atas sejadah

Soalan: Macam mana kesihatan Tok Guru sekarang?
Jawapan: Keadaannya tenggelam timbul. Macam dulu juga, macam tahun 1990 naik turun prestasinya. Dalam keadaan sekarang, kalau diminta orang ramai menjadi menteri besar, ia tidak menjadi masalah.

Di samping itu, saya sebagai mursyidul am PAS seperti guru sekolah memandu. Tugasnya untuk melahirkan pemandu yang berwibawa. Mereka hanya dilatih dalam sehari dua sahaja. Takkanlah sampai hari-hari hendak dilatih orang yang sama. Jadi, saya kena fikir juga. Saya kena latih orang yang lain pula.

Soalan: Jadi, ada pengganti yang bakal menjadi ketua kerajaan Kelantan?
Jawapan: Ramai yang layak jadi pengganti saya. Ia tak menjadi masalah.

Soalan: Adakah mungkin akan berlaku perebutan ?
Jawapan: Dalam Islam tidak berlaku perkara seperti ini. Cara gerakan Islam lain daripada gerakan nasionalis. Nasionalis menghalalkan perebutan jawatan. Kalau bergerak dalam konteks Islam dan berebut juga, maknanya dia tidak ikhlas berjuang.

Saya duduk di atas kerusi menteri besar sama seperti duduk di atas tikar sembahyang. Sama-sama mengabdikan diri kepada Allah. Atas tikar sembahyang pun ibadat kepada Allah, duduk di atas kerusi menteri besar pun ibadat kepada Allah. Dalam Islam, hidup mesti ikhlas. Tak boleh mengharapkan dapatkan duit semata-mata.

Kalau buat juga, di akhirat kelak akan rosaklah imej kita dan kita akan menerima pembalasan dari Allah Taala.

Soalan: Bagaimana kesan pembentukan negara Islam kepada orang bukan Islam?
Jawapan: Orang bukan Islam telah diracuni pemikirannya mengenai Islam. Orang Cina sebelum ini ditakut-takutkan kepada Islam. Bila sebut Islam, orang Cina takut. Ini kerana Umno cuba menakut-nakutkan kefahaman mereka terhadap Islam.

Sejak saya mentadbir Kelantan selama 12 tahun, mana ada orang Cina takut lagi kepada Islam. Islam yang saya bawa lain berbanding apa yang disebut pemimpin Umno.

Soalan: Di Kelantan orang Cina boleh faham. Bagaimana kalau di luar Kelantan?
Jawapan: Kami boleh tanya kepada mereka, tidak senang dengan Islam dari segi mana?

Soalan: Sebagai contoh, hukum hudud?
Jawapan: Kita boleh lihat, misalnya hukum gantung yang diamalkan di negara ini terhadap pengedar dadah. Sedangkan dalam Islam tidak ada hukum gantung.

Soalan: Tapi, dia potong kaki tangan?
Jawapan: Kalau seseorang itu jahat, patut potong kaki tangan dia. Tetapi dalam kes gantung mengapa pula orang ramai tidak takut? Gantung ini membawa kepada mati, tetapi potong tangan tidak mati.

Soalan: Bagaimana dengan perempuan yang kena rogol dikatakan perlu membawa empat orang saksi?
Jawapan: Kalau perempuan yang dikatakan dirogol dan dia menuduh orang tertentu, maka dia perlu membawa saksi. Bagaimanapun kalau si perempuan mendakwa dia dirogol dan melaporkan kepada polis, maka polis tanya siapa saksi, dia kemudian menjawab tidak tahu, maka habislah kes itu.

Sebab itu, kerajaan pusat tidak benarkan kami laksanakan hudud kerana apabila kami buat tentu nampak moleknya. Apa yang tidak betul, semua kes rogol dikatakan perlu membawa empat orang saksi.

Mereka yang perlu membawa saksi apabila menuduh orang tertentu. Selain hudud, kita ada takzir. Kalau tidak disabitkan di mahkamah kita kena takzir.

Soalan: Adakah hukum hudud turut dikenakan ke atas bukan Muslim?
Jawapan: Orang bukan Islam tak dipaksa menerima hudud. Kita beri pilihan kepada mereka. Bukan Islam diberi pilihan hendak dikenakan hukuman di mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Saya yakin sekiranya hudud dilaksanakan, orang bukan Islam boleh menerimanya. Orang tidak berani lagi untuk mencuri dan merompak. Orang Cina yang paling baik sekiranya menerima hudud kerana mereka sebahagian besarnya orang kaya.

Sebab itu Islam tegah lebih awal lagi perlakuan yang sumbang. Islam melarang tari-menari dan night club. Mereka yang mengendalikan pusat hiburan itu hanya tauke-tauke yang mahu mendapat keuntungan tanpa mengira masalah moral orang lain. Mereka hanya cari duit. Dia tidak kira moral muda mudi, asalkan dapat duit. Ini kepentingan kapitalis.

Sebab itu di negeri komunis tidak ada night club. Tidak ada pusat itu kerana ia adalah kepentingan kapitalis.

Soalan: Sekiranya PAS menang di Pahang, adakah pusat perjudian di Genting Highlands akan ditutup?
Jawapan: Hendak hapus secara terus atau berperingkat-peringkat itu adalah masalah teknikal. Di Kelantan dan Terengganu tempat orang Melayu ramai kita boleh buat dalam tempoh singkat. Di tempat orang Cina ramai, kita boleh berunding.

Apa yang PAS jamin ialah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) tidak ada sekiranya dapat mentadbir pusat. ISA wujud kerana pemimpin jahat. Bila pemimpin jahat, rakyat akan memberontak. Bila pemimpin tidak jahat, macam mana rakyat boleh memberontak?

Pemimpin jahat rakyat bangkit

Jika kita ingin hubungkan pelbagai kenyataan Tok Guru dengan apa yang sedang membelit kaki dan jangkahan gerakan Islam terkini, dalam konteks siasah, pada saya kenyataan ini saya kira paling menarik. Saya petik sekali lagi:

“Saya duduk di atas kerusi menteri besar sama seperti duduk di atas tikar sembahyang. Sama-sama mengabdikan diri kepada Allah. Atas tikar sembahyang pun ibadat kepada Allah, duduk di atas kerusi Menteri Besar pun ibadat kepada Allah.

"Di dalam Islam, hidup mesti ikhlas. Tidak boleh mengharapkan untuk mendapatkan duit semata-mata. Kalau buat juga, di akhirat kelak akan rosaklah.”

Saya kira, masalah yang memerangkap kepimpinan politik Islam terkini di negara ini sedang berpusing di lingkaran ini. Mustahil kita tidak terdengar tuduhan tentang rasuah bernilai RM90 dengan pelbagai implikasi lanjutan yang cukup negatif.

Pengertian ibadah yang telah diketengahkan dalam bentuk peringatan oleh Tok Guru ini seharusnya dijadikan pedoman. Sikap mengabaikannya boleh menyeret kepimpinan mana-mana parti ke kancah krisis keyakinan.

Ya, “apabila pemimpin jahat, rakyat akan memberontak.”

Mahu tak tersungkur?


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen