malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Sewaktu saya bekerja di Riyadh awal tahun 2000, banyak pengalaman menarik yang memberi pendedahan dan membuka minda. Persepsi terhadap Arab Saudi sebelum datang ada yang di luar jangkaan.

Hari pertama di pejabat sebuah syarikat Internet terawal di Arab Saudi, saya mencari tandas. Apabila tiba di pintu tandas, saya tidak jadi membuka pintu. Tiada apa-apa tanda. Bimbang salah tandas.

Lantas saya bertanya kepada salah seorang rakan sekerja.

"Ini tandas lelaki ke tandas wanita?"

Rakan sekerja itu ketawa.

"Semua pekerja lelaki di sini!"

Itulah permulaan yang menjadikan saya terpinga seketika. Hanya pekerja lelaki. Tidak biasa.

Kemudiannya apabila dipanggil bertemu CEO, sekali lagi terasa keliru apabila setiausahanya seorang lelaki.

Bersama anak-anak muda Arab Saudi yang menjadi rakan kerja, saya turut belajar banyak perkara mengenai sentimen terhadap keluarga diraja dan harapan mereka terhadap masa depan. Kebetulan ketika itu saya masih segar dalam reformasi dengan semangat antikerajaan yang marak.

Kami bertukar pandangan mengenai politik dan pelbagai isu waktu itu.

Oleh kerana syarikat itu sebuah hab Internet, mereka sentiasa cuba untuk menggodam firewall kerajaan dalam mengakses semua laman web yang disekat. Ini dilakukan walaupun mereka tahu kalau ditangkap, berat hukumannya.

Saya belajar daripada mereka beberapa trick dalam membolos sekuriti dan memadam jejak. Hebat juga anak muda Arab Saudi sebagai penggodam. Ada kala kami bermalam di pejabat untuk menggodam dan mencari 'lubang' membolos setiap sekatan.

Kebetulan pejabat terletak sebuah kompleks beli belah. Semua kedai dan pejabat hanya pekerja lelaki. Termasuk kedai-kedai menjual baju dalam wanita, tukang jahit dan abaya. Melucukan juga. Terasa hipokrasi dan ironi.

Pada satu hari, sewaktu membeli makanan di sebuah kedai makanan segera, terjumpa sekumpulan isteri diplomat Malaysia yang turut sama mencari makan. Saya diajak makan bersama di satu meja kawasan untuk famili.

Lelaki berjubah putih

Sewaktu berbual, tiba-tiba datang dua orang lelaki berjubah putih ke arah kami. Dalam bahasa Arab, bertanya kasar kenapa saya seorang lelaki bersama sekumpulan wanita.

Apakah saya mahram kepada mana-mana wanita. Saya begitu terkejut dan terkedu. Wajah bengis 'polis moral' itu dengan suara kasar menyentap kewarasan. Rupanya kedua-dua polis moral itu sudah lama memerhati.

Salah seorang isteri diplomat berkata, dia ahli keluarga dari Malaysia. Kedua-dua polis moral itu tidak percaya dan meminta pasport. Apabila diberitahu yang kami dari kedutaan Malaysia, barulah kedua polis moral yang masih tidak berpuas hati itu beredar.

Mereka terus memerhati dari jauh tetapi kami buat tidak peduli. Seakan mahu memerangkap dan menangkap.

Sebelum itu saya ada dibawa ke pejabat kedutaan untuk bertemu para pegawai diplomat. Sewaktu kami berbual, ada deringan telefon dan pegawai diplomat itu menjawab. Dia kemudian ketawa. Bercerita yang polis perisikan Saudi bertanya mengenai satu helai kiriman faks (pendua) ke kedutaan yang mereka tidak terima dan apakah boleh dihantar faks yang mereka tidak terima itu.

Melucukan sekali. Perisikan tanpa berhemah.

Bersama rakan-rakan ekspatriat Malaysia, saya sempat dibawa meninjau banyak tempat di Riyadh dan sekitar, termasuk lorong-lorong belakang. Kehidupan yang membuka minda mengenai 'dunia lain' Arab Saudi.

Saya dipanggil untuk bekerja di sebuah universiti di utara Arab Saudi. Memang menarik sekali tetapi kebetulan saya juga menerima tawaran dari Dubai dan membuat pilihan untuk tidak berada di Saudi.

Sememangnya ketika itu, agak jemu dengan kehidupan di Riyadh. Banyak tawaran kerja yang lain terutama dari multinasional dan setelah pulang dari haji, saya mengucapkan selamat tinggal kepada Arab Saudi.

Setelah berhijrah ke Dubai, saya membawa keluarga untuk umrah dengan menaiki bas. Perjalanan selama 12 jam itu membawa kami merentas Arab Saudi dan melalui pelbagai bandar, kampung, perladangan serta kekosongan ruang tidak bertepi.

Memang banyak tempat menarik di Arab Saudi selain destinasi popular terutama Mekah, Madinah, Jeddah, Riyadh, dan Dammam. Banyak peluang pelancongan yang boleh menjadi tumpuan sekiranya dibuka.

Sejak kejatuhan harga petrol

Semenjak kejatuhan harga petrol, banyak, perubahan mendadak yang di luar jangkaan. Dengan Raja Salman dan anaknya Mohamed menguasai pemerintahan, dikatakan bermula era baharu Arab Saudi yang sedikit tercemar dengan perang Yaman dan krisis Teluk.

Penyenaraian Aramco serta pelbagai pembukaan pelaburan luar untuk menampung kejatuhan pendapatan dari penurunan harga petrol memerlukan anjakan paradigma dan minda yang lebih agresif.

Dikatakan sejuta ekspatriat telah pulang ke negara masing-masing kerana kehilangan pekerjaan. Ada yang tidak dapat gaji dan pampasan. Lebih ramai lagi akan meninggalkan Arab Saudi kerana dikenakan pelbagai levi. Selain polisi Saudisasi yang menetapkan pekerjaan hanya untuk rakyat dan tentunya langkah ini baik untuk rakyat dan negara Arab Saudi.

Apalagi pengumuman terbaru, wanita dibenarkan memandu dan ini bakal menjimatkan SR42 bilion setahun kerana tidak perlu lagi menggaji pemandu. Wanita juga dibenarkan untuk keluar rumah tanpa mahram yang memberi kebebasan baharu walau sudah terlambat di abad ke-21.

Dengan wanita dibenarkan memandu dikatakan ada 500,000 peluang pekerjaan dalam industri peruncitan yang boleh ditawarkan kepada wanita tempatan. Dengan sendirinya ramai ekspatriat akan kehilangan kerja.

Dilaporkan, Uber dan Careem bercadang mengambil 100,000 pemandu wanita di kalangan rakyat Arab Saudi untuk memenuhi pelbagai keperluan pasaran.

Tidak pasti sama ada penentangan ulama yang dikatakan mahu terus konservatif dan tradisional. Visi 2030 Arab Saudi bawah putera mahkota Mohamed bin Salman dikatakan akan membawa Arab Saudi melangkah ke arah negara maju.

Perubahan adalah perlu untuk kesejahteraan negara yang masih kaya dengan hasil minyak dan pelbagai mineral. Dengan 60 peratus rakyat di kalangan anak-anak muda, Arab Saudi memang tidak ada banyak pilihan selain menyediakan jutaan pekerjaan kepada rakyat sendiri dan menambah aktiviti ekonomi dalam membuka pintu untuk pelaburan dari luar!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen