malaysiakini logo
story-image
ADS

Di tahun 2000, sewaktu saya mula bekerja di Dubai Internet City (DIC), sebuah projek mega pertama kerajaan Dubai untuk menjadi katalis ke arah industri teknologi maklumat dan telekomunikasi, perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah pengerusinya, sebaya usia dengan saya.

Begitu juga dengan COO dan pengurusan tinggi. Awal tiga puluhan.

Itu sedikit mengejutkan kerana pada masa yang sama ketika itu, pengerusi Multimedia Development Corporation (MDC) di Malaysia yang lebih kurang fungsinya, seorang pencen.

Begitu juga di kalangan mereka yang memegang pentadbiran penting di peringkat pengurusan boleh dikatakan generasi muda. Berbanding dengan situasi di Malaysia yang jawatan-jawatan seperti pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua operasi seakan milik para veteran, selepas pencen dari kerajaan, kroni politikus yang berkuasa atau politikus tanpa jawatan kerajaan tetapi mempunyai jawatan dalam parti Umno.

Mereka ini juga kitar semula, berpindah dari GLC ke GLC seakan tiada orang lain dalam 30 juta rakyat Malaysia yang lebih layak. Ada yang sudah begitu tua pun masih berjawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah banyak GLC serta syarikat.

Begitu besar jurang perbezaan. Sama ada budaya kita 'memberi makan' kepada mereka yang sudah kenyang sebagai tanda penghargaan walaupun majoriti mereka hanyalah perabis beras dan menjadi perhiasan semata-mata.

Kerana itu pelbagai skandal seperti 1MDB, TH, MARA, Felda, FGV, KWAP dan lain-lain akan terus berterusan selagi ada bulan dan matahari. Selagi pihak kepimpinan dari acuan yang sama dan dari kelompok elit yang boleh buat apa sahaja atas nama ketuanan.

Begitu juga semasa di DIC, hampir semua Emirati yang bertaraf junior di bawah saya, mereka yang baharu tamat pengajian (dan mereka kini memegang pelbagai jawatan penting dipelbagai GLC dan syarikat).

Mungkin kerana Putera Mahkota Dubai ketika itu, yang kini Emir Dubai, selain naib presiden dan perdana menteri UAE, diberi kepercayaan semenjak usia muda untuk memerintah.

Semenjak menjadi perdana menteri UAE, Sheikh Mohamed bin Rashid Al Maktoum membawa banyak perubahan dalam lantikan kabinet. Setiap kali ada sahaja mengejutkan kerana perubahan yang dibawa memberi gambaran wawasan serta transformasi yang diterapkan.

Saya masih ingat pertama dahulu, beliau membawa masuk wanita muda, Sheika Lubna sebagai menteri ekonomi. Sheikha Lubna masih berusia tiga puluhan dan pernah menjadi CEO sebuah GLC untuk perolehan atas talian.

Lawatan mengejut Raja Dubai

Di waktu itu juga Sheikh Mohamed melantik pengerusi DIC, (bekas) bos saya, Mohamad Al Gergawi itu sebagai seorang menteri. Sebagai seorang yang kenal Mohamad Al Gergawi secara peribadi dan melihat corak kepimpinan beliau dia DIC, saya akui pilihan Sheikh Mohamad adalah tepat. UAE memerlukan pemimpin muda yang dinamik dan berwawasan.

Antara perubahan lain, Sheikh Mohamad membawa mesyuarat kabinet ke kawasan luar bandar untuk memberi pengalaman kepada para menteri dan rakyat secara terus. Termasuk di kawasan gurun. Ada aktiviti bersama rakyat.

Sheikh Mohamad sebagai Raja Dubai memang sudah dikenali dengan cara beliau seperti memandu sendiri ke mana-mana sahaja tanpa polis dan pengawal, boleh ditemui berjalan di mana-mana untuk melihat sendiri keadaan.

Beliau juga banyak kali melakukan lawatan mengejut ke pejabat-pejabat kerajaan. Pada tahun lepas, sembilan orang pengarah Majlis Perbandaran Dubai dibuang serta merta kerana tidak berada di pejabat sewaktu masa bekerja.

Pengalaman saya sendiri semasa bekerja di DIC dan kemudian di Palm Jumierah, di mana Sheikh Mohamad selalu singgah secara mengejut bila-bila masa termasuk waktu malam untuk meninjau perkembangan projek memberikan peluang dan kesempatan untuk berurusan secara langsung dengan beliau.

Pada tahun lepas, Sheikh Mohamad sekali lagi mengejutkan dunia dengan pelantikan seorang wanita muda sebagai menteri kebahagiaan dan seorang wanita berusia 22 tahun sebagai menteri belia.

Tahun lepas juga, Sheikh Mohamad melantik lapan orang wanita sebagai menteri dan enam dari mereka bawah 35 tahun.

Sekali lagi, minggu lepas, rombakan terbaharu kabinet UAE memberi satu lagi kejutan di luar jangkaan.

Mungkin kerana UAE bukan negara demokrasi acuan Malaysia yang mana, perdana menteri terpaksa melantik menteri kabinet dari politikus yang memegang jawatan dalam parti komponen mengikut pembahagian, maka lebih mudah Sheikh Mohamad melantik menteri yang berkelayakan dan mempunyai kebolehan seadanya untuk jawatan menteri di kalangan rakyat secara terus.

Lihat sahaja menteri kabinet kita, boleh dikatakan hampir semua bukan sahaja sudah sepatutnya pencen atau bertaubat dan jaga cucu, malah menjadi badut yang ditertawakan rakyat dengan aksi, kata-kata dan perlakuan bodoh.

Kalau diukur dari segi akademik pun ramai yang ke laut. Begitupun, dalam politik Malaysia terutama kerajaan, kepandaian bukan ukuran untuk dilantik menjadi menteri, yang penting kesetiaan kepada perdana menteri. Kesetiaan yang membawa banyak skandal, bencana dan pelbagai kes korupsi.

Berbanding di Kanada dengan perdana menteri muda berusia awal 40-an, Chancellor Austria berusia 31 tahun dan perdana menteri New Zealand, seorang wanita berusia 37 tahun.

Pemimpin patut pencen

Di Malaysia, bukan sahaja di kalangan pemimpin parti memerintah, malah di kalangan parti pembangkang yang sedang kehadapan juga sudah patut pencen semuanya.

Melihat dari rombakan terbaharu kabinet UAE, ternyata mereka sudah berlari jauh ke hadapan dalam merealisasikan wawasan dan memajukan negara.

Lebih ramai menteri wanita di UAE berbanding di USA yang hanya ada empat orang wanita dalam kabinet Presiden Trump.

Kalau mengikut peratusan 30 peratus daripada kabinet UAE adalah menteri wanita, hampir sama berbanding UK dan lebih tinggi berbanding banyak negara lain termasuk India dan Malaysia.

Kejutan paling besar kali ini ialah pelantikan Omar Al Olama, berusia 27 tahun sebagai menteri kepintaran buatan yang pertama di dunia. Setelah menteri kebahagian, tentunya menteri kepintaran buatan memberi satu anjakan dan impak yang besar dalam membawa UAE ke satu dimensi baharu dalam mencapai wawasan termasuk penerokaan ke bintang Marikh.

Begitu juga pelantikan tiga wanita berusia 30 tahun ke bawah sekali lagi menimbulkan persepsi menarik mengenai peranan wanita dalam pembangunan negara dan mereka tidak sekadar 'ahli biasa' yang tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.

Maryam Al Muhairi dilantik sebagai menteri penyelidikan dan perancangan untuk sekuriti makanan, Sara Al Amiri dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk kemajuan sains dan Hessa Buhumaid sebagai menteri pembangunan komuniti.

Tahun lepas, Shamma Al Mazrui yang berusia 22 tahun sebagai menteri belia dan masih lagi menteri termuda di dunia.

Tentunya mereka bukan sahaja muda tetapi mempunyai kelayakan dan kemampuan yang selari dengan kehendak Sheikh Mohamad.

Sebagai ekspatriat yang sudah hampir dua dekad di UAE pastinya melihat rombakan kali ini sesuatu yang baik kerana UAE sememangnya mempunyai ramai bakat muda untuk menyerlah dan menjadi pemimpin hebat.

Kerana itu juga, sama ada suka atau tidak, sebagai rakyat Malaysia akan terus membandingkan kabinet Malaysia dan kabinet UAE dalam menilai sejauh mana demokrasi acuan Malaysia benar-benar membawa negara ke arah sebuah negara maju yang bersih dari rasuah, korupsi, penyelewengan dan perompakan di kalangan politikus yang punya imuniti kerana masih berkuasa!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen