malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya telah menulis tentang Gerakan Nyah Najib. Gerakan menuntut agar Najib berundur ini bukan satu perkara yang baru. Malah menuntut Najib dinyahkan bukan lagi suara pinggiran. Bukan lagi suara kecil dari Kampung Kerinchi. Bukan lagi suara garau Mat Sabu atau suara halus Wan Azizah. Nyah Najib kini melantang sedunia.

Gerakan menyahkan Najib dari tampuk kuasa ini telah menjadi satu projek mega bertaraf antarabangsa. Ini satu projek global yang akan menjadi rakaman sejarah dunia. Taraf projek nyah Najib ini sama seperti projek menjatuhkan Pinochet di Santiago, Chile atau Mubarak di Kaherah, Mesir atau Suharto di Jakarta atau Marcos di Manila.

Dari New York ke Los Angles, ke Paris, ke Geneva ke Singapura ke London, projek Nyah Najib telah lama bergerak. Media antarabangsa telah lama bersuara - melapor dan menganalisa sosok yang bernama Najib.

Media antarabangsa yang mahu Najib dinyah seperti The Wall Street Journal, The New York Time, Washington Post, London Financial Times, South China Morning Post , BBC London, CNN atau CNBC. Semuanya mewakili negara atau kumpulan yang memiliki kepentingan ekonomi, perniagaan, ketenteraan dan politik di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa suara dan laporan media dunia ini telah membantu memperluaskan lagi projek Nyah Najib ke dalam negara. Laporan media luar negara ini dianggap lebih sahih daripada yang dikeluarkan oleh Utusan atau RTM. Amin.

Tiga puluh juta warga Malaysia hingga ke hari ini amat sedar bahawa laporan berita dakwaan rompakan duit 1MDB telah menjadi berita global. Untuk pertama kalinya mak cik dan pak cik Felda terdengar nama Martin Scorsese dan nama Leonardo DiCaprio

Warga dunia mengenal Jerman dengan Mercedes. Jepun dikenali dunia dengan Honda. London dikenali dunia dengan Harrod. Kita di Malaysia dikenali dunia dengan 1MDB.

Colombia dikaitkan dengan tokan dadah Pablo Escobar. Britain dikaitkan dengan Ronald Biggs penyamun kereta api - the Great Train Robbery. Amerika dikenali dengan Al-Capone. Parlemo Itali dikenali dengan Don Carleone. Maka dunia mengenali kita dengan Najib Razak.

Apa yang berlaku di Malaysia memperlekeh taraf Ronald Biggs - yang merompak 2.6 juta pound pada tahun 1963 atau 49 juta pound hitungan tahun 2017. Najib juga seolah-olah memperlekehkan Al-Capone, Don Carleone dan Pablo Escobar. Jumlah dakwaan rompakan di Malaysia bukan sahaja mengatasi pendapatan Escobar, malah ia dirancang dengan teliti dan licik sekali.

Apakah sama taraf dakwaan rompakan bawah pentadbiran Najib dengan rompakan Bentong Kali dan Botak Chin?

Oh la la, menyamakan Botak Chin dan Bentong Kali dengan Najib samalah seperti menyamakan Yusof Haslam dengan Martin Scorsese. Rompakan Bentong Kali dan Botak Chin ini adalah percubaan budak-budak sekolah mencuri gula-gula daripada balang kantin sekolah.

Hukum sejagat

Jika mencuri terbesar dan terancang dalam dunia akan mendapat hadiah Nobel maka saya akan menghabis hayat bersama 29 juta rakyat Malaysia untuk melobi Putera Raja Sweden agar Najib dianugerah Hadiah Nobel untuk kurun ini. Amin

Apakah kerana itu maka dia wajib dinyahkan? Jawabnya ia dan tidak. Dalam tulisan ini saya akan membawa pencerahan dan hujah tentang sebab musabab, dalil dan nas mengapa Najib wajib dinyahkan.

Mencuri adalah satu kesalahan. Ini hukum sejagat. Di mana-mana pun dalam alam ini jika seseorang itu dibuktikan telah mencuri maka si polan itu akan dihukum.

Pencuri bukan hanya terdiri dari samseng atau anggota kongsi gelap atau kaum kerabat mafia. Imam, tok kadi, yang berhormat, menteri, presiden atau perdana menteri juga pernah dalam sejarah dibuktikan sebagai pencuri.

Di Jakarta kita ada Haji Muhamad Suharto seorang presiden yang kerjanya ialah mencuri. Di Filipina kita ada Ferdinand Marcos seorang presiden yang juga telah dibuktikan sebagai pencuri. Di Kaherah kita ada Tuan Haji Hosni Mubarak yang juga presiden yang pernah dipenjara kerana mencuri.

Justeru apabila Mahathir Muhamad menuduh secara terbuka - dalam ceramah dan temu bual media - Najib ini seorang pencuri maka ini bukan satu yang menghairankan. Sosok yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun ini pasti tahu dan arif tentang hal curi mencuri duit kerajaan ini.

Pada hemat saya kita tidak ada pilihan. Najib wajib kita nyahkan. Najib wajib dinyahkan kerana jika tidak dalam masa lima tahun ini Najib negara Malaysia ini akan lingkup 'mingkup'.

Lingkup. 'Mingkup'. Terbarai. Ini bukan kerana serangan garuda atau jin afrit atau puting beliung. Lingkup dan terbarai daripada segi pentadbiran daulah. Malaysia pada hari ini telah betul-betul terletak di atas landasan kereta api yang menuju ke Negara Gagal.

Penjajah Inggeris telah meninggalkan lembaga-lembaga daulah dan satu sistem pentadbiran moden kepada Tanah Melayu. Kuasa Inggeris telah diambil alih oleh United Malays National Organisation.

Setia kepada watak negara Dunia Ketiga - dari zaman Tunku, ke Razak, ke Mahathir banyak lembaga-lembaga daulah telah diubah suai, yang didakwa untuk memastikan parti United Malaya National Organisation akan terus berkuasa.

Kini hampir kesemua lembaga daulah telah jatuh ke atas pundak perdana menteri yang bernama Najib. Lembaga seperti Suruhan Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah apa sahaja lembaga daulah semuanya akan merujuk kepada Najib.

Yang ditinggalkan oleh Inggeris telah diubah suai. Yang baru diwujudkan untuk memastikan kuasa terus di tangan United Malays National Organisation. Contoh terkini dan terbaru ialah lembaga Majlis Keselamatan Negara - yang dikatakan telah mengetepikan kuasa raja-raja Melayu dalam hal darurat. Semua terpusat kepada Najib si perdana menteri.

Sebenarnya, apa yang berlaku di Malaysia ini adalah watak tulen negara Dunia Ketiga. Amat susah malah mustahil dapat dipisah kuasa si pembuat hukum dengan si pentadbir hukum. Semua telah berkumpul dalam tangan Najib. Najib kata hitam maka kapur putih itu akan menjadi hitam serta- merta.

Penghakisan lembaga daulah

Lembaga-lembaga daulah berperanan untuk menjaga kepentingan anak segala bangsa yang menjadi warga sesebuah negara. Apabila lembaga daulah ini tidak lagi menjadi lembaga semak dan imbang dan hanya terpusat kepada Najib maka keyakinan anak semua bangsa terhadap lembaga daulah ini terhakis.

Dalil penghakisan ini makin jelas. Umum percaya bahawa pilihan raya yang dijalankan ada unsur penipuan.

Umum juga mendakwa bahawa tangkapan rasuah yang dilakukan adalah atas kepentingan dan keselamatan Najib dan United Malays National Organsation.

Begitu juga dakwaan PDRM akan melakukan tangkapan bukan kerana jenayah tapi kerana hubungan politik.

Umum percaya lembaga kehakiman didakwa memilih-milih kes mana yang wajib dibicarakan dan yang mana perlu dilupus hilang.

Contoh terbaik ialah dalam kes Razak Baginda. Si Razak telah dikaitkan dalam pembunuhan Altantuya. Razak dibebaskan. Tetapi Peguam Negara tidak meminta ulang bicara walhal ini kes bunuh.

Ini amat amat berbeza dengan kes Akta Perhimpunan Aman Nik Nazmi. Nik Nazmi telah menang bicara tetapi peguam negara meminta ulang bicara berkali-kali.

Dilihat kes Nik Nazmi ini sama seperti pengiraan undi Najib Razak di Pekan pada tahun 1999. Mahkamah seperti diarah membicarakan Nik Nazmi sampai kalah. Perkara itu, jika berlaku, dapat menghalang Nik Nazmi daripada bertanding kerusi Adun Selangor.

Pada hemat saya, pemusatan kuasa lembaga daulah ke tangan Najib kebelakangan ini semakin bercambah, daripada segi ekonomi – import eskport, cukai 'mukai' – hinggalah ke perkara halal haram.

Dalil halal haram yang saya maksudkan ini ialah kes pegawai SPRM yang dituduh mengentot bini orang di Bali. Nampak jelas kes mengentot pun wajib dirujuk pada pucuk pimpinan.

Paling terkini dan menonjol ialah peranan SPRM. Lembaga SPRM kini didakwa menjadi helang terbang bersiar-siar di awan sambil memerhatikan ayam BERSATU, DAP, Warisan Sabah, PKR atau ayam berani lawan tauke. Helang ini akan menyambar dalam masa dan ketika yang tepat untuk terus menakut-nakut yang lain. Dan memastikan ayam-ayam ini akan masuk ke dalam ‘reban’ tanpa boleh bertanding.

Apakah hujah saya ini fitah? Apa saya membuat tohmah? Tidak, ini bukan fitnah. Dalilnya ialah bagaimana SPRM dilihat langsung tidak 'ambil pot' terhadap kes 1MDB. Langsung dilihat tidak peduli terhadap kes SRC International Sdn Bhd.

Hilang dari mata

Tidak ada apa-apa tindakan terhadap Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Lo Ai Swan walau pun sosok ini dikehendaki oleh Bank Negara. Nama Nik Faizal, Datuk Subuh atau Rosan Sohari terus hilang daripada mata PDRM, daripada mata peguam negara dan daripada mata SPRM.

Anak semua bangsa sedar dan faham bahawa helang ini hanya aktif menyambar musuh Najib. Ini barangkali kerana tali yang mengikat helang ini ada dalam tangan Najib.

Keruntuhan lembaga daulah ini membawa implikasi yang amat bahaya kepada Malaysia. Lembaga-lembaga daulah ini kini bukan lagi menjadi hamba abdi kepada warga tetapi telah seorang pemimpin.

Najib didakwa menggunakan semua lembaga daulah untuk mempertahankan dirinya yang sedang dikepung. Lembaga FBI, polis Amerika dan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) sedang mengatur langkah untuk menahan anak tiri Najib dan rakan niaga Najib - Jho Low. FBI dan DOJ hanya menunggu masa untuk 'ngap' Najib.

Tidak dapat tidak sebaik sahaja Najib dinyahkan dari tampuk kuasa maka DOJ dan FBI akan datang untuk menjemput Najib menjadi saksi perbicaraan Riza Aziz dan Jho Low di Los Angles.

Tapi awas dan waspada. Najib juga sedar akan apa yang saya paparkan di sini. Justeru Najib sedang mengambil langkah keselamatan. Najib sedang meminta bantuan China Merah.

China datang membantu? China? Bukankah Najib anti-Cina DAP? Tunggu minggu hadapan dan lihat apa bahaya dari China Merah bukan dari Cina DAP.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen