malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Saya merujuk tulisan seorang anggota jawatankuasa pusat pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Beliau mendakwa seruan Datuk Dr Siddiq Fadzil untuk merapatkan jurang perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim supaya sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dapat direalisasikan sebagai "dangkal dan berkepentingan politik kepuakan”.

Malah, beliau mengatakan seruan agar orang Islam mempelopori usaha untuk membina bangsa Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum sebagai seruan yang janggal.

Pertama saya tidak memahami mengapa setelah sekian lama kita membawa seruan ke arah satu wawasan bangsa Malaysia, tiba-tiba wujud pihak yang apologetik dengan usaha-usaha ke arah pembentukannya hanya atas sandaran umum (yang disebut beliau) bahawa al-Quran menetapkan perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim.

Beliau sebenarnya culas dengan panduan yang Allah SWT tetapkan dalam al-Quran bahawa perbezaan kelompok dalam masyarakat yang diciptakan dalam kalangan manusia adalah untuk kita saling kenal mengenali. (Surah Al-Hujurat: 13)

Dan tujuan ini hanya akan dikecapi jika kita mencari titik persamaan antara kelompok-kelompok yang berbeza.

Ia tentunya akan gagal jika kita hanya berterusan melihat kebuntuan perbezaan semata-mata.

Maka, adakah seruan Allah SWT ini yang mahukan usaha ke arah merapatkan hubungan masyarakat dan mencari titik persamaan juga dikategorikan sebagai dangkal dan berkepentingan politik kepuakan?

Kecuaian beliau dalam merungkai persoalan ini seolah-olah sengaja ingin mengeruhkan perpaduan rakyat Malaysia dengan penilaian tempang seolah-olah Islam adalah agama yang sengaja mahu menajamkan perbezaan dalam masyarakat.

Kenyataan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah mewakili satu kelompok yang lebih suka melihat perseteruan berbanding penyelesaian.

Kelompok ini yang ghairah melaungkan slogan Islam sebagai penyelesaian kepada semua masalah masyarakat, tetapi kelompok ini juga yang enggan mencari formula yang dinukilkan agama untuk menyatupadukan kerencaman bangsa dan kepelbagaian agama di Malaysia.

Kelompok ini juga yang dengan sengaja mencurahkan minyak untuk memarakkan lagi api perpecahan masyarakat atas nama agama.

Kedua, merujuk kepada saranan bahawa perpaduan Melayu perlu diutamakan terlebih dahulu, beliau mendefinisikan perpecahan Melayu hanya dari sisi politik apabila memberi contoh kewujudan lima parti politik Melayu.

Ini adalah menifestasi kecetekan pemikiran apabila menyempitkan perpaduan hanya dalam kerangka politik iaitu seolah-olah perpaduan Melayu itu sempurna apabila orang Melayu hanya bernaung di bawah parti politik tunggal, walau serosak mana parti tersebut.

Cinta keadilan, benci kezaliman

Adakah beliau tahu perpecahan mana-mana bangsa dalam kerangka politik adalah bersebab dan antara faktor utamanya adalah kerana dorongan fitrah manusiawi itu sendiri yang cintakan keadilan dan kebenaran serta bencikan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa?

Apakah tindakan beliau bersama kelompok ini untuk meraikan fitrah manusiawi yang murni ini agar perpaduan bangsa Melayu dapat dicapai?

Maka, persoalan yang lebih tepat - di manakah suara mereka dalam menentang kemungkaran-kemungkaran pemimpin seperti barah rasuah, kleptokrasi, dan penyalahgunaan kuasa yang secara terang-terangan berlaku?

Perlu dijelaskan teguran kepada beliau dan kelompok ini adalah sebagai seorang saudara yang menjadi kewajipan membantu saudara seakidah lain yang sedang menzalimi dirinya dengan kejahilannya.

Rasulullah SAW mengungkapkan: "Bantulah saudaramu yang menzalim dan dizalimi.”

Para sahabat kehairanan, lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi,tetapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman?"

Maka jawab Rasulullah SAW: "Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah caranya membantu saudaramu yang zalim."(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Justeru, sekali lagi ditegaskan sesungguhnya yang janggal adalah orang seperti beliau dan kelompok berfikiran sempit yang sanggup memejamkan mata melihat kebatilan dan kemaksiatan berleluasa di tangan pemimpin yang menzalimi dirinya dan menzalimi orang-orang yang dipimpinnya walaupun seorang Muslim.

Dan bukan seruan kepada perpaduan dan mengangkat konsep muwatinun dalam negara berbilang bangsa.

Berhentilah bersikap terburu-buru kerana itu petanda rendahnya hemah seseorang.

Sebaliknya, kelompok ini perlu lebih meluaskan bahan bacaan serta perlu lebih banyak berinteraksi dengan masyarakat luar dan tidak seharusnya hanya mendekam dalam kepompong sendiri yang membawa kepada kesempitan pemikiran.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Artikel ini pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen