malaysiakini logo
story-image
ADS

Era 1960-an era yang dramatik untuk menjadi seorang aktivis politik, malah mungkin menyeronokkan bagi sesetengah orang. Idea-idea besar, nama-nama besar, manifesto, LSD, dan sudah tentu, rock n roll.

Bagaimanapun, Kassim Ahmad yang baru pulang ke tanah air selepas empat tahun menjadi pensyarah di London, rock n roll hanyalah "sedikit ketawa dan sedikit loncat-loncat dalam dunia yang tiap hari diancam perang nuklear".

Sudah tentu, bagi aktivis serius seperti Kassim Ahmad, peristiwa penting ketika itu adalah Revolusi Kebudayaan Republik Rakyat China (1966) dan kebangkitan gerakan-gerakan kiri baru yang lebih radikal dan komited untuk bawa perubahan.

Ketika itu, Che Guevara baru sahaja meletakkan jawatan sebagai menteri industri Cuba dan sedang memimpin gerakan gerila di Bolivia dalam usaha mengeksport idea Revolusi Cuba ke belahan dunia lain. Che tewas tidak lama selepas itu di tangan tentera Bolivia yang mendapat bantuan Amerika.

Kematian Che melahirkan wajah baru untuk gerakan anti-imperialis dan gerakan kiri yang sedang bangkit. Menjelang tahun 1970-an, kata orang, hanya ada parti kiri dan CIA – kebanyakan parti-parti kanan yang wujud disokong dan didanai CIA.

Aforisma terkenal Mao Zedong ketika itu yang sering didengarkan di mana-mana adalah "revolusi bukan majlis makan malam" dan "kuasa politik tumbuh dari muncung senjata api".

Selepas perang dunia kedua, abad ke-20 sekitar tahun 1960-an dan 1970-an menyaksikan gerakan-gerakan kiri mengangkat senjata dan mengadaptasi taktik gerila. Kali ini dengan lebih tersusun dengan bekalan senjata yang lebih mencukupi.

Pulangnya seorang sosialis

Tahun 1968 membuka tirai dengan pelancaran Tet Offensive oleh tentera Viet Cong ke atas tentera Vietnam Selatan dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat. Ia merupakan kempen serangan paling besar sejak perang di Vietnam bermula. Statistik korban meningkat drastik. Protes anti-perang semakin membahang.

Dalam selang waktu yang singkat, akhbar-akhbar melaporkan berita tentang tokoh-tokoh masyarakat yang ditembak mati termasuklah pejuang hak asasi Martin Luther King dan Robert F Kennedy yang menerima nasib buruk sama seperti abangnya sebaik memenangi pilihanraya di California.

Demonstrasi anti-perang di Chicago yang bermula dengan hippie menghisap marijuana bertukar medan pertempuran. Api revolusi marak di Eropah. Universiti di Madrid dan Rome ditutup. Polis dan pelajar bertempur di Jerman Barat.

Di Perancis, siri protes yang disertai ratusan ribu pekerja dan pelajar yang semakin sengit menyaksikan Paris Stock Excangedibakar.

Ketika itu Kassim Ahmad pulang sebagai seorang sosialis yang melihat sisa-sisa kolonialisme dalam dasar pemerintahan dan ekonomi negara. Sebagai seorang anak muda yang idealogikal, Kassim tidak lagi asing dengan perkembangan gerakan kiri seluruh dunia.

Kassim aktif dengan Kelab Sosialis di Universiti Malaya sebelum menyertai Parti Rakyat Malaysia, dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Umum PRM dan menukar nama parti itu kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia.

Terbakar dengan euforia peristiwa-peristiwa besar dunia, Kassim dalam masa sama merasakan kekosongan seorang wira pembela golongan tertindas dalam naratif sastera tanah air.

Telah menulis tesis sebelumnya yang mencabar perwatakan Hang Tuah sebagai wira, tanpa ragu-ragu Kassim meletakkan Jebat sebaris dengan pemberontak dan pejuang revolusioner.

Pemecah pemikiran Melayu

Dalam buku Hikayat Hang Tuah yang terbit pada 1966 (tahun sama Revolusi Kebudayaan), Kassim mengangkat Jebat sebagai 'pemberontak kebangsaan' dan menulis Jebat sebagai “seorang pemberontak dan seorang yang mempunyai pendapat yang terlampau ke hadapan bagi masanya. Dia adalah sebenarnya hero suatu zaman yang lain”.

Dalam sajak Dialog (sajak perlawanan paling berapi yang pernah dituliskan bagi saya), Kassim meminjam nama Jebat - 'Dengan seribu Jebat si anak tani' - sebagai sebuah simbol kepada golongan pekerja yang bangkit melawan penindas.

Sejak itu pemikiran masyarakat Melayu terhadap konsep wira tidak pernah jadi begitu objektif. Sehingga hari ini konsep sama masih terpahat kuat dalam minda masyarakat Melayu, dengan Kassim Ahmad sebagai nama yang hampir mustahil untuk tidak disebutkan jika menyentuh perkembangan pemikiran masyarakat Melayu.

Setelah sekian lama dihidangkan dengan Tuah sebagai wira yang patuh dan setia kepada pemimpin, yang menjadi kod keramat golongan penguasa untuk terus berkuasa, Kassim menghadirkan sisi lain Jebat sebagai wira golongan tertindas.

Kassim Ahmad tidak bersendiri. Antara lain adalah Usman Awang yang menulis sebuah teater berjudul Matinya Seorang Pahlawan, yang memaparkan watak Jebat sebagai pemberontak yang menderhaka terhadap Sultan kerana menghukum saudaranya, Tuah. Teater itu sempat dipentaskan sempena Minggu Sastera Melayu di London pada 1992.

Salleh Ben Joned seorang lagi penulis yang berkongsi idola Jebat dengan Kassim Ahmad. Tapi Salleh Ben Joned melihat Jebat dengan definisi yang berbeza dan beranggapan bahawa terjemahan Kassim terhadap Jebat sebagai pemesongan teks.

Bagi Salleh Ben Joned, Jebat adalah sosok anarkis-hedonis dengan dengan kod-kod moral anakronistik yang tindakannya tidak didasari ideologi mendalam. Amuk Jebat, menurut Salleh Ben Joned, adalah bersifat individualistik atas nama persahabatan, bukan untuk membela rakyat yang ditindas golongan istana.

Jebat di mata Salleh Ben Joned lebih seperti watak-watak klasik yang akan mengucapkan dialog seperti "Kau cari pasal dengan kawan aku, kau cari pasal dengan aku", atau "kalau kau baik aku baik, kau jahat aku seribu kali lagi jahat". Watak yang lebih mudah ditemukan dalam filem seperti Godfather atau mana-mana ahli Hell's Angels.

Dalam kolumnya di New Straits Times pada 1992, Salleh Ben Joned menulis: “Tidak mungkin atas nama rakyat kerana ratusan rakyat terkorban di hujung keris Jebat ketika ia mengamuk, malah bangga dengan tindakannya yang akan memasyhurkan namanya.”

Penulis Shaharuddin Maaruf menolak untuk melihat korban amuk Jebat sebagai 'sacrificial blood' seperti pandangan Salleh Ben Joned. Dalam buku Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu (cetakan pertama 1993), Shaharuddin Maaruf melabel Kassim Ahmad sebagai romantik feudal.

Turut dimasukkan dalam bakul sama adalah penyair Muhammad Haji Salleh yang menulis “sifat-sifat utama Hang Jebat bercorak intelektual.... Para intelektual atau mereka yang lebih abstrak adalah lebih berkecenderungan menjadi pemberontak seperti Hang Jebat.”

Siapa Jebat?

Shaharuddin enggan melihat Jebat sebagai pemberontak atau intelektual. Dalam buku dengan tajuk kecil 'Membelai Romantisme Dekaden' - yang agak tipis (dan mungkin bakal dituduh simplistik) untuk sebuah kumpulan tulisan yang cuba merungkai pemikiran masyarakat Melayu - Shaharuddin Maaruf seperti membuka kotak Pandora.

Setidak-tidaknya kepada mereka yang bertanya: Bukankah penulis, golongan intelektual dan mereka yang mengangkat Tuah sebagai wira sebenarnya mempromosi sentimen dan nilai-nilai feudalistik? Dan bukankah Jebat datang dari kerangka feudal sama dan moral tindakannya sangat bersifat feudalistik?

Bukankah Jebat orang sama yang menikmati ketiadaan Tuah dengan bersenang-lenang dan berbuat sesuka hati kerana ketiadaan satu-satunya orang yang ditakutinya? Bukankah Jebat adalah Tuah yang satu lagi?

Di bawah tajuk 'Pemuja-Wira Feudal Menyanjung Kebatilan', Shaharuddin menulis: "Insan yang bersikap demokratis, berjiwa kebangsaan dan bersifat wira tidak memperjuangkan kepentingan sekumpulan kecil yang menindas insan lain, mentaati tuannya secara membuta tuli dan mengamuk membunuh beribu-ribu insan yang tidak berdosa."

Salleh Ben Joned tampil mempersoal pandangan Shaharuddin itu yang menggunakan ukuran tokoh dari luar (Umar Al-Khattab, Jose Rizal, dan Jeneral Sudirman) sedangkan wira perlu hadir dari masa lalu bangsa itu sendiri.

Salleh Ben Joned memetik karya Bertolt Brecht bahawa yang lebih menyedihkan dari sebuah negara yang tidak mempunyai wira adalah sebuah negara yang memerlukan wira.

Dalam tulisan yang sama Salleh Ben Joned, dengan ironi, sudah tahu jawapan Shaharuddin Maaruf: Yang menyedihkan adalah negara yang mempunyai wira yang kejam.

Kalau sejarah menghakimi seseorang dari wiranya, Kassim Ahmad adalah seorang yang sentiasa meletakkan dirinya di dalam kelas rakyat bawahan, yang merasakan keperluan seorang wira dalam melawan nilai-nilai feudal yang menindas, lalu cuba mengisi kekosongan itu dengan Jebat, sosok yang begitu dibayangi ciri-ciri feudalistik. Tapi ironi bukan istilah asing untuk Kassim Ahmad.

Pagi 10 Oktober 2017, Kassim Ahmad yang mencecah usia 84 tahun meninggal dunia di Hospital Kulim di sisi keluarga tercinta selepas mengalami masalah pernafasan. Saya mengenang Kassim seperti saya mengenang Promotheus yang mencuri api dari Zeus untuk diberikan kepada manusia. Saya mengenangnya sebagai seorang Jebat, meski dalam romantismenya sendiri.
 

*Tulisan ini disunting daripada artikel asal yang dimuatkan dalam buku 'Quo Vadis, Pak Kassim?' terbitan Obscura. Tajuk tulisan ini meminjam sub-tajuk buku 'Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu' oleh Shaharuddin Maaruf.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen